Friday, October 22, 2010

TAKDIR ...SUSAH NAK DIDUGA...DAN MEMANG XBOLEH DIDUGA...NI KERAHSIAAN ALLAH...MAKA BERTAQWA LAH....

NEGARA


Mati bergaduh dengan kakak


MAYAT Naili yang meninggal dunia akibat terkena serpihan kaca dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kelmarin.



KUANTAN – Puncanya cuma berebut siaran televisyen, tetapi akibatnya seorang adik mati terkena serpihan kaca tingkap nako sewaktu berbalah dengan kakaknya di rumah mereka di Taman Balok Baru di sini kelmarin.
Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14, yang mengalami pendarahan teruk pada paha kanan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Balok pada pukul 5.40 petang Khamis lalu.
Kejadian itu berlaku sewaktu bapa mereka keluar bekerja sementara ibu pula berada di surau berdekatan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, sebelum kejadian pada pukul 4.30 petang, Naili pada mulanya didakwa bergaduh dengan seorang adik perempuannya yang berusia lima tahun kerana berebut saluran televisyen.
“Kakak Naili yang melihat tindakan mangsa yang cuba berebut siaran televisyen telah memarahi mangsa.
“Ekoran itu berlaku pertengkaran antara Naili dengan kakaknya yang berusia 16 tahun sehingga terbawa-bawa sampai di luar rumah,” kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, semasa pergaduhan itu, kakak mangsa mengambil serpihan kaca tingkap nako yang sudah pecah di tepi dinding rumah sambil mengacah-acah ke arah adiknya.
“Namun tanpa disengajakan serpihan kaca itu terlepas daripada tangan kakaknya lalu terkena pangkal paha kanan mangsa,” katanya.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa luka dan berdarah dengan teruk di pahanya menyebabkan dia kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan oleh jirannya.



Minta halal makan minum

 

KUANTAN: “Ketika terbaring berlumuran darah dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat meminta ibunya menghalalkan makan minumnya,” kata Abdul Rauf Salleh, 63, datuk Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14.

Menurutnya, ketika kejadian, cucunya yang juga anak kedua daripada tiga beradik tinggal bertiga bersama kakak dan adik bongsunya di rumah manakala ibunya, Noranita Abdul Rauf, 37, berada di surau berhampiran menunaikan solat Asar.

“Ketika ibunya pulang ke rumah, dia mendapati arwah terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan ketika itu arwah meminta ibunya menghalalkan makan minumnya.

“Arwah juga muntah sebelum dibawa ke klinik berhampiran oleh jiran, tetapi disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam
KUANTAN: “Ketika terbaring berlumuran darah dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat meminta ibunya menghalalkan makan minumnya,” kata Abdul Rauf Salleh, 63, datuk Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14.
Menurutnya, ketika kejadian, cucunya yang juga anak kedua daripada tiga beradik tinggal bertiga bersama kakak dan adik bongsunya di rumah manakala ibunya, Noranita Abdul Rauf, 37, berada di surau berhampiran menunaikan solat Asar.

“Ketika ibunya pulang ke rumah, dia mendapati arwah terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan ketika itu arwah meminta ibunya menghalalkan makan minumnya.

“Arwah juga muntah sebelum dibawa ke klinik berhampiran oleh jiran, tetapi disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang dan terkilan kerana mangsa cucu kesayangannya, malah hubungan mereka berdua mesra.

Jenazah mangsa dikebumikan kira-kira jam 9 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Balok, di sini.



NEGARA


Bapa terkilan takdir Inani




SEORANG ahli keluarga menabur bunga di atas pusara Inani (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang semalam.


KUALA LUMPUR – “Saya terkilan kerana tidak dapat melihat Inani genggam segulung ijazah dan bergelar seorang doktor.”
Demikian luahan sedih Zainal Abidin Ismail (gambar kecil), bapa kepada Inani Zalikha, 23, pelajar tahun empat ijazah bidang perubatan di Universitas Padjadjaran (Unpad) di Bandung yang ditemui mati di rumah sewanya kelmarin.
Menurutnya, kali terakhir beliau bercakap dengan Inani ialah pada 16 Oktober lalu melalui telefon.
“Inani merupakan seorang anak yang tidak mempunyai masalah dalam pelajaran sejak di bangku sekolah lagi,” katanya ketika ditemui di Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, Inani yang merupakan pelajar Malaysia tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditemui mati oleh rakan serumahnya di Bandung pada pukul 5 pagi kelmarin.
Sehari sebelum Inani meninggal dunia, dia dikatakan sempat mengadu kepada abangnya, Izzuddin, 24, menerusi laman sosial Facebook bahawa dia tertekan kerana terpaksa menyiapkan banyak tugasan amali.






Pergi cara mengejut

Oleh Suraya Roslan

AMPANG: “Adik sering mengadu sakit belakang setiap hari dalam Facebook hingga tidak mampu menahannya setiap hari sejak seminggu lalu,” kata abang kepada seorang pelajar perubatan Malaysia yang ditemui meninggal dunia di rumahnya di Bandung, Indonesia pagi semalam.
Malah, dia tidak menyangka rungutan adiknya itu tujuh hari berturut-turut membawa petanda adiknya akan meninggalkan mereka. Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, atau mesra dengan panggilan Ika dan anak kedua daripada lima beradik itu ditemui terbaring atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan serumahnya kira-kira jam 5 pagi (waktu Malaysia) selepas solat Subuh. Abang mangsa, Izzuddin Zainal Abidin, 24, berkata, sebelum ini, dia tidak tahu adiknya menghidap sebarang penyakit kecuali sering mengadu sakit belakang.

“Bila saya menanyakan hal itu, dia hanya memberitahu mungkin kerana tekanan ketika menjalani latihan amali di sebuah hospital di Bandung membuatkan dia kerap kali sakit, itupun saya ketahui ketika berbual di laman sem bang dengannya kira-kira jam 11 malam tadi (kelmarin),” katanya yang ditemui di rumahnya di Bukit Antarabangsa, di sini, semalam.

Katanya, adiknya yang mengambil jurusan asas kedoktoran di Universiti Padjadjaran (Unpad) itu tidak menunjukkan sebarang keganjilan


“Ibu menerima panggilan telefon daripada rakan serumah adiknya itu kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam ) mengatakan Ika sudah meninggal dunia kerana sesak nafas. “Kami memang terkejut dan sukar mempercayainya, tetapi selepas dihubungi pihak penaja adiknya iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengenai kematiannya, barulah ibu bertolak ke Bandung bersama dua saudara lain kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi (semalam) untuk menuntut jenazahnya.

“Ika pendiam dan tidak banyak ragam, dia memang budak baik dan paling rapat dengan saya serta ibu, tidak sangka dia pergi dalam keadaan yang mengejutkan kami,” katanya. Apa yang menyedihkan, adiknya itu tidak sempat menemui bapanya, Zainal Abidin Ismail yang terpaksa bertugas di Papua New Guinea sebagai jurutera telekomunikasi ketika pulang berhari raya baru-baru ini. “Raya tahun ini, Ika sempat menghabiskan dua bulan cutinya bersama keluarga termasuk berpuasa sebulan di sini. “Bagaimanapun, agak terkilan kerana tidak sempat berjumpa ayah untuk beraya bersama-sama,” katanya



Pelajar Arab beritahu pegawai agama, arak halal di negara mereka

NILAI - Sebagai helah untuk melepaskan diri, sekumpulan pelajar Islam dari sebuah negara Arab memberitahu bahawa arak adalah halal di di negara mereka.

Namun pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) tidak termakan dengan kelentong para pelajar berusia 20-an itu.

Malah mereka menjadi terkedu apabila diberitahu bahawa pegawai JAINS pernah belajar di negara mereka dan apa yang disebut mereka adalah bohong.

"Saya tidak peduli. Ini negara saya dan negara saya tidak benarkan orang Islam seperti kamu minum arak. Kamu melanggar peraturan dan undang-undang Islam di negara saya akan menghukum kamu," kata salah seorang pegawai JAINS.

Dalam drama selama 15 minit itu, turut menyaksikan salah seorang dari tiga pelajar terbabit terlentang di tengah-tengah pusat hiburan tersebut akibat terlalu mabuk.

Mereka adalah antara 25 orang yang diberkas dalam operasi JAINS di tiga pusat hiburan di sekitar Nilai yang bermula 11 malam tadi hingga 3 pagi tadi.

Yang turut diberkas ialah empat penjawat awam kerana mengambil minuman keras.

Pegawai Penyelaras Operasi JAINS, Mohd Zol Sidek berkata, maklumat empat penjawat awam berkenaan yang berusia dalam lingkungan 40-an dari kalangan pasukan beruniform akan didedahkan kepada ketua jabatan mereka.

"Mereka yang ditahan dalam operasi ini akan didakwa di bawah Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan denda tidak lebih dari RM3,000 atau penjara dua tahun," katanya kepada Bernama.

Operasi yang disertai 42 pegawai JAINS, polis dan Majlis Keselamatan Negeri itu berjaya menahan 27 orang Islam termasuk dua wanita kerana meminum arak.-Bernama



Pelajar kedoktoran di Bandung dikebumi di Hulu Klang


KUALA LUMPUR - Pelajar perubatan tajaan Mara, Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, yang meninggal awal pagi semalam di rumah sewanya, di Bandung, Indonesia selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Hulu Klang di sini, selepas solat Jumaat.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 9 pagi, terus dibawa ke Masjid Al Ridhuan, Hulu Klang untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Abang Allahyarham, Izzuddin Zainal Abidin, 24, ketika ditemui di majlis pengkebumian berkata adiknya disahkan meninggal dunia secara mengejut oleh pihak hospital di Bandung.

"Tidak ada sebarang unsur penganiayaan atau sebagainya, adik saya disahkan meninggal dunia secara mengejut pada pukul 5 pagi oleh pihak hospital," katanya.

Bapa Allahyarham, Zainal Abidin Ismail, 50, berkata, beliau mengetahui mengenai kematian anaknya itu melalui panggilan telefon oleh isterinya Maznah Abdullah, 46, ketika di Papua New Guinea.

Zainal Abidin adalah ketua bahagian IT sebuah syarikat telekomunikasi di sana.

"Lebih kurang pukul lapan malam isteri saya menelefon saya...selepas dapat panggilan saya terus balik ke Malaysia," katanya.

Menurut Zainal Abidin anaknya bercita-cita tinggi dan memang impiannya menjadi seorang doktor.

"Dari segi pelajaran memang tiada masalah, dia seorang yang rajin...lebih suka duduk rumah.

"Semasa cuti semester baru-baru ini, cuma sekali dia keluar rumah dengan kawan-kawan," katanya




"Adik makan nasi goreng sebelum ajal"

"SHAH ALAM – Remaja yang mati d:itembak polis, Aminulrasyid Amzah sempat menikmati nasi goreng terakhir dimasak kakaknya sebelum menemui ajal, April lalu.

Menurut kakaknya, Tuty Shaninza Anom Amzah, remaja itu memintanya memasak nasi goreng selepas dia sampai di rumah ibunya pada waktu senja dan ketika itu Aminulrasyid sedang membuat kerja sekolah di meja makan.

Tuty Shaninza, 36, berkata, dia memenuhi permintaan adik bongsunya dan makan bersama tiga anaknya.

Itulah kali terakhir dia melihat Aminulrasyid sebelum ke bilik tidur dan meninggalkan kunci kereta di tempat meletak kunci, tepi pintu rumah mereka.

Pakar warna itu memberi keterangan demikian, dalam kes seorang anggota polis peronda, Koperal Jenain Subi yang dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, tanpa niat di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April lalu.

Tuty Shaninza memberitahu, dia ialah pemandu kereta Proton Iswara yang terbabas itu sementara pemilik asalnya, bapa mentuanya, Mahali Ramlan.

Katanya, pada malam itu selepas mengemas meja makan dan meninggalkan kunci kereta, dia naik ke bilik tidur manakala Aminulrasyid dilihatnya menyambung membuat kerja sekolah.

Dia masuk tidur sehingga dikejutkan panggilan telefon daripada suaminya, Muzafar Mahali supaya memeriksa kereta di luar rumah kerana dimaklumkan kereta itu terbabit dengan satu kes.

Selepas itu dia memeriksa kunci kereta dan mendapatinya sudah hilang. Dia kemudian ke depan rumah, ketika itulah melihat kereta peronda polis di simpang masuk ke lorong rumahnya, Jalan Makyong 11/2G.

Dia terus ke sana dan melihat keretanya tersadai melanggar tembok putih tetapi dihalang polis daripada mendekati kenderaan itu.

“Saya tanya siapa yang pandu kereta dan di mana orang dalam kereta itu tetapi tiada respon daripada polis,” katanya.

Menurutnya, anggota polis di situ enggan memberi maklumat kepadanya walaupun didesak kerana menunggu arahan lanjut.

Tuty Shahinza berkata, dia mencari Aminulrasyid dan menghubungi telefon bimbitnya tetapi tiada jawapan.

Saksi itu memberitahu, turut cuba menghubungi rakan Aminulrasyid tetapi semuanya tidak menjawab panggilan telefonnya.

Dia menunggu sehingga pagi dan tidak mengetahui nasib Aminulrasyid sehinggalah dia dipanggil untuk mengecam mayat adiknya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) pada lewat tengahari kejadian.

Menurutnya, arwah Aminulrasyid, adik bongsu daripada lapan beradik itu seorang yang bijak dari segi akademik dan belajar dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar perihal disiplin Aminulrasyid, saksi itu memberitahu adiknya seorang yang mendengar cakap dan aktif bersukan.

Menurut Tuty Shaninza, adiknya itu kadang kala lepak di restoran mamak berhampiran kawasan perumahan itu untuk menonton perlawanan bola sepak.

Dia memberitahu, sepanjang pengetahuannya Aminulrasyid tidak tahu memandu kereta.

Bagaimanapun cadang peguam Salim Bashir, dia gagal menilai sikap sebenar adiknya kerana jarang bermalam di rumah ibunya, malah tidak tahu kegiatan Aminulrasyid waktu malam




Bekas penyampai berita RTM fail cerai fasakh


KUALA LUMPUR – Seorang bekas penyampai berita Rangkaian Television Malaysia (RTM) berbangsa Cina memfailkan cerai fasakh terhadap suaminya di Mahkamah Syariah, di sini semalam.

Ter Ai Chin, 55, atau nama Islamnya Khairul Nisa Ter Abdullah memfailkan cerai fasakh terhadap Ahmad Abdullah, 62, seorang jutawan yang dulunya adalah Pengarah Phileo Allied Bank.

Ai Chin hadir kira-kira jam 12 tengahari dengan berbaju kurung biru gelap dan bertudung hitam dengan ditemani peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakilinya.

Dia bersama Mohd Zaidi kemudiannya memfailkan di kaunter pendaftaran dengan menamakan suaminya, sebagai defendan.

Ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah, Mohd Zaidi memberitahu permohonan itu mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam 1987.

Mereka pernah bernikah di Narathiwat pada 10 Jun 1986 dan bernikah semula mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara wali hakim.

Ai Chin bertindak memfailkan fasakh ke atas suaminya akibat krisis rumahtangga yang berpanjangan sehingga sudah tawar hati untuk meneruskan ikatan perkahwinan yang terjalin selama 25 tahun itu.

“Sejak dari awal perkahwinan lagi kehidupan kami tidak mesra kerana sering berlaku pergaduhan akibat sikap suami yang tidak berlaku adil kepada saya sebagai isteri kedua dan sering menyakiti saya secara fizikal tanpa sebab yang munasabah sehingga menyebabkan kecederaan kepada tubuh badan saya,” katanya setelah selesai memfailkan kes fasakh itu.

Menurutnya, perbuatan defendan memberi kesan negatif kepada akal fikiran dan maruah plantif sebagai seorang isteri, anggota masyarakat dan penyampai berita di mana penampilannya sering menjadi perhatian ramai.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata yang masing-masing berusia 20 dan 21.

Kes Ter Ai Chin, akan didengar pada 10 November ini




Mek hidup dalam belukar

MALIM NAWAR - Di sebalik kepesatan pembangunan ekonomi di sana sini, masih ada insan hidup dengan penuh kedaifan dan tinggal di kawasan belukar berhampiran Jalan Tanjung Tualang.

Sukar dipercayai, namun itulah hakikat kehidupan dilalui seorang lelaki warga emas yang hanya dikenali sebagai Mek.

Berdasarkan catatan pada secebis kertas dan kad rawatan hospital miliknya, Mek dipercayai telah berusia 85 tahun dan tinggal berseorangan di kawasan belukar itu sejak beberapa tahun lalu.

Mek juga mendakwa, dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan lain, selain cebisan kertas bersama kad rawatan harian dengan nombor 467214 tertera sebagai nombor kad pengenalannya yang hilang.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan ‘kediaman’ Mek mendapati warga emas ini sekadar tinggal di sebuah pondok yang dibina dari bahan terbuang, selain tidak mempunyai sebarang kemudahan bekalan air serta elektrik.

Tambah memilukan apabila ditanya dari mana dia memperoleh bekalan air, Mek berkata, dia hanya menadah air hujan.

“Saya tadah ayor (air) hujan masa (ketika) hujan lebat sebab mana nak cari ayor kat kawasan ini.

"Bila malam saya pasang pelita. Beras ada orang bagi, saya masak. Daging ni saya beli di market (pasar) tu. Nak minum masak ayor, tu gula ada, susu ada,” katanya kepada Sinar Harian yang mengunjunginya di sini.

Berdasarkan perbualan dengan Mek, difahamkan warga emas tersebut pernah bekerja dengan sebuah syarikat kapal korek di sini, suatu ketika dahulu.

Sementara itu, kisah kehidupan Mek ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh yang sempat meluangkan masa melihat keadaan Mek.

Keshvinder berkata, pihaknya akan berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak bagi menyegerakan proses mendapatkan kad pengenalan, selain menyediakan rumah untuk Mek.

“Kes Mek ini adalah yang pertama bagi Program Jom Cari yang dilancarkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar tidak lama dahulu.

“Program tersebut dilancarkan bagi mencari, mengenal pasti dan seterusnya membantu individu serta keluarga yang hidup dalam serba kekurangan seperti kes Mek," katanya.

Menurutnya, program ini akan berterusan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes seumpama ini khususnya di Malim Nawar diminta menghubungi DUN Malim Nawar untuk tindakan selanjutnya

No comments:

Post a Comment