Wednesday, October 20, 2010

KITA MERANCANG...ALLAH YANG MENENTUKAN....BERTAKWALAH

Lari tak mahu nikah

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

PUJUK...Rozaliya ditenangkan Mat Lazim pada sidang akhbar 

di IPD Kuantan, malamtadi.
PUJUK...Rozaliya ditenangkan Mat Lazim pada sidang akhbar di IPD Kuantan, malamtadi.
KUANTAN: “Jika dia (Rozaliya) setuju, perkahwinan mereka akan dibatalkan,” kata Mat Lazim Mat Ismail, 52, bapa kepada Rozaliya, 20, bakal pengantin yang dilaporkan hilang pada 13 Oktober lalu ketika membeli persiapan perkahwinan bersama tunangnya di Pasar Besar Kuantan, di sini.
Menurut Mat Lazim, punca anak perempuannya melarikan diri dipercayai kerana tidak mahu meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, selepas hubungan mereka berdepan masalah kira-kira setahun lalu.

“Anak saya memaklumkan mereka sudah tidak sehaluan dan Mohd Helmi dikatakan mulai berubah sikap

“Dia memberitahu tunangnya itu bertukar menjadi panas baran, suka mengongkong dan susah diajak ke mana-mana selepas mereka mengikat pertunangan, berbeza ketika mereka masih berkawan dulu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.

Terdahulu, Rozaliya ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, selepas dikatakan dua hari bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan berkenaan.

Difahamkan, penyelia kedai berkenaan memaklumkan perkara itu kepada polis selepas wajah dan berita kehilangan gadis terbabit terpampang dalam akhbar sebelum dia dibawa anggota polis ke IPD Kuantan malam tadi untuk diserahkan kepada keluarganya.

Ketika sidang media di IPD Kuantan, Rozaliya turut hadir, tetapi enggan memberikan sebarang ulasan, sebaliknya lebih banyak tunduk dan menutup mukanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rozaliya, 20, seorang jurujual di kedai menjual telefon milik bapa saudaranya di Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu dilaporkan hilang sejak 13 Oktober lalu.

Sebelum kejadian itu, dia dikatakan keluar dari rumah keluarganya di Bandar Cheneh Baru dengan berpakaian blaus hitam dan seluar denim gelap bersama tunangnya, kira-kira jam 11 pagi untuk membeli persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 12 November depan.

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan di sini, tunang wanita itu bergegas pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana perlu menyelesaikan urusan penting dan berjanji menemui Rozaliya, kira-kira jam 3 petang hari sama.

Bagaimanapun, Mohd Helmi gagal menemui Rozaliya di tempat dijanjikan dan terus mencarinya hingga jam 6 petang sebelum menghubungi keluarga wanita itu.

Kelmarin, akhbar melaporkan ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, sebagai berkata dia mengesyaki ada yang tidak kena dalam perhubungan anaknya dan Mohd Helmi.

Wanita itu mendakwa, Rozaliya pernah berhasrat memutuskan pertunangannya.

Semalam, akhbar melaporkan Mohd Helmi tampil di IPD Kuantan untuk menafikan andaian dia terbabit dalam kehilangan tunangnya itu.

Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, turut menafikan anaknya membawa lari dan menyembunyikan Rozaliya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berharap kedua-dua pihak mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan masalah itu.

“Siasatan mendapati kejadian ini bebas unsur jenayah dan lebih kepada masalah peribadi atau keluarga,” katanya sambil memaklumkan polis turut mengambil keterangan Rozaliya selepas ini bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangannya.

Sementara itu, Mohd Helmi ketika ditemui selepas sidang media sama berkata, sebelum ini, dia begitu menyayangi Rozaliya, namun selepas kejadian itu, hatinya sudah tawar.

“Saya maafkan perbuatannya dan biarlah takdir menentukan nasib kami,” katanya.



Anak marah bakar rumah



MUSNAH...rumah dan kereta hangus dalam kebakaran di Lorong Mat Saman, malam kelmarin
MUSNAH...rumah dan kereta hangus dalam kebakaran di Lorong Mat Saman, malam kelmarin
ALOR SETAR: “Saya terpaksa buat laporan polis kerana bimbang anak saya ugut nak bakar diri dan rumah ini,” kata Khua Ai Git, 56, ibu kepada Tan Chee Leng, 32, yang dipercayai kurang siuman dan bertindak membakar rumahnya selepas bergaduh dengan adiknya dalam satu kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah dan kereta di Lorong Mat Saman, Seberang Perak, malam kelmarin.
Khua berkata, pergaduhan itu bermula jam 4 petang antara Tan dengan adik lelakinya tanpa diketahui puncanya.

“Saya takut kerana anak saya ada sakit mental...dia ugut nak bakar diri dia dan rumah ini. Saya buat laporan polis kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku


“Selepas membuat laporan, anggota polis datang rumah memujuk anak saya, manakala saya pula berada di balai polis kerana bimbang pulang ke rumah,” katanya

Berikutan laporan itu, empat anggota polis ke rumah berkenaan memujuk dan mententeramkan keadaan, namun lelaki itu berkeras dan mengurung diri dalam rumahnya.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8 malam, lelaki itu membakar bahagian dalam rumahnya menyebabkan kebakaran kecil berlaku dan api tidak dapat dikawal serta merebak dengan pantas apabila dia dikatakan menyimbahcecair dipercayai petrol.

Difahamkan apabila mendapati api marak, lelaki itu melarikan diri mengikut pintu belakang.

Sementara itu, Khua berkata, beliau dihubungi adiknya memberitahu rumahnya dan dua rumah jiran mereka termasuk kereta terbakar.

“Saya bergegas pulang ke rumah kerana terlalu risau dengan kejadian itu apatah lagi kedua-dua anak saya sedang bergaduh.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barang kerana ketika saya sampai di rumah, api marak dan kereta di hadapan rumah saya terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Idris Maidin, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada jam 8.29 malam dan 24 anggota bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan api.

Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dan siasatan menemui dua bekas mengandungi cecair mudah terbakar yang digunakan lelaki kurang siuman itu untuk membakar rumahnya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, mengesahkan suspek ditahan ketika menerima rawatan di hospital tidak lama selepas melarikan diri dari rumah dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment