Friday, March 11, 2011

BILA ALLAH MENUNJUKKAN KEHEBATANNYA...TAPI MANUSIA TAK MAU BERFIKIR DAN MUDAH LUPA...HENTILAH KERJA2 MAKSIAT DAN MENIPU







Tsunami Jepun berlaku selepas saintis beri amaran


OMBAK tsunami melanda pantai di Iwanuma, utara Jepun semalam.

LONDON - Tsunami yang melanda pantai timur Jepun berlaku dua hari selepas beberapa saintis memberi amaran mengenai pergerakan bulan yang boleh menyebabkan bencana alam di Bumi, lapor sebuah akhbar semalam.
Pergerakan bulan itu yang digelar adi bulan, diramalkan berlaku pada 19 Mac ini apabila bulan berada paling rapat dengan Bumi sejak tahun 1992.
Ketika itu, jarak bulan dan Bumi sekitar 354,507 kilometer berbanding 384,403 kilometer pada hari-hari biasa.
Pada kedudukan tersebut, daya graviti bulan adalah sangat kuat dan dikhuatiri boleh mencetuskan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi. Ahli astronomi Amerika Syarikat (AS) Richard Nolle percaya pergerakan bulan itu mencetuskan bencana di Bumi.
"Fenomena itu memiliki kaitan sejarah dengan ribut kencang, air pasang besar dan gempa bumi," katanya dalam satu wawancara dengan stesen ABC minggu ini.
Fenomena itu pernah berlaku pada 1955, 1974, 1992 dan 2005. Bencana tsunami yang menyebabkan 200,000 orang di Indonesia terbunuh itu melanda dua minggu sebelum fenomena bulan berada dekat dengan Bumi pada Januari 2005. - Agensi

10,000 penduduk berkeliaran di Tokyo


RATUSAN orang menunggu untuk menggunakan perkhidmatan awam di Tokyo, Jepun selepas gempa bumi kuat melanda timur laut negara itu semalam.

TOKYO - Lebih 10,000 penduduk kelihatan berkeliaran di jalan-jalan raya di Tokyo atau mengambil keputusan tinggal di pejabat atau stesen kereta api akibat gempa bumi terkuat yang melanda Jepun dalam sejarah moden negara itu semalam.
Gegaran pada ukuran 8.9 skala Richter itu menggegarkan pantai timur laut Jepun mengakibat berjuta-juta rumah di seluruh Jepun bergelap, rangkaian telekomunikasi ditutup dan sistem kereta api dihentikan serta-merta menyebabkan 10 juta rakyat Jepun terkandas. Seorang pekerja restoran, Akira Tanaka, 54 merupakan antara orang awam yang mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke rumahnya yang terletak di pinggir bandar, Saitama, 20 kilometer ke utara Jepun.
Dia mengakui tidak pernah melakukan perkara tersebut (berjalan kaki pulang ke rumah) sebelum ini.
"Saya sudah berjalan selama sejam dan 10 minit dan masih memerlukan tiga jam lagi untuk sampai. Gempa bumi seperti ini akan berlaku setiap 100 tahun," katanya.
Talian telefon sesak sekali gus menghalang sebarang panggilan dibuat termasuk khidmat pesanan ringkas.
Kegagalan menggunakan telefon bimbit menyebabkan orang ramai berbaris panjang untuk menggunakan telefon awam yang pada kebiasaannya lenggang.
Syarikat telekomunikasi Jepun, Nippon Telegraph dan Telephone Corp. menyediakan talian telefon untuk kecemasan dan laman web Internet untuk pengguna memberi mesej kepada keluarga.
Menurut East Japan Railways Co., perkhidmatan kereta api komuter Tokyo, kereta api bawah tanah dan kereta api had laju tinggi dihentikan, kereta api bawah tanah kembali beroperasi selepas enam jam perkhidmatan ia dihentikan. - AP

Kereta api penumpang ghaib



ROSAK TERUK...kapal nelayan dan kereta terapung-apung di Pelabuhan Onamaha di Iwaki, Fukushima, selepas dihanyutkan ombak besar, semalam.
ROSAK TERUK...kapal nelayan dan kereta terapung-apung di Pelabuhan Onamaha di Iwaki, Fukushima, selepas dihanyutkan ombak besar, semalam.
TOKYO: Sebuah kereta api yang membawa penumpang masih gagal dikesan selepas hilang ketika gempa bumi melanda timur laut Jepun, semalam.
Menurut sumber, kereta api itu melalui kawasan pantai Jepun apabila ia gagal dikesan.
Memetik sumber polis, agensi berita Kyodo melaporkan, kereta api penumpang itu dikendalikan Syarikat East Japan Railway.
Ketika kejadian, kereta api itu berada berhampiran stesen Nobiru di landasan menghubungkan Sendai dengan Ishinomaki.
Sementara itu, polis Jepun berkata, pihak berkuasa menemui 200 hingga 300 mayat di kawasan pantai timur laut negara itu selepas kawasan berkenaan dilanda tsunami, semalam.
Sumber berkata, kebanyakan mayat itu ditemui di Sendai, bandar utama paling hampir dengan pusat gempa bumi petang semalam.
Gempa sekuat 8.9 magnitud itu mencetuskan tsunami sehingga 10 meter, diikuti lebih 50 gegaran susulan selama beberapa jam.
Kebanyakan gegaran susulan itu sekuat lebih 6.0 magnitud.
Berpuluh-puluh bandar dan perkampungan di sepanjang 2,100 kilometer di timur negara itu turut merasai gegaran berkenaan.

Kesan gempa turut dirasai di Tokyo yang terletak beratus-ratus kilometer dari pusat gegaran.

Sebelum ini, polis mengesahkan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan 56 lagi hilang.

Bagaimanapun, jumlah sebenar korban dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa apabila kerja-kerja mengesan dan menyelamat dilaksanakan sepenuhnya. - AP

2,000 penduduk diarah pindah



TOKYO: Pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada 2,000 penduduk yang menetap berhampiran loji nuklear Fukushima supaya meninggalkan kawasan itu, semalam.
Pentadbir wilayah Fukushima mengeluarkan arahan itu kepada semua penduduk yang tinggal dalam kawasan dua kilometer dari reaktor dimiliki syarikat elektrik Tokyo itu.

Terdahulu, kerajaan mengisytiharkan darurat apabila loji berkenaan terbakar kerana gempa bumi.
Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang kebocoran radiasi dikesan. Perdana Menteri, Naoto Kan, berkata dia mengisytiharkan darurat bagi membolehkan pihak berkuasa melaksanakan segala langkah perlu menyelamatkan mangsa gempa.

Terdahulu, Kan berkata, tiada kebocoran radiasi dikesan walaupun kemudahan itu turut digegarkan dengan gempa bumi.

Sementara itu, Tentera Laut Amerika Syarikat berkata, semua kapal serta kemudahan ketenteraannya di Jepun tidak mengalami ‘kerosakan besar’.

Pulau boleh ditenggelamkan

GENEVA 11 Mac - Tsunami besar yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat di Jepun hari ini mencecah paras yang boleh menenggelamkan sesetengah pulau di kawasan Pasifik.
Negara membangun menghadapi risiko lebih besar daripada tsunami itu berbanding Jepun, meskipun kebanyakannya telah memantapkan sistem amaran awal dan pelan pemindahan sejak tsunami 2004, menurut Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) hari ini.
"Paling membimbangkan kami ialah rantau Asia Pasifik, di mana negara membangun jauh lebih terdedah kepada bencana seumpama ini dan tsunami itu menimbulkan ancaman besar.
"Buat masa ini parasnya lebih tinggi daripada sesetengah pulau dan pulau itu boleh tenggelam, satu senario yang tidak mahu dilihat oleh sesiapa pun," kata jurucakap IFRC, Paul Conneally di Geneva hari ini.
IFRC menggunakan sistem amaran awalnya di negara-negara Asia Pasifik hari ini dalam usaha untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat selepas amaran tsunami dikeluarkan.
"Masih ada masa tetapi tidak banyak dan laporan disebarkan. Perkara utama ialah keselamatan," kata jurucakap IFRC dari habnya di Kuala Lumpur, Patrick Fuller menerusi telefon.
Lebih 226,000 penduduk di 11 negara Asia terkorban dalam tsunami 2004.
Gempa bumi terbesar yang melanda Jepun dalam tempoh 140 tahun menggegarkan pantai timur lautnya hari ini, mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter.
Semua Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah kebangsaan di rantau ini termasuk di Filipina, Papua New Guinea dan Pulau-Pulau Pasifik dikerahkan untuk membantu penduduk masing-masing, menurut IFRC, rangkaian bantuan bencana terbesar di dunia. - Reuters/dpa

Loji nuklear, loji minyak, lapangan terbang ditutup

RUMAH-RUMAH dibawa arus ke laut dan ada yang terbakar selepas tsunami dan gempa bumi melanda bandar Natori, Miyagi, Jepun, semalam. - REUTERS


TOKYO 11 Mac - Beberapa loji tenaga nuklear dan penapis minyak di Jepun ditutup hari ini dan sebuah kilang utama keluli terbakar selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter menggegarkan negara ini sehingga mencetuskan tsunami, merosakkan jalan dan memutuskan bekalan elektrik ke kediaman dan bangunan perniagaan.
Gergasi elektronik, Sony Corp, antara pengeksport terbesar di Jepun, menutup enam buah kilang, lapor agensi berita Kyodo, sementara jet tentera udara diterbangkan ke kawasan pantai di timur laut untuk meninjau tahap kerosakan akibat gempa bumi itu.
Bank of Japan yang telah bergelut untuk merangsang ekonomi yang lesu berjanji untuk berusaha sedaya upaya bagi memastikan kestabilan pasaran kewangan berikutan kejatuhan mata wang yen dan pasaran saham Jepun.
"Terdapat kilang-kilang kereta dan semikonduktor di utara Jepun, kerana itu ekonomi sedikit sebanyak akan terjejas disebabkan kerosakan kilang," kata pakar ekonomi di Institut Penyelidikan Mizuho di Tokyo, Yasuo Yamamoto.
Syarikat tenaga, Hokuriku Electric Co berkata, ketiga-tiga reaktor di loji nuklearnya di Onagawa, utara Jepun tutup secara automatik selepas gempa bumi itu tetapi tiada kebocoran nuklear dilaporkan.
JX Nippon Oil & Energy Corp menghentikan operasi di tiga loji penapis minyak di Sendai, Kashima dan Negishi, manakala Electric Power Development (J-Power) juga menutup operasi di loji kuasa haba di Yokohama, lapor Jiji News.
Stesen televisyen melaporkan satu kebakaran besar di loji penapis minyak Cosmo Oil Co. di Chiba, ke timur Tokyo.
Satu lagi kebakaran dilaporkan di kilang keluli JFE Holdings, juga di Chiba. JFE ialah pengeluar keluli kelima terbesar di dunia.
Dua buah lapangan terbang utama Jepun, Narita dan Haneda turut ditutup selepas gempa bumi kuat melanda negara ini, sekali gus menyebabkan keadaan huru-hara di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.
Selepas menyusut sedikit pada suku terakhir tahun lepas, ekonomi Jepun dijangka berkembang semula pada awal 2011 dengan peningkatan eksport dan pengeluaran industri, tetapi gempa bumi itu menimbulkan kemungkinan banyak sektor perniagaan utama terjejas teruk sekurang-kurangnya dalam jangka pendek. - Reuters

300 terkorban



pix_middle
TOKYO: Gempa paling kuat melanda Jepun semalam membentuk tsunami setinggi 10 meter dan menghanyutkan rumah serta menolak kapal ke darat.
Bencana terburuk dalam tempoh 300 tahun di Jepun itu turut mencetuskan kebakaran, termasuk di sebuah loji nuklear.
Sehingga malam tadi, sekurang-kurangnya 300 orang disenaraikan sebagai maut atau hilang akibat gempa bumi sekuat 8.9 magnitud itu.

Pakar seismologi Amerika Syarikat (AS) dan Jepun berkata, kejadian semalam adalah gegaran kelima paling dahsyat di seluruh dunia sejak 1900 atau yang ketujuh dalam sejarah.


Laporan menyatakan, ombak besar tercipta di Lautan Pasifik menghanyutkan sebuah kapal Jepun membawa 100 orang.


Lebih 300 rumah di bandar Ofunato turut musnah sama sekali.

Ombak besar juga memusnahkan apa saja yang ada di laluannya, termasuk kapal kontena, kenderaan dan ladang.

Kerajaan berkata, gempa yang dapat dirasakan sehingga ke Beijing itu menyebabkan kerosakan besar-besaran.

Di Sendai, imej televisyen menunjukkan ombak berlumpur bergerak ke darat pada kelajuan tinggi dan memusnahkan kawasan kediaman berhampiran Sungai Natori.

Pegawai kerajaan tempatan di Miyagi, Ken Hoshi berkata, dia tidak pernah melihat bencana seburuk itu.

Di Tokyo, sejumlah kecederaan dilaporkan apabila bumbung bangunan dewan runtuh ketika majlis penganugerahan ijazah berlangsung.

Di ibu negara Jepun itu juga, asap dilihat berkepul-kepul di sekurang-kurangnya 10 lokasi ketika penduduknya mengalami gangguan elektrik.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami menyeluruh sehingga ke Amerika Selatan, New Zealand dan Hawaii, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan orang ramai menjauhi pantai.

Pertubuhan Palang Merah pula mengingatkan, tsunami di antara empat dan 10 meter boleh menenggelamkan sebahagian daripada pulau yang ada di laluan ombak itu.

Sementara itu, kerajaan berkata, tiada sebarang kebocoran radiasi dikesan di loji nuklear di Onagawa walaupun ia terbakar.

Gempa pertama berlaku hanya kurang dari 400 meter ke timur laut Tokyo, diikuti lebih 40 gegaran susulan.

Satu daripadanya sekuat 7.1 magnitud.

Seorang pegawai kerajaan tempatan di Kurihara, Miyagi, berkata gegaran itu sangat kuat sehingga pekerja di situ terpaksa berpaut untuk mengelak daripada jatuh.

“Kami tak boleh keluar dari bangunan dengan segera kerana gegaran itu berterusan,” katanya.

Perdana Menteri, Naoto Kan, mengadakan mesyuarat tergempar sejurus selepas bencana itu berlaku dan kerajaan menghantar kapal tentera ke Miyagi untuk memberikan bantuan.

Gempa bumi itu berlaku pada jam 2.46 petang (1.46 petang waktu Malaysia) selama dua minit.

Bencana itu turut menyebabkan indeks pasaran saham Nikkei merudum, manakala nilai mata wang yen berbanding dolar AS terjejas teruk. - AFP

No comments:

Post a Comment