Sunday, March 6, 2011

RUMAH PEMIMPIN BESAR2 ...MEWAH2....RAKYAT SEBESAR REBAN AYAM....MEMBELA RAKYAT KER...

Mati diserang gajah

Laporan dan foto RAMLI IBRAHIM
metahad@hmetro.com.my

MAUT... mayat mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian.
MAUT... mayat mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian.
GUA MUSANG: Cubaan seorang pemilik kebun getah menghalau sekumpulan enam gajah liar yang memasuki kebunnya menggunakan mercun bola berakhir dengan tragedi apabila dia ‘mati terduduk’ selepas diserang seekor daripada gajah itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang di Kampung Serian Batu 11, di sini, kelmarin, Lee Mat Hassan, 46, dikatakan sempat menghubungi ahli keluarganya sebelum ditemui mati oleh abangnya, Che Mohd Zi, 52, dalam keadaan terduduk di sebatang pokok dan cedera parah di kepala, pada jam 2.30 petang.

Ini kejadian kedua membabitkan tragedi serangan gajah dalam tempoh tiga bulan selepas seorang pemuda, Muhamad Adnan Iberahim, 26, menemui ajal apabila dipijak sekumpulan gajah liar di Hutan Bering, dekat Pos Pasik, di sini, ketika mencari buah keranji bersama empat rakannya, Disember lalu.

Menurut Che, ketika kejadian, adiknya yang menetap di Kampung Kala, di sini, ke kebun getah miliknya bersama seorang rakan untuk meracun semak sebelum terserempak dengan sekumpulan enam gajah liar, termasuk seekor ibu gajah bersama anaknya, memasuki kebunnya.


Katanya, adiknya cuba menghalau kumpulan gajah berkenaan menggunakan sebiji mercun bola dengan melemparnya ke arah seekor anak gajah, tetapi tindakan itu membuatkan ibu anak gajah itu naik minyak lalu menyerangnya.

“Rakannya sempat melarikan diri, tetapi adik saya tidak sempat berbuat apa-apa. Ibu gajah itu dikatakan mencengkam adik saya menggunakan belalai sebelum menghumbannya ke arah sebatang pokok.

“Adik saya dikatakan sempat menghubungi ahli keluarganya, namun panggilan dibuat tidak berjawab. Saya bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu rakannya yang berjaya menyelamatkan diri dan menemuinya dalam keadaan cedera parah di kepala, manakala tangannya menutup muka yang lebam di sebatang pokok,” katanya.

Che berkata, dia turut hampir menjadi mangsa serangan gajah kerana ketika tiba di tempat kejadian, ibu gajah itu masih berlegar-legar di situ bersama anaknya.

“Saya memang nampak gajah dua beranak itu berada tidak jauh dari mayat adik saya, namun tidak menyangka ia masih naik minyak dan cuba menyerang saya. Dalam keadaan kelam kabut, saya sempat menyelamatkan diri.

“Saya hanya sempat menutup mayat Lee dengan baju yang saya pakai sebelum melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Kehidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gua Musang,” katanya.

Sepasukan lima anggota jabatan itu diketuai Ketua Perhilitan Daerah Gua Musang, Nor Eliana Muda bergegas ke tempat kejadian pada jam 2.45 petang untuk menghalau gajah berkenaan sebelum membawa mayat mangsa keluar jam 5.30 petang.

Menurut Che, adiknya memang kerap ke kebun getah untuk mengawasinya daripada dimusnahkan sekumpulan gajah yang kerap memasuki kawasan berkenaan.

Katanya, tahun lalu saja banyak pokok getah milik adiknya yang baru berusia tiga tahun musnah angkara gajah.

“Adik saya pernah pergi bersendirian ke kebun getahnya pada jam 4 pagi untuk menghalau sekumpulan gajah kerana tidak mahu menanggung kerugian berulang kali.

“Tak sangka pula dia diserang gajah sehingga menemui ajalnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya lewat malam kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kala, pagi semalam.



Bongkar sindiket kitar semula minyak masak



KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membongkar satu sindiket mengitar semula minyak masak yang sudah diguna sebelum dijual semula kepada orang ramai di pasaran tempatan, kelmarin.
Kerja jahat sindiket yang didalangi dua warga tempatan berusia 30-an dan 40-an itu dibongkar oleh KPDNKK Putrajaya melalui ‘Ops Goreng’ dan serbuan ke atas sebuah premis haram di Pandamaran, di sini.

Dalam serbuan 5.30 petang itu, hampir 40,000 kilogram minyak masak bernilai kira-kira RM200,000 dirampas.
Seramai sembilan pegawai dan anggota KPDNKK Putrajaya diketuai Ketua Operasi KPDNKK Putrajaya, Hashim Daud.

Malah ketika serbuan, seorang daripada lelaki terbabit memecut laju lorinya sejauh hampir lapan kilometer sebelum berjaya dipintas.

Hashim berkata, hasil siasatan mendapati sindiket terbabit akan mengambil atau membeli minyak masak yang sudah digunakan dari restoran dan hotel di sekitar Lembah Klang sebelum ia dicampur dengan minyak masak baru.

“Minyak masak ini kemudian dibungkus seperti minyak masak baru dan dijual di pasaran.

“Pengguna biasanya tidak dapat membezakan sama ada minyak masak yang mereka beli itu baru atau sebaliknya,” katanya di sini, semalam.

Sindiket terbabit dipercayai bergerak aktif sejak dua tahun lalu dan kejayaan itu hasil maklumat awam sebelum KPNDKK Putrajaya membuat risikan hampir dua minggu lalu.

Hashim berkata, 40,000 kilogram minyak masak yang dirampas itu boleh dibungkus sekurang-kurangnya sebanyak 40,000 paket minyak masak dan jika ia dijual, sindiket terbabit mampu memperoleh pendapatan lumayan.

Menurutnya, pihaknya juga akan menyiasat pembekal minyak masak kitar semula itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang didapati menyeleweng.

“Ini satu kejayaan kepada KPDNKK dan kami akan terus melakukan pemantauan bagi mengelak pengguna daripada tertipu,” katanya sambil menambah, minyak masak itu dirampas untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 bagi individu manakala syarikat sehingga RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.


Kejutan buat isteri



PENAMPANG: “Suami pernah membawa seorang gadis belasan tahun dan mendakwa kenalannya, namun daripada apa yang saya ketahui, perempuan terbabit adalah pekerja kafe siber,” kata seorang wanita dikenali sebagai Ema, menceritakan sikap suaminya yang suka berjudi dan melanggan pelacur.
Menurut isteri berusia 30 tahun itu, suaminya sering menghabiskan wang di kafe siber yang menawarkan perkhidmatan judi kepada pelanggan.

“Pada awalnya suami hanya berjudi, namun lama kelamaan dia mula melanggan beberapa pelacur, termasuk pernah membawa pulang gadis penjaga kafe siber pulang ke rumah,” katanya.
Ibu kepada dua anak berusia tiga dan dua tahun ini berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak bekerja dan mengharapkan wang suami untuk menanggung perbelanjaan keluarga.

“Ada kalanya saya bersama anak hanya makan nasi kosong bersama air suam selain sering bergelap kerana bekalan elektrik dipotong berikutan kegagalan suami menjelaskan bil. Saya turut dipukul apabila menegur perbuatannya yang sering berjudi,” katanya.

Ema berkata, dia tidak tahan lagi dengan kelakuan suaminya tetapi terpaksa menelan kesengsaraan demi masa depan anak.

“Saya berkahwin dengan suami atas dasar cinta pada 2006 dan pada awal perkahwinan, rumah tangga dibina sentiasa bahagia.

“Bagaimanapun, suami mula berubah apabila terbabit dengan aktiviti perjudian dan keadaan bertambah teruk setiap kali dia (suami) kalah berjudi.

“Jika kalah, saya menjadi tempatnya melepaskan kemarahan, terutama ketika meminta wang perbelanjaan untuk anak,” katanya.

Ema berkata, perbuatan suaminya melanggan pelacur terbongkar apabila melihat kesan ‘gigitan cinta’ di leher suami.

“Mungkin disebabkan terlalu kemaruk, suami pernah membawa seorang gadis kafe pulang ke rumah kami tanpa mempedulikan perasaan saya dan anak.

“Luluh hati saya melihat sikap suami yang sanggup menduakan saya secara terang-terangan,” katanya.

Ema berkata, disebabkan enggan bergantung kepada suami, dia kini mula mencari wang saku tambahan, termasuk dengan membantu menjual kuih.

“Walaupun tidak seberapa, wang yang diperoleh cukup untuk perbelanjaan dapur dan kelengkapan anak.

“Saya sudah lama bersabar dengan sikap suami dan tidak segan menceritakan masalah dialami kepada umum sebagai pengajaran kepada orang ramai dan masyarakat,” katanya.

Ema turut menasihati gadis di luar sana supaya tidak berkahwin dengan lelaki yang gemar berjudi bagi mengelak masalah sama seperti dialaminya.

“Bagi isteri pula, mereka perlu memantau kegiatan suami, terutama jika mendapati dia sering pulang lewat ke rumah dan kelihatan resah,” katanya.


Polis belum terima aduan



PENAMPANG: Polis tidak menafikan wujud kegiatan khidmat seks di beberapa kafe siber haram dan akan mengambil tindakan tegas, termasuk menyeret mereka yang didapati melakukan kesalahan itu ke muka pengadilan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Madang Usat berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara itu dan akan melakukan siasatan sebaik menerima laporan.

“Jika ada aduan, polis akan menjalankan siasatan terperinci untuk membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa dan merosakkan masyarakat.
“Membuka kafe judi haram adalah kesalahan serius di sisi undang-undang, apatah lagi disertakan dengan perkhidmatan seks,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kewujudan kafe judi siber yang menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan di daerah berkenaan.

“Polis sentiasa memantau aktiviti ini dan menunggu waktu sesuai untuk menggempur semua premis terbabit secara besar-besaran.

“Malah, beberapa siri serbuan secara berterusan dilakukan di sekitar daerah ini dan kebanyakan pemiliknya dihadapkan ke mahkamah,” katanya.


Kakak, adik positif

KUALA TERENGGANU: Walaupun pernah ditangkap bersama teman lelaki selain beberapa kes membabitkan penyalahgunaan dadah yang masih dalam perbicaraan mahkamah, gadis berusia 16 tahun ini semakin liar apabila sekali lagi ditahan bersama kakaknya.
Gadis yang tercicir pelajaran sejak tingkatan satu ini didapati positif ujian awal saringan air kencing bersama kakaknya berumur 19 tahun yang bekerja sebagai pelayan kedai makan di Plaza Kuala Terengganu.

Dua beradik dari Kampung Awang Lek, Mengabang Telipot, Batu Rakit itu didapati positif ujian awal saringan air kencing jenis methamphetamine.
Kedua-duanya mengaku mengambil pil kuda berkenaan di rumah sewa mereka di Kampung Losong, tiga hari lalu selepas ditangkap dalam satu Ops Samseng Jalanan di Jalan Pantai Batu Buruk, kira-kira jam 2.15 pagi semalam.

Ketika ditahan, gadis berkenaan yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama kakaknya juga tidak memiliki lesen memandu sah, manakala kad pengenalannya dibawa seorang remaja lelaki yang mendakwa tinggal bersama gadis berkenaan 15 minit kemudian.

“Saya tidak terfikir untuk membawa kad pengenalan memandangkan saya hanya meminjam motosikal sepupu untuk membeli makanan bersama kakak disebabkan lapar.

“Saya minta maaf dan sudah telefon kawan untuk membawa kad pengenalan itu ke sini,” kata gadis berkenaan ketika dita
han anggota trafik.

Dua beradik itu kemudian dibawa ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphitamine.

Malah, kakak gadis berkenaan yang kurang pendengaran turut mendakwa hanya mengambil dadah itu bersama adiknya kira-kira tiga hari lalu di rumah sewanya di Kampung Losong bersama teman lelaki dan beberapa rakan lelaki mereka.

“Kali terakhir saya ambil pil kuda tiga hari lalu setelah diberikan adik. Saya ingatkan tidak sangkut sebab sudah tiga hari dan tidak tahu pun ia boleh lekat,” katanya ketika ditemui di Pejabat Trafik IPD Kuala Terengganu.

Mereka kini direman di lokap IPD Kuala Terengganu mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh, manakala gadis berkenaan turut dikenakan saman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu sah.

Dalam operasi empat jam bermula 12 malam yang dijalankan bahagian Trafik IPD Kuala Terengganu diketuai Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama 17 anggota, dua buah motosikal disita dan 32 saman dikeluarkan membabitkan 38 kesalahan.


Bapa gagal halang anak bunuh diri

GEORGETOWN - Tindakan bapa menghalang anak lelakinya bunuh diri gagal apabila anaknya ditemui mati dengan kecederaan teruk di kepala setelah terjun dari Tingkat 10, Flat Desa Permata, Paya Terubong, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Jurucakap polis berkata, mangsa berusia 30-an itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurutnya, motif mangsa bunuh diri masih dalam siasatan. Bagaimanapun, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, sekalipun berdasarkan siasatan awal tiada unsur jenayah dalam kes ini.

“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya.

Difahamkan, mangsa tinggal di tingkat dua flat berkenaan dipercayai menghadapi masalah tekanan jiwa, secara tiba-tiba keluar dari rumah menuju ke tingkat 10, petang semalam dan bertindak terjun bangunan.

Bapa mangsa menyedari tindakan anaknya itu mengekorinya untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, bapanya tidak sempat menghalang anaknya dari terjun bangunan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Askar Gaddafi lancar serangan berdarah baru

TRIPOLI - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan ketenteraan baru selepas gagal mengawal sebahagian besar kawasan negaranya, yang kini memasuki hari ke-18 sejak demonstrasi negara itu bermula bulan lalu, semalam.

Menurut sumber, askar Gaddafi berjaya menembusi benteng pertahanan pemberontak di bandar Az Zawiyah selepas melancarkan serangan terhadap pemberontak menggunakan senjata api.

"Kami mengharapkan bantuan dari dunia luar untuk campur tangan krisis politik negara ini tetapi mereka telah mengecewakan kami," kata seorang warga Az Zawiyah, Ahmed.

Menurutnya, bukan minyak dan gas yang dibawa keluar menjadi masalah kepada Libya tetapi jumlah nyawa manusia yang terkorban dan campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab amat diperlukan untuk membantu melindungi rakyat negara ini.

Sekurang-kurangnya 30orang terkorban dalam serangan berdarah di Libya, kelmarin, di mana kedua penyokong pro-Gaddafi dan penunjuk perasaan antikerajaan bertempur untuk merebut mengawal kawasan ini dan angka kematian semakin meningkat.

Kaji punca gejala sosial makin menular

BUKIT TUKU - Pelbagai cara dilakukan bagi mencari punca keruntuhan akhlak yang semakin membimbangkan masa kini.

Hambatan pembangunan dan pengaliran pengaruh asing antara punca permasalahan itu kian menular.

Seorang penduduk, Nurliyana Jasmin, 32, berkata, punca utama seharusnya dilihat di rumah di mana kemerosotan daripada segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga menjadi faktor penyumbang besar ke arah permasalahan ini.

“Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain, malahan ada yang jarang bersua muka dan menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa,” katanya.

“Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan dan sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakuan dan pergaulan anak mereka akan terus mendorong pada kerosakan akhlak.

Menurutnya, bim-bingan awal ibu bapa amat membantu golongan remaja mengawal diri dan kelakuan sebelum mereka terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks. 
 
Pasangan ditahan khalwat

PASIR MAS – Seorang lelaki berasal dari Terengganu, ditahan selepas dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita warga Thailand dalam sebuah kereta di tempat parkir kereta, bersebelahan pejabat agama di sini, jam 3 petang semalam.

Tindakan pasangan terbabit mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Agama Daerah Pasir Mas kerana disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita bukan muhrim.

Wartawan Sinar Harian yang kebetulan berada di lokasi terbabit mendapati lelaki berusia 30-an itu ditahan bersama pasangannya di dalam sebuah kereta dengan enjin dimatikan dan dikatakan berada di lot parkir kereta, 20 minit sebelum ditahan pihak berkuasa.

Pemeriksaan didapati wanita yang sudah bersuami itu berada di bahagian belakang kereta dengan kerusinya dijatuhkan ke bahagian belakang.

Mereka juga dikatakan berkelakuan tidak sopan dengan membuka seluar dalam wanita dan duduk di atas kerusi penumpang.

Wanita berkenaan yang berusia, 30-an, itu mendakwa, dia tidak mempunyai sebarang kaitan saudara dengan lelaki berkenaan, tetapi hanya bertemu sebelum meneruskan perjalanan ke Golok.

“Disebabkan tiada bas ke Golok buat masa ini, maka saya menumpang dia (lelaki terbabit) dan berehat di sini sebelum bertolak,” katanya.

Pasangan itu kemudiannya di bawa ke Pejabat Agama Islam Pasir Mas untuk maklumat lanjut.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 9 (1) (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 setiap seorang, atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. 
 
 
Padah hutang al long

MARANG - Akibat kesusahan hidup, seorang lelaki terpaksa berhutang dengan ah long (peminjam wang) demi kelangsungan hidup bersama ibu angkatnya.

Namun, akibat sering diburu ah long terbabit kerana gagal membayar balik pinjaman, ibu angkatnya, seorang warga emas, Wan Jarah Wan Ali, 74, terpaksa ditempatkan di rumah kebajikan demi keselamatannya sendiri.

Wan Jarah ketika ditemui di Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Bukit Payong di sini, bagaimanapun reda ditempatkan di situ, malah tidak menyalahkan anak angkatnya itu, sebaliknya bersyukur kerana dia rasa selamat tinggal di situ bersama penghuni lain yang juga mempunyai kisah hidup tersendiri.


Tidak sangka kantoi

KUALA TERENGGANU - Tidak serik! Walaupun sebelum ini pernah ditangkap bersama teman lelaki kerana penyalahgunaan dadah, malah ada lagi beberapa kes jenayah berkaitan yang masih dalam perbicaraan mahkamah, namun gadis bawah umur ini tidak pernah serik apabila sekali lagi ditahan awal pagi, semalam.

Gadis berusia 16 tahun itu yang tercicir pelajaran sejak Tingkatan Satu, ditahan bersama kakaknya, 20, dalam satu Ops Samseng Jalanan di sepanjang Jalan Pantai Batu Burok kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Ketika ditahan, gadis itu yang menunggang motosikal Honda Ex-5 bersama kakaknya didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, malah kad pengenalannya hanya berjaya ditunjukkan kira-kira 15 minit kemudian oleh seorang remaja lelaki yang mendakwa tinggal bersamanya.

Hasil pemeriksaan turut mendapati kedua-dua beradik itu yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan di Plaza Kuala Terengganu, positif ujian awal saringan air kencing jenis Methamphetamine (pil kuda).

Difahamkan, si kakak yang mengalami masalah kurang pendengaran mendakwa hanya mengambil dadah berkenaan bersama adiknya kira-kira tiga hari lalu di rumah sewa mereka di Kampung Losong bersama teman lelakinya dan tidak menyangka akan ‘kantoi’ pada hari itu.

Kedua-dua beradik ini kini direman di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah kedalam tubuh manakala gadis itu turut dikenakan saman diatas kesalahan tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Sementara itu, Ketua Ketenteraman Awam Jabatan Trafik IPD Kuala Terengganu, Asisten Superintendan (ASP) Kazahari Che Mat berkata, sejumlah 38 saman dengan 43 kesalahan dikeluarkan manakala dua motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan selama empat jam bermula 12 tengah malam dan berakhir jam 4 pagi.


Penagih punca pelbagai masalah jenayah

BENTONG – Penagih dadah menjadi antara faktor penyebab masalah jenayah meningkat di sesuatu kawasan tempat tinggal pada hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun berkata, penagih cenderung untuk melakukan jenayah seperti pecah rumah dan ragut semata-mata memenuhi keinginan mereka terhadap dadah.

Menurutnya, mereka biasanya tidak bekerja dan terpaksa melakukan kerja mudah untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

“Perbelanjaan untuk membeli dadah agak mahal menyebabkan mereka terpaksa melakukan jenayah untuk mendapatkan wang dengan segera. Oleh itu, sekiranya di sesuatu kawasan terdapat penagih dadah, segera laporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Antidadah Kebangsaan Peringkat Daerah Bentong bertempat di Dewan Tun Abdul Razak Sekolah Menengah Kebangsaan (LKTP) Lurah Bilut, dekat sini.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah, Liew Kim Choon; Pegawai Antidadah Kebangsaan (AADK), Norkhamizah Mohd Noor dan Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Abdullah Ab Hadi.

Khai Mun berkata, generasi muda terutama pelajar perlu mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala penagihan dadah.

Menurutnya, pembekal dadah akan menggunakan pelbagai taktik untuk mencari mangsa termasuk memberi dadah secara percuma pada peringkat awal sebelum menjerat mangsa apabila sudah sampai tahap ketagih dengan menjual pada harga pasaran.

“Oleh itu, pelajar perlu peka dengan keadaan ini supaya tidak menjadi mangsa. Dalam masa sama, mereka perlu bergaul dengan rakan-rakan yang baik supaya tidak terjebak dalam situasi seperti ini,” katanya.


Hilang selepas keluar ke kedai

ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri, Sudin Mohd Nor, 63, dan Sarah Abdul Hadi, 60, dari Kampung Melaka Pindah, dekat sini, merayu anak perempuan mereka, Marina, 26, yang lari dari rumah sejak 7 Februari lalu agar pulang ke pangkuan keluarga.

Sarah berkata, Marina adalah seorang ibu tunggal lari dari rumah bersama anak bongsunya, Norain Zaki, 5, pada hari Jumaat kira-kira jam 5 petang dengan memakai baju-T warna merah dan seluar hitam manakala cucunya memakai baju merah.

Menurutnya, anak ke sembilan dari sepuluh beradik itu yang baru bekerja setahu lalu sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Kelemak didakwa menjalin hubungan dengan seorang lelaki warga Nepal.

“Anak saya keluar dari rumah sehelai sepinggang dan membawa sekali anak bongsunya dengan dua pasang pakaian yang baru dibeli seminggu sebelum kehilangannya sambil menunggang motosikal jenis Honda EX-5.

“Malam sebelum kejadian, dia seperti biasa selepas makan, mengemas dan lipat baju sambil menonton televisyen, namun dia ada cakap tidak selesa duduk rumah selain asyik pegang telefon bimbit dan membalas mesej kepada seseorang,” katanya.

Beliau yang ditemani suaminya berkata, pada sebelah pagi, sebelum lari dari rumah, Marina nampak gelisah sambil mundar-mandir di dalam rumah dan seakan-akan meninjau ke arah luar.

Sarah berkata, kira-kira jam 5 petang, Marina keluar dari bilik sambil membawa Norain dengan dua pasang pakaian anaknya dibungkus dalam plastik dan bila ditanya dia cakap hendak ke kedai.

“Namun sehingga jam 9 malam, Marina tidak balik dan adik bongsunya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dijawab oleh seorang lelaki.

“Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan mengatakan Marina berada dalam keadaan selamat dan minta kami tidak melaporkan kepada pihak polis sebelum dia putuskan talian,” katanya.

Katanya, selepas tiga minggu kehilangan itu, kelibat Marina dan anaknya dilihat menunggang motosikal di hadapan Jabatan Agama Islam Melaka berhampiran Masjid Al-Azim, namun nombor pendaftaran dipalsukan.

“Bila saya dapat tahu dia ada di sana, saya terus mencarinya tetapi terlupa bawa gambarnya.

“Oleh itu, diharap Marina akan balik dan kami sedia maafkan segala kesilapan yang dilakukannya,” katanya.


Rumah sebesar reban ayam

PANTAI PRAI – Seorang warga emas di sini terpaksa mengharapkan ihsan jiran tetangga kerana hidup sebatang kara tanpa saudara mara.

Zaharah Mat Isa, 62, tidak mempunyai sebarang pekerjaan hanya bergantung hidup dengan wang yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Jiran, Rohayati Mohd Yusuff, 41, berkata, dia bersimpati dengan nasib jirannya yang tinggal sebatang kara dan menetap dalam sebuah rumah yang terlalu kecil dan hanya sebesar sebuah reban ayam.

“Makcik (Zaharah) hanya tinggal sebatang kara dan rumah yang sedang didiami sekarang hanya sebesar reban ayam, terlalu kecil, di sinilah makcik makan dan tidur, di rumahnya tiada tandas, jika mahu mandi dia terpaksa menumpang mandi di rumah jiran.

“Sebelum ini, makcik Zaharah tinggal di rumah kayu, tetapi sejak lima tahun yang lalu nasibnya mendapat perhatian golongan tertentu dan mereka membina rumah, tetapi setahu saya peruntukan yang diberikan untuk membina rumah ini adalah sebanyak RM5,000,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, jumlah yang diperuntukkan dengan hasil yang dilihat tidak dapat diterima akal kerana rumah yang dibina hanya semata-mata untuk tidur sahaja dan tiada dibina bilik air untuk mandi dan mencuci.

“Makcik terpaksa mengangkut air, malah jika hujan, rumahnya pasti dimasuki air kerana keadaan bumbung yang hanya menutup bahagian atas rumah sahaja.

“Saya ada memaklumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), namun kini, tiada sesiapa pun yang mengambil sebarang tindakan bagi membela nasib warga emas ini,” katanya.

Rohayati berkata, bukan sahaja bekalan air tiada, malah bekalan elektrik juga tiada dan untuk menerangi waktu malam Zaharah terpaksa menyalakan lilin untuk menerangi rumahnya.

“Sangat berbahaya jika lilin jatuh dan sebagainya.

“Saya berharap pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu makcik Zaharah membina rumahnya.

“Melihatkan keadaan rumahnya yang kecil tanpa kemudahan infrastruktur yang lengkap, ia menyukarkan lagi hidup warga emas ini,” katanya.


Buah tumbuh pada batang

ENDAU - Seorang warga emas terkejut selepas mendapati setandan buah pisang tumbuh di tengah batang yang ditebang tiga bulan lalu tumbuh di kediamannya di Felda Endau.

Wan Abu Bakar, 72, tergamam apabila melihat pokok pisang putar yang ditebang mempunyai buah di tengah-tengah batang sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, kejadian pelik itu disedari anak perempuan Julaiha Abu Bakar, 41 dan memaklumkan perkara berkenaan kepadanya.

“Pada mulanya saya tidak percaya selepas diberitahu oleh Julaiha, namun setelah diamati, ia betul dan pastinya saya amat terkejut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kejadian itu adalah pertama kali berlaku dalam hidupnya selepas hampir lima belas tahun menanam pisang.

“Dalam sejarah hidup saya, ini kali pertama melihat buah pisang tumbuh di tengah-tengah tanpa mempunyai jantung pisang. Ia kejadian alam unik yang berlaku pada buah pisang yang hampir masak,” katanya yang turut dikenali sebagai Pak Wan.

Sementara itu, isterinya, Timah Cik 72, memberitahu, dia juga terkejut dan menyifatkan kejadian itu sebagai menakjubkan.

No comments:

Post a Comment