Sunday, March 6, 2011

YANG MENYELAMATKANNYA IALAH ALLAH BUKAN TELEFON BIMBIT...SUJUD SYUKURLAH....BERTAUBAT SERTA BERTAQWALAH.....INGAT! ALLAH BERKUASA ATAS SEGALA SESUATU......

Lori rempuh rumah

Oleh ASMAH ROSMAN
am@hmetro.com.my

REMUK... anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu lori.
REMUK... anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu lori.
KUALA LUMPUR: “Saya terkejut kerana menyangkakan dilanda gempa bumi selepas seluruh rumah bergoyang manakala batu serta cermin bersepai. Saya yang tidur di ruang tamu ketika itu segera berlari keluar sebaik melihat lori simen terbalik di depan rumah,” kata pembantu rumah, Otiman Mundari, 43, semalam.
Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana tiada penghuni cedera atau kehilangan nyawa dalam insiden berkenaan tetapi terkejut apabila mendapat tahu pemandu lori terbabit terbunuh.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika dia tidur di sofa manakala ibu majikannya yang berusia 77 tahun di tingkat atas rumah.

Ketika itu dia tidak tahu apa hendak dilakukan kerana terlalu takut kecuali berlari mendapatkan ibu majikannya.


Metro Ahad difahamkan, ketika kejadian, lori berkenaan menuruni bukit sebelum tiba di simpang tiga berdekatan.


Selepas merempuh kenderaan di depannya, ia terbalik lalu merempuh sebuah rumah di kawasan berhampiran, menyebabkan pemandunya terperangkap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Johari Md Lazim berkata, pemandu terbabit, Ong Heng Sai, 52, terbunuh kerana cedera parah di kepala dan badan.

“Bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras untuk bedah siasat manakala pemandu Perodua Kembara yang dirempuh lori itu hanya cedera ringan,” katanya.


Bala minum air petai 'menangis'


KERATAN Kosmo! 5 Mac 2011


Oleh ZAKI SALLEHGEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan orang ramai supaya tidak meminum air yang kononnya keluar dari sebatang pokok petai 'menangis' di sini kerana ia mungkin mengandungi virus kencing tikus (leptospirosis)
Pegawai Pendidikannya, N. V. Subbarow berkata, sehubungan itu orang ramai perlu berhati-hati kerana banyak punca penyakit berjangkit disebarkan oleh binatang atau serangga termasuklah leptospirosis yang disebarkan melalui air.
Beliau berkata, tindakan meminum air berkenaan hanya mendedahkan orang ramai kepada risiko termasuk penyakit kerana tidak mengetahui punca sebenar air tersebut.


Ketua kelas patah tangan dibelasah


ANOAR menunjukkan tangan anaknya, Muhammad Shahfaly yang patah didakwa akibat dibelasah 11 pelajar di Simpang Empat, Kangar semalam.


KANGAR - Ketua kelas ini sekadar melaksanakan tugas mencatatkan nama pelajar ponteng sebagaimana kebiasaan dilakukannya setiap hari.
Namun, tindakan murninya itu kelmarin membawa padah apabila dia dibelasah oleh sekumpulan 11 pelajar samseng yang sudah lama berdendam dengannya.
Akibatnya lengan kiri pelajar itu patah, tulang bahu terseliuh manakala kening kiri turut luka dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, kira-kira pukul 11 pagi.
Muhammad Shahfaly Anoar, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi dekat sini terpaksa mengambil cuti sakit selama 11 hari akibat kejadian itu.


Lelaki kena jel 5 tahun


RUSLINA (kanan) bersama dua anaknya termanggu di jendela semalam mengenangkan nasib mereka yang tidak mempunyai rumah selepas dibakar suaminya. Mereka kini tinggal di rumah seorang saudara di Besut.


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang bertindak membakar rumah sendiri selepas naik berang ketika bertengkar dengan isterinya dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Tertuduh Maliki Mohamed @ Lee See Tee, 39, (gambar) yang hanya mampu berjalan terhenjut-henjut ke kandang mahkamah akibat melecur pada kaki kanannya membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Azman menetapkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Februari lalu.
Maliki didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana membakar rumahnya menggunakan mancis sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000 di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Setiu pada 26 Februari kira-kira pukul 12.30 tengah malam.


Penculik akhirnya terima padah

KUALA TERENGGANU – Selepas lima tahun melarikan diri, seorang lelaki yang menculik seorang kanak-kanak perempuan di Kuala Ibai dekat sini pada 2006 akhirnya ditahan di Inanam, Sabah Selasa lalu.
Juruelektrik berusia 30 tahun dari Ipoh, Perak itu ditahan di sebuah rumah di situ pada pukul 7.30 pagi 1 Mac lalu selepas polis mencarinya sejak lima tahun lalu sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa pada 22 Oktober 2006.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan, pada hari kejadian, suspek telah menculik kanak-kanak tersebut yang ketika itu berusia tiga tahun semasa suspek melakukan kerja-kerja pendawaian di rumah mangsa di Kuala Ibai dekat sini.
Katanya, ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan kanak-kanak itu hanya ditemani oleh pembantu rumahnya.
“Ahli perniagaan itu hanya menyedari anaknya telah diculik pada pukul 12 tengah hari selepas dia menerima panggilan daripada suspek yang memintanya wang tebusan RM200,000.
“Suspek kemudian membebaskan mangsa berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai dua jam kemudian selepas dia bersetuju untuk mengurangkan wang tebusan menjadi RM42,800,” katanya.
Tambahnya, bapa mangsa hanya membuat laporan lapan hari kemudian kerana mereka trauma dengan kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.
Menurut Manoharan, suspek yang telah diserahkan kepada pihaknya oleh polis Sabah kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.


Telefon bimbit jadi penyelamat


ANGGOTA bomba membersihkan luka pada kepala Khairul Rafiuddin yang diselamatkan selepas terjatuh ketika cuba mendaki bukit Gua Kelam, Padang Besar kelmarin.


PADANG BESAR - Tindakan seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang membawa telefon bimbit ketika mendaki Gua Kelam di sini ternyata berbaloi apabila alat komunikasi itu membantu pihak berkuasa mengesannya ketika dia terjatuh di dalam gua tersebut kelmarin.
Kejadian pukul 3.30 petang itu berlaku ketika Khairul Rafiuddin Isa, 26, sedang berjoging dan mendaki bukit di situ sebelum terjatuh lalu tersangkut pada sebatang pokok kecil yang tumbuh di permukaan gaung sedalam 110 meter.
Menurut pelajar tahun empat jurusan Kejuruteraan Perhubungan itu, kejadian berlaku selepas batu yang dipegang ketika mendaki bukit terlepas lalu menimpa kepalanya.
Katanya, ekoran itu, dia telah tergelongsor dari laluan pendaki dan terus tersangkut pada sebatang pokok kecil sebelum pitam seketika.
"Selepas sedar, perkara pertama saya ingat ialah menghubungi bomba dan nasib saya baik kerana talian telefon masih boleh digunakan di dalam hutan tersebut.
"Pada mulanya mereka gagal mengesan lokasi saya terjatuh tetapi selepas beberapa kali berhubung dan memberikan petunjuk, mereka akhirnya menemui saya," ceritanya yang turut mengalami luka di kepala, lengan dan bahu ketika ditemui semalam.
Tambah pelajar dari Bertam Hulu Melaka itu, dia datang ke situ bersendirian pada pukul 3 petang untuk berjoging dan mendaki bukit.
Menurut Khairul Rafiuddin, sebaik ditemui dalam keadaan keletihan pada pukul 4.30 petang, pihak bomba terpaksa menggunakan akar pokok yang ada di situ untuk menariknya naik.
"Selepas mendapati ia sukar, mereka kemudian menggunakan tali pula," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar, Halil Hassan ketika dihubungi memberitahu, seramai enam anggota terlibat dalam operasi itu dan mangsa telah diberi rawatan kecemasan oleh Unit Perubatan Bomba sejurus diselamatkan.


Lelaki bergaduh mati ditikam

KUALA LUMPUR - Seorang pengumpul besi buruk ditemui mati dengan lima kesan tikaman di badannya selepas terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki di tingkat 15, Season Tower, Jalan Changkat Thamby Dollah di sini semalam.
Kejadian pukul 6.30 pagi itu mengakibatkan Ahmad Sharif Akhbarshah, 26, mati selepas disyaki dipukul dan ditikam dengan objek tumpul dan tajam di kepala, dada, belakang badan dan kedua-dua tangannya.
Difahamkan, ketika kejadian, teman wanita mangsa turut berada di dalam bilik apartmen yang disewa sejak sebulan lalu itu. Dia kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami cedera parah apabila tangan kirinya dipukul hingga menampakkan tulang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, selepas menerima panggilan daripada pekerja apartmen berkenaan, pihaknya telah membuat siasatan dan mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk akibat dipukul dengan objek tumpul serta tajam.
"Kita masih menyiasat motif kejadian kerana semua barang berharga milik mangsa ada bersamanya dan tiada kesan pecah masuk. Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, kakak mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Bairog Barnu, 30, berkata, dia jarang bertemu dengan mangsa sejak dia berpindah ke apartmen tersebut kira-kira sebulan lalu.
"Kami jarang bertemu kerana saya tinggal di Segambut. Pada malam kejadian, dia ada beritahu hendak keluar minum dengan kawan-kawannya," ceritanya yang memberitahu mangsa menyewa apartmen itu dengan bayaran RM98 sehari atau RM3,000 sebulan.


Mahu bina muzium coklat


MOHD. KHAIRUDDIN menunjukkan coklat Fidani di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.


SHAH ALAM - DR Group Holdings Sdn. Bhd. (DR Group), pengeluar coklat eksklusif buatan tangan sepenuhnya yang terkenal dengan jenama Danson dan Fidani bercadang untuk membina muzium.
Pengurus Kanan DR Group, Mohd. Khairuddin Abdul Jalil berkata, ia bertujuan untuk para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, suri rumah dan usahawan mempelajari mengenai coklat secara menyeluruh.
Menurutnya, muzium itu akan menjadi medan promosi dan memaparkan segala usaha syarikat yang telah berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 10 tahun lalu dalam pembuatan coklat kepada orang ramai.
"Ia juga dijangka menjadi lokasi pilihan pelancong asing dan tempatan untuk melihat dengan lebih dekat lagi cara membuat coklat eksklusif buatan tangan sepenuhnya.
"Muzium ini adalah antara usaha syarikat yang akan menempatkan pusat perniagaan DR Group termasuk kilang barunya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenainya kerana ia masih lagi dalam peringkat kajian.
Selama ini. DR Group beroperasi di Glenmarie di sini dan usaha perpindahan ke lokasi terbaru itu sedang dijalankan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh dua tahun.
Mengimbau kenangan sejarah perniagaan coklat yang dimulakan dengan nama Danson itu, Mohd. Khairuddin berkata, coklat buatan syarikatnya itu mempunyai tekstur yang menarik di samping memiliki rasa lemak koko yang enak ditambah dengan bahan-bahan import dari Belgium yang turut digunakan dalam pembuatan coklat berkenaan.
"Perniagaan coklat ini dimulakan dengan jenama Danson yang terkenal dengan coklat berintikan durian.
"Selepas berada di pasaran selama lima tahun dan menjadi popular, kami telah memperkenalkan coklat Fidani bagi pelanggan daripada kumpulan berpendapatan tinggi manakala coklat berjenama Farrell bagi golongan berpendapatan pertengahan," ujarnya.
Bagaimanapun, lokasi pemasaran coklat tersebut terhad di lokasi pelancong seperti di pintu masuk utama negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, Langkawi, Kuching, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Genting Highlands.

No comments:

Post a Comment