Wednesday, March 9, 2011

BILA HUKUM ALLAH ORANG ISLAM TAK MINAT MELAKSANAKAN....ROGOL DAN ZINA LUMRAH...BIASA DAN MANUSIA ISLAM TAK TAKUT....TAK HAIRAN NEGARA BUKAN ISLAM MELARANG MEMAKAI TUDUNG...AKHIRZAMAN....YANG BAIK NAMPAK BATIL.....YANG BATIL NAK HAQ@BAIK LAGI BENAR...BERJAYALAH SYAITAN UNTUK MENYESATKAN MANUSIA....

Sorok dalam tandas

KOTA BHARU – Dua lelaki yang dikenakan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, bertindak menyorokkan diri kira-kira 20 minit dalam tandas kompleks itu, semata-mata malu dan tidak mahu wajah dirakam media.

Kedua-dua lelaki itu menutup muka menggunakan jaket lalu terus ke tandas berkenaan sebelum kembali semula ke mahkamah sama untuk menjadi saksi satu kes pengambilan pinjaman daripada bukan ahli koperasi.

Mohd Khairuddin Ibrahim, 32, dan Azam Hafizi Mustapaha, 28, bersalah kerana mengambil pinjaman daripada tujuh orang yang bukan ahli Koperasi Dinamik Malaysia Berhad berjumlah RM135,000 tanpa kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) antara Januari hingga Mei, tiga tahun lalu.

Mohd Khairuddin selaku setiausaha dan Azam Hafizi yang bertindak sebagai bendahari pertubuhan yang berlokasi di PT 1531, Tingkat 1, Persiaran KK6, Bandar Baru Kubang Kerian itu didapati menjalankan kutipan pelaburan yang dinamakan ‘Pinjaman Persahabatan’.

Mereka dituduh bersama pengerusinya, Khairul Azizi Ramli, 35, dan ahli lembaga pengarah, Haziremzi Ibrahim, 33, kerana menjalankan pinjaman yang menjanjikan pembayaran dividen 45 peratus dalam enam bulan melalui aktiviti penanaman serai tanpa kelulusan.

Mereka dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 50(e) Akta Koperasi 1993 Akta (502) iaitu kesalahan di bawah Seksyen 91(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 91(2) akta sama.

Pada prosiding yang berakhir jam 10.30 pagi itu, seorang wartawan memujuk mereka untuk keluar dari tandas berkenaan tetapi gagal.

Bagaimanapun, mereka akhirnya keluar dengan bantuan polis.

Pengakuan salah mereka diterima mahkamah dan denda dijelaskan sebelum menyambung semula perbicaraan kes sebagai saksi pendakwaan yang dijalankan Pendakwa Raya SKM, Kamarul Zaman Mohamad Buhari terhadap dua lagi tertuduh, pengerusi dan ahli lembaga pengarah pertubuhan itu.

Khairul Azizi dan Haziremzi berdepan denda sehingga RM100,000 dan jika kesalahan berterusan boleh didenda harian sebanyak RM100 setiap hari kesalahan berterusan selepas sabitan.


Janda muda dirogol bomoh veteran

KUALA TERENGGANU - Gara-gara terlalu percaya dengan kebole-han seorang ‘tok bomoh’ veteran yang kononnya mampu memulihkan kembali kasih sayang suami isteri, seorang janda muda dirogol di rumahnya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Tepoh, awal pagi kelmarin.

Kejadian bermula apabila tok bomoh, 59, dari Kampung Wakaf Tengah itu datang ke rumah mangsa, 29, kira-kira jam 10 malam kononnya untuk mengubati mangsa yang berhadapan dengan masalah rumah tangga.

Ketika kejadian, difahamkan semua ahli keluarga mangsa termasuk kedua-dua ibu bapanya berada di situ tetapi seolah-olah dipukau kerana tidak mampu berbuat apa-apa dan membiarkan sahaja mangsa bersama tok bomoh itu di dalam bilik berdua-duaan.


Pengantin baru maut

BESUT - Seorang wanita yang baru melangsungkan perkahwinan 17 hari lalu maut apabila motosikal yang diboncengnya terbabas akibat dirempuh seekor babi hutan di Kampung Padang Bual, Hulu Besut.

Dalam nahas jam 8.15 malam Jumaat lalu, pengantin baru Haslina Yaacob, 16, membonceng motosikal yang ditunggang suaminya Adam Daud, 18, dari arah Jertih ke Keruak meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan jam 7 pagi keesokkannya.

Manakala suaminya hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besut.

:Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika kejadian, mangsa dari rumah keluarga mentuanya di kampung Padang Buluh menghala ke kampung Bukit Payong, Hulu Besut.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, seekor babi hutan tiba-tiba meluru keluar dari kebun getah sebelah kanan jalan dan merempuh bahagian kanan (enjin) motosikal ditunggang Adam.

“Akibat dilanggar babi hutan itu, kenderaan mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri jalan menyebabkan mangsa dan suaminya terjatuh,” katanya.

Kamaruddin berkata, babi hutan dianggarkan berat sekitar 50 kilogram mati selepas merempuh motosikal dinaiki mangsa.

Kata beliau, keadaan ketika kejadian gelap dan kiri kanan jalan kebun getah yang dipercayai menjadi laluan babi melintas jalan.

“Mangsa berasal dari Kampung Bukit Payong tidak memakai topi keledar ketika kejadian disahkan meninggal dunia di HUSM keesokannya kerana kecederaan parah pada bahagian otaknya .

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Niat suci bawa padah

BANDAR MARANG – Hasrat ingin meringankan beban kewangan suami membawa padah akibat salah pertimbangan setelah menjadikan hasil jualan air ketum sebagai sumber rezeki.

Ahad lalu, polis menahan seorang wanita berusia 54 tahun bersama 50 bungkusan kecil air perahan daun ketum di sebuah rumah di sini.

Dengan penangkapan itu polis berjaya melumpuhkan kegiatan menjual air ketum di kampung Batangan.

Serbuan pada jam 11 pagi itu melibatkan sepasukan anggota dan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, dibuat hasil maklumat orang awam setelah rumah itu disyaki dijadikan tempat menjual air ketum.

Difahamkan rumah terbabit menjadi sarang penjualan air ketum kepada pelanggan dipercayai penagih dadah sekitar kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.

Air ketum dijual pada harga serendah RM1 bagi setiap bungkusan kecil.

Suspek dipercayai tinggal dengan suami dan empat anaknya di rumah itu, namun ketika serbuan dijalankan hanya suspek dan dua anak lelakinya berada di rumah termasuk anak sulungnya yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) berusia 40-an dan 16 tahun.

Juga difahamkan dua lagi anak lelaki suspek tiada di rumah kerana keluar menoreh getah.

Manakala suami suspek sudah dua hari tidak pulang ke rumah dan empat lagi anak suspek tidak tinggal bersamanya di rumah itu.

:Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian berkata, ketika serbuan dilakukan, hanya suspek dan anak lelakinya yang berusia 16 tahun berada di dalam rumah.

Hasil pemeriksaan di rumah itu katanya, polis berjaya merampas sebanyak 50 bungkusan kecil dipercayai berisi air daun ketum dan sebiji pil kemerah-merahan dipercayai pil kuda termasuk wang berjumlah RM30.

Menurut Ahmad Mazlan, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Wanita itu juga didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki pil kuda,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.



Empat suspek kes pekebun maut ditahan

KUALA TERENGGANU- Empat suspek yang dipercayai boleh membantu siasatan berkaitan kes seorang warga emas yang mati akibat terkena peluru di Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS), Dungun pada Ahad lalu kini direman tujuh hari bermula petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, keempat-empat suspek itu masing-masing berumur 34, 52, 58 dan 59.

“Dua daripada mereka berasal dari AMBS manakala seorang dari Felda Jengka Pahang dan seorang lagi dari Kampung Tanah Lot Binjai, Kemaman.

“Masing-masing bekerja sebagai tukang rumah, pembantu pertanian, pengawal keselamatan dan bekerja sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Keempat-empat suspek itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, menurut Manoharan, keputusan awal hasil bedah siasat mendapati mangsa, Mamat Che Ghani, 61, meninggal dunia disebabkan cedera di bahagian perut dan dada kesan tembakan.

Semalam, Sinar Harian menyiarkan seorang pekebun maut setelah bertarung nyawa beberapa jam, dipercayai terkena peluru sesat dalam kejadian di Bandar AMBS.

Mangsa dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam lapan malam untuk melihat kerbau peliharaannya di kebun, sebelum rebah kira-kira jam 10 malam setelah terkena tembakan pada bahagian perut dan disahkan meninggal dunia jam 10.45 pagi, kelmarin.

Berikutan kejadian itu, polis menahan empat lelaki berusia 34 hingga 59 tahun pada jam 1.45 pagi berhampiran kawasan kejadian.


Seperti kain buruk

KUALA TERENGGANU- :Orang ramai gempar apabila bunyi dentuman kuat yang disangka kemalangan rupa-rupanya ‘hentaman badan’ seorang lelaki dipercayai terjatuh dari bangunan Wisma Persekutuan setinggi 12 tingkat itu di sini, petang semalam.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2.15 petang dan mangsa adalah seorang lelaki berusia 28 tahun dan berasal dari Felda Jerangau Barat, Setiu.

Lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan yang tragis, dipercayai terjatuh dari tingkat 11 bangunan itu.

Menurut saksi keja-dian, Eddy Razlan Afandi Mohammad, 21, dia ternampak mangsa yang lengkap berpakaian ketika itu sudah berada di aras tiga seperti sehelai kain buruk.

“Ketika itu saya bersama adik, Mohd Azrol Alif, 18, berada di tempat letak motosikal berhampi-ran. Semasa hendak membuka topi keledar, saya ternampak mangsa yang sedang melayang seperti kain buruk ditiup kain.

“Tidak sampai beberapa saat, saya terdengar bunyi dentuman kuat dan disebabkan terlalu terkejut, saya tergamam,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, menurut adiknya, Mohd Azrol Alif, disebabkan terlalu terkejut, kakinya seperti dipaku kerana tidak mampu bergerak walaupun setapak ke lokasi kejadian yang jaraknya hanya kira-kira 70 meter dari tempatnya.

“Ketika itu, kami hanya melihat sesama sendiri dan tidak sampai beberapa saat kemudian, saya mula nampak orang ramai menjenguk keluar bangunan mungkin mencari arah bunyi kuat itu,” katanya.

Selain itu, menurut salah seorang saksi lain, Alias Mohammad, 49, ketika hendak masuk ke dalam lif dari tingkat bawah, dia terdengar bunyi dentuman yang begitu kuat.

“Pada mulanya saya sangka kemalangan dan tidak mengendahkannya, tetapi hati rasa tidak sedap, lalu keluar dari lif untuk melihat keadaan sebenar.

“Saya terkejut apabila ternampak mayat dalam keadaan tragis terlentang berhampiran longkang di tempat parkir di belakang bangunan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



Padah lakukan seks dengan kekasih baru

KUANTAN - Hubungan cinta seorang pengawal keselamatan dengan gadis yang baru dua hari dikenali memakan diri apabila kekasihnya itu membuat laporan polis mendakwa dia dirogol lelaki terbabit, 26 Julai tahun lalu.

Tertuduh berusia 22 tahun, dari Kampung Nelayan Sungai Puteri, Rompin yang ditahan polis 4 Mac lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan tersebut.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin di hadapan Hakim Nor Adidah Ahmad.

Pada masa sama, tertuduh tidak menafikan ada menjalinkan hubungan seks dengan gadis berusia 18 tahun dua bulan itu di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran pusat Giat Mara Kuala Rompin, bagaimanapun ia berlaku atas kerelaan bersama.

Tertuduh memberitahu mahkamah, selepas peristiwa itu, mereka bergaduh dan memutuskan hubungan.

Dia berkata, mungkin atas alasan tersebut, kekasihnya membuat laporan polis mendakwa dia dirogol.

Penjelasan tertuduh itu menimbulkan persoalan memaksa Nor Adidah bertanya sebab dia membawa mangsa ke dalam ladang kelapa sawit dan merogolnya.

“Kamu terus melakukan hubungan seks dengan gadis itu walaupun baru dua hari kenal?”Tanya Nor Adidah kepada tertuduh bagaimanapun dia hanya diam membisu.

Sebelum itu, tertuduh ditawarkan ikat jamin RM8,000 oleh pihak pendakwaan bagaimanapun dia merayu jumlah itu dikurangkan memandangkan dia hanya mampu setakat RM3,000.

Rayuannya itu ditegur Nor Adidah memandangkan jumlah ikat jamin yang diminta terlalu rendah.

“Ini Mahkamah Sek-syen bukan Mahkamah Majistret, mana boleh jaminan serendah itu apatah lagi tuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang kamu hadapi memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh disebat,” tegur beliau.

Menurutnya, jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan juga berpatutan dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh itu.

Bagaimanapun selepas mengambil kira rayuan dan kemampuan kewangan tertuduh yang turut menanggung ibu dan adik-adik, mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kepada RM6,000 manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada 2 dan 3 Mei depan.



Angin lalu terbangkan atap rumah

BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA – Seorang penduduk tidak menyangka cuaca cerah petang pada sebelah petang menjadi punca kepada kejadian angin lalu yang memusnahkan sebahagian besar bahagian dapur rumahnya.

Kamaazaman Razali, 60, berkata, ketika kejadian jam 3.30 petang kelmarin, cuaca cerah malah tidak menunjukkan langsung keadaan akan hujan mahupun ribut akan melanda.

Menurutnya, dia dan anaknya sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat di bahagian dapur.

“Saya dan anak-anak bergegas ke dapur sebelum melihatbumbung rosak apabila lebih 25 keping atap diterbangkan angin lalu memandangkan cuaca amat baik.

“Mujurlah ketika kejadian saya dan dua anak lelaki sahaja ada di rumah kerana isteri dan dua lagi anak keluar kerana

Kamaazaman berkata, sebelum ini belum pernah berlaku kejadian sebegini dan dia sekeluarga terkejut dengan keadaan cuaca yang baik namun tiba-tiba berlaku kejadian angin lalu yang menerbangkan atap rumahnya.

“Mujurlah kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan cuma sebahagian besar bumbung dapur rosak kerana atap diterbangkan angin lalu tersebut.

“Kami berterima kasih kepada pihak Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka yang hadir melawat dan memaklumkan tindakan yang perlu kami lakukan,” katanya.

Pembantu Khas ADUN Jengka, Jalaluddin Long berkata, pihaknya telah memaklumkankepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tuan rumah diminta untuk membuat laporan polis sebelum menghantar permohonan kepada pihak JKM untuk tindakan bantuan.

”Laporan polis perlu dibuat terlebih dahulu,” katanya.



‘Seludup’ kekasih dalam rumah


MELAKA - Seorang remaja lelaki di sebuah kampung dekat Masjid Tanah, di sini mengambil kesempatan setiap kali ibu bapanya tiada di rumah dengan membawa masuk kekasihnya untuk berasmara di dalam bilik.

Tindakan remaja berusia 23 tahun bagaimanapun terbongkar apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), malam kelmarin selepas mendapat maklumat orang ramai.

Remaja terbabit dikatakan sudah beberapa kali membawa pasangannya masuk ke rumah sehingga menimbulkan syak terhadap penduduk sekitar.

Ketua Bahagian Penguat kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, pihaknya menjalankan serbuan kira-kira 11 malam dan mendapati seorang wanita berusia 20 tahun berada dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Ketika ditahan pasangan terbabit sedang bersiap sedia untuk melakukan kegiatan maksiat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Rahimin berkata, pada malam sama, dua lagi tangkapan di buat sekitar Krubong dan Ayer Keroh.

Katanya, penguat kuasa JAIM terpaksa memanjat pagar rumah sebuah rumah di Ayer Keroh Height, di sini kerana disyaki sedang berdua-duaan.

“Kita menunggu hampir 30 minit, barulah seorang perempuan Sarawak keluar membuka pintu. Pada masa sama, kelibat seorang lelaki dilihat menuju belakang rumah.

“Bagaimanapun, kita berjaya menangkap lelaki berkenaan yang ketika itu menyorok di bilik belakang,” katanya.


Bahana percintaan ‘top up’

KULIM - Hasrat seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ingin berkahwin dengan seorang lelaki tampan berusia 30-an dan bekerja sebagai pegawai bank bertukar menjadi mimpi sedih, apabila dia membuat laporan polis setelah dinikahkan dengan lelaki berusia 63 tahun dan bekerja sebagai penoreh getah.

Menurut mangsa, dia berkenalan dengan suspek kira-kira lima bulan lalu berpunca dari tersalah mendail nombor telefon. Katanya, sejak hari itu, suspek terus menghubunginya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan tidak pernah berjumpa. Sejak berkenalan, menurut mangsa, suspek sering menambah nilai telefon mangsa dan turut memasukkan duit ke dalam akaun adiknya bagi tujuan membeli belah.

Mangsa yang tertarik dengan sikap suspek, mula menjalinkan hubungan cinta dengannya.

“Saya membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kerana rasa tertipu dan mungkin di pukau. Sejak berkenalan dengan suspek kira-kira lima bulan lalu, kami terus berhubung melalui telefon dan tidak pernah berjumpa. Suspek memaklumkan kepada saya dia berusia 30 tahun, masih bujang dan bekerja sebagai pegawai bank.

“Suspek memang selalu menambah nilai (top up) telefon saya selain memasukkan duit ke dalam akuan bank adik saya untuk kegunaan saya. Satu hari, kami membuat keputusan untuk berjumpa dan saya datang ke Kulim dengan menaiki bas. Apabila sampai di hentian bas, saya kemudiannya di bawa oleh suspek bersama dua rakan lain ke negara jiran dan bernikah,” katanya.

Setelah empat hari bernikah dengan suspek, mangsa menyatakan rasa tidak puas hati dan menyatakan hasrat untuk berpisah dengan suaminya.

Polis meminta pegawai dari Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk membuat pengesahan terhadap pernikahan pasangan terbabit.

PADK meminta pasangan itu hadir ke pejabat untuk disoal siasat dan mengesahkan pernikahan.

Sementara itu lelaki terbabit ketika di temui berkata, dia pernah bernikah empat kali tetapi bercerai.

Menurutnya, hasil perkahwinan dengan isteri terdahulu, dia dikurniakan beberapa anak dan paling sulung berusia 30-an.

“Saya pernah bernikah empat kali dan bercerai. Remaja berusia 18 tahun ini merupakan isteri kedua saya sekarang. Anak saya yang paling sulung berusia 30-an manakala yang paling bongsu berusia tujuh bulan. Saya tertarik dengan isteri baru saya ini kerana dia pandai menjaga hati dan saya suka mendengar suaranya.

“Ketika bernikah dengannya tidak berlaku sebarang paksaan. Saya tidak pernah bersamanya. Saya menikahinya di negara jiran dan mempunyai segala dokumen diperlukan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, beliau menyerahkan kepada PADK untuk memastikan kesahihan status perkahwinan pasangan itu serta tindakan yang akan diambil oleh pihak berkenaan.


Remaja ditemui tergantung

SUNGAI PETANI – Seorang remaja 19 tahun ditemui mati tergantung kira-kira jam 6 pagi di rumahnya di sini, semalam (kelmarin).

Bapa saudara mangsa berkata, sebelum kejadian abangnya ada menegur mangsa kerana sering menggunakan motosikal ibunya untuk keluar.

“Jam 5 pagi dia balik ke rumah, pada jam 6 pagi ketika ibunya bangun untuk menunaikan solat Subuh dia menemui mayat mangsa sudah tergantung pada siling,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mangsa adalah anak kelima daripada enam adik beradik dan baru sahaja memulakan kerja sehari sebelum kejadian.

“Sebelum ini, dia juga pernah terlibat dengan kemalangan dan berkemungkinan sebab itulah abang mangsa melarangnya, lagipun dia tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

Mayat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurun.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian.


Temu ajal dalam lori

KULIM - Hasrat seorang pemandu lori, Ganesan Palaniapan, 40, yang ingin balik ke pejabatnya di Lunas setelah selesai waktu bekerja tidak kesampaian apabila dia di temui tersandar dalam lorinya di Simpang Empat Keladi kira-kira jam 4.35 petang, kelmarin.

Menurut jurucakap polis, mangsa baru selesai memasang kanopi untuk majlis yang akan diadakan di Dewan CRC. Apabila sampai di lampu isyarat Simpang Empat Keladi, mangsa menghentikan lorinya dan menunggu lampu hijau.

“Keadaan jalan menjadi sesak apabila lori dipandu dia tidak bergerak setelah lampu hijau. Orang ramai yang ada di tempat kejadian kemudiannya pergi melihat keadaannya dan mendapati dia tersandar di kerusi lori. Mereka menyangka dia tidur dan cuba mengejutnya tetapi gagal.

“Dia kemudiannya dibawa turun dari lori dan diletakkan di tepi jalan sementara menunggu ambulan. Kakitangan ambulan dari Hospital Kulim yang tiba di tempat kejadian mengesahkan dia meninggal dunia. Mayatnya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, dari bedah siasat dijalankan terhadap mayat Ganesan, polis mendapati tidak berlaku sebarang perlakuan jenayah yang boleh mengakibatkan kematian dan mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

Selain itu, doktor turut mengesahkan faktor kematian Ganesan adalah berpunca dari serangan jantung.

Difahamkan, Ganesan baru sahaja mendirikan rumah tangga.


Warga emas rayu simpati

GERIK - Seorang warga emas, di sini, yang menghidap penyakit jantung dan sendi memohon bantuan daripada pihak berkenaan bagi membantu meringankan beban hidup yang dihadapinya.

Hamid Bakar, 75 yang berasal dari No.117, Kg Pahat Dalam, Gerik merayu sumbangan dan bantuan daripada wakil rakyat, agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan masyarakat seluruh agar dapat membantunya menampung keperluan keluarga termasuk anak yang masih menuntut.

Hamid berkata, dia kini tidak dapat melakukan kerja berat akibat penyakit yang dihidapi selain atas nasihat doktor.

Menurutnya, sebelum ini, dia mengusahakan semaian anak benih getah dengan memperoleh pendapatan sekitar RM400 sebulan.

“Perniagaan kecil saya sejak lebih 20 tahun lalu ini digunakan untuk menyara kehidupan saya dan isteri bersama seorang anak.

“Anak saya masih menuntut di Kolej Komuniti Sungai Siput dalam bidang pelancongan dan memerlukan wang bagi perbelanjaan pengajiannya,” katanya.

Hamid berkata, anaknya, Hamizah memerlukan belanja yang banyak termasuk sewa rumah dan makan iaitu sekitar RM400 sebulan.

“Ini belum termasuk belanja lain seperti beli buku dan peralatan belajar, setakat ini pakcik hantar duit tiap-tiap bulan menggunakan wang simpanan kerana dia tidak mendapat pinjaman pelajaran.

“Dulu pak cik sihat, boleh membuat kerja tapi sekarang pak cik sakit, doktor nasihatkan pak cik rehat,” katanya.

Katanya, dia mula dihantar bagi membuat pemeriksaan di Hospital Gerik selepas mengadu letih dan sakit sendi.

“Kemudiannya di tahan di wad Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Ipoh dan ditahan bagi mendapatkan rawatan lanjut selama lima hari.

“Pak cik diarahkan membuat pemeriksaan di Hospital Gerik sebelum ke Ipoh untuk menjalankan pemeriksaan lanjutan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fahmi Osman ketika ditemui berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya menziarahi Hamid sekeluarga memandangkan anaknya adalah ahli aktif GPMS Lenggong yang juga salah seorang ahli jawatankuasa gabungan itu.

Menurutnya, kini Hamid tidak dapat bergerak seperti dulu dan bergantung sepenuhnya dengan ubat yang diberi pihak hospital.

“Pak cik Hamid kini menanggung kehidupan keluarganya dan keluarga mentua selain menyara anaknya yang menuntut di Kolej Komuniti, namun keadaan kesihatannya tidak begitu baik.

“Diharap mana-mana individu atau syarikat yang sudi membantu boleh menghubunginya di alamat No 41, Kampung Air Panas atau menghubungi talian 05-791 3142 atau menghubungi adik iparnya (Rashdan Ramli) di talian 019-543 0030,” katanya.



New Zealand kehilangan bandar kedua terbesar

WELLINGTON - Bandar kedua terbesar di New Zealand, Christchurch disahkan musnah teruk dalam kejadian gempa bumi bulan lalu dan sebahagian daripada kawasan itu mungkin tidak akan dibangunkan semula.

Perdana Menteri New Zealand, John Key mengumumkan mengenai keputusan untuk meninggalkan sahaja bahagian bandar yang rosak dalam satu temu ramah, semalam.

Key mengesahkan 10,000 rumah akan dimusnahkan selepas rosak teruk dalam gempa bumi sekuat 6.3 pada skala Ritcher yang mengorbankan lebih 200 nyawa.

"Pembinaan semula penempatan adalah sesuatu yang mustahil di beberapa kawasan di Christchurch," katanya.

Key turut menekankan kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada penduduk yang terpaksa berpindah daripada kawasan penempatan asal yang tidak selamat lagi untuk didiami.

Menurutnya, pakar geologi sedang mengenal pasti kawasan paling teruk terjejas dalam gempa yang menyebabkan struktur tanah di New Zealand berubah sama sekali, 22 Februari lalu.


Larangan bertudung ke sekolah tidak wajar

BANGKOK - Suruhanjaya Islam Songkhla menegaskan larangan memakai tudung ke sekolah adalah sama sekali tidak wajar dan hak kanak-kanak perempuan dan wanita untuk memakai tudung berada di bawah perlindungan perlembagaan Thailand, semalam.

Pengerusi suruhanjaya, Chula Ratchamontri Aziz Pitakumpol mengulas kenyataan itu selepas pelajar perempuan beragama Islam di sebuah sekolah dalam daerah Nong Chok, dilarang memakai tudung.

Terdahulu, sekumpulan 17 pelajar Islam di sekolah Nong Chok dilaporkan meminta izin Pejabat Suruhanjaya Pelajaran Thailand untuk memakai tudung, Oktober lalu, tetapi permohonan mereka ditolak.

"Jabatan suruhanjaya menolak permintaan sekumpulan pelajar itu dengan alasan sekolah itu terletak dalam kawasan kuil Buddha Nong Chok," katanya.

Menurutnya lagi, satu persefahaman perlu dibuat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan amalan agama dan kepercayaan masing-masing di mana ia terletak di bawah hak perlembagaan rakyat.

"Pemakaian tudung bagi kanak-kanak perempuan dan wanita adalah satu perkara biasa di kebanyakan negara Islam, bahkan di Eropah," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment