Sunday, March 6, 2011

GAJAH MEMANG BESAR BADANNYA...KENA WASPADA KEPADA BINATANG NI...TENTERA ALLAH NYAMUK PUN KITA TAK MAMPU MENGALAHNYA....CONTOH AEDES....KALAU ALLAH BAGI GAJAH...BAGAIMANA....JADI JANGAN LAWANLAH ALLAH....TAKWALAH DAN BERTAUBATLAH....

Cek Mek gajah penggoda






DENGAN sentuhan belalai penuh emosi daripada gajah betina bernama Cek Mek, gajah jantan liar yang digelar Buyong Gagu itu seakan terpukau dengan pujukannya untuk berjalan bersama-sama.
Sesekali terlihat seperti ada perbincangan sulit antara kedua-duanya apabila Buyong tiba-tiba mendengus kuat.
Bijak menangani situasi, Cek Mek yang turut ditemani Color dan Timur pantas mengusap muka sang jantan dengan belalainya sambil memujuk untuk terus berjalan.
Masih di bawah pengaruh ubat pelali, Buyong hanya mampu mengikut langkah tiga gajah denak yang menjadi pengapit di hadapan, kiri dan kanannya.
Hujan yang turun malam tadi sedikit sebanyak menyukarkan perjalanan empat mamalia terbesar di atas daratan ini.
Dengan jalan yang sedikit becak, beberapa kali kaki lebar empat gajah ini hampir tergelincir namun tindakan pantas penjaga gajah, haiwan tersebut kembali berjalan rapat seperti dalam satu kumpulan menuju ke kawasan lapang.
Dalam operasi pemindahan gajah liar seperti yang dilakukan ke atas Buyong di Hutan Simpan Gapau, Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini, proses memujuk menggunakan gajah denak iaitu gajah pekerja betina dianggap amat penting.
Gajah itu terpaksa dipindahkan ke habitat asal yang lebih sesuai kerana ia telah tersesat dan memasuki kawasan konflik dengan manusia.
"Gajah adalah haiwan yang mudah stres dan boleh mati kerananya. Pernah ada pihak menggunakan jentera untuk mengeluarkan gajah, namun gajah itu mati kerana terlalu tertekan.
"Lantaran itu, kami menggunakan kaedah pujukan serta komunikasi antara gajah denak dan gajah liar yang dikawal dengan ubat pelali, operasi tangkap dan pindah lebih mudah dijalankan," ujar Penolong Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Ahmad Kamsul Alias.
Maut dipijak
Tidak hairanlah, strategi untuk menggunakan naluri sesama haiwan yang didokong kepakaran anggota pusat itu menjadi tulang belakang dalam ratusan operasi tangkap dan pindah gajah liar di seluruh Semenanjung.


LUBANG digali sehingga separas badan lori bagi memudahkan gajah liar memasuki kenderaan tanpa rasa tertekan.



Sungguhpun setiap operasi pemindahan berjaya dilakukan, tugas untuk menangkap dan memindahkan haiwan bersaiz besar ini menuntut persediaan yang bukan sedikit.
Pernah berlaku sebelum ini petugas meninggal dunia atau cedera parah selepas dirempuh dan dipijak gajah liar semasa operasi pemindahan dilakukan.
Menurut Pengarah pusat tersebut, Nasharuddin Othman, dengan saiz yang besar dan berat, usaha pemindahan perlu dilakukan berhati-hati.
Dalam satu tayangan video yang menyiarkan operasi tangkap dan pindah dua ekor gajah ke Taman Negara Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu, jelas dalam prosedur operasi, keselamatan nyawa petugas amat penting.
"Paling bahaya apabila operasi pemindahan dilakukan di hutan sekunder di mana tiada pokok besar untuk berlindung. Gajah terpaksa dipindahkan jika ia menjadi ancaman kepada penduduk setempat atau habitatnya semakin terancam.
"Disebabkan itu, dalam proses menangkap, kami gunakan tembakan ubat pelali. Seorang penembak yang memegang senapang ubat akan berada di hadapan manakala dua orang renjer dengan senapang rifel membantu di belakang," katanya.
Selepas mengenal pasti umur dan saiz gajah liar menerusi bekas jejak atau najis, dosej pelali yang sesuai akan ditentukan. Ubat pelali boleh membuatnya pengsan.
"Bukan sembarang orang boleh tembak kerana tembakan tepat pada bahagian bahu dan pinggul sahaja boleh menjatuhkannya," kata Nasharuddin yang mengetuai Unit Tangkapan Gajah sejak pusat perlindungan tersebut dibuka di Kuala Gandah pada tahun 1990.
Gali lubang


CEK MEK (depan), Timur dan Color menggunakan kepakaran denak untuk menarik Buyong keluar dari hutan semasa operasi pemindahan di Jelebu, minggu lalu.



Dalam operasi yang melibatkan sekitar 10 hingga 15 kakitangan itu, proses memindahkan gajah boleh selesai dalam masa empat atau lima jam, namun, dalam beberapa kes besar yang melibatkan tangkapan berkumpulan, masa yang diperlukan adakalanya hingga berminggu-minggu.
"Selepas gajah pengsan, petugas akan segera merantai kaki gajah sebelum ia diberi suntikan antipelali untuk menyedarkannya," tambahnya lagi.
Sebaik sahaja gajah sedar namun masih di bawah kawalan ubat pelali, gajah-gajah denak sudah siap sedia untuk menerima arahan memujuk dan membawa gajah liar keluar.
Tali kok yang berada pada leher gajah-gajah denak akan disambungkan dengan rantai besi yang dipasang pada leher gajah liar memudahkan sang denak mengawal pergerakan sang liar selain memastikan haiwan-haiwan ini berjalan seiringan.
Seorang pelatih gajah pula akan menaiki setiap gajah denak untuk memandu arah jalan selain memberikan arahan kerja serta menarik rantai dengan lebih kuat atau sebaliknya.
Dalam proses pemindahan, biasanya dua atau tiga ekor gajah denak akan digunakan, bergantung kepada kesukaran yang perlu ditempuh seperti permukaan tanah yang tidak rata.
Selepas sampai ke kawasan lapang di mana lori yang akan memindahkan gajah liar ditempatkan, teknik memasukkan gajah ke dalam lori juga penting bagi meng elak gajah liar mengalami stres.
"Para petugas akan menggali lubang sehingga badan lori menjadi sama rata dengan tanah. Cara ini membuatkan gajah liar menganggap ia masih memijak tanah, sedangkan ia sudah masuk ke dalam lori.
"Selepas dirantai kemas, ia akan terus dibawa keluar. Biasanya kami akan bawa gajah keluar pada waktu lewat petang atau malam bagi mengelakkannya stres dan terdedah kepada cuaca panas.
"Melainkan pada hari hujan, tidak mengapa jika membawanya keluar pada waktu siang," jelasnya panjang lebar.
Tidak sukarkah memandu lori dengan muatan gajah? Menurut Nasharuddin, hanya pemandu berpengalaman boleh membawa gajah untuk dipindahkan.
"Mereka masih boleh membawa lori pada kelajuan normal iaitu 90 kilometer sejam, namun perlu berhati-hati.
"Rekod pindah gajah paling jauh yang pernah kita lakukan ialah dari Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor ke Taman Negara Tasik Kenyir di Hulu Terengganu," ujarnya.
Paling popular


CEK MEK (kiri) adalah teraju utama dalam lebih 650 operasi pemindahan gajah di Semenanjung Malaysia.



Mengenali gajah penggoda atau gajah denak yang menjadi tulang belakang kepada setiap operasi pemindahan, gajah bernama Cek Mek merupakan gajah denak yang paling popular.
Dengan usia yang mencecah 70-an, Cek Mek yang dilahirkan di Thailand masih mampu menarik perhatian gajah-gajah liar.
Cek Mek telah mengikuti lebih daripada 650 operasi pindah gajah di seluruh Semenanjung sejak 32 tahun lalu.
"Cek Mek gajah yang tidak cerewet dan tahu apa tugasnya sebagai gajah denak," ujar pelatih gajah yang sering keluar operasi bersama Cek Mek, S. Premkumar, 30.
Sudah lima tahun mengenali Cek Mek, Prem cukup arif dengan perangai gajah denak itu.
"Senang jaga Cek Mek, apatah lagi ia memang sudah terlatih. Apa yang penting, bagaimana mahu menyesuaikan diri dengannya.
"Seperti haiwan lain, ia juga ada pantang-larang yang tersendiri dan boleh naik marah jika kita buat perkara yang tidak disukainya.
"Misalnya, Cek Mek tidak suka saya berjalan di sebelah kirinya kerana mata kiri Cek Mek sudah kabur. Saya juga sudah boleh agak mood Cek Mek, sama ada elok atau tidak. Apa pun, setakat ini, kami belum pernah lagi bergaduh besar," seloroh pemuda dari Perlis ini.
Berpengalaman dalam operasi pemindahan gajah, Prem menyifatkan pemindahan di kawasan hutan di Perak dan Kelantan sebagai mencabar.
"Keadaan muka bumi yang berbukit-bukau memang sangat mencabar kerana mudah untuk gajah yang sedang khayal hilang kawalan ketika diiring keluar.
"Jika kawasan berbukit, lori perlu diletak jauh sedikit dan keadaan tanah yang tidak rata adakalanya mengambil masa yang agak panjang untuk membawa gajah ke lori," ujarnya yang sanggup meninggalkan kerjaya di bank demi minatnya terhadap haiwan.

Gajah betina naik minyak



MAYAT Lee dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.



GUA MUSANG – Tindakan seorang penoreh getah yang cuba menghalau sekumpulan gajah menggunakan mercun bola mengundang padah apabila seekor gajah betina daripada kumpulan tersebut naik minyak dan menyerangnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang kelmarin, Lee Che Hassan, 46, maut di kebun getahnya di Kampung Serian, Batu 11, dekat sini. Haiwan itu dipercayai menyerang Lee kerana terkejut dengan tindakan lelaki itu membakar mercun bola.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, akibat letupan itu, seekor gajah betina yang mengiringi dua ekor anak gajah naik minyak lalu mengangkat mangsa dengan belalai sebelum menghumbannya ke sebatang pokok.
“Lee mati di tempat kejadian dalam keadaan terduduk dengan beberapa kesan lebam di kepala manakala mukanya ditutup dengan tangan dipercayai menahan sakit,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, mangsa dipercayai telah membakar mercun itu untuk menghalau sekumpulan enam ekor gajah yang memasuki kebun getahnya.
Menurut maklumat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), gajah yang menyerang mangsa dipercayai gajah betina jenis Asian yang dianggarkan seberat dua tan, berusia di antara 30 hingga 40 tahun berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemui.


Produk guna kapsul gelatin babi diumum



JAKIM akan membuat semakan terhadap produk farmaseutikal yang dibungkus dengan kapsul gelatin positif babi. - Gambar hiasan


GURUN - Produk farmaseutikal yang didapati dibungkus dengan kapsul gelatin positif asid deoksiribonukleik (DNA) babi akan diumumkan bagi memastikan umat Islam tidak terbeli atau terguna produk itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar kecil).
Beliau berkata, produk tersebut turut tidak dibenarkan dijual di kaunter terbuka di semua premis seluruh negara.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membuat semakan terhadap produk farmaseutikal berkenaan untuk disenaraikan.
"Senarai produk ini juga akan diumumkan sebagai produk haram kepada umat Islam," katanya.








Minyak masak kitar semula dirampas



LORI tangki berisi minyak masak kitar semula yang dirampas di Klang semalam. Gambar kecil, antara peralatan yang digunakan bagi mengitar semula minyak masak.



KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas 38,000 kilogram minyak masak yang dikitar semula sebelum dijual kepada pengguna kelmarin.
Operasi yang melibatkan sembilan anggota tersebut dilakukan pada pukul 5.30 petang di sebuah premis memproses dan membungkus minyak masak yang berpangkalan di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang.
Menurut Ketua Operasinya, Md. Hashim Daud, rampasan itu dilakukan hasil siasatan selama dua minggu terhadap premis terbabit dalam operasi yang dinamakan 'Ops Goreng' bermula Januari lalu.
"Pemeriksaan mendapati premis terbabit mengitar semula minyak masak terpakai yang diperoleh daripada restoran-restoran dan hotel berdekatan sebelum dicampurkan dengan minyak masak sebenar bagi meraih keuntungan lumayan.
"Rampasan ini adalah antara terbesar pernah dilakukan dan kelmarin sahaja kita menganggarkan hasil rampasan bernilai RM200,000," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.


Bekas tentera dibelasah kerana mencuri

06/03/2011 5:25pm

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas tentera cedera dibelasah orang ramai setelah disyaki mencuri tiga kampit beras seberat 30 kilogram dan satu tong gas dari sebuah kedai runcit di Kuala Ibai di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira 4.45 petang, suspek dipercayai baru sahaja mencuri barangan tersebut sebelum didatangi oleh pemilik kedai terbabit.
"Pekedai runcit berkenaan telah mengesyaki anggota tentera itu mencuri barang-barang di kedainya lalu mengadu kepada orang ramai yang kemudian bertindak membelasah suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama


Penculik kanak-kanak ditahan

06/03/2011 5:14pm

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang dipercayai menculik seorang kanak-kanak perempuan lima tahun lalu di Terengganu ditahan di Sabah, Selasa lepas.
Juruletrik berumur 30 tahun yang berasal dari Ipoh, Perak ditahan di rumah sewanya di Inanam, Kota Kinabalu kira-kira 7.45 pagi ketika dia mahu keluar bekerja.
"Tangkapan itu hasil kerjasama polis Kota Kinabalu dan kita telah hantar anggota ke sana untuk mengenal pasti suspek,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K. Manoharan.
Kes penculikan itu berlaku pada 22 Oktober 2006. - Bernama

No comments:

Post a Comment