WWW 1 milik Sultan Johor
|
KUALA LUMPUR - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sah menjadi pemilik bagi nombor pendaftaran baharu kenderaan WWW 1 yang berjaya dibida pada harga RM520,000.
Keputusan itu diketahui melalui pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam dan boleh dilayari di laman portal agensi tersebut.
Keputusan tersebut turut dipamerkan di tiga buah pejabat cawangan JPJ Wilayah Persekutuan-Kuala Lumpur masing-masing di Wangsa Maju, Maju Junction dan Bandar Sri Permaisuri.
Bidaan bagi nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Ibrahim itu mengatasi nombor pendaftaran termahal yang dicatatkan sebelum ini iaitu MCA 1 dengan harga RM300,100 diikuti TAY 1 (RM220,000) dan WVW 1 (RM202,000).
Selain WWW 1, turut mencatat rekod menerima bidaan tertinggi ialah WWW 3.
Nombor tersebut dibida pada harga RM360,000 oleh syarikat One Power International Sdn. Bhd.
Nombor pendaftaran siri WWW lain yang mencatat nilai bidaan ketiga tertinggi ialah WWW 9 yang dimiliki oleh Aspen Sunrise Sdn. Bhd..
Harga WWW 9 ialah RM350,000.
Yang di-Pertuan Agong berjaya bida WWW 5
KUALA LUMPUR - Nombor pendaftaran siri WWW yang mencatat rekod bidaan tertinggi di negara ini turut menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Seri Paduka yang berminat dengan nombor WWW 5 berjaya membidanya pada harga RM220,000.
Kena pulangkan RM470,000
PUTRAJAYA - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Seri M. Kayveas dan isteri, Datin Seri Blanche O'Leary perlu mengembalikan RM470,000 kepada sebuah syarikat kontraktor selepas Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan mereka bagi lanjutan masa untuk memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua tahun lepas.
Dalam satu keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali juga memerintahkan kos RM3,000 dibayar kepada responden.
Dua lagi hakim ialah Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Aziah Ali.
Pada prosiding semalam, peguam Murali Menon bagi pihak Kayveas dan Blanche, berhujah bahawa mahkamah perlu membenarkan anak guamnya merayu di luar jangka waktu terutamanya disebabkan tiada tindakan atau kecuaian peguam cara sebelumnya untuk memfail rayuan dalam masa ditetapkan.
Organ, tulang milik manusia
SRI AMAN - Cebisan organ serta serpihan tulang yang ditemui ketika operasi mencari seorang remaja, Peter Heerema Sadan, 13, yang hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Linggang, Engkilili dekat sini Selasa lalu disahkan adalah milik manusia.
Ketua Polis Daerah Lubuk Antu, Deputi Superintendan James Johnathan berkata, pihaknya menerima laporan pengesahan tersebut daripada Hospital Sri Aman pagi semalam.
Beliau berkata, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) milik ibu mangsa, Janti Derin, 34, juga telah diperoleh bagi tujuan ujian mengesahkan sama ada tulang dan organ tersebut benar-benar milik mangsa.
"Kita akan mengetahui keputusan tersebut dalam masa dua bulan setelah ujian DNA dilakukan Jabatan Kimia Hospital Umum Sarawak.
"Meskipun cebisan organ berupa usus dan serpihan tulang bahagian bahu itu belum disahkan milik Peter, keluarga mangsa menyatakan hasrat untuk mengkebumikannya mengikut adat masyarakat Iban," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Majikan dera amah ditahan
KUALA LUMPUR - Perbuatan zalim sepasang suami isteri yang sering mendera seorang amah warga Kemboja hingga menyebabkan tulang pinggul mangsa beralih dari kedudukan asalnya terbongkar apabila pasangan itu ditahan semalam.
Pasangan berusia 35 dan 36 tahun tersebut ditahan pada pukul 10.15 pagi di Kondominium Plaza Prima Setapak di Jalan Prima Setapak, Sentul di sini selepas polis menerima laporan daripada seorang kakitangan sebuah agensi pembekal pembantu rumah.
Sumber memberitahu, rahsia itu terbongkar selepas majikan mangsa menghantar semula wanita berkenaan yang dikenali sebagai Chea Phali, 28, ke agensi tersebut setelah tidak mahu menggunakan khidmatnya lagi pada Sabtu lalu.
Katanya, ketika itu, kakitangan agensi berkenaan hairan apabila melihat mangsa berada dalam keadaan lemah, jalan terhincut-hincut dan lebam serta luka di muka dan badan.
"Selepas diperiksa dengan teliti, kakitangan itu mendapati tulang pinggul amah tersebut telah beralih dari posisi asal akibat dipukul dengan kuat dan kesan diseterika pada badan mangsa.
"Kakitangan itu kemudian telah mendesak mangsa untuk menceritakan apa yang berlaku sebelum mangsa memberitahu yang dia sering didera majikannya sejak bekerja di situ beberapa bulan lalu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Petinju negara trauma dibelasah
JOHOR BAHRU – Petinju kebangsaan, Muhamad Farkhan Mohd. Harun kini trauma dan bimbang mengenai keselamatan dirinya dan keluarga selepas kejadian dia dipukul serta diseksa dengan kejam oleh sekumpulan individu di Taman Molek di sini pada 6 Mei lalu.
Menurut Muhamad Farkhan, dia turut diugut bunuh oleh suspek yang memintanya tidak membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
“Memang saya trauma sebab suspek mengugut akan membunuh saya dan semua ahli keluarga sekiranya saya membuat laporan polis. Saya betul-betul rasa terancam ketika ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kosmo! pada 7 Mei lalu melaporkan, Muhamad Farkhan yang juga penyumbang pingat emas Sukan SEA Laos 2009 mengalami beberapa kecederaan di badan selepas diserang sekumpulan lelaki di Taman Molek di sini.
Mengimbau semula kejadian itu, Muhamad Farkhan berkata, dia yang baru pulang daripada menonton perlawanan akhir Piala FA England antara Chelsea dan Liverpool di sebuah restoran, diserang sekumpulan individu di rumah salah seorang suspek berstatus VIP.
Muhamad Farkhan berkata, dia pergi ke rumah terbabit selepas dihubungi sendiri oleh suspek beberapa kali.
“Dia (suspek) menelefon saya dan meminta saya datang dengan cara baik. Sebaik sampai, saya telah diserang oleh enam lelaki dan seorang wanita dengan senjata seperti besi, kayu, tongkat, pedang samurai dan macam-macam lagi. Saya juga diseksa hampir empat jam,” katanya.
Guna kontena seludup 4WD
SUBANG - Kegiatan haram sekumpulan lima lelaki yang menyeludup keluar kenderaan pacuan empat roda (4WD) curi menggunakan kontena melalui Pelabuhan Klang, Selangor sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan di Kampung Baru Subang di sini Khamis lalu.
Suspek-suspek berusia antara 21 dan 31 tahun tersebut ditahan pada pukul 8.45 malam ketika sedang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda curi jenis Toyota Hilux.
Difahamkan, dalam tempoh tersebut, suspek dipercayai telah menyeludup keluar sebanyak 57 daripada 64 buah kenderaan curi menggunakan 19 buah kontena ke beberapa buah negara seperti Bangkok, Thailand dan Singapura. Kesemua kenderaan itu dianggarkan bernilai RM8 juta.
Antara kenderaan kegemaran untuk dicuri ialah Toyota Fortuner dan Hilux.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, melalui soal siasat, pihaknya kemudian dapat mengesan sebuah kontena mengandungi dua buah Hilux dan sebuah Fortuner curi yang sedang didaratkan di Singapura.
Mangsa ragut dakwa rugi RM18,000
PETALING JAYA – Seorang pekerja swasta yang tinggal di Kondominium Kelana D’Putra, Kelana Jaya di sini mendakwa kerugian kira-kira RM18,000 termasuk rantai emas emas bernilai RM5,000 dalam kejadian ragut pada 14 Mei lalu.
Bukan itu sahaja, wanita malang itu, K. Sharala Thevi, juga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan selepas ditolak dan diheret oleh peragut dalam kejadian pada pukul 5 petang itu.
Sharala berasal dari Pahang telah berhijrah ke Petaling Jaya setelah berkahwin dengan orang kelainan upaya (OKU) pada tiga bulan lalu dan rantai emas tersebut merupakan simbol perkahwinan sah mengikut adat resam kaum India.
Kejadian itu berlaku ketika Sharala berjalan kaki dari pejabatnya di Kelana Square untuk pulang ke rumahnya di Kelana D’Putra yang terletak kira-kira 50 meter sahaja.
Sindiket curi emas tumpas
MUAR - Satu sindiket mencuri emas tumpas apabila 21 suspek termasuk 14 orang warga China ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di sini pada 25 Mei lalu.
Sindiket berkenaan dipercayai mencuri emas milik pelanggan dengan cara mencuci barangan kemas berkenaan menggunakan bahan kimia bagi tujuan melunturkan emasnya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, modus operandi kumpulan itu adalah dengan mengunjungi rumah ke rumah kononnya untuk menjual emas pada harga murah tetapi sebenarnya emas tiruan.
"Apabila mangsa tidak berminat membeli emas tersebut, mangsa ditawarkan pula khidmat mencuci emas pada harga RM3 hingga RM5 tetapi mereka sebenarnya menggunakan sejenis kimia yang boleh menyusutkan 20 peratus kandungan emas tulen milik mangsa tanpa disedari," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
AS sedia serang Syria
|
WASHINGTON - Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk menyediakan pilihan ketenteraan bagi menamatkan keganasaan di Syria.
Seorang pegawai kanan tentera AS, Jeneral Martin Dempsey memberitahu, pilihan itu akan dilakukan jika tekanan diplomatik gagal menamatkan pertempuran di negara tersebut.
"Justeru, saya akan menyediakan pilihan ketenteraan jika diminta untuk berbuat demikian," katanya kepada program terbitan stesen televisyen CBS, This Morning semalam.
Beliau membuat komen itu selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara mengutuk penggunaan kereta kebal dan meriam dalam satu serangan tentera Syria di bandar Houla.
Dalam serangan itu, seramai 108 orang dilaporkan terbunuh.
Ia merupakan serangan terbaharu yang melibatkan kematian yang ramai.
Angka kematian akibat kebangkitan penduduk Syria menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad sejak tahun lalu dilaporkan mencecah lebih 12,000 orang.
Menurut pegawai tentera itu, beliau menjangkakan tekanan masyarakat antarabangsa yang menentang keganasan di Syria akan meningkat.
"Saya tidak pasti sama ada dalam kes di Syria, satu kombinasi tekanan diplomatik dan ekonomi akan memperoleh kejayaan.
"Namun, sudah pasti saya menggalakkan para pemimpin kami, pemimpin-pemimpin antarabangsa untuk bersama dalam satu cara yang boleh menyebabkan Bashar membuat keputusan yang betul," katanya.
Sementara itu, Utusan Khas PBB dan Liga Arab, Kofi Annan menyatakan, beliau terkejut dengan kejadian pembunuhan besar-besaran di bandar Houla.
Beliau menyatakan demikian semasa tiba di Damsyik untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai semalam.
Annan berkata, pihak yang melakukan pembunuhan di bandar tersebut pada Jumaat dan Sabtu lalu perlu bertanggungjawab berhubung kejadian tersebut.
Beliau juga menyatakan setiap orang yang memegang senjata di Syria perlu mendengar mesejnya tentang keamanan bagi membolehkan pertumpahan darah dapat dihentikan.
"Saya berhasrat untuk mengadakan perbincangan yang serius dengan Bashar. Saya juga mahu berbincang dengan sejumlah orang semasa saya berada di sini," kata Annan.
Kelmarin, Syria menafikan dakwaan bahawa berlaku pembunuhan besar-besaran di bandar tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi menyatakan, pasukan tenteranya berada di sebuah pangkalan tentera pada Jumaat lalu semasa diserang oleh ratusan lelaki bersenjata.
Menurutnya, lelaki-lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan mortar dan mesingan dalam pertempuran selama sembilan jam.
Dalam pertempuran itu, seramai tiga askar maut dan 16 lagi cedera. - Agensi
No comments:
Post a Comment