Wardina diganggu lelaki misteri
|
KUALA LUMPUR – Pengacara televisyen tidak asing lagi, Wardina Saffiyah Fadhlullah, 33, membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang semalam selepas diganggu dengan panggilan lucah daripada seorang lelaki bernama Arif.
Lelaki itu membuat panggilan sebanyak dua kali kepada Wardina sambil mendakwa dia merupakan kakitangan sebuah stesen penyiaran dan mahu menemubualnya.
Menurutnya, lelaki itu membuat panggilan pada pukul 5 pagi dan diikuti pada pukuk 9.15 pagi.
“Saya tidak menjawab panggilan telefon yang pertama. Pada pukul 9.15 pagi, lelaki itu menghubungi saya sekali lagi tetapi apabila saya tanya dia dari stesen mana, dia kata tidak boleh beritahu.
“Selepas itu dia mula mengeluarkan perkataan-perkataan yang saya sendiri malu untuk sebut.
“Saya tidak faham kenapa ada orang yang sanggup melakukan perkara seperti itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Kenangan indah tidak dilupa
KUALA LUMPUR - Lima anggota polis merakamkan memori paling indah dalam hidup apabila mereka dan pasangan masing- masing diarak dengan paluan kompang dari Bandar Tasik Permaisuri di sini sebelum menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) secara serentak semalam.
Kesemua mereka yang merupakan anggota dari Balai Polis Salak Selatan di sini menaiki LRT tersebut dari stesen LRT Cheras ke stesen LRT Salak Selatan di sini.
Sejurus tiba di stesen LRT Salak Selatan, mereka dan pasangan masing-masing kemudian menunggang motosikal berkuasa tinggi untuk ke Balai Polis Salak Selatan bagi meneruskan majlis persandingan.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dengan kerjasama Balai Polis Salak Selatan.
Pasangan tersebut terdiri daripada Lans Koperal Bahtiyar Bacho, 29, dan isteri Mashitah Mansor, 26; Konstabel Muhamad Ridzuan Abd. Halim, 28, dan isteri, Maslinda Masturi, 26, serta Konstabel Ridzuan Anuar Zakaria, 28, dan isteri, Nur Shiffa Azemi, 28.
Helah kutip hasil balak
ALOR SETAR - Pembukaan ladang rakyat hanya alasan kerajaan Pas Kedah untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan hutan di Baling, dakwa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Beliau mendakwa, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semakin rakus mengejar hasil balak tanpa memikirkan kepentingan memulihara kawasan tadahan air untuk kepentingan rakyat.
"Penerokaan kawasan tadahan air yang dipulihara sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) telah tercemar teruk sehingga penduduk Baling mengeluh.
"Mana lebih penting, pembukaan ladang rakyat atau sumber air," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Bapa, menantu maut serentak
SUNGAI BULOH - Seorang wanita tidak menyangka akan kehilangan suami dan menantunya secara serentak apabila kedua-dua lelaki terbabit maut selepas kereta yang mereka naiki merempuh belakang sebuah bas di tepi jalan di Batu 18, Jalan Kundang menghala ke Tasik Biru di sini semalam.
Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan Mohd. Riduan Ab. Razak, 32, dan Baharin Puteh, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tersepit di dalam kereta jenis Proton Wira.
Mohd. Riduan merupakan anggota polis berpangkat Koperal yang bertugas di Cawangan D8 (Risikan Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman manakala Baharin adalah pesara.
Pelajar lemas dalam tasik
NILAI – Tindakan nekad seorang pelajar jurusan Makmal Perubatan di sebuah kolej swasta di sini untuk menyelamatkan dua rakannya yang terjatuh ke dalam sebuah tasik berakhir dengan dia sendiri mati lemas dalam kejadian di Nilai Springs di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, Ahmad Nazmi Zahari, 23, ditemui mati di dasar tasik oleh sepasukan anggota bomba, manakala dua rakannya yang terjatuh terselamat.
Mengimbau semula tragedi itu, rakan mangsa, Muhammad Sharif Saroni, 22, berkata, sebelum kejadian dia sedang meraikan majlis sambutan ulang tahun kelahiran rakannya di tepi tasik berkenaan yang turut dihadiri 13 lagi rakan mereka.
Katanya, entah bagaimana, dia dan seorang lagi rakan kemudian tergelincir ke dalam tasik ketika sedang bersiar-siar menyebabkan mereka terkapai-kapai kerana tidak tahu berenang.
“Beberapa rakan cuba membantu tetapi gagal sebelum Ahmad Nazmi terjun ke dalam tasik untuk menyelamatkan kami tetapi dia pula yang lemas.
“Salah seorang rakan kemudian menghulurkan kayu kepada saya dan rakan sebelum kami dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui kelmarin.
WHF 2012 disambut meriah
KUCHING – World Harvest Festival (WHF) 2012 berlangsung dengan penuh meriah di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini selama dua hari yang melabuhkan tirainya semalam.
Kemuncak acara tersebut ialah Miss WHF 2012 anjuran SCV yang dimenangi oleh gadis berketurunan Kayan dan Iban, Magrina Awing George, 19, yang mengalahkan 13 peserta lain.
Selain pertandingan ratu cantik, acara tumpuan lain ialah persembahan drama tari, pameran makanan tradisional Sarawak, pertandingan Ironman selain acara kebudayaan.
Majlis penutup WHF 2012 malam kelmarin disempurnakan oleh Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Turut serta ialah isteri Abang Johari, Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip serta Pengurus Besar SCV, Jane Lian Labang.
Pada majlis itu, Jumaani turut menyampaikan hadiah kepada pemenang gelaran utama Miss WHF 2012.
Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan acara tersebut yang diadakan selama dua hari itu.
One Drop Perfumes yang merupakan jenama haruman terkenal di Malaysia menjadi penaja utama Miss HWF 2012 manakala akhbar kompak Kosmo! sebagai rakan media.
Kosmo! menemui pembaca di Sarawak bermula 7 Mei lalu.
Acara itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak, Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.
WHF 2012 diadakan sempena perayaan Hari Gawai yang disambut di Sarawak pada setiap 1 Jun.
Sasaran dua juta tercapai
PUTRAJAYA - Himpunan Jutaan Belia yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara 2012 di sini menutup tirainya semalam dengan mencipta rekod tersendiri iaitu kehadiran dua juta belia sepanjang karnival lima hari itu.
Ini secara tidak langsung membuktikan usaha kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan untuk mendekati belia di negara ini berada pada landasan yang tepat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, meskipun berpuas hati dengan pencapaian itu, beberapa perincian lain masih diperlukan sebagai persediaan untuk sambutan tahun depan termasuk dari aspek logistik serta penganjuran acara.
Menurut beliau, apa yang penting dan jelas ketara sepanjang perhimpunan mega belia itu ialah komitmen yang ditunjukkan oleh semua peserta yang terlibat dalam menjayakan aktiviti masing-masing.
"Saya kira matlamat dua juta belia sudah dapat dicapai, cuma kita akan dapatkan beberapa perincian lain dari segi acara mana yang perlu dikembangkan, acara yang kurang mendapat sambutan termasuk acara yang tidak perlu diteruskan pada masa akan datang.
"Saya turut melihat himpunan ini bersifat mesra peniaga. Ertinya kita akan lihat dari segi impak ekonomi kepada Putrajaya dan negara. Saya juga difahamkan ada peniaga peralatan sukan yang berjaya mencecah RM12,000 jualan sehari, jadi ini sesuatu yang baik dan memberi berita gembira kepada sesiapa yang akan terlibat pada himpunan pada tahun depan," katanya.
GRO Mekong River dicekup
PUCHONG - Pelbagai taktik digunakan oleh pengusaha pusat hiburan untuk menarik pelanggan dan terbaru mereka didapati menggunakan nama Mekong River (Sungai Mekong) sebagai isyarat yang mereka menyediakan perkhidmatan pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dari Vietnam.
Taktik tersebut terbongkar selepas premis di Taman Kinrara di sini itu diserbu pada pukul 11 malam dan menahan seramai 14 GRO warga Vietnam berusia antara 19 dan 35 tahun yang sedang asyik melayan dan memeluk pelanggan.
Setiap pelanggan perlu membayar antara RM150 dan RM300 untuk mendapatkan khidmat mereka termasuk seks.
Serbuan diketuai Inspektor Joycelyn Liza Edmond dari cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor selepas melakukan risikan selama 24 jam.
Kedai emas dirompak RM200,000
PASIR PUTEH - Sebuah kedai emas di Jalan Nara dekat sini kerugian sebanyak RM200,000 apabila dipecah masuk pencuri awal pagi semalam.
Kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 10 pagi ketika seorang pekerjanya, Ramli Husin, 28, yang juga tukang emas tiba di premis itu.
Ramli yang ditemui berkata, ketika membuka pintu kedai tersebut dia terhidu bau hangit seperti benda terbakar.
"Saya ingat berlaku kebakaran dalam kedai tetapi sebaik sahaja memeriksa dalam kedai, saya mendapati peti besi tempat simpanan emas ditebuk bahagian tepi dan pintu belakang telah dipotong.
"Selepas itu, saya memberitahu kepada majikan yang ketika itu masih berada di rumahnya di Bachok sebelum membuat laporan polis. Kedai ini baru dibuka setahun," katanya.
'Ulat' teksi masih berleluasa
KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Teksi Dan Kereta Sewa Kuala Lumpur dan Selangor mempertahankan dakwaan ahli-ahlinya mengenai ada sesetengah kakitangan hotel yang menjadi 'ulat' bagi kegiatan teksi haram.Presidennya, Datuk Aslah Abdullah berkata, perkara itu sememangnya berlaku di mana kakitangan hotel menetapkan harga kepada pelanggan untuk ke destinasi tertentu dan memperoleh komisen.
"Jadi pemandu teksi tiada pilihan melainkan 'berkerjasama' dengan pihak hotel untuk mendapatkan pelanggan. Bukan semua tetapi memang ada berlaku.
"Ia bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur, kegiatan ini juga sering berlaku sekitar hotel di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemandu teksi di sekitar Lembah Klang yang sebelum ini mendakwa terdapat sesetengah kakitangan hotel bersubahat dengan pemandu teksi haram.
Kybun bantu masalah sakit kaki
KUALA LUMPUR - J Nine International Sdn. Bhd. (J Nine), pengedar eksklusif kasut terlembut dunia, Kybun, menyasarkan untuk menjual kira-kira 900 pasang kasut sebulan menerusi lapan kedainya menjelang tahun depan.
Pengarahnya, Jesse Tan berkata, pada masa sekarang, syarikat yang beroperasi di Taman Desa Aman, Cheras di sini telah menjual 60 pasang kasut sebulan.
"Kini, kami mengunjurkan untuk menjual 120 pasang kasut sebulan bagi setiap kedai baharu itu nanti," katanya pada majlis pelancaran cawangan kedua syarikat di Publika Shopping Gallery di sini baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengasas Kyburn, Karl Muller.
J Nine merupakan pengedar eksklusif jenama Kybun di empat negara di Asia Tenggara dan secara puratanya sebanyak 100,000 pasang kasut telah dijual di pasaran berkenaan dalam tempoh setahun oleh syarikat induknya, Kybun AG dari Switzerland.
Calon dakwa penipuan dalam pilihan raya Mesir
KAHERAH, Mesir – Tiga calon utama dalam persaingan untuk jawatan Presiden Mesir membuat aduan kepada suruhan jaya pilihan raya kerana mendakwa berlaku penipuan dalam pusingan pertama pilihan raya Presiden di negara berkenaan.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan calon pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi akan berdepan dengan bekas Perdana Menteri Ahmed Shafiq dalam pusingan penentu pilihan raya tersebut.
Keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Presiden Mesir dijangka diketahui hari ini.
Shafiq yang berada di tempat kedua selepas Morsi mendakwa, undi untuk dirinya di sebuah wilayah tidak dikira pada pilihan raya minggu lalu.
Calon ketiga, Hamdeen Sabahi pula meminta pengiraan semula undi dilakukan selepas beliau berada di kedudukan dengan perbezaan 700,000 undi.
Aduan tersebut difailkan oleh seorang lagi calon pilihan raya Presiden Mesir, Abdel-Moneim Abolfotoh kelmarin.
Abdel-Moneim menduduki tempat keempat dalam pilihan raya berkenaan.
Peguamnya menyatakan, beliau memiliki bukti bahawa undian orang yang telah mati turut dikira dalam pilihan raya itu.
Tarikh akhir untuk aduan difailkan adalah semalam sebelum pusingan penentu diadakan pada 16 dan 17 Jun depan.
Pilihan raya tersebut diadakan oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang mentadbir negara selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak pada awal tahun lalu.
Sekitar 50 peratus daripada 50 juta pengundi berdaftar keluar mengundi untuk memilih seorang daripada 12 calon yang bersaing pada pusingan pertama pilihan raya tersebut. – Agensi
No comments:
Post a Comment