Tuesday, May 29, 2012

MEREKA INI TAK PERLU DIBANGGAKAN BUKAN MEREKA MENGAJAK TAKWA TAPI BERHIBUR DAN MELALAIKAN MANUSIA...MENYUBURKAN PERCAMPURAN LELAKI PEREMPUAN SECARA BEBAS....

Tiga artis popular sertai UMNO


AB. RAUF (tengah) menerima borang keahlian UMNO daripada Amy Search yang mewakili Mus May (kiri) dan Ibnor Riza (kanan) sambil diperhatikan oleh Jamal Abdillah di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Tiga artis popular tanah air, Amy Search, Mus May dan Ibnor Riza menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Artis berkenaan menegaskan bahawa keputusan mereka menyertai UMNO adalah atas kerelaan sendiri, bukannya dipaksa oleh pihak-pihak tertentu.
Legenda rock tanah air, Amy Search atau nama penuhnya Suhaimi Rahman berkata, beliau bersama Mus May dan Ibnor Riza bertindak sedemikian kerana menyedari hanya UMNO mampu memberi harapan bukan sahaja kepada orang Melayu malah semua rakyat di negara ini.
"UMNO diibaratkan seperti sebiji buah kelapa, semakin tua semakin banyak santan, kerana itu UMNO sahaja yang dapat membela nasib rakyat.
"Saya masuk UMNO bukan kerana dibeli sebaliknya atas kerelaan saya sendiri," katanya selepas majlis penyerahan borang keahlian UMNO kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh.

Tuanku tidak ambil duit rakyat

Tunku Ismail Idris


KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa kerabat diraja Johor tidak pernah mengambil sesen pun duit daripada kerajaan sejak pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.
Menerusi akaun laman sosial Twitternya @HRHJohor2, baginda bertitah, perkara itu boleh disahkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman atau mana-mana pegawai kerajaan.
Tempoh pemerintahan Kesultanan Johor dari era Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar hingga kini adalah selama 117 tahun. Almarhum Sultan Ibrahim memerintah Johor dari 1895 hingga 1959.
"Semua wang yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada beta dan ayahanda beta setiap bulan telah disalurkan kepada Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim," titah baginda.

Anak Zaid Ibrahim ditahan


EZRA ZAID


SHAH ALAM - Anak bekas pemimpin politik kontroversi, Datuk Zaid Ibrahim ditahan semalam kerana terlibat menerbitkan buku berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta tulisan penulis kontroversi, Irshad Manji .
Ezra Zaid yang merupakan pengarah syarikat ZI Publications ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh 20 pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sebanyak 180 naskhah buku tersebut dirampas dalam operasi ke atas pejabat syarikat penerbitan tersebut yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Empat maut nahas ngeri di Miri


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat salah seorang mangsa kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori tangki di Kampung Agus, Bekenu di Miri semalam.


MIRI - Empat lelaki termasuk tiga beradik maut dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan sebuah lori tangki di Kampung Agus, Bekenu di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, Sarbini Senen, 25, Mohamad Syafik, 17, serta seorang rakan, Nazri Sanawi, 18, maut di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Ikmal Alif, 9, maut ketika dalam perjalanan ke klinik berdekatan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, dalam kejadian tersebut, kereta yang dipandu Sarbini dalam perjalanan dari Miri ke arah Bintulu.
"Setibanya di tempat kejadian, Perodua Viva tersebut dipercayai masuk ke laluan bertentangan.
"Sebuah lori tangki yang datang dari depan gagal mengelak lalu merempuh kereta mangsa," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Lelaki hilang mati dibunuh


GAMBAR fail menunjukkan anggota polis mengangkat mayat Mustafa yang mati dibunuh sebelum dicampak di ladang kelapa sawit di Linggi, Rembau, Negeri Sembilan pada 15 Mei lalu.


KUALA LUMPUR - Keresahan seorang anak memikirkan bapanya yang tidak pulang-pulang sejak keluar rumah pada 14 Mei lalu tiba ke kemuncaknya apabila dia mendapati lelaki tersebut dibunuh dengan mayatnya dicampak ke dalam ladang kelapa sawit di Linggi, Negeri Sembilan.
Pembunuhan kejam ke atas Mustafa Ahmad Suhaimi, 50, hanya diketahui keluarganya selepas mereka dihubungi polis Isnin lalu bagi mengenal pasti mayat seorang lelaki yang ditemui dengan hanya memakai kain pelikat pada 15 Mei lalu.
Ketika ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, mayat Mustafa didapati mempunyai tiga tikaman di dada, kesan pergelutan di kedua belah tangan dan jerutan di leher.

Lagi ATM kena pecah


MUHAMMAD ROSLI menunjukkan kerosakan pada ATM yang dipecah penjenayah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang terletak di dalam sebuah pasar raya di Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam di sini dipecah penjenayah, menjadikan ia kejadian yang kedua dalam tempoh lima hari di kawasan sama.
Bagaimanapun, tiada wang dapat dilarikan selepas penjenayah gagal memecahkan sepenuhnya mesin ATM tersebut dengan menggunakan alatan yang mengeluarkan api dalam kejadian pukul 11 malam itu.
Kejadian tersebut disedari oleh pengurus pasar raya berkenaan, Muhammad Rosli Mohamad, 40, sebaik dia terdengar bunyi alat penggera ATM ketika hendak memulakan perniagaan pada pukul 9.30 pagi.
Menurut Muhammad Rosli, dia menyangka ATM itu rosak tetapi selepas diperiksa, dia dapati mesin itu didapati telah dipecahkan.
"Penduduk mendakwa alat penggera telah berbunyi pada pukul 3 pagi. Pemeriksaan menemui satu lubang pada pintu bersebelahan mesin selain kesan terbakar pada ATM tersebut.
"Wayar di dalam mesin itu turut dipotong tetapi penjenayah gagal melarikan wang," katanya yang memberitahu ia kejadian pertama sejak premis itu beroperasi 10 tahun lalu.

Suriani selamat tiba dari Lombok


SURIANI (tengah) diserbu wartawan sebaik tiba di LCCT Sepang, Selangor dari Lombok, Indonesia malam tadi.


SEPANG - Kelab Putera 1Malaysia akan menghentikan usaha membawa balik gadis yang lari mengikut teman lelaki bagi menumpukan kepada kes lain yang lebih serius seperti kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik.
Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, keputusan itu juga sebagai pengajaran kepada gadis dan keluarganya agar tidak mengambil kesempatan daripada keprihatinan kelab berkenaan.
"Banyak agenda lain yang lebih serius perlu diberi perhatian," katanya ketika ditemui pemberita di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini semalam

Pengarah IKM parah, anak maut


MARZUKI kelihatan lemah ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani Kedah selepas terlibat dalam kemalangan hingga mengorbankan seorang anaknya semalam.


SUNGAI PETANI - Hasrat empat sekeluarga untuk pulang ke kampung sempena cuti sekolah berkecai apabila salah seorang daripada mereka maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 90.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat susur keluar Sungai Lalang di sini semalam.
Kejadian pukul 6.10 pagi itu mengakibatkan Mukhrizah Marzuki, 3, maut, manakala bapanya, Marzuki Mahamad Radzi, 36, yang merupakan Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis, parah.
Turut parah ialah kakak Mukhrizah, Muslihah, 6, manakala seorang lagi, Muzafirah, 9, cedera ringan.
Kemalangan itu berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey dipandu Marzuki gagal dikawal lalu merempuh belakang sebuah treler membawa balak sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan lain dari belakang.

15 terbunuh gempa bumi di Itali

SEBUAH bangunan runtuh di bandar Cavezzo selepas gempa bumi melanda utara Itali semalam.


FELICE SUL PANARO, Itali - Satu gempa bumi kuat menggegarkan utara Itali semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, beberapa hari selepas rantau berkenaan dilanda gempa bumi yang membawa banyak kematian dan kemusnahan.
Angka korban tersebut disahkan oleh Pihak Berkuasa Perlindungan Awam Itali dengan pasukan penyelamat masih mencari sekitar empat atau lima orang yang dikhuatiri masih hilang.
"Saya terpaksa keluar dari bangunan, kami digegarkan dengan gempa yang kuat dan lama," kata seorang jurucakap agensi berkenaan di Mantua.
Pihak berkuasa memberitahu, bahagian utara Itali dilanda tiga gegaran dengan kekuatan hingga 5.3 pada skala Richter antara pukul 10.56 pagi hingga 11.01 pagi (waktu tempatan).
Siri gegaran tersebut menyusul selepas gempa bumi kuat bermagnitud 5.8 berlaku pada pukul 7 pagi ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Setiap bangunan di bandar ini runtuh," kata seorang anggota bomba di bandar Cavezzo kepada akhbar tempatan, Corriere della Sera.
Menurut Institut Geografi Modena, gempa bumi pertama berlaku sekitar 60 kilometer ke timur Parma dengan menyebabkan orang awam berlari ke jalan-jalan raya untuk menyelamatkan diri.
Selain Parma, gegaran turut dirasakan di bandar raya Pisa dan Venice.
Pihak berkuasa Itali memberitahu, lebih 5,000 orang telah dipindahkan dari kediaman mereka manakala kediaman sementara bagi menempatkan 4,000 mangsa bencana itu akan siap didirikan pada hari yang sama.
Gempa bumi semalam menyusul selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.0 melanda utara negara itu pada 20 Mei lalu yang meragut enam nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa bermalam di khemah-khemah sementara. - AFP

No comments:

Post a Comment