Cinta palsu kekasih maya
Oleh Muhammad Apendy Issahak
2010/06/24
2010/06/24
TERPEDAYA...mangsa menunjukkan laporan polis.
Seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Suresh, 28, berkata dia mula mengenali wanita terbabit melalui laman sosial berkenaan kira-kira enam bulan lalu yang menggunakan nama Sai Sailani, selepas wanita terbabit menjemputnya menjadi sahabat facebook dan mempelawanya untuk berkenalan.
Katanya, pada mulanya dia gembira kerana jika dilihat daripada gambar dilampirkan pada profil, wanita terbabit berperwatakan cantik dan seksi.
“Selepas beberapa minggu berkenalan, saya mula jatuh hati kepadanya yang begitu pandai bermain ayat cinta.
“Namun apabila diajak berjumpa, wanita terbabit memberi pelbagai alasan. Wanita berkenaan juga mula membuat cerita sedih kononnya dia kesempitan wang menjalankan perniagaan sehingga saya tertipu dengan memasukkan sejumlah wang ke akaun banknya,” katanya di sini, semalam.
Suresh berkata, dalam tempoh enam bulan itu, dia sudah memasukkan RM1,600 ke akaun Sai kerana percaya wanita terbabit benar-benar mencintainya dan berada dalam kesusahan.
“Pernah sekali dia kata terlalu kesempitan duit dan terpaksa menanggung bapa yang sakit tenat sehingga ingin membunuh diri,” katanya.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Jaya, 32, yang juga rakan baik Suresh berkata, dia berkenalan dengan Sai Sailani juga melalui laman facebook.
Katanya, selepas ‘mengikatnya’ sebagai sahabat siber, wanita terbabit mengaku dia rakan baik kepada seorang lagi rakannya dan akan berkahwin tidak lama lagi.
Menurutnya, wanita itu menggunakan helah sama menipunya iaitu dengan mengatakan dia kesempitan wang dan berdepan pelbagai masalah.
“Sejak kenal dengannya, saya sudah anggap dia macam adik sendiri kerana bakal berkahwin dengan teman rapat saya sehingga saya sanggup memasukkan RM5,500 ke akaun banknya.
“Bagaimanapun, saya mula mengesyaki sesuatu selepas mendapati nama tercatat pada akaun bank tidak sama dengan nama diberikan wanita terbabit, lalu menyiasat latar belakang sebenarnya,” katanya.
Menurutnya, selepas mendapat alamat rumah dan tempat wanita itu bekerja, dia dan Suresh kemudian pergi menemuinya di pejabat.
Hasil kerjasama majikan di pejabat berkenaan, wanita terbabit ditemui dan selepas diajukan pelbagai pertanyaan, dia akhirnya mengaku segala penipuan dilakukan.
“Kami terkejut apabila buat pertama kali bertemu kerana susuk tubuh wanita itu langsung tidak sama dengan profil diberikan dalam facebook. Dia gemuk dan tidak menarik langsung.
“Selepas itu, kami menemui keluarganya dan mereka memberitahu kami bukan orang pertama ditipu wanita berkenaan, malah sebelum itu lebih lapan lelaki datang mengadu perkara sama,” katanya.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, Jumaat lalu, namun dimaklumkan pihak berkuasa hanya boleh mengambil keterangan daripada suspek dan sukar mensabitkan atas kesalahan menipu kerana wang berkenaan dimasukkan sendiri oleh mangsa tanpa paksaan.
“Wanita terbabit berjanji akan memulangkan wang kami tetapi hingga kini masih gagal melunaskannya.
“Kami tahu mungkin sukar mendapatkan kembali duit, tetapi mendedahkan perkara ini supaya orang lain tidak tertipu seperti kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment