Menangani kekeliruan amalan puasa Rejab
2010/06/27
Muslim patut laksana ibadah berdasarkan neraca ilmu agar segala perbuatan tidak sia-siaBAGI sesetengah masyarakat Muslim, Rejab dianggap bulan penuh keberkatan dan fadilat. Rejab turut disebut sebagai bulan Allah SWT.
Justeru, didapati segelintir masyarakat amat suka melakukan amalan sunat khususnya berpuasa pada Rejab. Diriwayatkan hadis yang menceritakan fadilat puasa pada Rejab. Contohnya ada riwayat menyatakan amalan berpuasa satu hari pada Rejab ganjaran pahalanya menyamai puasa 40 tahun dan diberikan syurga paling tinggi.
Jika berpuasa dua hari, pahalanya dilipat gandakan, manakala amalan pahala pada 27 Rejab sama dengan pahala 40 bulan. Kalau dibuat pula sedekah pada hari berkenaan, pahalanya menyamai 1,000 tahun. Begitulah seterusnya. Namun ada pula dalam nada dan pandangan berbeza menafikan amalan berpuasa pada Rejab. Hujahnya ialah riwayat hadis fadilat Rejab ialah dhaif, sangat dhaif dan maudhuk (palsu).
Akhirnya timbul pula kekeliruan dalam masyarakat yang ingin beramal. Kekeliruan ini membawa kepada gejala negatif dan tidak sihat sehingga mewujudkan golongan yang langsung tidak mahu berpuasa pada Rejab kerana tiada fadilat dalam hadis yang sahih menurut pandangan mereka.
Bukan sekadar itu, wujud pula pertikaian di kalangan masyarakat yang berpuasa pada Rejab dengan masyarakat yang tidak berpuasa. Ada yang menangis kesal kerana sudah lama berpuasa pada Rejab. Rupa-rupanya amalan itu sia-sia dan tidak mendapat pahala. Alangkah rugi dirinya kerana melakukan perkara sia-sia.
Kekeliruan ini muncul kerana beberapa sebab. Antaranya kehilangan adab dalam memberikan pandangan dan kefahaman yang berbeza. Maka wujud golongan yang menyalahkan amalan orang lain, menyesatkan orang lain, memfasiq golongan lain dan pelbagai hukum yang buruk dilemparkan.
Mungkin datang seorang ustaz dalam kuliah agama membawakan riwayat hadis mengenai fadilat Rejab dan amalan baik. Pendengar di masjid bersemangat untuk melaksanakan amalan baik walaupun sedikit. Namun, dalam kuliah agama esok malam pula, ustaz lain membawakan hukum bahawa riwayat hadis dalam fadilat Rejab tidak benar. Begitulah malam seterusnya dengan pelbagai pandangan yang berbeza 180 darjah.
Sebagai individu Muslim, isu fadilat Rejab harus menjadi pemangkin kepada diri untuk menjana ke arah yang positif antaranya:
- Sebelum memulakan sesuatu amalan, seeloknya biarlah berdasarkan neraca ilmu. Oleh itu, gali ilmu mengenai fadilat Rejab melalui pelbagai sumber. Kita boleh merujuk internet yang sarat dengan maklumat atau membaca buku mengenai fadilat Rejab serta amalannya. Bertanya kepada ahli ilmu, ustaz dan ulama untuk memperoleh kefahaman lebih jitu.
- Jika diyakini ada fadilat Rejab walaupun hadisnya daif, namun diterima sebahagian ulama, maka beramallah. Amalan itu berdasarkan ilmu yang sudah digali.
- Jika diyakini hadis mengenai fadilat Rejab adalah palsu dan sangat daif, maka tidak perlu beramal. Biarkan seketika amalan berkenaan. Lagipun jika ditinggalkan amalan, bukan satu kesalahan dan dosa. Amalan yang dinyatakan dalam riwayat hadis hanya termasuk dalam ibadah sunat. Pada masa sama, tidak wajar disesatkan masyarakat yang beramal kerana berpegang dengan fadilat Rejab. Biarlah perbincangan, muzakarah, diskusi dan wacana ilmu dalam suasana mahabbah dan harmoni.
- Lebih baik lagi dibuat amalan yang pasti ketika Rejab. Dalam amalan berpuasa, ada hadis sahih menerangkan puasa sunat. Contohnya puasa tiga hari setiap bulan. Hadis ini ada dalam riwayat Imam Muslim. Antara amalan Nabi Muhammad SAW ialah berpuasa pada Isnin dan Khamis seperti riwayat Imam Muslim. Begitu juga puasa pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan seperti diriwayatkan Sunan Abi Daud.
- Oleh itu, antara dua pandangan berbeza mengenai fadilat puasa ketika Rejab, berpuasalah pada Isnin dan Khamis. Juga berpuasa pada 13, 14 dan 15 Rejab. Dalam puasa sunat ini pun, bilangannya sudah 10 hari. Kalau hukum sebenar bahawa tiada fadilat bagi Rejab, Alhamdulillah kerana kita berpuasa dengan sunnah Nabi SAW. Jika hukum sebenar ada fadilat bagi Rejab, syukur kepada Allah SWT kerana kita juga berpuasa sunat.
Bagi yang sudah lama beramal dengan fadilat Rejab, namun kini mungkin diyakininya hadisnya tidak sahih, jangan bersedih. Amalan baik yang dibuat insya-Allah tidak akan sia-sia. Hendaklah disedari bahawa Allah itu sifat-Nya maha pengampun. Rahmat Allah meliputi segala sesuatu. Sudah tentu hasil jerih seseorang insan beribadat sekadar kemampuan yang ada akan diganjari.
Umum firman Allah mafhumnya: Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala golongan yang berbuat baik. (Surah at-Taubah: 120). Dalam surah Aali Imran ayat 171, Allah azza wajalla tidak akan mensia-siakan pahala golongan beriman.
Sesungguhnya ilmu itu amat luas. Ilmu yang dikurniakan tidaklah banyak. Sewajarnya ilmu yang ada dicari dan dihadami, maka biarlah amalan itu berdasarkan neraca ilmu, bukan lagi ikut-ikutan,
No comments:
Post a Comment