Saturday, June 26, 2010

Menangani kekeliruan amalan puasa Rejab
2010/06/27
Muslim patut laksana ibadah berdasarkan neraca ilmu agar segala perbuatan tidak sia-sia

BAGI
...sesetengah masyarakat Muslim, Rejab dianggap bulan penuh keberkatan dan
fadilat. Rejab turut disebut sebagai bulan Allah SWT.



Justeru, didapati segelintir masyarakat amat suka melakukan amalan
sunat khususnya berpuasa pada Rejab. Diriwayatkan hadis yang
menceritakan fadilat puasa pada Rejab. Contohnya ada riwayat menyatakan
amalan berpuasa satu hari pada Rejab ganjaran pahalanya menyamai puasa
40 tahun dan diberikan syurga paling tinggI

Jika berpuasa dua hari, pahalanya dilipat gandakan, manakala amalan
pahala pada 27 Rejab sama dengan pahala 40 bulan. Kalau dibuat pula
sedekah pada hari berkenaan, pahalanya menyamai 1,000 tahun. Begitulah
seterusnya.
Namun ada pula dalam nada dan pandangan berbeza menafikan amalan
berpuasa pada Rejab. Hujahnya ialah riwayat hadis fadilat Rejab ialah
dhaif, sangat dhaif dan maudhuk (palsu)

Akhirnya timbul pula kekeliruan dalam masyarakat yang ingin beramal.
Kekeliruan ini membawa kepada gejala negatif dan tidak sihat sehingga
mewujudkan golongan yang langsung tidak mahu berpuasa pada Rejab kerana
tiada fadilat dalam hadis yang sahih menurut pandangan mereka.


Bukan sekadar itu, wujud pula pertikaian di kalangan masyarakat
yang berpuasa pada Rejab dengan masyarakat yang tidak berpuasa. Ada
yang menangis kesal kerana sudah lama berpuasa pada Rejab. Rupa-rupanya
amalan itu sia-sia dan tidak mendapat pahala. Alangkah rugi dirinya
kerana melakukan perkara sia-sia.



Kekeliruan ini muncul kerana beberapa sebab. Antaranya kehilangan
adab dalam memberikan pandangan dan kefahaman yang berbeza. Maka wujud
golongan yang menyalahkan amalan orang lain, menyesatkan orang lain,
memfasiq golongan lain dan pelbagai hukum yang buruk dilemparkan.

Mungkin datang seorang ustaz dalam kuliah agama membawakan riwayat
hadis mengenai fadilat Rejab dan amalan baik. Pendengar di masjid
bersemangat untuk melaksanakan amalan baik walaupun sedikit. Namun,
dalam kuliah agama esok malam pula, ustaz lain membawakan hukum bahawa
riwayat hadis dalam fadilat Rejab tidak benar. Begitulah malam
seterusnya dengan pelbagai pandangan yang berbeza 180 darjah.



Sebagai individu Muslim, isu fadilat Rejab harus menjadi pemangkin kepada diri untuk menjana ke arah yang positif antaranya:



Sebelum memulakan sesuatu amalan, seeloknya
biarlah berdasarkan neraca ilmu. Oleh itu, gali ilmu mengenai fadilat
Rejab melalui pelbagai sumber. Kita boleh merujuk internet yang sarat
dengan maklumat atau membaca buku mengenai fadilat Rejab serta
amalannya. Bertanya kepada ahli ilmu, ustaz dan ulama untuk memperoleh
kefahaman lebih jitu.

Jika diyakini ada fadilat Rejab walaupun hadisnya daif,
namun diterima sebahagian ulama, maka beramallah. Amalan itu
berdasarkan ilmu yang sudah digali.

Jika diyakini hadis mengenai fadilat Rejab adalah palsu
dan sangat daif, maka tidak perlu beramal. Biarkan seketika amalan
berkenaan. Lagipun jika ditinggalkan amalan, bukan satu kesalahan dan
dosa. Amalan yang dinyatakan dalam riwayat hadis hanya termasuk dalam
ibadah sunat. Pada masa sama, tidak wajar disesatkan masyarakat yang
beramal kerana berpegang dengan fadilat Rejab. Biarlah perbincangan,
muzakarah, diskusi dan wacana ilmu dalam suasana mahabbah dan harmoni.

Lebih baik lagi dibuat amalan yang pasti ketika Rejab.
Dalam amalan berpuasa, ada hadis sahih menerangkan puasa sunat.
Contohnya puasa tiga hari setiap bulan. Hadis ini ada dalam riwayat
Imam Muslim. Antara amalan Nabi Muhammad SAW ialah berpuasa pada Isnin
dan Khamis seperti riwayat Imam Muslim. Begitu juga puasa pada hari
putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan seperti diriwayatkan Sunan Abi
Daud.

Oleh itu, antara dua pandangan berbeza mengenai fadilat
puasa ketika Rejab, berpuasalah pada Isnin dan Khamis. Juga berpuasa
pada 13, 14 dan 15 Rejab. Dalam puasa sunat ini pun, bilangannya sudah
10 hari. Kalau hukum sebenar bahawa tiada fadilat bagi Rejab,
Alhamdulillah kerana kita berpuasa dengan sunnah Nabi SAW. Jika hukum
sebenar ada fadilat bagi Rejab, syukur kepada Allah SWT kerana kita
juga berpuasa sunat.



Bagi yang sudah lama beramal dengan fadilat Rejab, namun kini
mungkin diyakininya hadisnya tidak sahih, jangan bersedih. Amalan baik
yang dibuat insya-Allah tidak akan sia-sia. Hendaklah disedari bahawa
Allah itu sifat-Nya maha pengampun. Rahmat Allah meliputi segala
sesuatu. Sudah tentu hasil jerih seseorang insan beribadat sekadar
kemampuan yang ada akan diganjari.


Umum firman Allah mafhumnya: Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan
pahala golongan yang berbuat baik. (Surah at-Taubah: 120). Dalam surah
Aali Imran ayat 171, Allah azza wajalla tidak akan mensia-siakan pahala
golongan beriman.



Sesungguhnya ilmu itu amat luas. Ilmu yang dikurniakan tidaklah
banyak. Sewajarnya ilmu yang ada dicari dan dihadami, maka biarlah
amalan itu berdasarkan neraca ilmu, bukan lagi ikut-ikutan

No comments:

Post a Comment