DUNIA
Setiausaha Tenaga Britain terjebak skandal seks
LONDON - Baru beberapa minggu mentadbir negara, Kabinet Britain terus dicemari skandal apabila Setiausaha Tenaga, Chris Huhne mengumumkan bahawa dia menceraikan isterinya kerana seorang wanita simpanan, lapor sebuah akhbar semalam.
Hubungan sulit Huhne dari parti Liberal Demokrat bersama seorang penasihat media, Carina Trimingham (gambar) merupakan skandal kedua menggegar kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri David Cameron dalam tempoh tiga minggu.
Rumahtangga Huhne selama 26 tahun dengan pegawai kerajaan, Vicky Pryce, 57, berakhir setelah beliau mengesahkan menjalin hubungan sulit dengan Trimingham, 44, apabila didesak oleh wartawan kelmarin.
"Saya menjalin hubungan serius dengan Carina Trimingham dan dalam proses menceraikan isteri saya," katanya.
Isterinya hanya mengetahui tentang hubungan sulit itu setelah berita mengenainya disiar media tempatan.
Lebih malang buat isterinya, hubungan sulit suaminya dengan Trimingham, seorang janda yang juga kenalannya, berlaku tanpa pengetahuannya di sebuah rumah mereka di Eastleigh, Hampshire, selama lebih setahun.
Hubungan sulit itu bermula pada Mei 2009, dua tahun selepas mereka berkenalan semasa Trimingham bekerja dalam pasukan kempen politik Huhne.
Sementara itu, nasib Huhne, 55, dalam kabinet akan ditentukan oleh Cameron. Tetapi sudah timbul ura-ura bahawa beliau akan diarah untuk meletak jawatan susulan skandalnya.
Pada bulan lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan David Laws meletak jawatan setelah media Britain mendedahkan beliau membayar elaun rumah kedua miliknya sebanyak £40,000 (RM192,975) kepada pasangan lelakinya. - Agensi
No comments:
Post a Comment