Wednesday, June 23, 2010

INI CERITA DI METRO 23/6/2010 SAJE BELUM DI AKHBAR,,,,BANYAK PERKARA TERLARANG DI

Duit maksiat jamu jemaah

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

2010/06/23

PUTRAJAYA: Dua beranak ditahan di sebuah kondominium di Puchong, dekat sini, kerana menawarkan khidmat urut badan ke badan kepada pelanggan lelaki ketagih seks beberapa hari lalu, mengaku menggunakan ‘wang panas’ hasil kerja haram itu bagi menjamu jemaah masjid di Petaling Jaya, pada setiap Jumaat.
Pengakuan mengejutkan ibu dan anak masing-masing berusia 45 dan 25 tahun itu didedahkan selepas mereka ditahan dalam serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di kondominium milik wanita terbabit yang turut digunakan bagi menawarkan pakej seks dan urut badan ke badan selepas Maghrib sehingga tengah malam.

Wanita terbabit ditahan selepas dikesan sedang menawarkan pakej khas membabitkan seks dan urut ghairah berkenaan kepada seorang pelanggan yang juga kakitangan kerajaan berusia 30-an, kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketika disoal siasat, mereka mengaku meraih keuntungan lumayan antara RM150 hingga RM300 bagi setiap khidmat urut istimewa mengikut pakej disajikan kepada pelanggan kebanyakannya menghadapi masalah rumah tangga atau lelaki ketagih seks. Setiap hari, dua beranak dipercayai melayan beberapa pelanggan.

Malah, lebih mengejutkan si ibu mengaku kepada pegawai penguat kuasa Jais, bahawa mereka menggunakan wang hasil urut dan seks istimewa itu di jalan baik, iaitu dengan bersedekah dan menjamu jemaah masjid kononnya bagi menghapuskan dosa maksiat yang dilakukan bersama anaknya.

Ibu tunggal itu membuat pengakuan pelik kepada Pengarah Perancangan dan Strategik Jais, Shahrom Maarop, yang turut serta dalam serbuan di rumahnya didapati turut menyediakan bilik khas bagi memudahkan dua beranak itu melayan pelanggan.

Sambil mengakui terkejut dengan pengakuan wanita terbabit, Shahrom berkata, serbuan dibuat selepas Jais mendapat maklumat mengenai kegiatan tidak bermoral beranak itu.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan ramai lagi tukang urut berahi yang menawarkan servis badan ke badan selain memberi layanan seks kepada pelanggan, turut menggunakan pendekatan sama iaitu menderma dan menganjurkan jamuan menggunakan wang haram diperoleh di masjid kononnya bagi mendapat pahala.

Menurutnya, perbuatan itu jelas menunjukkan kecetekan pengetahuan agama golongan terbabit kemungkinan turut memperoleh dan mempelajari ilmu salah daripada ‘tok guru songsang’.

“Kumpulan wanita jenis ini dari segi akhlak memang sudah jauh tersasar kerana bagi mereka wang segala-galanya walaupun dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara (walaupun untuk sumber rezeki tetapi caranya haram dan ia tetap haram).

“Mereka perlu ingat setiap daging tumbuh hasil benda haram, maka api neraka yang akan membakar diri mereka,” katanya, semalam.

Oleh itu, Shahrom berkata, pengurusan masjid yang menyedari sumber haram itu wajar tidak menerima wang berkenaan terutama bagi menjamu jemaah selain untuk pengurusan masjid.

Beliau berkata, dua beranak terbabit bakal dihadapkan ke mahkamah syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor atas kesalahan maksiat dilakukan mereka.



Drebar teksi kena cabul

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/06/23

AMPANG: Geram dengan tindakan penumpang mencabulnya, seorang pemandu teksi wanita mendapat idea bijak apabila memandu kenderaan pengangkutan awam itu terus ke balai polis berhampiran sebelum membuat laporan berhubung jenayah seksual dilakukan terhadapnya.
Akibatnya, penumpang teksi terbabit berusia 56 tahun ditahan sejurus laporan dibuat wanita berusia 51 tahun itu.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku Khamis lalu selepas mangsa menerima panggilan daripada seorang rakan wanita berusia 70-an di Taman Muda di sini, yang ingin menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke pasar.

“Bagaimanapun, sejurus mangsa tiba di rumah itu, rakannya tiba-tiba menukar rancangan kerana keletihan lalu meminta anak lelakinya ke pasar dengan menaiki teksi berkenaan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membawa anak lelaki rakannya itu menaiki teksi untuk ke pasar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam perjalanan, lelaki terbabit yang berada di tempat duduk hadapan tiba-tiba membuka butang baju mangsa sebelum meramas buah dadanya.

“Mangsa tidak mampu berbuat apa-apa kerana sedang memandu dan hanya menegur serta memarahi lelaki terbabit kerana bersikap biadab terhadapnya.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan tanpa perasaan bersalah hanya tersenyum memandang mangsa membuatkan wanita terbabit menjadi bertambah berang,” katanya.

Sumber itu berkata, walaupun marah, pemandu teksi berkenaan masih mampu bersabar dan mendapat idea untuk mengajar anak rakannya yang kurang ajar itu dengan memandu kenderaan itu ke balai polis.

“Sejurus tiba di balai, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada anggota polis sebelum membuat laporan berhubung kejadian di dalam teksi sebelum itu.

“Lelaki terbabit kemudian ditahan,” katanya.

Menurut sumber itu, wanita berkenaan sudah enam tahun memandu teksi dan mengenali ibu lelaki terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa.

“Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.



Noda anak enam tahun

Oleh Riadz Radzi dan Omar Osman

2010/06/23

SUNGAI PETANI: “Perbuatan kamu ini umpama haruan makan anak dan ibarat harapkan pagar, pagar makan padi,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Rusita Md Lazim ketika menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki berusia 49 tahun yang didapati bersalah merogol anak kandungnya pada 2002 hingga 2008.
BERSALAH...tertuduh diiring di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, 
semalam.
BERSALAH...tertuduh diiring di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam.
Tertuduh, bekas pengawal keselamatan didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Kupang, Baling, mulai 2002 hingga 2008.

Tertuduh berusia 42 tahun manakala anak perempuannya berusia tujuh tahun ketika kejadian pertama berlaku ditahan pada 7 Mei 2008 selepas mangsa yang pada masa itu berusia 13 tahun membuat laporan di Balai Polis Kupang bersama keluarganya.

Rusita berkata, pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mendapati tertuduh bersalah kerana merogol dan melakukan sumbang mahram terhadap anaknya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadilah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Rusita berkata, hukuman itu setimpal dengan perbuatan tertuduh yang kejam dan tidak berperikemanusiaan terutama mangsa yang masih terlalu kecil ketika kejadian.

“Kamu sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, tetapi melakukan perbuatan keji dan kejam terhadap mereka, malah kamu tidak menghiraukan sedikit pun jeritan kesakitan anak kecil ketika melakukan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan melakukan sumbang mahram terhadap seorang lagi anak perempuannya pada 2008 di rumah sama.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Kes itu akan disebut semula pada 23 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment