Lans koperal jatuh bangunan
Laporan dan foto ADNAN MOHAMAD
am@hmetro.com.my
2010/06/27
am@hmetro.com.my
2010/06/27
TERJATUH... penduduk setempat melihat tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, mangsa dipercayai berada di dalam sebuah bilik hotel itu sebelum didatangi sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal- Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) yang membuat pemeriksaan.
Sumber berkata, sebelum kejadian, hotel berkenaan didatangi sepasukan pegawai JAHEAIK dan meminta kebenaran menjalankan pemeriksaan bagi Operasi Cegah Maksiat.
Sebaik mendapat kebenaran, penguat kuasa JAHEAIK membuat serbuan ke atas sebuah bilik dan mendapati seorang wanita bersendirian di situ.
Katanya, ketika melakukan pemeriksaan, seorang penguat kuasa menjenguk melalui tingkap dan terkejut mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan belakang hotel itu.
“Selepas beberapa minit, saya diberitahu seorang penduduk berdekatan bahawa seorang lelaki ditemui terbaring dalam keadaan mengerang kesakitan dengan kesan kecederaan di kepala.
“Saya kemudian menghubungi ambulans sebelum lelaki terbabit dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa jam, dia dimaklumkan mangsa meninggal dunia.
Sementara itu, isteri mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui di bilik mayat berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 3 pagi sebelum bergegas ke hospital untuk melihat keadaan suaminya.
Beliau berkata, sebaik tiba di hospital kira-kira jam 3.40 pagi, dia diberitahu oleh doktor bahawa suaminya gagal diselamatkan selepas mengalami pendarahan teruk di dalam kepala.
“Malam tadi suami tidak bertugas dan memberitahu dia hendak keluar sekejap dan akan balik secepat mungkin selepas urusannya selesai.
“Kira-kira jam 3 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada pihak hospital meminta saya datang kerana suami terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Beliau berkata, suaminya yang berasal dari Terengganu bertugas di Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sejak tiga tahun lalu.
Sebelum kejadian, dia sempat makan malam bersama suaminya dan seorang anak mereka berusia tiga tahun.
Menurutnya, jenazah suaminya akan dibawa pulang ke kampungnya di Terengganu sebaik bedah siasat selesai dilakukan.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
No comments:
Post a Comment