NEGARA
Meninggal dunia selang 15 minit
JASIN - Ketika masih hidup, pasangan suami isteri, Md. Jan Abdul Hadi, 56, dan Kamsiah Bakau, 54, dianggap pasangan yang romantik oleh anak-anak dan masyarakat setempat.
Ke mana saja pasangan yang mempunyai enam anak berusia di antara 16 dan 31 tahun itu pergi, mereka tidak pernah berenggang dan sentiasa dilihat berdua.
Jika ke mana destinasi pun, pasangan yang telah berkahwin selama 32 tahun itu akan dilihat pergi bersama-sama, dan bagai pasangan pengantin baru, Md. Jan seorang pesara kerajaan dan Kamsiah juga akan bersarapan bersama hampir setiap hari.
Mungkin kerana terlalu akrab dan sentiasa berdua ketika masih hidup, pasangan itu secara kebetulan juga meninggal dunia pada hari yang sama.
Kamsiah terlebih dahulu meninggal dunia pada pukul 7.05 pagi kelmarin sebelum diikuti Md. Jan yang lebih mesra dengan panggilan Pak Uda 15 minit kemudian.
Anak sulung pasangan itu, Nurman, 31, berkata, jika keluar berjalan-jalan, kedua-dua ibu bapanya tidak pernah berpisah dan akan pergi bersama-sama.
"Bukan saja keluar bersama, kereta yang dinaiki mereka juga mesti sama.
"Pernah suatu ketika dulu, ketika saya meminta emak dan abah naik kereta berasingan untuk keluar berjalan, mereka enggan berpisah dan meminta untuk bersama dalam satu kereta dan tidak kisah siapa yang memandunya," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Kesang Jaya di sini semalam.
Nurman berkata, apa yang membuatkan dia begitu mengagumi ibu dan ayahnya, mereka juga tidak pernah lekang untuk bersarapan bersama setiap pagi.
"Ayah akan beli sarapan di luar dan dibawa ke rumah untuk makan bersama, jarang sekali mereka makan di luar mungkin kerana di rumah lebih selesa," katanya.
Sementara itu, anak kedua pasangan itu, Nor Azlina, 29, berkata, ibunya itu rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja doktor memberitahu penyakit barah hati yang dihidapi oleh ayahnya semakin kritikal.
"Emak mungkin tidak dapat terima hakikat bakal kehilangan ayah menyebabkan dia terus rebah dan tidak sedarkan diri.
"Tidak lama kemudian ayah pula menurut jejak ibu," katanya.
No comments:
Post a Comment