NEGARA
Lagi al-Quran terkecil ditemui
|
|
KOTA BHARU - Seorang pesara dari Jalan Tanah Merah, Pasir Mas dekat sini mendakwa memiliki senaskhah al-Quran yang dipercayai antara al-Quran terkecil di negara ini.
Hanya berukuran 24 milimeter (mm) panjang, 17mm lebar dan 10mm tebal, al-Quran milik Abdullah Hamzah, 57, itu lebih besar sedikit daripada al-Quran terkecil di dunia di China yang berukuran 19.6mm panjang, 13.2 mm lebar dan 6.1mm tebal.
Menurut Abdullah yang menyimpannya sejak 44 tahun lalu, al-Quran tersebut diberikan oleh arwah ayahnya, Allahyarham Hamzah Jaafar yang merupakan seorang Tok Guru Pondok yang mengajar al-Quran di madrasah dan masjid.
NEGARA
Tamadun manusia tertua ditemui
LENGGONG – Penemuan tapak sebuah bengkel masyarakat paleolitik tertua di dunia di Bukit Bunuh dekat sini bakal mengubah sejarah awal tamadun manusia sebagaimana tercatat dalam buku-buku sejarah.
Penemuan beberapa artifak dipercayai berusia 1.83 juta tahun di kawasan seluas empat kilometer persegi itu menunjukkan masyarakat berkenaan tidak mengamalkan kehidupan berpindah-randah sebagaimana difahami selama ini.
Lebih menakjubkan, penemuan ribuan batu jenis suevite yang berselerakan di kawasan itu menunjukkan kawasan tersebut pernah menerima hentaman tahi bintang jutaan tahun lalu.
Pengarah Pusat Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mokhtar Saidin berkata, penemuan artifak kapak genggam diperbuat daripada batu yang berusia 1.83 juta tahun merupakan bukti kukuh bahawa manusia zaman tersebut sudah hidup menetap di satu kawasan.
Lelaki berpakaian gaun wanita ditemui mati dibunuh
14/02/2011 5:21pm
GEORGETOWN - Seorang lelaki yang berpakaian gaun wanita ditemui mati, dipercayai dibunuh di Lorong Love di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai dihentak dengan tukul besi pada bahagian kepala itu mati di tempat kejadian.
"Menurut beberapa saksi, mangsa yang berjalan seorang diri di kawasan sebuah tokong tiba-tiba dihampiri seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan memukulnya dengan tukul besi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Lelaki yang masih belum dipastikan identitinya itu dipercayai pondan dan menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan.
Beliau berkata polis menemui tukul besi berhampiran tempat kejadian yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuhnya. - Bernama
Rogol, liwat warga emas: Buruh dipenjara, disebat
14/02/2011 5:11pm
SUNGAI PETANI - Seorang buruh yang mengaku bersalah atas tuduhan merogol dan meliwat seorang warga emas hampir dua tahun lepas hari ini dihukum penjara berjumlah 16 tahun dan 12 sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Zainol Saad memerintahkan hukuman ke atas tertuduh, Shariefuddin Arshad, 45, dari Serdang, Bandar Baharu dijalankan secara berasingan mulai tarikh dia ditangkap pada 27 September 2009.
Shariefuddin dituduh melakukan kesalahan tersebut secara berasingan ke atas jirannya seorang warga emas berusia 62 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Wangsa, Serdang, dekat sini.
Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa merogol jirannya itu antara pukul 7 dan 8 pagi, 6 Sept 2009.
Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, Shariefuddin didakwa melakukan persetubuhan di luar tabie pada tarikh dan tempat sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan sebatan. - Bernama
Dadah: Ameng mengaku bersalah 2 tuduhan
14/02/2011 4:26pm
MELAKA - Penyanyi Kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail, atau lebih dikenali sebagai Ameng, hari ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Ameng, 42, didakwa bersama-sama isterinya Sabariah Zakaria, 41, pada pertuduhan pertama mengaku bersalah kerana memiliki kanabis, berat kasar 122 gram ketika di dalam sebuah bilik hotel, di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir di sini pada 1 Feb 2011, pukul 5.20 petang.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2), Akta yang sama dan dibacakan bersama di bawah Seksen 34 Kanun Keseksaan.
Beliau menghadapi hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidk kurang dari 10 sebatan.
Bagi kesalahan kedua, pada waktu, tempat dan tarikh yang sama, dia dituduh memiliki dadah methamphetamine dengan berat kasar 1 gram.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3), akta yang sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan. - Bernama
Suruhanjaya siasat kematian Beng Hock bermula
14/02/2011 1:48pm
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya untuk menyiasat kematian setiausaha politik seorang anggota Exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock memulakan prosiding pagi ini.
Suruhanjaya itu diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T. Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh; dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom.
Turut hadir peguam mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo dan peguam Malik Imtiaz yang mewakili negeri Selangor. - Bernama
Terselamat dibaham harimau
IPOH – Tindakan nekad seorang wanita Orang Asli memukul dengan senduk kayu kepala seekor harimau belang yang menyerang suaminya menyelamatkan nyawa lelaki tersebut daripada dibaham si belang di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Gerik.
Dalam kejadian pukul 8 pagi kelmarin itu, Han Besou, 50-an, berada di dapur rumahnya dan mendengar jeritan suaminya, Tambun Gedui, 60, yang berada kira-kira 10 meter dari situ.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Han terus berlari ke arah suaminya dan terkejut melihat seekor harimau menggomol suaminya.
“Han terus memukul kepala harimau dengan senduk kayu yang dibawanya berkali-kali menyebabkan harimau tersebut berhenti menyerang lalu melarikan diri ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi.
NEGARA
Dua kumpulan samseng bertempur
KLANG - Dendam yang bersarang sekian lama antara dua kumpulan gengster berpengaruh di daerah ini dipercayai menjadi punca berlaku pertumpahan darah di hadapan deretan kedai di Jalan Datok Manan di Kapar di sini semalam.
Pergaduhan ala mafia melibatkan kira-kira 20 lelaki itu menyebabkan empat mangsa cedera parah dan bergelimpangan atas jalan.
Salah seorang daripada mangsa yang cedera mempunyai kesan tembakan di sebelah kakinya.
Dalam pertempuran pada pukul 6 pagi itu, kedua-dua anggota kumpulan terbabit yang berumur antara 20 hingga 35 tahun dipercayai membawa pelbagai senjata seperti parang, batang besi dan senjata api.
Pergaduhan tersebut tidak terhenti setakat itu apabila turut menyebabkan dua buah kereta iaitu kereta Proton Waja dan kereta Proton Perdana yang berada kira-kira 200 meter dari tempat pertempuran dua kumpulan samseng itu dibakar.
NEGARA
Lelaki cedera diserang beach boy
GEORGE TOWN - Seorang lelaki cedera parah di kepala dipercayai diserang sekumpulan lelaki pengusaha aktiviti pantai beach boy di Jalan Emas, Batu Feringghi di sini kelmarin.Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun itu mendakwa dia telah diserang lebih daripada lima lelaki tempatan dan dipukul menggunakan sebatang kayu dan topi keledar berhampiran sebuah kafe siber di situ.
Ekoran serangan itu, mangsa yang merupakan penjaga premis kafe siber di situ mengalami pendarahan teruk di kepala akibat terkena hentakan kuat dengan objek keras.
Pengasas Facebook makan bersila
|
|
PALO ALTO, California – Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg makan bersila dekat pintu sebuah kedai di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Zuckerberg yang berusia 26 tahun dan bilionair termuda dunia dengan anggaran kekayaan AS$16 bilion (RM48.81 bilion) memakai baju T, kasut sukan dan seluar jean Levi’s semasa dia makan makanan Mexico yang dibeli dari sebuah gerai di tepi jalan baru-baru ini.
Seorang pejalan kaki berkata, pengasas Facebook itu tidak dikawal oleh seorang pengawal keselamatan.
“Dia (Zuckerberg) berjalan di gerai itu, menunggu dalam barisan seperti orang lain dan membeli ayam, nasi dan kerepek tortilla dengan harga AS$4 (RM12.20) untuk makan dengan seorang rakan di satu laluan ke sebuah kedai,” katanya.
Pengasas Facebook itu kelihatan seperti seorang pelajar yang tidak berduit semasa dia berdiri dan makan bersila.
Zuckerberg menyewa sebuah rumah yang mempunyai tiga buah bilik di sini dekat dengan pejabatnya.
Dia tinggal bersama kekasihnya, Priscilla Chan, 26, yang merupakan pelajar jurusan perubatan.
Zuckerberg turut memandu sebuah kereta Honda berusia lima tahun walaupun dia merupakan antara orang yang paling kaya di dunia.
Dia mencipta Facebook di dalam bilik asramanya di Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada 2004.
Namun, Zuckerberg tidak menamatkan pengajiannya di universiti tersebut dengan alasan untuk menumpukan perhatian ke atas Facebook.
Pengasas Facebook itu menjadi bilionair termuda semasa dia berumur 23 tahun. – Agensi
No comments:
Post a Comment