Murid maut jatuh van
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
Siasatan awal polis mendapati van terbabit beroperasi secara haram manakala pemandunya, remaja berusia 16 tahun, tidak memiliki lesen memandu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam di selekoh berhampiran lampu isyarat Kampung Raja, di sini, ketika mangsa, M Arvin, 7, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Songkian, Jalan Kuala Ketil, dekat sini, ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Mahajohti di Taman Sutera, tidak jauh dari rumahnya.
Jurucakap Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berkata, ketika kejadian, dua murid duduk di bahagian hadapan bersama pemandu manakala mangsa bersama dua murid lain di bangku belakang.
“Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya yang duduk di bahagian belakang dipercayai bermain dan seorang daripada mereka mungkin terbuka kunci pintu van.
“Sebaik tiba di selekoh berhampiran lampu isyarat Kampung Raja, pintu van terbabit terbuka dan mangsa yang berada di tepi pintu tercampak ke jalan raya,” katanya.
Menurutnya, mangsa parah di kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Jurucakap itu berkata, pemeriksaan awal polis terhadap van terbabit mendapati kenderaan itu beroperasi secara haram dan tidak mempunyai permit membawa murid sekolah.
“Malah, pemandunya remaja berusia 16 tahun yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya.
Menurutnya, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan saman terhadap pemandu terbabit serta pemiliknya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, nenek mangsa, G Letchumi, 58, berkata kematian cucunya itu mengulangi episod duka keluarga mereka kerana pada April tahun lalu, abang mangsa maut selepas terkena mercun.
“Tahun lalu, abangnya meninggal dunia kerana terkena mercun. Belumpun hilang kesedihan kami, pagi tadi (semalam), adiknya pula meninggalkan kami,” katanya.
Letchumi berkata, Arvin keluar dari rumah kira-kira jam 6.30 pagi untuk ke sekolah dan dia tidak menyangka panggilan diterimanya sejam kemudian memaklumkan cucunya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.
Gigi dicabut, tangan dicucuh
Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
surayaroslan@hmetro.com.my
PAKIAM...meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan di rumah mentuanya.
Lebih pilu, wanita berkenaan, S Pakiam, 23, dipercayai menamatkan riwayat dan penderiaan dialami dengan minum racun di rumah mentuanya di Padang Serai, Kulim, Kedah tiga hari lalu.
Mayatnya dihantar untuk bedah siasat di Hospital Kulim tetapi laporan dari hospital tidak menyatakan apa-apa mengenai punca kematian itu.
Bapa mangsa, M Subramaniam, 51, terpaksa menangguhkan upacara pengebumian anaknya itu selepas tidak berpuas hati dengan laporan perubatan hospital berkenaan.
“Saya hanya mendapat berita anak kedua saya itu meninggal dunia pada malam Sabtu lalu kira-kira jam 11.30 malam, selepas dihubungi seorang anggota polis dari Balai Polis Padang Serai.
“Anggota itu memaklumkan anak saya mati akibat minum racun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Puchong, di sini semalam.
Menurutnya, sekiranya anak perempuannya mati disebabkan bunuh diri kenapa laporan perubatan tidak tercatat sedemikian.
Katanya, lebih mengejutkan, pada mayat anaknya penuh dengan kesan dera seperti kuku dan gigi dicabut serta luka pada badan dicucuh rokok.
“Itulah penderitaan yang anak saya perlu lalui sebelum menghembuskan nafas terakhir dipercayai selepas didera,” katanya.
Subramaniam berkata, anaknya berkahwin dengan menantunya lima bulan lalu selepas keluarga masing-masing bersetuju menjodohkan mereka.
“Anak saya berkahwin dengan menantu selepas keluarganya (menantu) menyukai anak kedua saya itu dan kami terus bersetuju menyatukan mereka kerana beranggapan keluarga pihak menantu akan menjaganya dengan baik,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga kerap kali menghubungi anaknya itu, tetapi tidak dapat bercakap kerana keluarga mentua anaknya sering memberikan alasan dia tiada di rumah.
“Setiap kali menghubungi telefon Pakiam, orang lain akan menjawabnya dan mengatakan dia tiada di rumah atau sedang sibuk,” katanya.
Menurutnya, sebaik mengetahui berita sedih itu, dia sekeluarga pergi ke Padang Serai untuk menuntut mayat anaknya itu.
“Saya yang melihat keadaan mayat anak saya kemudian cuba membuat laporan polis berhubung kejadian itu selain tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat yang tidak menyatakan apa-apa tetapi polis enggan menerima laporan itu.
“Disebabkan itu kami terpaksa membawa pulang mayat Pakiam ke sini (Puchong) dan membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada keluarga mentua mangsa memaklumkan mangsa mati akibat minum racun.
Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Rayu hakim
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
mriduwan@hmetro.com.my
IRING...Ameng (kiri) dibawa keluar daripada mahkamah bersama isterinya, Sabariah (dua dari kanan), semalam.
Begitu kata vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, dalam nada sayu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan, memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine bersama-sama isterinya di sebuah hotel di pusat bandar ini.
Bagaimanapun, rayuannya yang tidak ‘sampai hati’ melihat isterinya turut didakwa ditolak mahkamah yang tidak membenarkan jaminan dan menegaskan budi bicara menuduh seseorang adalah bidang kuasa pihak pendakwaan.
Terdahulu, pada prosiding di hadapan Hakim Zaharah Hussain itu, isteri Ameng, Sabariah Zakariah, 41, suri rumah, tidak mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Ameng dan isterinya didapati memiliki kanabis, berat kasar 122 gram di bilik nombor 1, Hotel Senyum Mesra, nombor 346 A& B, Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, dekat sini, pada 1 Februari lalu, kira-kira jam 5.20 petang.
Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama dibaca sekali dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan 10 sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan di tempat sama, pasangan itu dituduh memiliki dadah methamphetamine, berat kasar 1 gram di tempat, masa dan pada tarikh sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Ameng memakai baju kemeja lengan pendek warna coklat cair manakala isterinya, bertudung biru bercorak abstrak kelihatan tenang di kandang pesalah sebelum perbicaraan bermula kira-kira jam 10.50 pagi.
Sejurus dibacakan kedua-dua pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah dan diterangkan sebab dan akibat, Ameng mengangguk faham dan mengaku bersalah, manakala isterinya tidak mengaku salah.
Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin berkata, laporan kimia berat bersih dadah belum diperoleh dan memohon tarikh sebutan baru yang ditetapkan pada 12 April depan di depan Hakim Abu Bakar Katar.
Beliau tidak menawarkan jaminan terhadap pasangan itu yang tidak diwakili peguam sebelum Ameng memohon supaya isterinya dilepaskan daripada kedua-dua pertuduhan.
Ameng juga berkata, anak lelaki mereka yang tinggal dengan ibu mentuanya di Masjid Tanah, Alor Gajah menghidap asma dan terbaru enggan makan serta tidur yang mungkin disebabkan amat merindui belaian seorang ibu.
No comments:
Post a Comment