Karung guni penyebab maut
|
|
MACHANG - Tindakan seorang ketua kampung membuang karung guni yang melekat pada pisau pembajak mengundang padah apabila dia mati selepas kepalanya cedera parah ditusuk alat tersebut di Kampung Wek Lara dekat sini semalam.
Kejadian itu berlaku pada pukul 12.40 tengah hari apabila ketua kampung di Joh Labok dekat sini, Asmadi Mamat, 49, (gambar) sedang membersihkan tanah untuk projek penanaman tembikai di situ.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa cuba membuang karung guni tersebut selepas mendapati pisau di bawah pembajak yang dikendalikannya gagal berfungsi.
Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila pisau itu kembali berputar sebaik karung guni itu dapat dikeluarkan olehnya.
Rakan sekerjanya, Muhamad Arif Aladin, 20, berkata, kira-kira 12 minit sebelum kejadian yang tidak disangka itu berlaku, dia telah mengajak mangsa supaya berhenti untuk makan tengah hari tetapi Asmadi menolak dengan alasan dia hendak menyudahkan kerja.
Dua sahabat temui ajal bersama
PENDANG – Dua sahabat baik yang maut akibat terbabit dalam kemalangan selepas pulang memancing di Tanjung Dawai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Setol manakala hasil memancing mereka turut ditanam berdekatan kawasan rumah. Mohd Faris Ahmad Maudin, 19, dari Kampung Tanjung Setol dan Mohd Amirul Aman Zakaria, 16, dari Perumahan Keda Tanjung Setol di sini, adalah sahabat baik.
Sinar Harian difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mereka untuk pulang ke rumah terbabas di bahu jalan menyebabkan kedua mangsa terpelanting sehingga menyebabkan Mohd Amirul maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi menghembuskan nafas di Hospital Yan.
Ibu Mohd Amirul, Zamzuriah Mohd, 40, berkata, dia terkejut mendengar berita kematian anaknya itu ketika dihubungi kira-kira jam 5.15 minit pagi ketika dia sedang bekerja di Kantin Sekolah Matrikulasi, Kampung Pokok Tai.
Menurutnya, dia tidak menyangka anak kelima dari lapan beradik itu akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya selepas kali terakhir melihat anaknya itu keluar rumah untuk pergi memancing bersama beberapa rakan yang lain kira-kira jam 6 petang.
“Dia maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggang terbabas di bahu jalan menyebabkan dia terpelanting sehingga menyebabkan tulang lehernya patah.
“Kejadian itu menyedihkan saya dan keluarga sehingga menyebabkan semua hasil ikan memancing anak saya itu terpaksa ditanam berdekatan rumah akibat tidak sanggup memakan ikan yang dipancingnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.
Zamzuriah berkata, dia tidak menyangka sikap anaknya yang berubah menjadi pendiam sebelum kemalangan itu adalah tanda bahawa anaknya akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga.
Sinar Harian difahamkan, mangsa mempunyai ramai sahabat baik yang sering menghabiskan masa dan tidur bersama di rumahnya, namun kehilangan dua rakan itu turut dirasai rakan-rakan yang lain termasuk rakan sekolahnya di Sekolah Model Khas Bukit Jenun.
Sementara itu, ibu Mohd Faris, Che Su Din, 47, berkata, kehilangan anaknya itu begitu mengejutkan dan menyedihkan mereka sekeluarga.
Menurutnya, niat anaknya itu untuk pulang makan nasi di rumah tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan semua ahli keluarganya masih lagi tidak dapat menerima pemergian anaknya itu.
“Perkara yang paling menyentuh hati saya dan suami apabila terkenang bahawa anak saya tidak kenyang makan nasi pada petang sebelum dia (anak) keluar memancing.
“Pada malam itu dia memaklumkan bahawa lauk yang dihidangkan saya tidak mencukupi dan dia memaklumkan bahawa masih lagi lapar, namun saya meminta untuk dia makan pada keesokan hari pula namun tidak kesampaian,” katanya.
Che Su berkata, anaknya itu mengalami sakit kayap (kulit) di bahagian mulut dan pergelangan tangan menyebabkan Mohd Faris tidak boleh makan di restoran.
Menurutnya lagi, dia tidak menyangka anaknya itu akan pergi meninggalkannya untuk selamanya memandangkan dia begitu rapat dengan ibunya.
“Anak saya baru beberapa kali pergi memancing dan dia keluar rumah untuk pergi memancing itu selepas waktu maghrib bersama tiga lagi rakan yang lain dengan dua motosikal dan dimaklumkan kemalangan itu kira-kira 6.30 petang dan segera ke hospital, namun sempat membaca Yasin sebelum Mohd Faris meninggal dunia jam 9.45 pagi,” katanya.
Sementara itu, mangsa sempat membeli segala keperluan rumah hasil pendapatan sebagai buruh binaan sebelum keluar memancing dan arwah sempat memaklumkan bahawa dia ingin membaiki rumahnya yang rosak teruk.
Mohd Naszuim Md Isa, 20 turut merasai kehilangan dua sahabat baiknya itu memandangkan mereka bersahabat sejak kecil lagi.
“Saya difahamkan oleh dua sahabat lagi yang turut memancing bersama bahawa mereka berkejar untuk pulang, kerana masing-masing lapar, namun tidak dapat berhenti makan di kedai memandangkan seorang mangsa itu menghidap kayap.
“Kehilangan dua rakan itu begitu dirasai semua rakan-rakannya memandangkan mereka berdua adalah sahabat yang baik dalam ikatan persahabatan dan setiap masalah yang dihadapi akan diselesaikan bersama,” katanya.
Kereta terbabas, konstabel maut
TEMERLOH – Seorang anggota polis berpangkat konstabel maut apabila kereta dipandu terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Kilometer 4 Jalan Temerloh-Mentakab di sini jam 11.30 malam kelmarin. Mangsa Mohd Faizal Abdul Wahab 24, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas makan malam bersama teman wanitanya yang turut berada dalam kenderaan yang sama.
Bagaimanapun teman wanitanya hanya mengalami cedera ringan di siku dan tangan telah menjalani rawatan pesakit luar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Nissan Cefiro dipandu mangsa dari arah Mentakab hilang kawalan terbabas ke kiri jalan lalu terhumban ke dalam semak serta melanggar sebatang pokok. Kereta dipandu mangsa juga terbakar selepas merempuh pokok tersebut.
Akibat kemalangan Mohd Faizal mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor mengesahkan kejadian membabitkan seorang anggota polis.
“Semasa kejadian permukaan jalan kering, aliran trafik tidak sibuk dan keadaan cuaca baik namun kereta dipandu hilang kawalan,” katanya sewaktu dihubungi semalam.
Sementara itu Sinar Harian difahamkan mangsa yang bertugas di Balai Polis Taman Seri Lalang, Kluang, Johor baru membeli kereta itu pada petang kejadian.
Sebelum kejadian mangsa yang berasal dari Felda Jenderak Selatan sempat pulang ke rumah di Felda terbabit sebelum keluar makan bersama teman wanitanya.
Kutip cebisan daging anak
PASIR MAS – Seorang bapa menguatkan semangat untuk mengutip cebisan daging dan tulang anaknya yang maut dalam kemalangan di Buluh Melintang, jam 8.30 malam kelmarin. Seman Ishak, 45, berkata, perasaan sayu menyelubunginya apabila banyak cebisan tulang dan daging anaknya, Siti Noor Suliana, 14, hancur setelah terlibat dalam kemalangan itu.
Ketika dia tiba di tempat kejadian, anak keempat daripada sembilan beradik bersama sepupunya berada dalam keadaan kritikal dan amat menyayat hati.
“Saya paksa diri untuk gagahkan diri mencari cebisan daging dan tulang anak untuk dibawa ke hospital bagi membolehkan doktor menyambung semula bahagian tubuhnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Seman berkata, sebelum kejadian, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkong, ada memaklumkan kepada isterinya mengenai hasrat untuk menemani sepupunya membeli burger.
Menurutnya, anaknya keluar bersama sepupunya untuk membeli burger kira-kira satu kilometer dari rumah, namun hajat mereka tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan.
Katanya, akibat perlanggaran dengan kereta, anaknya cedera parah pada bahagian kepala, terputus bahagian kaki dengan tulangnya hancur pada bahagian paha.
Mangsa katanya, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun katanya, anaknya disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di kepala.
Sepupu Noor Suliana yang patah tangan, paha serta sakit pada bahagian dada dirawat di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemalangan menimpa pelajar terbabit.
Ajal di kolam renang
GEORGE TOWN - Keriangan sebuah keluarga untuk bermandi-manda di kolam renang di pangsapuri mewah di Relau dekat sini sempena cuti umum kelmarin bertukar tragedi apabila salah seorang ahli keluarga mereka ditemui lemas.
Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku ketika Wong Shun Yuen, 4, sedang bermain bersama kanak-kanak lain di kolam berkenaan.
Ibunya, Chew Bee Li, 33, dikatakan meninggalkan mangsa untuk pergi menemani seorang lagi anaknya menyalin pakaian tidak jauh dari situ.
Difahamkan, sebelum meninggalkan mangsa, Bee Li telah meminta bantuan seorang rakan karibnya untuk mengawasi anak lelakinya itu.
Seorang saksi yang ingin dikenali sebagai Chan, 50-an, berkata, sebaik kembali ke kolam tersebut, wanita itu mendapati anaknya sudah tiada di situ.
Said mati kerana serangan jantung, bukan dikasari anggota UPP
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, hasil bedah siasat Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) petang semalam mengesahkan bahawa tidak ada unsur jenayah pada mayat Said, 56, dan mangsa didapati meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada dalam keretanya.
"Tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini. Mangsa disahkan meninggal dunia kerana mendapat serangan jantung," katanya kepada pemberita di sini.
Semalam, Said ditemui dalam keadaan lemah, berwajah pucat dan mulutnya berbuih dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin oleh empat anggota UPP yang kemudian membawa mangsa ke Hospital Tumpat.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.
Salah faham yang tercetus kemudian menyebabkan beberapa individu termasuk anak saudara Said, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, datang ke hopsital itu dan menyerang anggota UPP berkenaan.
Ekoran serangan itu, Ahmad Nizamuddin terkena tembakan amaran seorang anggota UPP yang cuba mempertahankan diri.
Abdul Rahim berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 37 Akta Senjata Api serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan, selain mendapatkan keterangan individu tertentu berhubung serangan terhadap anggota UPP itu, namun, belum ada tangkapan dilakukan. Sementara itu, Timbalan Pengarah HRPZ II, Dr Wan Hazimah Wan Mohamad berkata pihaknya mendapati Ahmad Nizamuddin hanya terkena serpihan tembakan di bahagian dada kanan, dan dia kini berada dalam keadaaan stabil, malah mampu berjalan serta makan dengan baik.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati keadaan anggota badan beliau baik, termasuk di bahagian paru-paru yang tiada sebarang kesan kecederaan," katanya.
-Bernama
Mati mengejut
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, daripada maklumat diperoleh, mangsa, Said Mat Hassan, 56, dari Kampung Bendang Pak Yong meninggal dunia kerana akibat sesak nafas.
Beliau berkata, dalam kejadian berkenaan, mangsa dikatakan cuba melepaskan diri daripada ditahan UPP sebelum memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di tepi jalan.
Katanya, sebaik anggota UPP cuba membuat pemeriksaan, mangsa berada dalam keadaan pucat dan mulutnya seakan berbuih sebelum dikejarkan ke hospital oleh anggota UPP terbabit.
“Selepas dikejarkan ke hospital, mangsa disahkan meninggal dunia. Maklumat mengatakan terdapat 20 guni beras Siam 500 kilogram dalam kereta yang dinaiki mangsa,” katanya.
Menurutnya, kejadian di Hospital Tumpat, sejam selepas itu dipercayai rentetan kejadian di Kampung Tin.
‘Arwah selesai banyak perkara’
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam, suaminya, Nazarudin Mohd Noor, 57, yang juga penyelia Institut Teknologi Petronas (Instep) Kampus Batu Rakit, Terengganu, terbunuh selepas Nissan Murano yang dipandunya terbabit dalam kemalangan.
Kejadian ketika kereta dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari rumahnya di Demit, Kota Bharu ke kampus berkenaan terbabas sejurus melanggar babi hutan yang secara tiba-tiba melintas laluan pantai di Kampung Gong Batu, Kuala Terengganu.
Kejadian itu menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas ke ladang sawit di kawasan berkenaan menyebabkan mangsa dikatakan sempat keluar dari kereta dan merangkak sejauh kira-kira 100 meter untuk mendapatkan bantuan. Bagaimanapun mangsa yang parah di kepala dan patah tulang rusuk disahkan meninggal dunia sejurus kemudian akibat kehilangan banyak darah, manakala babi hutan yang dilanggarnya turut mati.
Nik Noorbaheeyah yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1 berkata, kehilangan suaminya begitu terasa kerana sering berdampingan dengan keluarga meskipun terpaksa berulang- alik dari bandar ini ke Terengganu.
“Saya memang tidak menduga, arwah suami begitu teruja untuk menghabiskan cutinya bersama keluarga. Malam sebelum kejadian, dia juga sempat bertemu dengan ayah (bapa mentua) dan meminta maaf.
“Dia berulang alik dari rumah ke Terengganu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu kerana mempunyai banyak tugasan, namun tidak menduga kejadian semalam berakhir dengan kematiannya akibat terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Katanya, suaminya juga kerap mengungkapkan hasrat untuk menunaikan haji bersama-sama beberapa hari lalu berikutan wang yang disimpan sudah mencukupi untuk mereka melakukan rukun Islam kelima.
Peniaga maut van dirempuh lori tanah
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu pemandu van dikenali sebagai Ibrahim, 52, dalam perjalanan ke Selama untuk berniaga meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan kaki.
Menurut saksi yang enggan dikenali, rakannya yang kebetulan melalui jalan berkenaan terkejut apabila melihat sebuah van remuk teruk di kawasan itu.
Katanya, rakannya ternampak sebuah lori tanah terbabas ke dalam hutan manakala terdapat satu mayat berdekatan lori berkenaan.
“Rakan saya memberitahu penduduk kampung mengenai kemalangan ini sebelum menghubungi polis.
“Anggota bomba membantu membawa keluar pemandu lori yang tersepit untuk dihantar ke hospital berdekatan,” katanya.
Menurutnya, kejadian kemalangan di kawasan itu kerap berlaku berikutan bentuk muka buminya dengan jalan berselekoh dan berbukit.
Sementara itu, menurut sumber polis, siasatan mendapati lori tanah dari arah Serdang hilang kawalan disebabkan masalah brek lalu merempuh van yang datang dari arah bertentangan.
Katanya, akibat rempuhan itu, van membawa muatan buah-buahan itu remuk teruk manakala lori terbabit terbabas ke dalam hutan bersebelahan jalan.
“Mangsa maut di tempat kejadian dengan kaki sebelah kiri terputus selepas tercampak.
“Pemandu lori yang cedera dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dibawa keluar dari lori dan dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan,” katanya.
Katanya, van yang remuk merintangi laluan di lokasi kejadian menyebabkan jalan ditutup beberapa jam untuk kenderaan berat.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mati merajuk
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
rnoraina@hmetro.com.my
Siti Rokiah Md Yit, 50, berkata, dia tidak menyangka kata-kata terakhir anak lelakinya, Syaipol Syarifuddin Jamri, 22, agar membiarkannya mati dan tidak mahu makan petanda akan meninggalkan keluarga.
“Minggu lalu, saya menyuruhnya pergi ke kedai membeli santan tetapi memberi alasan mahu tidur. Sebagai ibu saya memarahinya kerana tidak mendengar kata.
“Adik perempuan saya yang juga adik arwah yang kebetulan berada di rumah turut memarahinya. Sebab itu, arwah merajuk dan berkata biarkan dia mati dan tidak mahu makan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, arwah dilaporkan menerima panggilan telefon bergegas keluar rumah. Beberapa minit kemudian mayatnya ditemui terjatuh di flat itu.
Menurutnya, seorang lagi anak perempuannya yang berusia 21 tahun dan berada di rumah hanya menyedari selepas dimaklumkan jiran.
Beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah bank di Jalan Duta, di sini, kemudian bergegas pulang.
Mayatnya kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Anak keenam daripada lapan beradik itu patah kedua-dua kaki, tangan kanan dan cedera parah di kepala.
“Saya tidak pasti bagaimana arwah boleh terjatuh namun ada yang mendakwa dia ditolak rakan. Bagaimanapun saya reda apa yang berlaku dan tidak mahu menyalahkan sesiapa,” katanya.
Ditanya mengapa dia enggan membuat laporan polis berhubung kes terbabit, Rokiah sebaliknya memberi alasan tidak mahu memanjangkan kes itu dan menganggap ia sudah selesai.
Difahamkan, Syaipol baru seminggu berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank di Wangsa Maju, di sini. Rokiah menyifatkan arwah seorang anak yang lembam dan sering menjadi mangsa buli rakan-rakannya sejak di zaman persekolahan, namun dia seorang yang ringan tulang dan disenangi jiran.
Menurutnya, anak lelakinya itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Selasih, Gombak, di sini, selepas solat Asar, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
NEGARA
Merangkak 100m sebelum ajal
SETIU – Seorang penyelia sukan di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep), Batu Rakit sempat merangkak sejauh 100 meter sebelum menemui ajal selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan Murano yang dipandunya terbabas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gong Batu di sini semalam.
Mayat Nazaruddin Mohd. Noor, 57, ditemui tertiarap oleh seorang pekerja ladang yang melalui kawasan itu ketika keluar bekerja pada pukul 7 pagi.
Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas kenderaan yang dipandu Nazaruddin terlanggar seekor babi hutan yang melintas jalan sebelum ia terbabas dan terbalik ke dalam kawasan ladang kelapa sawit kira-kira 40 meter dari jalan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Supritendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, sejurus kenderaan itu terbabas, mangsa sempat keluar untuk cuba mendapatkan bantuan dengan merangkak sejauh 100 meter sebelum dia meninggal dunia.
Menurutnya, mangsa sebelum itu dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Kubang Kerian, Kelantan menuju Instep di Batu Rakit.
Promoter ditemui mati, leher terjerut
17/02/2011 6:57pm
KUALA LUMPUR - Seorang promoter syarikat minuman ditemui mati dalam keadaan lehernya dijerut dengan wayar elektrik serta tangan dan kakinya terikat di rumah sewanya di Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, di sini, malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, Pawera Amat, 42, ditemui kira-kira 12 tengah malam di tingkat dua lot rumah kedai itu oleh rakan serumahnya yang baru pulang dari kerja.
"Keadaan pintu rumah itu tiada kesan pecah dan televisyen dalam rumah terpasang namun tiada sesiapa yang menontonnya. Rakan mangsa kemudian masuk ke bilik dan menemui mangsa, yang hanya berseluar dalam, terbaring dengan leher, kaki dan tangan terikat dengan wayar elektrik,” katanya kepada Bernama melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), di sini, hari ini.
IPOH - Tiga lelaki nyaris maut apabila kereta yang mereka naiki tiba-tiba terbakar ketika dalam perjalanan ke Medan Kidd berhampiran Dewan Bandaran di sini, semalam.
Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Raja berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 8.20 pagi di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini, ketika keadaan trafik sibuk.
Menurutnya, pemandu kereta dipercayai menyedari kejadian itu apabila melihat asap keluar di bahagian hadapan kereta berkenaan, sebelum mengarahkan rakannya menyelamatkan diri.
“Kereta yang dipandu itu diberhentikan di simpang berhampiran sebelum mereka bertiga bergegas keluar. Kereta itu musnah terbakar dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
“Saya lihat semua yang ada dalam kereta itu selamat dan tiada kecederaan berlaku ke atas mereka kerana ketiga-tiganya bertindak pantas keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Kejadian itu juga menyebabkan perjalanan kenderaan lain yang melalui jalan itu bergerak perlahan kerana ramai mengambil kesempatan untuk melihat kereta terbakar menyebabkan berlaku kesesakan teruk.
Sinar Harian berusaha mendapatkan pemandu dan penumpang kereta berkenaan, tetapi mereka enggan mengulas berhubung kejadian yang berlaku ke atas mereka.
Sementara itu, Bilik Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu sambil berkata, pihaknya ada menerima panggilan mengenai kejadian dan bergegas untuk memadamkan kebakaran.
“Kereta yang terbakar itu musnah 100 peratus, manakala punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan,” katanya.
Steve Jobs mungkin hidup enam minggu lagi
|
|
SAN FRANCISCO - Pengasas syarikat komputer Apple, Steve Jobs mungkin hanya hidup enam minggu lagi ekoran sakit kanser yang dihadapinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Akhbar National Enquirer kelmarin menyiarkan gambar Jobs, 55, yang kelihatan amat kurus sekali gus menunjukkan dia kehilangan berat badan dalam jumlah yang banyak.
Menurut laporan akhbar itu, Jobs yang mencipta kejayaan menerusi pengeluaran gajet iPod, iPhone dan iPad menghidap kanser pankreas dan mungkin hidup dalam tempoh enam minggu lagi.
Dalam gambar yang disiarkan akhbar berkenaan, Jobs kelihatan lemah semasa dia memakai seluar jean.
Menurut laporan akhbar itu, berat pengasas syarikat Apple itu dikatakan merosot dari 79.37 kilogram sebelum kanser kepada hanya 58.96 kilogram.
Gambar itu dirakamkan pada 8 Februari lalu yang menunjukkan Jobs pergi bersarapan pagi dengan isterinya, Laurene Powell sebelum dia menuju ke Pusat Kanser Stanford di California.
Menurut seorang pakar perubatan, Dr. Gabe Mirkin: "Jobs tidak mempunyai otot di punggungnya. Apa yang anda lihat ialah ototnya hilang disebabkan kanser."
Rambut Jobs yang semakin gugur disebabkan kesan rawatan kemoterapi.
Seorang lagi pakar perubatan, Dr. Samuel Jacobson memberitahu akhbar itu bahawa berdasarkan penilaiannya, kematian Jobs semakin hampir.
"Saya boleh menyatakan dia mempunyai tempoh enam minggu lagi (untuk hidup)," katanya.
Jobs dianggarkan mempunyai kekayaan sebanyak AS$6 bilion (RM18.26 bilion). - Agensi
3 ditahan kes kehilangan 700,000 kondom
17/02/2011 4:13pm
IPOH - Polis menahan tiga pekerja kilang yang dipercayai anggota sindiket antarabangsa berhubung kes kecurian lebih 700,000 kondom bernilai kira-kira RM850,000 dari sebuah kontena ke Tokyo, Jepun, bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 29 hingga 30 tahun itu yang bekerja di sebuah kilang kondom di Batu Gajah, kira-kira 20 kilometer dari sini, ditahan semalam, di tiga lokasi iaitu di Ipoh, Klang dan di Lebuhraya Utara-Selatan.
Ketiga-tiga suspek direman sehingga Sabtu ini dan hasil maklumat yang diperolehi, polis yakin dapat menahan beberapa lagi suspek dalam tempoh terdekat, katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini. - Bernama
Remaja kena tembak di hospital
TUMPAT - Kerana 20 kampit beras, seorang lelaki yang disyaki penyeludup mati manakala anak saudaranya cedera parah selepas terkena tembakan di dada dan perut yang dilepaskan oleh seorang pegawai kastam Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor semalam.
Said Mat Hassan, 56, yang ditahan anggota UPP disahkan meninggal dunia pada pukul 7.45 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat (HT). Ketika ditahan, mukanya didakwa kelihatan pucat dan mulutnya berbuih.
Bagaimanapun, khabar angin yang sampai ke pengetahuan ahli keluarganya mengatakan Said meninggal dunia akibat dibelasah anggota UPP menyebabkan mereka bertindak menyerang penguat kuasa berkenaan pada pukul 9.20 pagi.
Ekoran itu, anak saudara Said, Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, cedera parah selepas terkena tembakan yang dilepaskan pegawai UPP tersebut yang ingin mempertahankan dirinya.
Kadar kompaun diselaras 1 Mac
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan menyelaraskan kadar kompaun baru kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 berkuat kuasa 1 Mac ini.Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, penyelarasan tersebut adalah susulan daripada persetujuan jemaah menteri untuk menyusun semula kesalahan lalu lintas daripada tiga kategori kepada empat kategori.
Menurutnya, ia termasuklah jenis kelas kenderaan, tahap keseriusan kesalahan dan tempoh pembayaran serta kesalahan yang dilakukan berulang kali oleh pengguna jalan raya.
“Kadar kompaun ini hanya akan dilaksanakan ke atas saman-saman yang dikeluarkan pada atau selepas 1 Mac 2011 dengan nilai minimum RM40 dan maksimum RM300.
“Saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan juga mendapat keistimewaan ini sekiranya kesalahan dilakukan di bawah akta berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kementeriannya di sini semalam.
Lelaki Iran miliki syabu bernilai RM875,000
17/02/2011 6:35pm
BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menahan seorang lelaki Iran dan merampas 3.4 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM875,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini, pukul 3.15 petang, semalam.
Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan negeri, R. Mariappa berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan selepas pegawai Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) yang menjalankan pemeriksaan mendapati terdapat imej meragukan dalam imbasan bagasinya. - Bernama
Rekrut keldai melalui Facebook
KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah kini berubah angin apabila mereka didapati menggunakan laman sosial Facebook sebagai medium untuk merekrut wanita tempatan menjadi keldai dadah.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, modus operandi sindiket ialah akan berkenalan, menjalin hubungan rapat dengan wanita dan apabila mendapat kepercayaan, mereka akan digunakan untuk mengedar dadah.
“Setelah wanita-wanita ini menjadi kawan melalui Facebook, mereka dibawa melancong ke luar negara dan tinggal di tempat-tempat mewah sebelum diperangkap menjadi keldai dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Noor Rashid berkata demikian bagi mengulas mengenai penahanan seorang pemuda berusia 23 tahun di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires, Argentina akhir bulan lalu ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis kokain dari negara itu ke Qatar.
Pegawai Tanah didakwa rasuah
MELAKA – Akibat menerima wang yang tidak sepatutnya, seorang Penolong Pegawai Tanah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menerima rasuah.Zahiruddin Abdullah, 32, yang mengangguk tanda faham pertuduhan itu tidak mengaku salah dan minta dibicarakan di hadapan hakim Ahmad Sazali Omar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan Penolong Pegawai Tanah (NT17) di Unit Penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Galian telah menerima cek AmBank bernombor 001359 bernilai RM178,567.47 di Bank Pertanian Malaysia Berhad cawangan negeri Melaka (kini Agro Bank), Wisma Datuk Haji Mohd., Jalan Hang Tuah di sini.
Cek berkenaan adalah untuk menjelaskan sepenuhnya pinjaman Bank Pertanian Malaysia sebagai balasan daripada seorang lelaki berusia 48 tahun membabitkan tanah lot bernombor 2299 dan 2300 yang dijadikan cagaran pinjaman tersebut pada 3 November 2008.
Tiga minggu hidu bau najis
ALOR GAJAH - Sudah lebih 10 aduan dibuat, namun masih tiada tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan 15 keluarga di Taman Rumah Awam Paya Datuk di sini terpaksa terus 'menelan' bau najis sejak tiga minggu lalu.
Penduduk mendakwa masalah bau busuk itu berpunca daripada paip pembentungan najis di beberapa rumah di kawasan itu yang telah tersumbat menyebabkan air najis melimpah keluar melalui tandas.
Seorang penduduk, Ismail Bharom, 65, berkata, masalah tersebut telah beberapa kali diajukan kepada PBT namun tiada siapa yang datang melihat keadaan tempat tinggal mereka.
"Kami tiada tempat untuk mengadu sebab beberapa aduan yang telah dibuat seperti tidak dilayan.
"Kami sudah tidak tahan lebih-lebih lagi ketika hujan lebat kerana air najis ini akan melimpah keluar dan masuk ke dalam longkang rumah kami," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
TELOK DATOK - Ibu bapa dinasihatkan supaya mengawasi anak mereka terutama pada waktu petang berikutan terdapat aduan berkenaan seorang remaja lelaki berusia sekitar 20-an yang menaiki motosikal jenis Honda EX-5, sering mengambil gambar anak perempuan menggunakan telefon bimbit.
Ketua Unit Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga Taman Seri Telok Datok, Zawalajam Mashod berkata, pada hujung tahun lalu, suspek pernah ditahan pihak SRS kerana mengambil gambar sekumpulan remaja perempuan.
Menurutnya, kini difahamkan sekali lagi remaja berkenaan menunjuk serta menyuruh remaja perempuan memegang kemaluannya sehingga menyebabkan kerisauan kepada ibu bapa penjaga.
“Dalam pada itu, suspek juga sering menghampiri mangsa atas alasan hendak bertanya alamat yang ada di dalam telefon bimbit tetapi apa yang tertera di skrin telefon bimbit miliknya ialah gambar lucah.
“Kebiasaannya suspek akan melakukan perbuatan tersebut di kawasan lorong yang kecil, bagaimanapun sehingga hari ini keluarga mangsa yang terlibat tidak membuat laporan polis,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Zawalajam berkata, ibu bapa dinasihatkan membuat melaporkan segera kepada polis sekiranya perkara berkenaan berlaku kepada anak mereka.
“Kita tidak mahu aktiviti tidak sopan berkenaan berleluasa di taman berkenaan sehingga menyebabkan kebanyakan remaja perempuan berasa takut,” katanya.
Pekerja asing mengamuk
BUKIT RAMBAI - Seramai 360 pekerja asing sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, dekat sini melakukan mogok sejak Isnin lalu.
Mogok yang berlarutan sehingga semalam berlaku disebabkan pekerja warga Bangladesh dan Nepal itu tidak puas hati dengan kenaikan gaji, pemotongan levi dan bon jaminan tinggi dikenakan kepada setiap pekerja.
Menurut pekerja terbabit yang sudah bekerja antara dua dan enam tahun itu, mereka seolah ditindas dengan perolehan pendapatan antara RM100 hingga RM500 sebulan.
Malah, ada antaranya yang menerima gaji bulanan sebanyak RM30 selepas dipotong.
Semalam, kemuncak kemarahan mereka membara apabila seorang daripada ejen warga asing dikatakan itu diserang dan dibelasah sekumpulan mereka sewaktu berunding.
Seorang pekerja, Syafiqul Islam, 26, berkata, dia yang bekerja sejak empat tahun lalu sudah tidak tahan lagi apabila majikan membuat potongan gaji banyak serta tidak munasabah.
“Gaji kami terima tidak tetap. Sudahlah dipotong levi, selain yuran asrama sebanyak RM40, bon jaminan pula RM1,000, majikan juga memotong RM1 untuk yuran tandas.
“Kebajikan kami juga terabai. Sekiranya waktu malam ada yang sakit, mereka tidak mahu hantar ke hospital. Malah, sudah ada seorang yang meninggal baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di asrama yang terletak di hadapan kilang terbabit.
Syafiqul berkata, mereka akan melakukan mogok itu sehingga majikan bersetuju memulangkan semula wang mereka.
“Kami tidak akan bekerja dan akan tunggu sehingga mereka berikan semula wang kami. Dalam masa yang sama kami menunggu bantuan pihak kedutaan,” katanya.
Mofzzal Hossain, 25, pula berkata, dia kesal dengan majikan mengambil kesempatan terhadap pekerja asing sehingga sanggup membayar gajinya kira-kira RM30 sebulan.
“Saya sudah tiga tahun bekerja di sini. Memang banyak majikan potong gaji saya. Pernah pada bulan November tahun lalu saya terima gaji bersih sebanyak RM30.70 selepas potongan dibuat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, S. Tharu Marajan berkata, pihaknya sudah bertemu dan berbincang mengenai masalah tersebut.
“Majikan bersetuju untuk membayar semula secara ansuran bon jaminan sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadap perkerja sebelum ini.
“Potongan levi terhadap 80 pekerja sebanyak RM100 sebulan juga akan dihentikan dan akan membayar semula levi yang diambil sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, yuran asrama juga akan dihentikan tetapi akan menghadkan penggunaan air dan elektrik supaya tidak melebihi had.
Menurut S. Tharu, syarikat itu bagaimanapun tidak sanggup untuk menaikkan gaji kerana dikhuatiri meningkat kos ditanggung.
“Tetapi syarikat itu bersetuju untuk menaikkan kadar gaji bulanan pekerja daripada RM18.50 yang ditetapkan sebelum ini kepada RM19,” katanya.
Berikutan persetujuan itu, mogok berkenaan dapat disuraikan polis, tengahari semalam.
SUNGAI BAKAP - Dalam masa dua minit, 15 rumah musnah akibat dibadai ribut di kawasan Tasek dan Kepala Gajah lewat petang kelmarin.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.50 petang itu menyebabkan penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik dan terputus hubungan apabila pokok besar tumbang menghalang laluan beberapa jalan utama.
Ribut yang disertai hujan lebat dan kilat menyebabkan sebilangan penduduk di kawasan itu ketakutan kerana bimbang kemungkinan buruk yang boleh berlaku dalam keadaan seperti itu.
Seorang penduduk, Norizan Abdul Aziz, 45, berkata, kejadian lewat petang kelmarin memusnahkan hampir 90 peratus rumah pusaka berusia 40 tahun yang ditinggalkan arwah ayah dan ibunya.
“Ketika kejadian saya dan suami tiada di rumah dan apabila pulang kami melihat rumah pusaka itu rosak teruk manakala pelbagai barangan yang terdapat di dalamnya turut musnah.
“Bumbung rumah diterbangkan angin manakala sebahagian besar rumah roboh kerana dihempap pokok,” katanya ketika ditemui di Kampung Balik Bukit, Tasek.
Menurutnya, ini adalah kejadian pertama ribut atau puting beliung melanda kawasan perkampungan itu dan lebih menyedihkan rumah pusakanya musnah.
Bagaimanapun, kesuraman akibat bencana itu diceriakan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Makhtar Shapee dan Penyelaras Kawasan ADUN Sungai Bakap, Foad Mat Isa untuk meninjau keadaan dan bertemu mangsa.
Makhtar berjanji akan membantu penduduk yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Saya akan cuba memberi bantuan sewajarnya manakala tindakan pantas ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pasukan Rondaan Sukarela wajar dipuji kerana berjaya membantu meredakan keadaan.
“Inilah semangat kerjasama yang seharusnya dicontohi kerana ia bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan tetapi semangat perpaduan dapat mewujudkan sebuah komuniti yang harmoni,” katanya.
Sementara itu, Foad berkata, kejadian ribut itu mungkin berpunca daripada tindakan pihak tertentu menebang pokok yang terdapat di sekeliling kampung berkenaan.
“Banyak tanah dikorek dan dibersihkan manakala pokok ditebang akan memudahkan angin bergerak pantas dan sekali gus memusnahkan rumah penduduk.
“Kita sedang berusaha untuk mendapat maklumat lanjut daripada mangsa kejadian untuk menghulurkan sumbangan. Warga emas yang terlibat akan dibantu melalui e-Kasih,” katanya.
No comments:
Post a Comment