LONDON - Pengambilan makanan ringan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak menghidap penyakit berbahaya yang sebelum ini hanya dihidapi golongan dewasa.
Kebanyakan kanak-kanak dilaporkan tidak mengamalkan pemakanan seimbang walaupun kempen berkaitan kerap dijalankan.
Menurut kajian bebas terhadap cara pemakanan golongan muda, hampir 20 peratus kanak-kanak berumur 10 tahun mempunyai berat badan berlebihan dan berhadapan risiko kronik seperti jantung dan barah.
Kanak-kanak juga hanya mengambil separuh daripada jumlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang disyorkan.
Selain itu, kanak-kanak berhadapan risiko menghidap osteoporosis, anemia dan masalah otak kerana mengambil makanan salah.
Sempat minta air
RAWANG – “Dalam keadaan parah ditetak, dia (mangsa) sempat meminta air sebelum menyuruh kami membawanya ke hospital.”
Demikian kata rakan sekerja mangsa pembunuhan kejam berhampiran kawasan Perindustrian Rawang Integrated, awal pagi semalam.
Pekerja syarikat perkilangan barangan makanan dan kegunaan rumah terkemuka di sini, Vasu Govindasamy, 57, berkata, dia sampai ke tempat kejadian sekitar jam 6.50 pagi sebaik mendapat tahu mengenai kejadian.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa, Paraguna Muniandy, 32, dalam keadaan kedua-dua lengan tangan hampir terputus, kulit kepala sebelah belakang terkoyak, manakala terdapat kesan tetakan di kaki kanan.
“Sebaik sampai, kami memang terkejut melihat keadaan mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di atas jalan. Kami terus menelefon ambulans sebelum polis tiba tidak sampai 10 minit kemudian.
“Bagaimanapun dia (mangsa) tidak sempat memberikan apa-apa maklumat berhubung kejadian kepada kami. Dia hanya minta air untuk diminum dan mahu dibawa ke hospital, namun semakin lemah dan mati 20 minit kemudian sebelum sempat ambulans sampai,” katanya.
Vasu berkata, mangsa bekerja sebagai eksekutif kanan, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Katanya, mangsa seorang yang rajin dan tegas dalam bekerja, sering singgah di restoran berdekatan tempat kejadian, sebelum masuk kerja jam 7 pagi.
“Mangsa bekerja seperti biasa sahaja akhir-akhir ini dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 6.15 pagi.
Menurutnya, mangsa tinggal di Batang Kali telah diserang menggunakan parang dipercayai oleh tiga lelaki bertopeng.
“Mangsa ketika itu dipercayai baru keluar dari keretanya untuk ke restoran berhampiran terus diserang oleh kumpulan suspek terbabit. Kita belum tahu motif kejadian.
“Mungkin mangsa cuba lari daripada suspek tetapi tidak sempat,” katanya.
Abdul Rahim , kecederaan mangsa paling parah di kepala, tangan dan tengkuk dipercayai akibat 10 tetakan.
Abdul Rahim berkata, kemungkinan pembunuhan sudah dirancang itu bermotifkan dendam atau iri hati, manakala tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian.
“Kita meminta saksi kejadian tampil membantu polis dengan memberikan maklumat berhubung kejadian,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dihantar di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
Empat remaja ditahan curi kabel
SERENDAH - Suasana Pangsapuri Teratai kecoh awal pagi semalam apabila sepasukan polis bersama penduduk berjaya menangkap empat remaja berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun kerana disyaki mencuri kabel elektrik di perumahan itu.
Keempat-empat remaja terbabit ditemui bersembunyi di atas siling sebuah rumah kosong di tingkat lima, pangsapuri Blok C, kira-kira jam 2.50 pagi.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 40, berkata, pada jam 1.05 pagi dia terdengar bunyi objek jatuh dari blok berkenaan dan apabila diperhatikan dilihat kelibat manusia menuruni tangga di dalam gelap.
“Ketika itu saya baru habis tengok televisyen dan mahu minum di dapur, tiba-tiba terdengar bunyi objek jatuh daripada blok bersebelahan dan bila saya tengok ada beberapa orang sedang turun-naik tangga di dalam gelap.
“Curiga dengan kegiatan mereka, saya terus hubungi jiran sebelum mereka menghubungi pihak polis,” katanya.
Menurutnya, selang beberapa minit kemudian, polis tiba bersama dua motosikal, empat kereta peronda dan dua van polis.
Seorang lagi penghuni blok berkenaan, Anuar Mohd Jali, 39, berkata, pada awalnya, polis gagal mengesan penjenayah terbabit sebelum melakukan pemeriksaan kedua di setiap tingkat pangsapuri terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan kedua menemui kesemua suspek yang dikatakan bersembunyi di atas siling sebuah unit rumah kosong di tingkat lima.
“Polis terpaksa memecahkan pintu rumah terbabit kerana dikunci dari dalam.
“Ketika polis membawa mereka turun, seorang daripadanya menangis dan minta dilepaskan,” katanya.
Anuar berkata, penduduk telah lama memantau kegiatan suspek yang aktif melakukan kegiatan sama sejak seminggu lalu.
Menurutnya, dalam minggu ini saja, kelibat keempat-empat lelaki terbabit dilihat tiga kali memasuki kawasan pangsapuri berkenaan.
“Tetapi, kali ini mereka tidak selamat kerana kami telah memantau dan memerhatikan mereka,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber polis, kesemua suspek adalah penganggur dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Suspek juga dikatakan mempunyai rekod juvana selain jenayah pecah rumah dan beberapa kali keluar masuk penjara.
RM1,400 dalam almari lesap
KUALA SUNGAI BARU - Hasrat seorang warga emas mahu memasukkan sejumlah wang simpanan ke dalam akaun Tabung Haji musnah apabila rumah yang didiami di Kampung Baru, dekat sini, dimasuki perompak, Isnin lalu.
Ketika kejadian, Maznah Abdullah, 62, tiada di rumah dan bermalam di rumah anak tirinya, Abu Bakar Sirun, 30-an.
:Menurutnya, dia dikejutkan dengan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya selepas anak tirinya itu pulang ke rumah berkenaan untuk mengambil barang sebelum pergi bekerja.
“Saya merancang bermalam sehari lagi di rumah anak tiri tetapi terpaksa membatalkan hasrat selepas dimaklumkan kejadian berkenaan.
“Pada malam sebelum kejadian, anak tiri saya bermalam di rumah mentuanya di Tanjung Bidara dan saya pula bermalam di rumahnya di Bandar Melaka. Saya merancang untuk pulang keesokannya,” katanya.
Maznah berkata, anak tirinya itu terpandangkan pintu belakang rumahnya diumpil, sementara cermin tingkap turut dicabut.
Maznah yang kematian suami sebulan lalu kehilangan dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan wang tunai berjumlah RM1,400 yang diletakkan di dalam sarung kaki dalam laci pakaian.
“Selepas dimaklumkan Abu Bakar mengenai kejadian berkenaan, saya terus bergegas pulang dan melihat almari pakaian diselongkar perompak serta laci turut dipecahkan.
“Saya terus cari duit dalam laci pakaian tetapi malangnya sudah diambil perompak termasuk duit syiling turut dikebas,” katanya.
Maznah yang mengalami kerugian sehingga ribuan ringgit bagaimanapun bernasib baik kerana tergerak hati untuk membawa RM500 sebagai persediaan ketika bermalam di rumah anak tirinya.
Abu Bakar kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk tindakan lanjut.
Pecah masuk masjid siang hari
LUBOK CHINA - Kejadian pecah masuk Masjid Kariah Lubok China mengejutkan ahli jawatankuasa masjid berkenaan yang menganggap kejadian itu sebagai perbuatan keji dan tidak menghormati kesucian rumah ibadat.
Imam 1 masjid, Wahab Mustamam berkata, kejadian berlaku pagi kelmarin dan pihak masjid hanya menyedarinya ketika mahu menunaikan solat Zohor apabila melihat bilik mesyuarat yang sebelum ini dikunci terbuka.
Menurutnya, mereka terkejut melihat siling bilik mesyuarat pecah dan percaya pencuri bertindak memasuki ruang ibadat untuk mencuri peti duit melalui siling yang telah dipecahkan.
“Ketika menunaikan solat Subuh, tiada tanda mencurigakan berlaku di masjid, disebabkan itu saya percaya pencuri mengambil langkah berani memecah masuk pada waktu siang.
“Ketika itu orang sibuk bekerja dan pencuri mungkin menganggap kami menyimpan barang berharga seperti komputer atau peralatan lain tetapi mereka silap,” katanya.
Wahab berkata, dia tidak pasti berapa jumlah wang yang hilang kerana pihak masjid baru sahaja mengeluarkan wang derma untuk disimpan di tempat yang lebih selamat.
“Kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku kerana tahun lalu, masjid ini pernah juga dipecah masuk.
“Walaupun tahap keselamatan ditingkatkan, namun kejadian sama tetap berulang kerana tindakan licik pencuri,” katanya.
Menurutnya, pihak masjid sudah berbincang dan bercadang untuk memasang gril di bilik mesyuarat bagi mengelakkan kejadian sama berlaku, selain meminta kerjasama orang ramai terutama penduduk kampung untuk sama-sama menjaga keselamatan masjid.
“Pihak kami kesal dengan apa yang terjadi, malah tidak menyangka rumah ibadat turut dijadikan sasaran penjenayah.
“Ini menunjukkan mereka langsung tidak menghormati rumah ibadat ini, sekali gus tidak takut dengan hukum Allah SWT,” katanya.
BANDAR BAHARU - Seorang pemandu van berusia 52 tahun terbunuh dalam keadaan kaki kirinya terputus apabila van dipandunya bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di jalan Bukit 300 Kaki Sungai Hilir kira-kira jam 11 pagi kelmarin.
Menurut seorang penduduk kampung yang berada di tempat kejadian berkata, rakannya sedang menunggang motosikal dan melalui kawasan kemalangan itu ternampak van mangsa dalam keadaan remuk.
Katanya, selain itu rakannya nampak sebuah lori terbabas kira-kira 50 meter ke dalam semak berhampiran di mana mayat pemandu van berada di hadapannya.
Menurutnya, rakannya memaklumkan kepada penduduk kampung yang tinggal kira-kira 500 meter dari situ untuk mendapatkan bantuan.
“Apabila kami sampai di tempat kejadian, kami nampak van Nissan itu hancur dan limau bertaburan atas jalan. Kami kemudiannya memeriksa sekitar kawasan kejadian dan nampak sebuah lori terbabas ke dalam semak dan ada mayat di hadapan lori itu. Kami kemudiannya menghubungi polis mengenai kemalangan yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris berkata, dalam kejadian itu, pemandu van mati di tempat kejadian.
Katanya, mayatnya dipercayai tercampak keluar dari kenderaan ketika kemalangan berlaku.
Menurutnya, dari siasatan awal dijalankan mendapati lori yang datang dari arah Selama menuju ke Valdor mengalami masalah brek dan hilang kawalan sebelum merempuh van yang datang dari arah bertentangan.
Beliau berkata, pemandu lori yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Lori yang terlibat menjunam ke arah belukar berhampiran. Pemandunya hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Parit Buntar sebagai pesakit luar. Sehingga kini polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu,” katanya.
Empat pemuda tewaskan pencuri lembu
KUBANG KENYENG - Kesungguhan pemuda kampung menyelesaikan kemelut penduduk yang sering kehilangan lembu akhirnya terjawab apabila berjaya memberkas pencuri terbabit.
Penduduk kampung, Mohd Fauzan Abdul Hamid, 25, berkata, kisah itu berlaku setahun lalu apabila penduduk sering kecurian lembu terutamanya selepas musim menuai padi.
Menurutnya, modus operandi pencuri berkenaan akhirnya berjaya dipatahkan apabila penduduk mengumpan lembu bagi membolehkan kesemua pencuri itu diberkas.
“Dua daripada empat pencuri lembu diberkas. Kami terpaksa mengenakan umpan lembu bagi menarik keinginan mereka untuk mencuri dan akhirnya berjaya diberkas.
“Pencuri itu bukan dari daerah ini dan hanya mengambil kesempatan melakukan jenayah itu apabila menyedari kawasan ini banyak lembu berkeliaran apabila lepas penduduk tuai padi,” katanya ketika menerima sijil penghargaan, kelmarin.
Katanya, pencuri terbabit menggunakan tembakan pelali bagi membolehkan lembu yang dicuri dibawa lari dengan lori.
“Ketika pencuri itu di berkas, mereka baru sahaja hendak mencuri lembu tetapi tidak berjaya dibawa lari kerana taktik mereka telah dapat dihidu kami semua,” katanya.
Sementara itu, tiga lagi rakannya, Musabakah Ismail, Mohd Razi Shukri dan Baharom Mohamad turut menerima sijil penghargaan atas jasa bakti kepada penduduk kampung itu yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Datuk Mahdzir Khalid.
SUNGAI BAKAP - Empat lelaki bersenjatakan pisau menyamun seorang lelaki warga asing bersama rakannya ketika pulang dari tempat kerja malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa berusia 34 tahun bersama rakannya, kedua-duanya warga Myanmar dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Setibanya di Jalan Sungai Baong mereka didatangi tiga motosikal dengan masing-masing dinaiki enam lelaki.
“Sejurus itu, mangsa dihalang dan pisau diacukan ke arah mereka. Kejadian berlaku dengan pantas itu dan semua wang dalam poket pakaian mangsa dirampas,” katanya.
Bagaimanapun, polis menahan suspek berdasarkan maklumat nombor pendaftaran motosikal yang diberikan mangsa.
Menurutnya, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dirampas dan empat lelaki yang juga suspek kejadian itu ditahan.
Shafien berkata, polis masih menyiasat kes jenayah jalanan itu di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
“Polis percaya suspek adalah samseng jalanan yang terlibat dalam kes samun tepi jalan melibatkan mangsa dari kalangan warga asing,” katanya.
TAPAH – Statistik kes kecurian dan khianat terhadap kabel syarikat telekomunikasi meningkat kepada 45.2 peratus tahun lalu berbanding 2009.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, pada 2009, sebanyak 104 kes dilaporkan berlaku dan jumlah itu meningkatkan kepada 47 kes menjadikan pada 2010, pihaknya telah menerima 151 kes membabitkan khianat dan kecurian kabel.
Menurutnya, antara kawasan yang dikesan sering menjadi sasaran aktiviti itu termasuklah di Sungkai dan Bidor.
“Dua kawasan ini mempunyai jumlah kes tertinggi iaitu masing-masing 37 kes dicatatkan tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Barang Lusuh (kecurian kabel) di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini.
Abdullah berkata, peningkatan statistik kes kecurian atau khianat pada kabel syarikat telekomunikasi perlu ditangani bersama untuk mengelakkan masalah seumpama itu berlaku secara berterusan.
Menurutnya, usaha sama antara syarikat telekomunikasi dan penyaluran maklumat daripada orang awam akan membantu tugas polis membendung aktiviti itu.
Setakat 15 Februari 2011 ini sahaja, pihaknya menerima kenaikan peratus kecurian kabel sebanyak 16.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kita sedang berusaha keras untuk menurunkan statistik kejadian kecurian kabel tahun ini sebanyak 50 peratus.
”Buat masa ini polis telah berjaya mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dalam kejadian ini dan sedang berusaha mengatur gerakan untuk mengesan mereka,” katanya.
Beliau berkata, maklumat orang awam amat penting dalam usaha menangani permasalahan kecurian kabel.
Orang awam diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat kejadian dan tingkah laku yang mencurigakan.
Tujuh lokasi panas dikenal pasti
JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia mengenal pasti tujuh lagi kawasan panas yang mencatatkan kadar jenayah yang tinggi di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata, pertambahan itu menjadikan keseluruhan kawasan panas adalah 57 kawasan.
“Kawasan panas di Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang pada 2010 berjumlah 50 kawasan manakala pada tahun ini tujuh lagi kawasan sudah dikenal pasti.
“Sebanyak 47 balai polis dan 25 Ibupejabat Polis Daerah (IPD) di empat negeri berkenaan akan terlibat dengan 57 kawasan panas tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Johor Baru Selatan, di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob.
Mohamad Fuzi berkata, Kuala Lumpur dan Johor masing masing sekarang ini mempunyai 15 kawasan panas diikuti Selangor (13) dan Pulau Pinang (14).
Bagi mengurangkan kadar jenayah, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Antara inisiatif yang kita lakukan untuk kurangkan kadar jenayah ialah bertemu dengan orang awam di kawasan strategik dan menanya masalah dan rasa tidak puas hati mereka,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Mokhtar berkata, antara kadar jenayah yang tinggi di kawasan panas di negeri ini ialah kegiatan ragut.
Bagaimanapun jelasnya, polis Johor telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani jenayah tersebut dan ia berjaya dikurangkan pada tahun lalu.
Katanya, sebanyak 3,056 kes atau 47 peratus jenayah jalanan dapat dikurangkan pada tahun lalu.
Terdahulu, beliau beramah mesra dan mengedarkan risalah cegah jenayah serta Rakan Cop kepada peniaga di Jalan Segget, Jalan Trus dan Jalan Dhoby di sini.
Seramai 250 pegawai dan anggota terlibat dalam program High Profile Policing di sini, yang dibahagikan kepada lapan pasukan.
Sementara itu, bagi peniaga di Jalan Segget yang ditemui mengakui :kehadiran polis di kawasan itu melenyapkan keraguan mengenai tahap keselamatan mereka.
Bagi Leong Kam Foong, 40, yang telah lima tahun berniaga disitu berkata, seawal jam 5 pagi beliau telah membuka kedai.
“Saya datang awal pagi, ketika keadaan sunyi dan sepi, namun saya berasa selamat kerana kerap nampak kehadiran polis di kawasan tersebut,” katanya.
Bagi peniaga jam, Lai Kim Poh, 50, yang telah 30 tahun berniaga di situ mengakui keadaan
“Banyak penambah baikkan yang berlaku dari tahun ke tahun dan kini lebih berasa selamat dan tidak takut kerana polis kerap datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment