Friday, February 18, 2011

MASALAH SERTA SOAL JAWAB...DARI HARIAN METRO

Syarat harga tinggi

RAP

RAMAI bertanya sama ada wujud dalil khusus yang mengehadkan keuntungan halal dalam transaksi jual-beli. Merujuk kepada soalan ini, jawapannya ringkas tiada dalil atau nas khusus yang melarang kadar untung tidak melebihi had tertentu daripada jumlah modal terhadap barangan itu.
Ini kerana jika ada, penetapan keuntungan ini akan melencongkan transaksi itu daripada memberi keadilan buat pihak yang menjual dan membeli.

Di dalam Islam, setiap penjual berhak menentukan harga barangan dimilikinya, namun demikian ia masih terikat dengan harga pasaran.

Justeru, harga ditawarkan hendaklah perlu mengikut beberapa terma iaitu harga diletakkan itu diterima dalam pasaran.

Namun, jika ia mahu keluar daripada senarai kebiasaan harga pasaran, ia mestilah mempunyai ‘nilai tambah’ terhadap kualiti barangan itu.


Sebagai contoh, harga pasaran bagi jualan rumah berangkai tiga bilik bernilai RM250,000. Namun, pemilik menjualnya pada kadar harga RM400,000 berikutan sudah melakukan pengubahsuaian dalaman yang sememangnya menambah nilai rumah itu.

Selain itu, harga ditawarkan itu mestilah tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang diletakkan bukan untuk jual-beli, sebaliknya dibuat untuk memberi kesan kepada harga pasaran semasa).

Jika berdasarkan situasi diatas, harga jualannya yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran rumah sejenis adalah halal disebabkan perbezaan dan nilai tambah yang diusahakannya.

Hasil usaha serta modal itulah yang menjadikannya halal menerima imbuhan keuntungan.

Satu contoh lagi, saya masih ingat kisah yang heboh diperkatakan media satu ketika dulu, berkenaan harga sepinggan nasi dagang yang mencecah RM45 (jika tidak silap saya).

Sudah tentu jika dilihat, ia melebihi harga pasaran sepinggan nasi dagang, namun jika berjaya dibuktikan nasi dijualnya mempunyai nilai yang sesuai dengan harganya seperti harga ikan yang digunakan, minyak Zaitun atau apa juga yang lain, nilainya itu adalah harus dan halal.

Namun jika ia tidak sepadan dengan harga pasaran, ia menjadi sebaliknya.
Jelas di sini, jika sesuatu barangan dimiliki mempunyai ciri khas istimewa, atau ditambahkan ciri-ciri istimewa, tatkala itu ia boleh berbeza dengan harga pasaran biasa.

Ini berbeza bagi penjual barangan yang tiada nilai tambah, atau jika ada sekalipun ia hanya nilai tambah yang kecil seperti rumah teres tadi hanya dicat baru. Tatkala itu, harganya masih tidak boleh naik terlalu tinggi daripada harga pasaran.

Bagi aset atau barang yang tiada perbezaan tambah nilai, ulama memberi pendapat berbeza, di mana ada yang membenarkan tidak lebih satu perenam daripada harga pasaran dan ada pula yang meletakkan satu pertiga (pandangan ulama Maliki).

Bagaimanapun, menurut analisis terkini oleh Syeikh Prof Dr Muyi din AL-Qurrah Daghi, pandangan terkuat dalam hal ini adalah terserah kepada suasana setempat. Ini bermakna, semua kadar diberi tadi tidak disokong oleh dalil khusus.

Jadi, adakah seseorang itu boleh menentukan sendiri harga pasarannya berdasarkan suasana setempat itu?

Berdasarkan situasi ini, seseorang itu boleh menentukan harga barangan berkenaan dan diikuti oleh pihak lain hingga diterima sebagai harga pasaran.

Namun perlu diingat, untuk diiktiraf menjadi pihak berwibawa dan dirujuk dalam penentuan harga, seseorang itu perlu mempunyai beberapa ciri tertentu iaitu:

1. Sebuah syarikat besar yang mampu memberi kesan kepada pasaran dan syarikat lain.

2. Terikat dengan kepakaran menilai atau ‘evaluation’ harga kualiti khidmat ditawar atau barang dijual supaya ia bertepatan dengan ‘Thaman al-Mithl’ (harga sesuai yang bertepatan dengan nilai barang).

Justeru, jika anda meningkatkan harga melambung tinggi tanpa justifikasi tepat, saya yakin anda tidak akan lagi menjadi pakar rujuk harga pasaran selepas ini, sekali gus akan menghapuskan kewibawaan anda sendiri.

Kesimpulannya, walaupun anda atau syarikat adalah penentu harga, anda sebenarnya masih terikat dengan proses penentuan harga lain seperti berikut iaitu permintaan dan tawaran, kesukaran memperolehnya, jenis barangan sama ada daripada jenis asasi atau tidak, urusan jualan membabitkan hutang atau tunai, jenis transaksi dan jenis mata wang digunakan.

Semua ini memberi kesan dalam penentuan harga dan hal ini sering diutarakan dalam perbincangan ekonomi Islam selain pernah dijelaskan oleh Ibn Taimiah.

Bagi yang inginkan dalil keharusan harga tanpa had (selagi dalam harga pasaran atau boleh dijustifikasikan secara menepati syariah), berikut dinyatakan harus mengambil untung lebih daripada 100 peratus asalkan ia mengikut panduan hadis.

Hadis riwayat Al-Bukhari, menyatakan bahawasanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberi Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung.”

Hadis ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, kemudian menjualnya dengan harga 100 peratus keuntungan iaitu satu dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh Rasulullah SAW, malah dipuji dan didoakan sahabatnya itu.

Namun jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha menaikkan harga secara tidak sihat seperti menyorokkan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli mengenai harga pasaran atau lain-lain kezaliman, harga tinggi tadi menjadi haram.

Dalam urusan perbankan Islam yang menjalankan transaksi jual-beli (sama ada atas kontrak BBA, Bai Al-Inah atau Murabahah) dalam produk pembiayaan runcitnya, memang kelihatan jumlah yang perlu dibayar oleh peminjam sehingga tamat tempoh pinjaman akan melebihi jumlah pinjaman dibuat.

Sebagai contoh, jika pembiayaan RM200,000 dan jumlah yang perlu dibayar oleh pelanggan dalam tempoh 25 tahun yang dihitung menjadi RM400,000, hukumnya harus dan halal.

Ini kerana, ia berdasarkan harga pasaran bagi setiap pembelian aset yang mahal lagi mudah naik harga (seperti rumah) besar yang ingin dibayar secara ansuran selama 25 hingga 30 tahun.

Buktinya, nilai itu tetap akan dibayar seseorang pelanggan dalam tempoh berkenaan walaupun dengan menggunakan khidmat perbankan lain, termasuk bank konvensional, selain nilai pasarannya yang sentiasa meningkat setiap tahun.

Jadi, semestinya kita tidak ingin bank menjadikan jangkaan harga hartanah itu selepas 25 tahun sebagai harga pasaran.

Hakikatnya, nilai harga yang ingin ditawarkan kepada pelanggan ditentukan dengan cermat dan berhati- hati oleh bank dan bukan merujuk kepada harga aset dalam tempoh akan datang.

Sebaliknya, ia membabitkan pelbagai aspek kos mengurus minimum (cost of fund) selain merujuk kepada kadar faedah semalam yang ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Itu berdasarkan nilai hartanah, jadi bagaimana pula dengan nilai sesuatu barangan seperti kereta yang akan menurun mengikut masa.

Sudah saya sebutkan tadi, nilai harga akan datang biasanya tidak dilihat sangat oleh bank kerana mereka lebih terikat dengan kadar faedah yang dikeluarkan BNM dan ‘Cost of Fund’ bank terbabit.

Justeru, harga pasarannya melihat kepada harga tawaran oleh bank lain, termasuk bank konvensional.

Apapun, harga dan kadar pembelian kereta menggunakan bank konvensional dan Islam adalah hampir sama. Malah pembiayaan kereta secara Islam lebih menarik kerana sebarang kelewatan hanya dikenakan satu peratus penalti tanpa ‘compounding’ berbanding tiga hingga lima peratus penalti bagi bank konvensional yang bersifat ‘compounding’.

Kesimpulannya, itulah harga pasaran sebenarnya dan ia masih dalam harga pasaran.

Saya juga berharap ia lebih murah kerana saya juga pelanggan. Namun saya terpaksa akur dengan harga yang ada di depan mata kerana ia masih dalam ruang lingkup harus menurut syariah.

Fikrah Dr Salam | Dr. Abdul Salam

Alkohol tetap haram

SAYA pernah menonton rancangan televisyen berkenaan kesan alkohol dalam makanan. Satu kumpulan diberikan makanan yang dicampur dengan alkohol dan satu kumpulan lagi hanya diberi minuman keras.
Selepas makan, mereka semua diuji dengan tahap alkohol dalam badan. Kumpulan yang minum minuman keras ternyata mempunyai tahap alkohol yang tinggi dalam badan, tetapi tidak pula kumpulan yang memakan makanan yang salah satu ramuannya adalah arak.

Malah, mereka tidak mabuk. Abang saya pernah bercerita betapa susahnya mencari makanan halal ketika ke luar negeri atas urusan kerja. Bolehkah kita makan makanan yang dicampur arak asalkan kita tidak mabuk?

KELIRU 
Sabah

PENGGUNAAN alkohol atau arak dalam masakan tidak dibenarkan dalam Islam. Ini kerana hukum arak adalah haram dan ia tergolong dalam kategori najis. Larangan ini berdasarkan firman Allah s.w.t: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) (rijsun) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak, judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Ma’idah ayat 90-91)

Eksperimen dua kumpulan di atas dalam rancangan televisyen bukan menjadi alasan untuk tidak mematuhi larangan Allah berkaitan arak.

Alasan sedikit dan tidak memabukkan tidak diterima sebagai pengecualian. Ini kerana Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Sesuatu yang banyaknya memabukkan, maka sedikit adalah haram.” (Riwayat Ahmad, seperti dalam Paizah Haji Ismail, 1996: 202; untuk lebih lanjut lihat juga, M Shiddiq Al-Jawi, “Alkohol dalam makanan, ubat, dan kosmetik: Tinjauan fiqh Islam,” http://osdir.com/ml/culture.region.indonesia.ppi-india/2005-03/msg00134.html)



Tak jatuh talak tanpa lafaz



BULAN lalu saya ada berselisih faham sehing�ga menyebabkan berlaku perkelahian antara saya dan isteri. Bagaimana pun ia berlangsung seketika saja.
Selepas beberapa ketika, kami berbaik semula. Persoalannya, adakah jatuh talak, jika suami terlintas dalam hatinya untuk menceraikan isterinya, tetapi tiada lafaz talak diucapkan?

AMRAN
Perak




TALAK berlaku apabila ada menggunakan sighah iaitu lafaz seperti perkataan: “...aku ceraikan engkau! Jika lafaz�nya terang seperti di atas, jatuh talaknya walaupun tanpa niat.


Justeru itu, lafaz talak bukan perkara yang boleh dimain-mainkan. Jika lafaz tidak jelas (kinayah), maka tidak jatuh talak kecuali dengan niat.

Begitu juga talak tidak jatuh jika hanya berniat tanpa melafazkan. Dalam persoalan niat, apabila berniat hendak berbuat amal baik, kita sudah termasuk mendapat ganjarannya.

Bagaimanapun, bagi niat melakukan kejahatan sebelum melakukan�nya, dikira masih belum berdosa.


Jimak ketika dalam edah



BUAT pengetahuan Dr, saya sudah bercerai dengan suami pada Julai 2010 dan dalam tempoh edah suami ada datang menziarahi saya dan anak.
Kami juga ada melakukan hubungan kelamin.

Adakah sah rujuk jika suami mengatakan kepada kawan-kawannya “Aku nak rujuk dengan isteri aku?

PUTERI 
Selangor


MENURUT Sayyid Sabiq (2000, II: 178) setengah ulama berpendapat sah rujuk dengan (1) kata-kata seperti “Aku rujuk engkau” atau (2) perbuatan seperti jimak dan dorongannya ke arah itu seperti ciuman dan sentuhan dengan syahwat.

Bagaimanapun, Imam al-Shafi’i berpendapat rujuk hanya sah melalui perkataan yang jelas dan bukannya dengan perbuatan semata-mata.

Ibnu Hazm pula berpendapat rujuk hendaklah dengan perkataan, ada saksi dan seterusnya diberitahu kepada pihak isteri. Dengan itu dalam kes anda di atas, saya berpendapat berlaku rujuk yang sah kerana ia dilakukan dalam masa edah, suami menyatakan hasrat untuk rujuk kepada kawannya sebagai saksi dan seterusnya berlaku jimak.

Bagaimanapun, pengesahan perlu dibuat di Mahkamah Syariah dengan dikemukakan bukti dan saksi yang ada.



Sunat berselawat antara 2 khutbah


DALAM solat Jumaat, selepas khatib membaca khutbah pertama, biasanya bilal akan membaca doa sebelum khatib meneruskan khutbah yang kedua.

Di sesetengah tempat pula, saya perhatikan antara dua khutbah berkenaan, bilal mengalunkan selawat nabi dan jemaah turut menadah tangan.
Perlukah ketika selawat berkenaan dibacakan kita menadah tangan?

AMIN
Kuala Lumpur 


ANTARA syarat sah khutbah adalah khatib (pembaca khutbah) hendaklah duduk seketika selepas khutbah pertama. Khatib disunatkan membaca surah al-Ikhlas ketika duduk antara dua khutbah.

Berbeza dengan khatib, bilal mengalunkan selawat atas Nabi s.a.w. Tujuannya adalah supaya jemaah menyedari khutbah pertama sudah berakhir.

Maka jemaah boleh berdoa antara dua khutbah terbabit.

Ada yang berpendapat, doa ketika itu mustajab (waktu yang dimakbulkan). Menadah tangan ketika berdoa dan membaca selawat dikira sebagai sunat.



Bergaduh kerana ipar sering bertandang



SAYA berasa tidak selesa dengan sikap abang ipar yang selalu bermalam di rumah kami sama ada bersendirian atau membawa keluarganya.
Mereka selalu datang dan membawa orang lain bermalam di rumah kami. Saya pernah meminta suami menjelaskan keadaan itu, tetapi suami enggan kerana tidak mahu adik-beradik�nya terasa hati.

Keadaan itu membuatkan kami sering bertengkar. Hubungan suami isteri menjadi renggang sehingga saya berasa amat tertekan dan ingin meminta fasakh.

Adakah wajar saya meminta dilepaskan kerana tidak mahu menjadi penyebab perbalahan mereka dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keluarga mereka?

 TIDAK MAHU DERHAKA 

Johor



ISLAM menggalakkan amalan kunjung-mengunjung bagi mengeratkan tali persaudaraan terutama antara keluarga. Bagaimanapun, sikap tidak menghormati tuan rumah boleh menyebabkan persengketaan antara suami isteri.

Dalam Islam, apabila tuan rumah tidak menjawab panggilan sebanyak tiga kali, tetamu hendaklah pulang dengan berlapang dada.

Maka saudari hendaklah bijak dalam menguruskan situasi itu.

Suami hendaklah memahami perasaan isteri dan saling hormat menghormati pendapat masing-masing. Dalam menghadapi cabaran itu, anda berdua hendaklah banyak bersabar.

Perselisihan faham perlu diselesaikan dengan cara baik. Perceraian adalah jalan terakhir dalam menyelesaikan masalah suami isteri.

Rumah tangga menjadi baik apabila pasangan menjalankan tanggungjawab dengan baik seperti yang diatur Islam.

Suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak, menyediakan tempat tinggal, melindungi rumah tangga dan keluarga, memberi kasih sayang dan pendidikan kepada anak.

Tanggungjawab isteri kepada suami pula ialah memberi kasih sayang sepenuhnya kepada suami, menjaga amanah suami, menjaga harta suami, memelihara kehormatan diri, menjaga kebersihan diri, anak dan rumah tangga serta tidak keluar rumah tanpa izin suami.


Mati pucuk



APAKAH tanda-tanda seseorang itu menghidapi penyakit mati pucuk?

INGIN TAHU
Setiawangsa,
Kuala Lumpur


Apabila gagal mencapai ketegangan alat sulitnya atau ereksi yang padat dan kekal secukupnya untuk melakukan seks penetratif dengan pasangan wanita, seseorang lelaki itu dikatakan mengalami ‘mati pucuk’.

Mati pucuk ialah tanda atau simptom penyakit atau masalah kesihatan yang menyebabkan kegagalan pencapaian ereksi. Mati pucuk bukan penyakit! Ia simptom penyakit!

Satu ketika, mati pucuk dikaitkan dengan gangguan fikiran dan lelaki yang mengalaminya biasa menyatakan mereka tidak terangsang, seolah-olah mengaitkan masalah mereka kepada pasangan.

Sebenarnya mereka berhajat untuk bersama dengan pasangan, tetapi tidak mampu kerana ereksi tidak berlaku atau ereksi tidak kekal.

Baru sekarang lelaki faham masalah ini ada kaitan dengan kurangnya kemasukan darah ke dalam ruang otot zakar yang menyebabkan kandungan darah tidak cukup untuk memadatkan zakar dan mengekalkan ereksi untuk tujuan persetubuhan.

Sebilangan besar masalah mati pucuk (lebih 80 peratus) disebabkan masalah kesihatan. Jadi apa-apa masalah kesihatan yang menyebabkan kekurangan darah masuk ke dalam otot zakar ketika lelaki berhajat melakukan persetubuhan boleh menyebabkan mati pucuk.

Sebagai contoh, penyakit yang menyebabkan pembuluh darah sempit seperti ‘arterioscelerosis’ yang ada kaitan dengan peningkatan kolesterol dan lemak dalam darah yang berpunca daripada amalan tidak sihat seperti makan makanan mengandungi banyak lemak dan kolesterol, merokok kerana kandungan kimia dan nikotin menyebabkan dinding salur darah tercerut, serta tidak atau kurang mengamalkan senaman dan tekanan.

No comments:

Post a Comment