Rakan pelakon ugut bunuh
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
mfirdaus@hmetro.com.my
Pelakon lelaki berusia 43 tahun itu pernah mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan tanah air apabila gambar intimnya bersama seorang pelakon wanita tersebar di Internet. Menurut sumber polis, pelakon terbabit bersama tiga rakannya berusia 30-an mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, Isnin lalu.
“Menyedari kesalahannya selain yakin dia diburu pihak berkuasa, pelakon itu tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong kira-kira jam 10 pagi (semalam) sebelum dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, pelakon terbabit sebelum ini dipanggil SPRM untuk membantu siasatan satu sindiket pernikahan palsu didalangi seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan empat lelaki lain berikutan dia menggunakan khidmat sindiket itu untuk pernikahan keduanya.
Sumber itu berkata, pertemuan pelakon terbabit dengan dua pegawai SPRM yang mahu mengambil keterangannya diadakan di sebuah kafe di Danau Kota, di sini, kira-kira jam 11.20 malam Isnin lalu.
“Sebaik pelakon itu dan tiga rakannya masuk ke kafe berkenaan, seorang daripada rakannya memperkenalkan diri sebagai ‘Abang Joe’ dan mendakwa dia pegawai khas Ketua Polis Negara.
“Abang Joe mengarahkan dua pegawai SPRM berkenaan menghentikan siasatan ke atas pelakon itu. Apabila dua pegawai SPRM itu bertegas untuk meneruskan siasatan, Abang Joe mengugut dengan mengatakan akan membunuh mereka,” katanya.
Menurutnya, Abang Joe turut mengugut mahu menembak kedua-dua pegawai itu sehingga mati jika permintaannya tidak dipenuhi. “Selain itu, Abang Joe memberitahu dia boleh memerangkap dua pegawai SPRM berkenaan dengan meletakkan dadah dalam rumah atau kenderaan mereka supaya pegawai itu ditahan polis.
“Malah, Abang Joe mendakwa dia sanggup mati semata-mata bagi memastikan SPRM tidak meneruskan siasatan terhadap pelakon terbabit,” katanya.
Sumber itu berkata, pelakon terbabit dan tiga rakannya meninggalkan kafe berkenaan sebelum kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.
Menurutnya, pelakon terbabit direman lima hari bermula semalam dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan pelakon terbabit.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan tunduk pada ugutan, tohmahan dan fitnah mana-mana pihak yang cuba menjejaskan siasatan sesuatu kes rasuah.
“Ini sebahagian cabaran yang perlu kami hadapi. Dalam kes sebegini, SPRM akan serahkan kepada polis mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami akan teruskan siasatan sindiket pernikahan palsu itu,” katanya.
Tuduh anak pembawa sial
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
maryvictoria@hmetro.com.my
KEJAM...Shatini menunjukkan kesan dera di kedua-dua lengan akibat dipukul bapa.
Bapa kanak-kanak berusia 12 tahun itu bukan saja memukulnya menggunakan kayu serta topi keledar, malah kanak-kanak malang itu dicucuh dengan besi panas.
Bagaimanapun, perlakuan kejam lelaki berusia 40-an itu terdedah selepas mangsa yang hanya dikenali sebagai Shatini mengadu nasib malang menimpanya kepada jiran sebelum diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tengah hari semalam.
Shatini yang menghidap penyakit kulit di kaki dan tangan didapati mempunyai 20 kesan luka lama dipercayai akibat penderaan fizikal.
Menurut Shatini, bapanya memberi alasan dia diperlakukan sedemikian kononnya untuk mendidiknya lebih berdisiplin.
“Saya sudah lali dengan sikap panas baran bapa yang kerap memukul, menendang, memijak dan memaki hamun saya menggunakan perkataan lucah hampir setiap hari setiap kali pulang kerja.
“Berbeza dengan adik perempuan yang berusia lapan tahun, ibu dan bapa memanjakan dan menyayanginya kerana dia tidak memiliki sebarang kecacatan seperti saya,” katanya.
Shatini diberhentikan sekolah ketika tahun lima mendakwa, penderaan terbaru dialaminya kelmarin, selepas ibu bapanya bertengkar.
Menurutnya, bapanya yang menuduh dia punca masalah itu memanaskan besi sebelum menekap besi itu pada tumitnya.
“Selepas itu, ibu (berusia 30-an) pula memukul saya menggunakan paip PVC pada paha,” katanya.
Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, sejak lebih setahun lalu, dia diarah tinggal di rumah dan membersihkan rumah ketika bapa serta ibunya keluar bekerja di Singapura.
“Bapa bekerja di bahagian pembersihan manakala ibu sebagai pengawal keselamatan. Saya hanya dibenar makan nasi dan lauk yang disimpan berhari-hari, kononnya bagi menjimatkan perbelanjaan.
“Ibu dan bapa mengatakan ia perlu dilakukan supaya mereka boleh mengumpul wang bagi mengubah suai rumah,” katanya.
Menurut Shatini, dia pernah bersekolah di sekitar bandar raya ini sehingga tahun empat sebelum dihantar ke Butterworth, Pulau Pinang, untuk tinggal bersama saudara ibu serta bersekolah di sana.
Bagaimanapun, ia hanya untuk setahun sebelum dibawa pulang ke Johor awal tahun lalu, dengan alasan mahu disekolahkan di sini.
“Itu semua hanya alasan kerana sebenarnya saya dijadikan tempat bapa melepaskan geram,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JKM Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, selepas Shatini diselamatkan pihaknya melaporkan kes dera itu di Balai Polis Pelangi Indah.
“Kanak-kanak itu akan diberi perlindungan dan kesnya akan disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
“Dia sudah dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan dan JKM juga akan mendapatkan maklumat daripada ibu bapanya secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Balai Polis Pelangi Indah mengesahkan menerima laporan itu dan akan mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak itu dalam tempoh terdekat.
Bapa dituduh bunuh bayi
IRINGI...pegawai polis bersama dua anggota mengiringi Muhammad Rafiq (dua dari kiri) yang dituduh membunuh anak di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.
Tertuduh, Muhammad Rafiq Suresh Abdullah, 37, hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Rafiq Suresh yang tidak bekerja didakwa membunuh bayi perempuan berumur 10 hari di rumahnya No 1, Jalan Kepong Batu 6 3/4, Jinjang, pada jam 11 pagi sehingga 6 petang, 13 Februari 2011.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Abu Hassan Ramli dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes. Harian Metro, pada 14 Februari lalu, melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara.
Kejadian jam 1.45 tengah hari itu disedari jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.
Sementara itu, menurut sumber, bayi itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek.
Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an ditahan.
No comments:
Post a Comment