Tuesday, February 15, 2011

ELAKKAN BIARKAN ANAK MEMANDU TANPA LESEN....TAK CEKAP...HATI BIMBANG ...PERHATIAN TERTUMPU PADA POLIS@SEBAB TAK DE LESEN... DAN KENDERAAN2 LAIN...

Ajal lepas balik maulid

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

PILU...ibu mangsa, Jamilah (tengah) cuba ditenteramkan ahli keluarga selepas melihat jenazah anak bongsunya itu.
PILU...ibu mangsa, Jamilah (tengah) cuba ditenteramkan ahli keluarga selepas melihat jenazah anak bongsunya itu.
NGERI...keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil, Ahmad Jamal.
NGERI...keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan. Gambar kecil, Ahmad Jamal. 
 
MELAKA: “Arwah baru balik dari majlis Maulidur Rasul di Masjid Kampung Kandang sebelum memberitahu keluarga dia mahu tidur di rumah neneknya. Ketika di sana, seorang rakan mengajaknya keluar sebelum mereka terbabit kemalangan itu,” kata Kamal Mahadi, 58, bapa saudara kepada Ahmad Jamal Roslan, 15, yang terbunuh dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Ayer Molek-Kandang, Lebuh Alor Gajah-Melaka (Lebuh AMJ), dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa dari Jalan Kandang Kilometer 1, Taman Kandang Mesra, dekat sini, yang membonceng terbunuh manakala rakannya Mohd Sah Sapuan Ahmad, 17, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi ICU) Hospital Melaka (HM) selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah van.

Menurut Kamal, mereka sekeluarga tidak mengetahui bagaimana arwah membonceng motosikal sedangkan ketika keluar rumah dia berjalan kaki dengan rakannya itu.
“Arwah sudah bersiap-siap masuk tidur sebelum rakannya itu datang. Kejadian ini amat menyedihkan namun kami sekeluarga reda dengan apa berlaku,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), semalam.

Bagaimanapun, ibu bapa mangsa, Jamilah Dolah, 43, dan Roslan Ibrahim, 44, enggan ditemubual kerana terlalu bersedih dengan kejadian menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, seorang saksi kejadian mahu dikenali sebagai Sardi, 42, berkata dia melihat penunggang dan pembonceng motosikal tidak memakai topi keledar dari arah Ayer Molek menghala ke Kandang tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

Pada masa sama, katanya dia yang berada di jalan bertentangan melihat sebuah van dari arah pusat bandar sedang bergerak meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat bertukar hijau dan terlanggar motosikal terbabit.

Katanya, akibat perlanggaran itu motosikal itu terseret kira-kira 100 meter menyebabkan penunggangnya tercampak ke jalan bertentangan manakala pembonceng terbabit turut terpelanting di jalan sebelum van berhenti dan berpusing.

“Saya tergamam melihat kejadian itu yang berlaku begitu pantas selain seorang mangsa menggelupur kesakitan akibat kecederaan dialaminya sebelum ambulans tiba,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kemalangan itu namun enggan mengulas lanjut.

Belasah isteri depan ibu bapa

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

SEPANG: Berang dituduh menjalin hubungan sulit dengan wanita lain, seorang lelaki bertindak ganas membelasah isterinya di hadapan ibu bapanya sendiri di rumah mereka di Bandar Baru Salak Tinggi.
Sebelum kejadian kira-kira jam 10 malam Ahad lalu, mangsa berusia 27 tahun bertanyakan suaminya berusia 26 tahun mengenai hubungan sulitnya dengan seorang wanita, tetapi dinafikan menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

Menurut sumber, pasangan suami isteri itu sering bertengkar gara-gara sikap si suami mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dan didakwa bermain kayu tiga.
“Mangsa yang tidak tahan dengan sikap hidung belang suaminya menuntut penjelasan mengenai kebenaran hubungan terlarang itu, namun dinafikan sebaliknya mangsa dituduh sengaja mengada-adakan cerita tanpa usul periksa.

“Mangsa tidak berpuas hati terus mendesak suaminya supaya mengaku perbuatan itu menyebabkan lelaki terbabit berang lalu menampar muka isterinya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan suaminya cuba menepis, namun suaminya seperti dirasuk terus membelasahnya.

“Pada masa sama, ibu bapa suami mangsa yang tinggal bersama mereka hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu masuk campur urusan suami isteri itu.

“Berikutan kejadian itu, mangsa cedera di muka, tangan, kepala dan bibir,” katanya.

Menurut sumber, selepas puas membelasah, lelaki terbabit terus keluar dari rumah meninggalkan isterinya yang dalam kesakitan.

“Mentua mangsa membantu mangsa dan menasihatinya supaya bersabar dengan tindakan dilakukan anak mereka.

“Mangsa yang tidak sanggup lagi diperlakukan sedemikian membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi,” katanya.

Difahamkan, kejadian wanita terbabit dibelasah suaminya bukan kali pertama kerana sebelum ini jika terdapat salah faham antara mereka, dia turut menjadi mangsa belasahan suaminya hingga cedera.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sepang, Deputi Superintendan Baharuddin Mustapa mengesahkan menerima laporan itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

Ibu racun dua anak

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

KRITIKAL...suspek dirawat di Hospital Serdang.
KRITIKAL...suspek dirawat di Hospital Serdang.
BERSEDIH...ahli keluarga di rumah mangsa, semalam.
BERSEDIH...ahli keluarga di rumah mangsa, semalam.
KAJANG: Tragis apabila dua beradik maut selepas dipaksa minum susu dicampur racun oleh ibu kandung di rumah mereka di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mayat dua beradik terbabit, Rashmeka, 4, dan Neeharika Laxmi Sivarajah, 12 bulan, ditemui bergelimpangan dengan mulut berbuih dalam sebuah bilik.

Difahamkan, selepas meracun kedua-dua anaknya, wanita berusia 30 tahun terbabit meminum racun dan kini dilaporkan kritikal di Hospital Serdang. Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata ketika kejadian, ibu bapa mentua wanita terbabit berada di rumah berkenaan.
“Kejadian itu disedari ibu mentua mangsa yang hairan apabila menantunya tidak membuka pintu bilik walaupun diketuk berkali-kali. Bimbang keadaan itu, mentuanya menghubungi suami wanita terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, sebaik suami wanita itu tiba rumah, dia menyuruh isterinya yang pernah mengalami masalah mental membuka pintu, tetapi tidak berjawab. “Dengan menggunakan kunci pendua, suami wanita itu membuka pintu bilik berkenaan sebelum terkejut apabila melihat isteri dan dua anaknya bergelimpangan dengan mulut berbuih,” katanya.

Azman berkata, suami wanita berusia 33 tahun itu membawa semua mereka ke hospital sebelum pakar mengesahkan kedua-dua anaknya sudah meninggal dunia. “Bagaimanapun, isterinya masih kritikal di Hospital Serdang. Hasil siasatan, polis mendapati ibu kanak-kanak itu pernah menerima rawatan psikiatri dan pernah cuba membunuh diri pada 2006,” katanya.

“Polis masih menyiasat kes berkenaan secara terperinci dan mengenal pasti motif wanita terbabit membunuh kedua-dua anaknya, namun saya tidak menolak kemungkinan dia mempunyai masalah mental,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suami mangsa yang juga seorang tukang gunting bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih bersedih ketika wartawan Harian Metro berkunjung ke rumahnya, semalam.

Bagaimanapun, seorang ahli keluarga lelaki itu mengesahkan wanita terbabit mempunyai sejarah mental sejak kecil dan bergantung kepada ubat.

“Ini perkahwinan kedua wanita itu, sebelum ini dia tidak mempunyai apa-apa masalah dengan suami pertamanya dan kami kesal kenapa dia sanggup membunuh kedua-dua anaknya kerana mereka masih kecil,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali mendakwa wanita terbabit tidak mengalami sebarang masalah, malah dia tidak pernah mendengar sebarang pertengkaran antara mereka suami isteri.

“Kami terkejut apabila dimaklumkan seorang jiran lain wanita terbabit membunuh anaknya dengan memasukkan racun dalam botol susu mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment