Nasi ayam RM1.90, kopi 30 sen
Besut - Bagi sesetengah orang, mungkin menganggap peniaga ini kurang waras apabila masih mengekalkan harga lama walaupun barang mentah naik harga beberapa kali.
Lebih menghairankan seorang peniaga warung di Gong Tengah yang masih mengekalkan harga makanan dan minuman yang dijual pada nilai sama sejak 21 tahun lalu mengakui mendapat untung lumayan.
Pemilik warung, Mohd Yusof kini berbangga dengan usaha ikhlasnya apabila mampu memperoleh pendapatan bersih RM2,000 sehari dengan menjual minu-man panas pada harga 30 sen dan nasi berlauk semurah RM1.
Dia kini sudah boleh tersenyum lebar apabila memiliki lima rumah sewa dan tiga lot tanah hasil keuntungan mengusahakan perniagaan makanan warungnya.
Langkah itu turut diikuti dua peniaga nasi ayam di Gong Kemuntong yang menjual makanannya serendah RM1.90 sepinggan.
Jual harga rendah, masih lumayan
GONG TENGAH - Seorang peniaga warung di sini mampu membuktikan walaupun menjual makanan dan minuman dengan harga rendah, tetapi dia masih mampu meraih pendapatan lumayan dan mengumpulkan banyak aset.
Mohd Yusof Fakir, 59, berkata, sejak 21 tahun menjalankan perniagaan kedai makan, harga minuman yang dijualnya tidak berubah hingga sekarang walaupun harga keperluan asas sudah kerap naik.
Menurutnya, dia menjual semua minuman kosong seperti teh O panas dan kopi panas hanya 30 sen secawan sejak 21 tahun lalu, manakala Milo susu hanya 60 sen sahaja secawan.
“Harga teh O ais pula ialah 50 sen, Milo susu RM1 segelas begitu juga Nescafe, sedangkan di restoran biasa harga Milo susu antara RM1.50 hingga RM2,” katanya.
Mohd Yusof berkata, nasi berlauk pula dijual hanya RM1 sepinggan atau sebungkus dan masakan panas seperti mi sup atau Maggie sup RM2 semangkuk.
Menurutnya, walaupun dengan harga bahan asas yang tinggi sekarang berbanding dahulu, tetapi dia masih boleh memperoleh keuntungan dengan menjual dengan harga rendah.
“Kalau anda makan nasi berlauk sepinggan dan minum teh o panas secawan, anda baru perlu bayar RM1.30.
“Macam mana tidak boleh untung kalau satu kilogram gula dapat berapa puluh gelas air, iaitu hanya dua sudu bagi secawan air begitu juga dengan susu pekat,” katanya yang memulakan perniagaan awal dengan modal RM50 sahaja.
Katanya, dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di Kampung Pulau Panjang dekat Seri Nering selama lima tahun sebelum berpindah ke kampung Gong Tengah dekat Gong Kedak 16 tahun lalu.
Menurutnya, dengan keuntungan menjual minuman dan makanan dengan harga yang murah itu dia dapat membina lima rumah sewa dan membeli tiga lot tanah.
Dia yang memperoleh pendapatan bersih lebih RM2,000 sebulan dibantu isterinya Hasnah Mohamad, 58, selain mempunyai seorang pembantu.
Warungnya beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 12 malam kecuali Jumaat sering dipenuhi pelanggan terutama pada waktu pagi.
Peroleh pendapatan RM2,800 sehari
Walaupun bahan asas mengalami kenaikan harga beberapa kali namun Ramli@Amran Mat Zaib tidak berhasrat untuk menaikkan harga nasi ayam yang dijual di restorannya.
Sepanjang tempoh lima tahun mengusahakan Restoran Astaka Nasi Ayam RM1.90, Ramli masih mampu mengekalkan harga nasi ayamnya yang lebih rendah berbanding restoran lain hingga sekarang.
Bagi peniaga berusia 49 tahun ini, kenaikan harga barang sama sekali tidak merugikan perniagaannya walaupun menjual nasi ayam dan minuman dengan harga sama seperti lima tahun lalu.
Menurutnya, meskipun harga beras, mentega, gula dan semua keperluan lain meningkat, tetapi dia masih mampu meraih keuntungan.
“Saya masih memperoleh keuntungan walaupun jual dengan harga rendah kerana apabila murah bilangan pengunjung semakin ramai,” katanya yang memperoleh pendapatan kasar kira-kira RM2,800 sehari.
Ramli berkata, harga murah bukan bermaksud kualiti dan keenakan makanan juga rendah, malah kelazatan nasi ayamnya menjadi pelaris utama mengapa kedainya sering diserbu pengunjung terutama pada waktu tengah hari.
Restoran ini yang terletak di Gong Kemuntong menerima kunjungan lebih 1,000 orang pengunjung setiap hari. Restoran yang dibuka enam hari seminggu bermula Sabtu hingga Khamis itu beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 10 malam dan mampu menghabiskan sekurang-kurangnya 100 ekor ayam sehari.
“Setakat ini walaupun berlaku kenaikan harga barangan keperluan, tetapi saya masih tidak kelam kabut untuk menaikkan harga makanan. Ini sebab, saya tahu walaupun mengenakan caj atau kadar harga rendah masih mendapat keuntungan,” katanya yang mempunyai lapan bekerja.
Restoran yang terletak di tepi jalan utama Jertih–Kampung Raja dekat Gong Kemuntong, Jertih ini bertekad terus mengekalkan harga ini tanpa mengurangkan saiz ayam atau nasi bagi memberi pilihan kepada pengguna mendapat makanan harga murah dan lazat.
Seorang pengunjung, Shahrul Mat Salim, 26, berkata, harga makanan yang murah dapat memberi pilihan kepada orang ramai terutama golongan berpendapatan rendah.
“Kalau makan tengah hari di sini (nasi ayam) termasuk teh O ais baru RM2.90, tetapi makan di kedai biasa kurang-kurang RM6,” katanya yang berharap pengusaha restoran lain mencontohi pengusaha restoran nasi ayam ini.
Kekal harga nasi walaupun harga barang naik
Sebuah lagi Kedai Nasi Ayam RM1.90 yang beroperasi di sini turut mengekalkan harga makanan itu sehingga sekarang meskipun harga bahan asas kerap mengalami kenaikan.
Pengurus restoran, Norisal Waani Mohd Jidin, 27, berkata, kenaikan harga barangan menjadi cabaran kepada peniaga makanan, namun restoran ini yang juga terletak di Gong Kemuntong masih berupaya mengekalkan menjual nasi ayam dengan harga itu dan mampu meraih keuntungan.
Menurutnya, cuma teh O ais yang sebelum ini dijual dengan harga 50 sen segelas, terpaksa dinaikkan sebanyak 20 sen menjadikan 70 sen segelas.
“Harga minuman lain dan nasi ayam biasa masih kekal dan cara ini dapat menarik lebih ramai pengunjung ke restoran kami memandangkan biasanya setiap kali harga barang naik peniaga akan menaikkan harga di kedai mereka,” katanya yang mempunyai tujuh pekerja.
Restoran ini yang terletak di sebelah kanan jalan dari Jertih ke Kampung Raja beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula 10 pagi hingga 10 malam.
“Kalau tidak untung mesti sudah tidak dapat jual nasi ayam dengan harga itu, tetapi kami masih mampu bayar gaji pekerja,” katanya.
DUNIA AKAN HANCUR ATAU KITA MATI DULU CARILAH BEKALAN AKHIRAT...MASA MENGEJAR KITA...DAN KITA SEMAKIN TUA...BERUBAN SERTA KEREPOT...HEBAH2KAN GAN KAWAN2 BLOG NI..TK KERANA SERING MELAYARI BLOG INI. رَبِّيْ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِيْ وَيَسِّرْ لِيْ أَمْرِيْ Tuhanku (Allah) lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku.. amin...سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلٰهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ لاحول ولا قوّة إلاّ باللّه العظيم
Thursday, February 17, 2011
PERNIAGA ADIL BOLEH MASUK SYURGA...MENGAMBIL KEUNTUNGAN ITU DIBENARKAN...DALAM KEUNTUNGAN BERILAH KEBAJIKAN....ITULAH PAHALA YANG GHAIB...HANYA ORANG YANG TAQWA DAPAT MERASAI DAN DAPAT MELIHATNYA....BIAR KAYA DIAKHIRAT...KAYA DIDUNIA BELUM MENJAMIN KAYA DIAKHIRAT.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment