Thursday, May 19, 2011

CURI..ROMPAK..PUKAU...LARIKAN ANAK ORANG....DAN MACAM2 KES JENAYAH...SERTA KEMUNGKARAN...ADAKAH INI MERUPA BALA DARI ALLAH SWT

Serah RM11,000 selepas dipukau

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

KAJANG: Seorang kakitangan sebuah restoran kerugian lebih RM11,000 selepas dipukau dalam kejadian di sebuah bank di Tanming Jaya, di sini kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari restorannya di Jalan Duta Mas ke bank berkenaan untuk memasukkan wang keuntungan jualan, namun dipukau seseorang tidak dikenali sebelum menyerahkan wang dalam sampul itu dalam keadaan tidak sedar.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 32, berkata, dia ditugaskan memasukkan wang keuntungan jualan ke dalam bank setiap hari.
Katanya, penyelia restoran menyerahkan wang itu di dalam sampul kepadanya dan sebaik tiba di bank itu, dia terus dipukau.

“Saya tidak sedar langsung dan tidak tahu sama ada lelaki atau perempuan yang memukau hingga sanggup menyerahkan sejumlah wang kepada mereka.

“Saya hanya ingat wang jualan itu diberi penyelia di dalam satu sampul dan saya perlu memasukkan wang itu ke dalam bank seperti biasa, namun nasib malang menimpa apabila dipukau orang tidak dikenali,” katanya di sini, semalam.

Roslan berkata, dia hanya menyedari kehilangan wang itu pada waktu petang selepas penyelianya meminta resit bank.

“Pada masa itu, kepala saya pening dan berada dalam keadaan bingung sebelum menyerahkan sekeping kertas kepada penyelia saya yang kemudian terkejut kerana keadaan saya tidak terurus.
“Berikutan keadaan saya, penyelia itu menyuruh saya pulang berehat, namun hingga kini saya masih kebingungan dan tidak mampu mengingati apa yang terjadi,” katanya yang berharap individu tidak bertanggungjawab ditangkap.

Menurutnya, dia tidak dapat mengingati apa-apa dan kini masih dalam keadaan bingung dan tidak terurus kerana memikirkan kejadian itu.

Katanya, laporan mengenai kejadian itu sudah dibuat di Balai Polis Batu 9, Cheras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab mengesahkan laporan dan siasatan sedang dijalankan.


3 penyamun menyamar polis dicekup

KUALA LUMPUR: Tiga suspek yang menyamar polis bagi menjalankan kegiatan samun sekitar Lembah Klang tumpas selepas ditahan di lokasi berasingan di sini, semalam.
Difahamkan, polis bertindak hasil laporan seorang mangsa, kelindan lori dari Seremban yang disamun di Jalan Tun Sambanthan di sini, 7 Mei lalu kira-kira jam 12 tengah hari selepas pulang daripada menjamu selera.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, mangsa yang menaiki motosikal ditahan suspek berpakaian jaket biru gelap dan seluar hitam yang mengaku anggota polis.
“Suspek mengaku memiliki pistol dan akan menembak mangsa jika cuba melarikan diri sebelum merampas telefon bimbit dan kad pengenalan mangsa serta meminta wang RM150.

“Mangsa yang takut dan mahu kad pengenalannya dipulangkan mengambil wang di rumahnya sebelum datang semula bertemu suspek di tepi Balai Polis Bergerak Brickfields,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, suspek turut membawa mangsa ke Balai Polis Travers konon bagi menjalankan siasatan lanjut, namun mangsa diminta menunggu di jalan masuk dan tidak dibenarkan mengekori suspek yang pergi bertemu anggota polis di pondok pengawal.

“Suspek terus menghilangkan diri selepas memulangkan kad pengenalan dan mangsa yang terpinga-pinga dan masih takut terus membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, polis menahan suspek, seorang penganggur berusia 40 tahun dari Klang yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan dadah manakala rakannya masing-masing berusia 23 dan 24 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Suami mengadu pening ditemui mati dalam kereta



JITRA: “Saya cuba menggoyangkan kereta beberapa kali bagi mengejutkan pemandu Proton Wira itu, tetapi dia langsung tidak bergerak menyebabkan saya beredar dari situ kerana menyangka pemandu itu tertidur.
“Ketika itu, lampu dan enjin kereta berkenaan masih terpasang dan saya dimaklumkan beberapa rakan yang juga pekerja di stesen minyak kereta berkenaan sudah semalaman berada di situ,” kata Asyraf Mohamad.

Asyraf, 24, pekerja stesen minyak di Bandar Darulaman, Jitra di sini, berkata, seorang pelanggan yang kebetulan mengisi minyak membuka kereta berkenaan selepas mengesyaki sesuatu mencurigakan dan mendapati pemandunya sudah meninggal dunia apabila mendapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.
Mayat Mohd Imron Mihat, 28, ditemui kira-kira jam 2 petang semalam di hadapan sebuah stesen minyak di Bandar Darulaman sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada polis.

Difahamkan, mangsa yang menetap di Kampung Empa, Jalan Kota Mengkuang, di sini, dipercayai keluar dari rumah sejak petang kelmarin sebelum ditemui meninggal dunia di situ.

Ibu mangsa, Che Som Hussain, 60, hampir pengsan apabila melihat mayat anak keempat daripada tujuh beradik itu menyebabkan dia terpaksa dipapah ke tempat lain oleh ahli keluarga.

Che Som berkata, anaknya pernah memberitahu dia tidak larat lagi untuk bekerja sebagai penoreh getah kerana sakit kepala sejak beberapa hari lalu, tetapi tidak mengendahkannya, malah menasihatkan anaknya berehat.

Katanya, dia terkejut apabila menantunya, Sabariah Ishak, 25, yang juga isteri mangsa menghubungi memberitahu mangsa tidak pulang ke rumah mereka dan berusaha mencari arwah.
“Dia tak ada sakit apa-apa dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Sementara itu, Sabariah ketika ditemui berkata, dia pulang ke rumah ibunya di Kampung Lahar, dekat sini, kelmarin selepas dihantar suaminya yang ketika itu pergi mengambil wang bantuan banjir di Anak Bukit, Alor Setar.

Katanya, dia menyangka suaminya tidur di rumah mereka dan apabila pulang ke rumah pagi semalam, mendapati suaminya tiada dan cuba menghubungi telefon bimbitnya, tetapi tidak berjawab.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan adik ipar mayat suami ditemui dalam kereta. Arwah pernah memberitahu yang dia pening kepala sejak beberapa hari lalu dan saya menyuruhnya berehat,” katanya.

Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Nurul Iman Najwa Mohd Imron, 2.

Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Rumah Mayat Hospital Jitra untuk pemeriksaan sebelum dituntut keluarganya, petang semalam.

Jurucakap polis ketika ditemui mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut dan hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah.

Padah isteri merengek

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my

KAJANG: Niat seorang isteri untuk melancong ke luar negara bertukar tragedi apabila wanita itu dipukul, ditendang dan diseret suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Sutera, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku apabila wanita berusia 32 tahun itu bertanya kepada suaminya sama ada sudah membeli tiket penerbangan ke luar negara sempena cuti sekolah ini.

Sumber polis berkata, hasrat mangsa untuk berbincang mengenai percutian mereka itu menimbulkan kemarahan suaminya yang bertindak meninggikan suara sebelum tercetus pertengkaran antara mereka.

Katanya, suami mangsa yang berusia 32 tahun hilang sabar dalam pertengkaran itu hingga mendorongnya bertindak di luar batasan.


“Pertengkaran selama 30 minit berakhir apabila suami mangsa mengheret, memukul dan menendangnya tanpa belas kasihan.


Suami cemburu acu parang

ALOR GAJAH: Gara-gara didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, seorang tukang kebun wanita mengalami trauma selepas dihunus parang di leher, diugut mahu disimbah asid selain digelar perempuan jalang oleh suami sendiri dalam kejadian di sebuah taman perumahan di sini.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Asmah, 30-an, berkata, dia masih terbayangkan perbuatan ngeri suami yang dinikahinya sejak lebih 13 tahun lalu. “Setiap kali terbayangkan perbuatan suami, badan saya menggigil walaupun kejadian itu sudah lebih dua minggu berlalu. Saya mahu ke mana-mana pun terpaksa berteman.

“Dia (suami) menuduh saya menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki di tempat kerja hingga tergamak bertindak luar dugaan,” katanya.
Menceritakan kejadian malang yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang, 30 April lalu, Asmah berkata, dia didatangi suami dari arah belakang ketika memasak di dapur.

Menurutnya, suaminya terus menolaknya menyebabkan dia hampir tersungkur sebelum lehernya dicekik.

“Suami memegang parang di tangan dan menghunus ke belakang leher saya sambil memberi amaran supaya tidak menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan pada hari kejadian.

“Ketika itu, saya beritahu suami jika mahu bunuh saya, bunuhlah... biar polis cari dia nanti,” katanya yang dikurniakan empat anak.

Katanya, selepas melihat dia menangis, suaminya keluar dari rumah.
Menurutnya, pagi keesokannya, dia sekali lagi menjadi mangsa apabila suaminya tiba-tiba naik angin.

“Suami yang bangun tidur terus membaling kipas hingga terkena kaki ketika saya berada di dapur menyiapkan sarapan. “Malah, suami turut mengugut mahu menyimbah asid ke muka selagi dia tidak berpuas hati dengan saya,” katanya yang memberitahu suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Asmah berkata, selepas kejadian itu, suaminya terus keluar rumah dan tidak pulang hingga kini.

Wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharud mengesahkan menerima laporan daripada wanita itu.


Ibu runsing nasib gadis ghaib



KUALA TERENGGANU: Seorang ibu merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak gadisnya yang hilang ketika membantu keluarga berniaga di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, 3 Mei lalu.
Ibu berkenaan, Zakiah Abdul Majid, 48, dari Kampung Chendering, di sini, berkata, anak bongsunya, Noor Farah Hieza Mokhtar, (gambar) 16, menghilangkan diri selepas memberitahunya mahu ke kedai serbaneka berhampiran stadium berkenaan pada jam 9.15 malam pada hari kejadian.

Menurutnya, selepas mendapati anaknya tidak pulang ke lokasi mereka berniaga, suaminya Mokhtar Harun, 50, berusaha mencari anaknya itu di kedai berkenaan, namun gagal.
Katanya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 9.45 pagi keesokannya.

“Tiada perselisihan faham antara ahli keluarga dan anak saya itu. Punca mengakibatkan anak saya itu mengambil tindakan menghilangkan diri juga tidak saya ketahui,” katanya yang mempunyai lima cahaya mata.

Zakiah berkata, berikutan anaknya tidak mempunyai telefon bimbit, usaha untuk menghubunginya agak sukar.

“Kami berusaha mencarinya di sekitar bandar raya ini sejak 15 hari lalu tetapi masih gagal menemuinya,” katanya yang turut memberitahu dia menangis setiap kali teringatkan anak gadisnya itu kerana terlalu bimbangkan keselamatannya.

Zakiah merayu sesiapa yang mengetahui di mana anaknya supaya menghubunginya di talian 012-9298578 atau 017-9351088.

Ayah tidak tidur malam

Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang bapa terpaksa bersengkang mata setiap hari dengan menaiki kenderaannya di sekitar Puchong dan ibu kota semata-mata mencari anak perempuannya berumur 14 tahun yang hilang sejak kelmarin.
Mohd Rashidi Jaafar, 40, berkata, anak sulungnya itu, Hana Munirah, tidak pulang ke rumah jam 7.30 malam kelmarin, selepas keluar bersama rakannya yang tinggal di kawasan berhampiran Pangsapuri Semarak, dekat Puchong Perdana, di sini.

Menurutnya, Hana keluar kira-kira jam 4 petang selepas meminta izin dari isterinya mengatakan hendak keluar sebentar bersama rakannya bernama Sally Wong, 14, yang turut dikenali mereka.
“Kebiasaannya, Hana akan pulang ke rumah selepas keluar bersiar-siar atau dari sekolah cuma sama ada cepat atau lambat saja,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.

Isterinya, Anizah Mohd Isa, 39, pula berkata, risau dengan keselamatan anaknya, mereka membuat laporan di Balai Polis Puchong pada jam 10.45 pagi hari yang sama.

Katanya, dia yang ke rumah keluarga Sally selepas itu menjadi lebih terkejut kerana Sally turut hilang bersama Hana.

“Sally sudah beberapa kali hilang sebelum ini daripada ibunya. Justeru, akibat bimbang, kami tidak henti-henti ronda untuk mencari Hana termasuk kedai serbaneka kegemarannya, 7 Eleven.

“Namun, usaha kami menemui jalan buntu membuatkan kami jadi tak tentu arah dan tak lalu makan,” katanya.
Melalui perbualan dengan beberapa rakan sekelas anaknya pula, Hana dipercayai pernah menyuarakan hasrat ingin melarikan diri kerana mahu bebas, tetapi tidak menyangka ia benar-benar berlaku.

Mereka juga tidak mengetahui sama ada Hana sudah merancang perkara ini dengan Sally mahupun tidak.

“Saya rasa dia terpengaruh dengan Sally, seorang anak tunggal yang boleh buat sesuka hatinya kerana sebelum ini Hana pernah memberitahu saya bahawa dia rasa terkongkong kerana tidak boleh keluar sendirian,” katanya.

Menurutnya, Hana seorang yang rajin, boleh diharap dan sangat mengasihi adik-adiknya.

Anizah turut berasa risau kerana Hana tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika keluar dan khuatir dia ditipu individu tidak bertanggungjawab. Kali terakhir Hana keluar dari rumah dengan memakai kemeja-T berwarna putih, seluar sukan warna hitam dan berselipar.

Berikutan itu, sesiapa yang menemui Hana diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubunginya di talian 012-3153636 dan 019-2924711.

‘Diculik’ lembaga hitam



AMPANG: Seorang remaja perempuan yang sudah lapan kali hilang dari rumah mendakwa ‘diculik’ lembaga hitam berbulu sebelum disorok di dalam hutan belakang rumahnya berhampiran sebuah tokong Cina.
Menurut Siti Zafirah Ismail, 16, dia tidak mampu mengingati kejadian itu kerana ia berlaku sepantas kilat ketika sedang duduk bersendirian di tepi tingkap dalam bilik tidurnya.

“Saya tak ingat apa-apa... apabila buka mata saya berada dalam hutan di tepi lereng bukit yang sangat curam,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Ukay Perdana, di sini, semalam.

Menceritakan kejadian yang menimpa, Siti Zafirah berkata, pada 5 April lalu selepas pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang, dia seperti kebiasaannya berehat di dalam bilik sambil membuka tingkap.


“Seperti kebiasaannya saya akan berehat dalam bilik selepas pulang dari sekolah jam 2 petang sebelum membersihkan diri dan solat kerana saya perlu keluar semula untuk ke tempat kerja.


Kaut RM12,000 sehari

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sekalipun pelbagai tangkapan dan serbuan dilakukan pihak berkuasa, sindiket gores dan menang masih aktif kerana perniagaan itu dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah RM12,000 sehari.
Malah mereka sanggup memberi hadiah permulaan seperti barangan elektrik kepada mangsa yang menyertai peraduan dianjurkan mereka selain menawarkan hadiah kereta mewah.

Dalam penipuan terbaru sindiket berkenaan, mereka akan memberi mangsa sekeping kertas bulatan ‘lutsinar’ sebelum diberikan satu kad berbentuk seperti kanta untuk melihat nombor yang berada dalam bulatan itu.

Sebaik mangsa melihat sendiri nombor tertera pada kertas berkenaan, mangsa layak menerima hadiah berupa barangan elektrik, tetapi perlu membayar sejumlah wang sehingga mencecah RM4,000 kononnya sebagai komitmen untuk menyertai peringkat seterusnya.


Ketua Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Cif Inspektor Mohd Zaid Othman berkata, pihaknya menerima aduan daripada tiga mangsa yang mendakwa ditipu sindiket berkenaan sebelum siasatan dan serbuan dilakukan.


Tukang kebun dijel 10 tahun

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

SHAH ALAM: “Kami berdoa agar awak mengambil hukuman ini sebagai lembaran baru dan jalani kehidupan kamu mengikut undang-undang Allah dan bukan nafsu,” kata Hakim Datuk Abd Rahim Uda ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun Fazizol Mohd Razali, 25.
Abd Rahim berkata demikian selepas Fazizol mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang, di sini, kira-kira jam 10.45 malam pada 21 Februari 2009.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama rakannya, Mohd Zuhaili Husen, 29, didapati duduk dalam keadaan mencurigakan di atas motosikal Yamaha 135 LC sebelum anggota polis memeriksa badan kedua-duanya namun tidak menemui apa-apa.
Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas motosikal berkenaan menemui satu bungkusan kain berwarna hitam disyaki mengandungi satu ketulan mampat daun kering dibalut dengan aluminium foil dan plastik lutsinar.

Fazizol didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau untuk satu tempoh tidak kurang dari lima tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan asal mengedar mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Fazizol bagaimanapun menukar pengakuannya selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan. Terdahulu, Azizzul Shariman Mat Yusof peguam yang mewakili Fazizol memohon mahkamah supaya mengambil kira faktor umur anak guamnya yang berumur 23 tahun dianggap masih muda ketika ditangkap selain taraf pendidikan hanya sehingga tingkatan satu. “Mahkamah perlu mengambil kira faktor Fazizol yang mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula yang menyebabkan penjimatan kos,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi memohon agar hukuman setimpal diberikan disebabkan sudah ditawarkan pertuduhan pilihan serta bagi kepentingan awam.
Abd Rahim melahirkan kekesalannya dengan kebanyakan kes dadah di negara ini membabitkan orang muda keturunan Melayu dan beragama Islam.

“Orang Melayu dididik sejak kecil dadah itu adalah haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama.

“Oleh itu, kami berharap kamu yang masih muda ini untuk berubah. Apa pun hukum dunia kita kena jalankan juga dan harap kamu insaf dan bertaubat nasuha,” katanya.

Dalam prosiding sama, Abd Rahim melepaskan tanpa membebaskan rakan tertuduh, Mohd Zuhaili daripada tuduhan sama.

No comments:

Post a Comment