Thursday, December 15, 2011

BUAT JAHAT AKHIR DAPAT HUKUM DARI ALLAH...BEGITU JUGA BUAT BAIK...PILIH SUAMI ATAU ISTERI YANG BOLEH BAWA KITA KE SYURGA...JANGAN TUNJUK BAIK..SEBAB ITU TUGAS KITA...MALAH DAH TERLAMBAT...MANA PULA PUSAT ZAKAT...DAN SIKAYA RAYA...WANG BERJUTA...HARTA MENGUNUNG...INGATLAH MATI...JANGAN ASYIK DENGAN DUNIA....LUPA AKAN AKHIRAT DAN MATI

Pencuri mangsa belot dibelasah


SUSPEK curi kereta yang dibelasah penduduk Kampung Limbungan, Besut Isnin lalu kelihatan lemah ketika ditemui semalam.



BESUT – Seorang penjenayah yang menjadi mangsa belot rakan sendiri bukan sahaja ditinggalkan selepas cubaan mencuri kereta tidak berhasil malah dia cedera teruk selepas kepalanya dijadikan karung tinju oleh penduduk yang membelasahnya baru-baru ini.
Kejadian malang pukul 5 pagi Isnin lalu itu berlaku apabila suspek berusia 37 tahun tersebut bersama seorang lelaki dan seorang wanita cuba melarikan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback milik seorang lelaki berumur 32 tahun di Kampung Limbungan dekat sini.
Insiden disedari oleh pemilik kereta sebaik terdengar bunyi enjin kenderaannya yang dihidupkan oleh salah seorang suspek. Kesemua suspek datang ke situ dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara.
Sebaik keluar, dia mendapati seorang wanita berada di tempat duduk pemandu sebelum suspek terus melarikan keretanya.
Dia bersama penduduk kemudian berlari untuk mengejar wanita itu sebelum ternampak dua rakan wanita itu sedang menolak kereta Iswara mereka yang tiba-tiba rosak tidak jauh dari rumahnya.
Dua lelaki itu yang terkejut cuba melarikan diri sebelum salah seorangnya dapat ditangkap lalu dibelasah hingga kepalanya berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria ketika dihubungi memberitahu, polis menemui kereta mangsa yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Nail, Kuala Besut pada pukul 8.30 malam kira-kira enam kilometer dari rumah mangsa.


Ibu bapa sibuk, anak boleh sakit mental

PUTRAJAYA – Ramai remaja dan kanak-kanak di negara ini mengalami masalah kesihatan mental disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat termasuk ibu bapa sibuk bekerja dan tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi anak-anak.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tong Lai, isu masalah kesihatan mental kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun meningkat daripada 12.3 peratus pada tahun 1996 kepada 19.1 peratus tahun ini.
“Peningkatan yang sama juga berlaku di kalangan remaja berusia 15 dan 16 tahun daripada 13.4 peratus pada 1996 kepada 22.2 peratus pada tahun ini,” katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.
Masalah tersebut dikesan melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan yang menunjukkan peningkatan terhadap isu kesihatan mental di kalangan golongan berkenaan pada tahun ini berbanding kajian 2006.
Tinjauan itu turut menunjukkan peningkatan terhadap masalah obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, tabiat merokok, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan di kalangan masyarakat negara ini.
Tiong Lai memberitahu, kajian itu walaupun tidak mengkaji punca berlakunya peningkatan berkenaan tetapi beliau berpendapat masalah kesihatan mental itu berpunca daripada ramai ibu bapa yang sibuk bekerja dan tiada masa mengetahui masalah yang dihadapi anak-anak mereka.


Jimmy dedah tabiat buruk isteri


SAAT bahagia Jimmy dan Norsuhaila ketika diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010.


SHAH ALAM – Perbicaraan pada hari pertama di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam membabitkan pengacara Jimmy Shanley yang menuntut supaya isterinya kembali taat mendedahkan yang wanita itu didakwa masih ketagih judi dan rokok walaupun berjanji untuk meninggalkan tabiat itu selepas berkahwin pada 1 Oktober 2010.
Selain itu, ketika disoal peguam Syarie yang mewakilinya, Mohd. Noor Aizan Md Idrus, Jimmy mendakwa, isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy bukan sahaja bermain judi daun terup malah pernah bertaruh di Internet ketika berada di rumah keluarga wanita itu di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Petaling Jaya pada hari kedua pernikahan mereka.
Katanya, ia diburukkan lagi dengan sikap Nursuhaila yang gemar melayan laman sosial Facebook (FB) dan khidmat pesanan ringkas BlackBerry (BBM) hingga wanita itu tidak mengendahkan permintaannya untuk bersama pada hari itu.
“Sebelum bernikah, dia berjanji untuk meninggalkan tabiat buruk itu dan melayan saya 24 jam. Oleh sebab itulah saya bersetuju untuk berkahwin.
“Bagaimanapun, ia tidak berubah selepas kami berkahwin kerana Nursuhaila masih berjudi hinggakan layanan terhadap saya terhad. Dia juga enggan berada di rumah saya yang tiada talian Internet tanpa wayar,” dakwanya.
Tambahnya, Nursuhaila memberi alasan yang dia bermain judi untuk menghilangkan tekanan di hari lahir bapanya sendiri pada 11 Oktober 2010.
Menurut Jimmy, pada hari itu, Nursuhaila yang sepatutnya membeli kek, pulang lewat dan apabila ditanya, dia mengaku masih lagi berjudi.
“Saya juga bertanya penting ke layan FB dan BBM rakan-rakan, lalu dia menjawab lebih penting layan kawan daripada suami,” dakwanya.


Mati dipukul kerana isteri orang



DUA suspek dibawa ke kawasan semak di Kampung Macang Kudong, Pokok Sena semalam bagi membantu siasatan kematian Hamdan.



ALOR SETAR – Angkara mengikut nafsu marah dan cemburu membuak-buak kerana mengesyaki isteri mempunyai hubungan istimewa dengan orang lain, seorang lelaki bersama seorang anak lelakinya bertindak di luar dugaan membelasah sehingga mati kenalan isterinya itu.
Tragedi malang yang berlaku pada pukul 11 pagi itu di satu kawasan semak samun di Kampung Macang Kudong, Pokok Sena di sini kelmarin menyebabkan Hamdan Saad, 54, yang cedera teruk di kepala dan beberapa bahagian badan lain meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Hamdan didakwa mempunyai hubungan baik dengan seorang wanita yang berusia 40-an yang dipercayai isteri kepada suspek berusia 50 tahun dan juga ibu kepada pemuda berusia 22 tahun yang terlibat dalam kejadian itu.
Selepas dibelasah, Hamdan yang tidak bekerja dikejarkan ke HSB pukul 1 petang kelmarin namun meninggal dunia selepas 12 jam dirawat di HSB.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, mangsa yang dalam keadaan tenat ditemui oleh anaknya di dalam parit di ladang kelapa sawit iaitu kira-kira 15 meter dari tempat mangsa dipukul.
Menurut beliau, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit ketika cuba keluar dari kawasan itu selepas cedera dibelasah.
“Selepas dipukul, mangsa sempat bercakap dan meminta bantuan daripada salah seorang anaknya menerusi panggilan telefon,” kata beliau ketika ditemui di bilik mayat HSB di sini semalam.
Baharom memberitahu, mangsa kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Pekan Langgar di sini sebelum dihantar ke HSB.
“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada awal pagi ini (semalam) akibat masalah jantung yang mempunyai kaitan dengan dipukul dan mempunyai tekanan emosi,” ujar beliau.


Gagal jejak mayat ahli perniagaan Korea




KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan Korea, Kim Chong-Yong (gambar), 53, yang hilang sejak Oktober lalu dipercayai telah dibunuh dan mayatnya dicampak di sekitar kawasan hutan di Gombak oleh rakan senegaranya.
Ekoran petunjuk itu, sepasukan polis melancarkan gerakan mencari mayat mangsa di 12 lokasi. Lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan adalah dari kawasan Sungai Cincin, Gombak hingga ke Karak, Pahang dan lokasi di sepanjang jalan lama Gombak menghala ke Bentong.
Bagaimanapun, operasi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa yang bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga pukul 6 petang semalam tidak menemui apa-apa maklumat mengenai Chong-Yong.
Satu sumber berkata, usaha mengesan mayat mangsa dibuat selepas polis mengesan satu panggilan telefon dibuat oleh rakan senegara mangsa yang juga merupakan orang terakhir bersamanya berada di Sungai Cincin, Gombak sebelum telefon bimbit itu terus dimatikan.
Berikutan kehilangan Chong-Yong juga, polis telah mengambil keterangan 12 individu yang terdiri daripada ahli keluarga mangsa, rakan-rakan dan pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang dekat sini, tempat terakhir Chong-Yong dilihat memasuki bangunan itu.
Polis turut mengambil cap jari pada kereta Mercedes Benz CLS 350 berwarna hitam milik Chong-Yong yang ditemui di tempat letak kereta di kondominium tersebut.


Nasib ibu dua anak hidup melarat akhirnya terbela



MD. NOOR (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan segera berupa wang tunai dan makanan kepada Maryam dan anak-anaknya di Kampung Pulau Gajah, Sabak, Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Nasib seorang ibu dan dua anaknya yang hidup dalam kedaifan di Kampung Pulau Gajah, Sabak dekat sini selepas ditinggalkan suami dua tahun lalu akhirnya terbela.
Selepas kisah duka hidup Maryam Mat Deris, 45, bersama dua anaknya, Mohd. Suhaimi Napi Husin, 15, dan Nordiana, 2, disiarkan akhbar, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memberi bantuan.
Pengarah JKM Kelantan, Md. Noor Chik berkata, pihaknya hadir bersama sumbangan berupa makanan selain wang tunai untuk membantu meringankan beban keluarga tersebut yang jelas menjalani kehidupan yang sukar ekoran tidak mempunyai sumber kewangan.
Menurutnya, selain sumbangan segera itu, pihaknya telah meluluskan Skim Bantuan Kanak-Kanak kepada dua anak Maryam dengan bantuan sebanyak RM200 sebulan bermula bulan ini.
"Kita juga akan merujuk kepada pihak berkenaan untuk mengenal pasti sama ada keluarga ini tersenarai atau tidak sebagai penerima bantuan e-Kasih dan sekiranya tidak, kita akan sedaya upaya membantu membuat permohonan.
"Mengenai persekolahan Mohd. Suhaimi, kita akan merujuk kesnya kepada Pejabat Pelajaran Daerah sama ada dia boleh kembali ke sekolah kerana saya difahamkan dia berhenti ketika di tahun dua lagi," katanya.


131 mati minum samsu haram

DUA jururawat merawat seorang mangsa samsu haram di sebuah hospital di Diamond Harbour, India semalam.


KOLKATA, India – Seramai 143 orang mati di timur India selepas meminum samsu yang dipercayai dicampurkan dengan bahan kimia beracun dan metanol, kata seorang pegawai semalam.
Beberapa hospital di daerah 24-Parganas, 30 kilometer ke barat bandar Kolkata dipenuhi pesakit yang meminum samsu haram itu.
Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa samsu itu terdiri daripada buruh dan pengayuh beca yang tidak mampu membeli arak yang berjenama.
Samsu diminum secara meluas di India kerana harga minuman itu yang murah.
Seorang penduduk di lokasi terbabit memberitahu agensi berita AFP bahawa 0.5 liter samsu dijual pada harga cuma 6 rupee (RM0.35).
Majistret daerah 24-Parganas, Narayan Swarup Nigam melalui wawancara telefon berkata, ramai lagi mangsa kini kritikal akibat meminum minuman keras haram itu.
Katanya, metanol iaitu sejenis alkohol yang digunakan sebagai bahan antibeku atau bahan api industri, ditemui di dalam organ 20 mayat mangsa yang dibedah siasat oleh beberapa doktor sekali gus mengukuhkan dakwaan bahan kimia itu menjadi punca kematian mereka.
Metanol boleh menyebabkan hilang penglihatan, kerosakan hati dan akhirnya kematian.
“Metanol ditemui dalam organ sekurang-kurangnya 20 orang mangsa. Ia mungkin bukan satu-satunya punca kematian mereka. Kami masih menyiasat,” kata seorang pegawai sebuah hospital tempatan, Chiranjib Murmu.
Setakat ini, empat orang telah ditangkap berhubung kematian tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee mengumumkan bahawa satu siasatan akan dijalankan manakala keluarga setiap mangsa akan diberikan pampasan sebanyak 200,000 rupee (RM11,831).
“Saya mahu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuat dan menjual arak haram (samsu),” kata Mamata dalam satu temu bual bersama sebuah stesen televisyen semalam. – Agensi

No comments:

Post a Comment