Wednesday, December 14, 2011

BUKAN SAJA HORMATI...MALAH MELAKSANA HUKUM ALLAH SANGAT DITUNTUT....KESAN2 JELAS KITA NAMPAK DENGAN MATA...YANG KENA CURI MATI...PARAH ...KERUGIAN HARTA BENDA...KADANG2 PENCURI LEPAS BEGITU SAJA...TU BELUM ZINA...TAK SOLAT...MURTAD...MINUM ARAK DLL...FIKIRLAH AGAR TAK MENYESAL DIAKHIRAT KERANA DISEKSA OLEH ALLAH DISEBAB KESOMBONGAN KITA...

Remaja didera terjun balkoni pusat tuisyen

JIAN HEE ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 21 Oktober lalu.


PETALING JAYA – Gara-gara tidak tahan didera selama 40 hari termasuk dibogelkan oleh guru di sebuah pusat tuisyen, seorang remaja berumur 13 tahun bertindak nekad dengan terjun dari balkoni sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan premis pusat tuisyen berkenaan.
Akibat kejadian itu, remaja terbabit patah tangan kanan dan terpaksa dirawat selama lapan hari di Hospital Kuala Lumpur.
Ibu mangsa, Guan Siok Choo, 50, mendakwa, kejadian pada 21 Oktober lalu itu berlaku kerana anaknya, Toh Jian Hee tertekan akibat didera secara fizikal dan mental oleh guru berkenaan.
Jelas Siok Choo, anaknya mula belajar serta tinggal di pusat tuisyen itu yang merupakan rumah dua tingkat di Jalan Khalsa, Kuala Lumpur dan mempunyai sekurang-kurangnya 80 pelajar pada 4 September lalu selepas dibuang sekolah.
Sebelum itu, anaknya belajar di sebuah sekolah persendirian iaitu Sekolah Menengah Kwang Hua.
Menurut beliau, pada minggu pertama, dia diberi peluang melawat Jian Hee sebanyak tiga kali, namun selepas itu dia tidak dibenarkan melawat serta membawa makanan untuk anaknya itu.


Dihimpit si gebu


ANGGOTA polis memeriksa dokumen 14 wanita China yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Taman AST, Seremban semalam.


SEREMBAN – Keseronokan 10 lelaki miang yang dihimpit gadis gebu ketika berjoli di sebuah pusat hiburan langsung tidak berbaloi apabila kesemuanya ditahan bersama 14 wanita China di Taman AST di sini kelmarin.
Lelaki-lelaki bermata keranjang dan wanita berusia di antara 19 dan 57 tahun tersebut ditahan pada pukul 9.30 malam oleh sepasukan polis Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri sebaik mendapat maklumat awam.
Difahamkan, kesemua wanita tersebut cuba melarikan diri melalui jalan tikus sebaik menyedari premis itu diserbu tetapi kecekapan polis mengawal keadaan mengatasi segala-galanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, pemeriksaan mendapati 11 daripada wanita tersebut masuk ke sini menggunakan pas pelajar, dua pas lawatan manakala seorang lagi mempunyai permit perkahwinan.
“Selain itu, kita turut menahan seorang penjaga premis berusia 37 tahun manakala kesemua pelanggan yang ditahan telah dibebaskan selepas kita berpuas hati dengan keterangan mereka,” katanya di sini semalam.


Siamang jantan gigit dua budak


ANITA menemani Afiq yang cedera dan dirawat di Hospital Melaka semalam akibat digigit siamang.


MELAKA - Keseronokan dua kanak-kanak untuk menyaksikan gelagat haiwan liar di Zoo Melaka berakhir dengan dua mangsa itu melalui pengalaman ngeri digigit seekor siamang jantan yang ganas kelmarin.
Dua mangsa yang cedera dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu ialah Muhammad Afiq Haziq Kamarul, 3, berasal dari Klang, Selangor dan Zukrina Abdul Hadi, 5, dari Pekan, Pahang.
Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa itu berjalan bersama keluarga masing-masing berhampiran beberapa buah pulau buatan yang menjadi habitat siamang dan beberapa haiwan dalam kumpulan beruk lain.
Mengimbau detik cemas tersebut, ibu kepada Afiq, Anita Sulaiman, 36, berkata, dia dan suami, Kamarul Baharin, 38, serta tujuh anak termasuk Afiq, anak keenam, tiba di zoo itu pada pukul 1.30 petang.
Sejam selepas berjalan, mereka sekeluarga tiba di kawasan pulau buatan.
"Sedang kami leka meninjau spesies beruk di beberapa pulau, tiba-tiba saya nampak kira-kira 40 pengunjung bertempiaran lari kerana dikejar seekor siamang.
"Siamang sebesar Afiq itu datang menggigit betis kanannya yang ketika itu didukung oleh suami saya," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka semalam.
Menurut Anita, suaminya bertindak menarik bulu dan menggoncang kepala siamang itu bagi melepaskan gigitan pada kaki Afiq.
Namun siamang itu enggan melepaskan gigitan itu sehinggalah seorang pengunjung menendang perut haiwan itu.


Mati angkara peragut kejam


ANGGOTA polis memeriksa mayat Malathi yang maut selepas beg tangannya diragut penjenayah di George Town, Pulau Pinang kelmarin.


GEORGE TOWN – Usaha seorang jururawat yang disyaki cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut penjenayah kejam berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas terjatuh dari motosikalnya hingga mengakibatkannya cedera parah kelmarin.
Kejadian pukul 8 malam di persimpangan Jalan Residensi, berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini itu mengakibatkan G. Malathi, 24, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dalaman.
Sebelum kejadian, anak kedua daripada tiga beradik yang menunggang motosikal jenis Yamaha Legenda itu bersendirian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Changkat Minden, Gelugor di sini.
Difahamkan, mangsa yang baru setahun bekerja di sebuah hospital swasta di Jalan Macalister di sini mempunyai diploma dalam bidang kejururawatan dari sebuah institut pengajian tinggi swasta di sini.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa kemungkinan diragut sebelum terbabas ke pembahagi jalan memandangkan dompet berserta kad pengenalan mangsa gagal ditemui.
“Mangsa yang memakai kemeja T itu ditemui dalam keadaan terbaring selepas tercampak kira-kira lima meter daripada motosikalnya.
“Kita masih menyiasat punca kejadian sama ada mangsa telah diragut atau beg tangannya dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya di sini semalam.


Awie nafi cetus pergaduhan

KUALA LUMPUR - "Saya mengaku bergaduh. Semuanya berpunca daripada provokasi yang dibuat terhadap saya," ujar penyanyi rock Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 43, ketika diminta mengulas mengenai penglibatannya dalam satu pergaduhan di Pulau Langkawi, Kedah pada 22 November lalu.
Pergaduhan dikatakan berlaku di dalam dan di luar Kelab Sunba Retro Bar, Pantai Chenang, Langkawi.
Awie bagaimanapun menafikan dakwaan yang disebarkan di dalam blog dan ruangan gosip bahawa dia yang memulakan pergaduhan.
"Memang tidak masuk akal saya ke tempat orang untuk cari gaduh. Pada hari kejadian, ada beberapa pengunjung kelab mahu bergambar selepas saya membuat persembahan.
"Tapi saya minta untuk bergambar di luar kelab. Bagaimanapun, mereka mendesak saya untuk bergambar di dalam kelab sehingga tercetus perbalahan yang mengheret pergaduhan sehingga di luar kelab," ujar Awie yang mendakwa dia dikerumuni 40 orang kampung di luar kelab tersebut.
Jelas Awie lagi, walaupun tiada sesiapa yang tercedera, namun kereta yang disewanya telah dipecahkan.



Rumah bakal pengantin hangus


ZAINAB dan suaminya, Asli serta tiga orang anak mereka di hadapan rumah yang hangus terbakar di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Impian seorang wanita untuk melihat perkahwinan anak perempuannya dilangsungkan dengan meriah pada 31 Disember ini tidak kesampaian apabila rumahnya bersama semua kelengkapan perkahwinan tersebut hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit Tunggal di sini semalam.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu bermula dari salah sebuah bilik di rumah yang didiami Zainab Salleh, 47, dan suami, Asli Baring, 48, bersama anak-anaknya.
Menurut Zainab, ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur manakala seorang anaknya berada di ruang tamu dan suaminya pula keluar bekerja. Tujuh orang anaknya tiada di rumah ketika kejadian manakala dua lagi menetap di Kuala Lumpur termasuk Nurul Azma, 24, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 31 Disember ini.
"Saya pada mulanya terbau seperti benda terbakar dan saya cuba periksa di luar rumah sebab ingatkan ada orang bakar sampah. Tiba-tiba anak saya menjerit memberitahu ada api dalam bilik," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Zainab berkata, dia cuba memadam api tersebut dengan air tetapi melihat api semakin marak dan dia bersama anaknya terpaksa keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk barang-barang persiapan perkahwinan Nurul Azma.
"Ini majlis perkahwinan pertama dalam keluarga kami sebab anak sulung tidak kahwin lagi dan saya rancang nak buat meriah sikit.
"Tetapi bila rumah sudah terbakar, saya tidak tahu nak buat apa lagi sebab semua persiapan termasuk barang hantaran yang sudah siap digubah hangus," katanya sedih.


Pengusaha kuetiau benzoik didenda RM7,000


AH LEK ketika keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman denda kerana kesalahan menggunakan bahan pengawet dalam kuetiau pada kadar yang tidak dibenarkan di Melaka semalam.


MELAKA – Seorang pemilik kilang mi didenda sebanyak RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah didapati bersalah menggunakan bahan pengawet asid benzoik pada kadar yang tidak dibenarkan dalam produk makanan keluaran syarikatnya.
Majistret Syajaratudur Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Ah Lek, 59, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan bahan pengawet iaitu asid benzoik dengan kadar 770mg/kg dalam produk kuetiau yang dikeluarkan pihaknya.
Kadar tersebut melebihi kadar bahan pengawet yang dibenarkan ditambah dalam makanan pasta seperti yang dinyatakan dalam peraturan 20(3) dibaca bersama peraturan 63 peraturan-peraturan makanan 1985.
Kuetiau tersebut dijual di premis Blok B, SB 4 Pasar Borong Batu Berendam pukul 4 pagi 17 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh disiasat di bawah Seksyen 13B(1) dibaca bersama 13B(2)(d) Akta Makanan (pindaan) 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Jalan runtuh akibat hujan lebat


TSU MING (depan) meninjau keadaan jalan runtuh di Jalan Sungai Lembing, Kuantan semalam.


KUANTAN – Tanah lembap akibat hujan berpanjangan beberapa hari lalu menyebabkan laluan sepanjang 70 meter di Jalan Kuantan-Sungai Lembing dekat Seksyen 6 di sini runtuh pukul 10 malam kelmarin.
Kejadian yang menjejaskan laluan menghala Sungai Lembing berhampiran stesen minyak Petronas dekat Kampung Padang itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan membabitkan pengguna jalan raya.
Menurut seorang peniaga, Mohamad Che Wan, 25, dia terdengar bunyi dentuman kecil dari tempat kejadian ketika berada di warungnya tidak jauh dari jalan tersebut dan disangka ada kemalangan.
“Tiba-tiba saya nampak tiang elektrik di situ condong sebelum tumbang. Apabila diperhati, rupa-rupanya jalan ke Sungai Lembing sudah runtuh,” katanya.
Seorang pekerja ladang berhampiran, Mohd. Fikri Abdullah, 30, pula berkata, dia terus ke tempat kejadian untuk melihat sekiranya ada kenderaan yang terlibat dalam tanah runtuh itu.
“Mujur tidak ada sebarang kenderaan terlibat. Orang ramai kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu, Datuk Pang Tsu Ming berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah akibat hujan lebat.



Sultan Mizan seru semua pihak hormati kedudukan Islam


TUANKU MIZAN menyematkan bintang Darjah Kerabat Diraja Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama kepada Tengku Muhammad Ismail pada majlis Istiadat Penghadapan di Istana Maziah, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua pihak agar terus menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini untuk mengekalkan keharmonian dalam kalangan rakyat jelata.
Baginda bertitah, tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang masih berusaha untuk menimbulkan soal itu menimbulkan kegelisahan umat Islam di negara ini.
"Sejarah telah membuktikan bahawa pemerintahan berasaskan ajaran Islam tidak pernah menafikan keadilan kepada mana-mana golongan atau puak walaupun berlainan agama dan keturunan.
"Sebagai contoh, Terengganu adalah negeri yang terawal menerima Islam di Semenanjung Tanah Melayu dengan bukti penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.
"Sejak itu, Islam telah menjadi agama anutan majoriti rakyat Terengganu namun pada masa yang sama penganut agama lain masih bebas mengamalkan pegangan hidup mereka selagi tidak menjejaskan keamanan di negeri ini," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Istiadat Penghadapan di Istana Maziah di sini semalam.

No comments:

Post a Comment