Monday, December 12, 2011

KEGEMILANGAN ITU TERLETAK KEPADA KEADILAN ISLAM...AKIDAH SERTA MENGHUKUM SECARA KEHENDAK ALLAH...SUMPAH SEBUT 'NAMA ALLAH' YANG DILAFAZKAN KETIKA NAIK TAHTA....BUKAN SENANG JADI PEMIMPIN....KITA AKAN DITANYA...ATAS KEPIMPINAN KITA. OLEH ALLAH DIAKHIRAT NANTI...

Terkulai dibelit tali keledar

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Kuala Pilah.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Kuala Pilah.
MIKAIL...cuba bantu keluarkan mangsa. Gambar kecil, Suzimah.
MIKAIL...cuba bantu keluarkan mangsa. Gambar kecil, Suzimah.
KUALA PILAH: “Sebaik terjun dan menyelam ke dasar kolam, saya melihat seorang wanita terkulai di tempat duduk penumpang belakang dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan badan terbelit tali pinggang keledar,” kata seorang saksi kemalangan maut di Kilometer 24, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kampung Gedang, di sini, semalam.
Saksi berkenaan, Mikail Malik, 15, berkata dia dan rakannya, Mohd Izzat Mohd Nizar, 16, yang berada di tempat kejadian terjun ke dalam kolam memancing itu bagi menyelamatkan mangsa sejurus kemalangan.

“Ketika kejadian, saya bersama Izzat dalam perjalanan ke Ampangan, Seremban, sebelum ternampak sebuah kereta menjunam laju ke dalam kolam berkenaan. “Saya cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun gagal kerana badan wanita itu tersekat pada tali pinggang keledar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Suzimah Shuhaimi, 28, dari Batu Caves, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas selepas badannya terbelit tali pinggang keledar.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Pilah menghala Seremban cuba memotong treler di depannya, namun gagal selepas tiba-tiba sebuah bas henti-henti berada di laluan bertentangan.

Suzimah cuba masuk semula ke laluannya, namun kenderaannya bergesel dengan treler yang cuba dipotong menyebabkan keretanya terbalik beberapa kali sebelum terjunam dalam kolam berkenaan yang terletak di kiri jalan.

Menurut Mikail, dia meminta bantuan pemandu lori yang melalui kawasan itu untuk menarik kereta berkenaan, namun gagal kerana kereta itu terbenam dalam lumpur.

“Saya terkilan kerana lambat terjun dalam kolam itu untuk menyelamatkannya, jika tidak mungkin wanita itu masih hidup,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, wanita terbabit yang memandu berseorangan dari Kuala Pilah ke Seremban, di sini, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selangor berdasarkan penemuan dua beg pakaian dalam kereta itu.

Katanya, setiba di tempat kejadian berhampiran sebuah kolam, kereta mangsa cuba memotong treler yang membawa batu, namun gagal kerana ketika itu, sebuah bas henti-henti datang dari arah bertentangan.

“Mangsa cuba memasuki laluannya semula, namun bergesel dengan bahagian depan kanan treler berkenaan menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum keretanya terjunam dalam kolam.

“Keadaan kolam yang dalam menyebabkan orang ramai tidak dapat membantu membawa keluar mangsa dipercayai lemas,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati akibat lemas selepas gagal keluar dipercayai kerana badannya terbelit tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Pilah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Rekrut dua isteri

Oleh Mohd Idris Sulaiman
am@hmetro.com.my

TUMPAS...Fakri (tengah) menunjukkan barang curi yang dirampas.
TUMPAS...Fakri (tengah) menunjukkan barang curi yang dirampas.
SERI ISKANDAR: Seorang suami sepatutnya menjadi contoh kepada dua isterinya yang bermadu, tetapi bertindak sebaliknya apabila didapati melatih dan menurunkan ‘ilmu’ mencuri kepada kedua-dua wanita terbabit untuk bergiat sebagai penjenayah profesional.
Suspek berusia 25 yang juga seorang mekanik dikesan mengajar kedua-dua isterinya berusia 20-an mengenai cara memecah masuk kenderaan sebelum melarikan barang berharga terutama komputer riba ditinggalkan mangsa dalam kenderaan.
Lebih memeranjatkan apabila suspek turut mengajar seorang anak lelakinya berusia lima tahun sebagai ‘tonto’ bagi mengawasi keadaan sekitar ketika bapa serta ibu dan ibu tirinya melakukan jenayah pecah kereta.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman ketika mengumumkan pihaknya membongkar kegiatan pasangan suami isteri terbabit di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu.


Menurutnya, suspek dikesan melatih kedua-dua isterinya untuk melakukan jenayah kerana terdesak untuk membayar hutang ceti haram berjumlah ribuan ringgit.


5 tahun penuh gemilang



PENUH ISTIADAT...Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong (gambar kecil) diiringi seekor gajah dan ‘hulubalang’ menuju KLIA semalam.
PENUH ISTIADAT...Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong (gambar kecil) diiringi seekor gajah dan ‘hulubalang’ menuju KLIA semalam.
SALAM PERPISAHAN...Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Ahli Parlimen.
SALAM PERPISAHAN...Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Ahli Parlimen.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat pulang ke Terengganu semalam, meninggalkan tempoh lima tahun pemerintahan negara yang gilang-gemilang dan keprihatinan yang tinggi terhadap kesejahteraan negara dan rakyat.
Sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka, pelbagai pencapaian yang membanggakan dicatatkan melalui lawatan negara dan acara sukan yang bertaraf antarabangsa.

Seri Paduka telah mengadakan lawatan negara ke Indonesia, Korea Selatan, Qatar, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Arab Saudi, Chile, Uruguay, Vietnam, Thailand, Kuwait, China, Laos, Kemboja dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Terakhir Seri Paduka berangkat ke Benua Antartika, yang mencatat sejarah tersendiri kunjungan seorang raja ke benua paling sejuk itu.

Pelbagai lawatan negara itu telah memperkukuh dan mempereratkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin bukan saja dari segi sosial, ekonomi dan politik, tetapi juga kebudayaan.

Seri Paduka juga berkenan menerima kunjungan hormat pelbagai pemimpin dunia.

Keprihatinan Tuanku Mizan menyaksikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-13 itu menangani beberapa isu, termasuk demonstrasi jalanan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendesak campur tangan Seri Paduka dalam isu pilihan raya.

Serentak ancaman demonstrasi besar-besaran itu, Seri Paduka bertitah supaya dalam keghairahan segelintir rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi, hendaklah dipastikan bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.
Seri Paduka turut bertitah, tidak mahu melihat masyarakat majmuk negara ini yang hidup aman damai sejak sekian lama, tiba-tiba berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan sekali pun.

Atas kedudukan Seri Paduka sebagai Ketua Agama pula, Tuanku Mizan sentiasa memberi perhatian berat atas perkembangan Islam dan menyeru ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.

Diputerakan pada 22 Januari 1962, di Kuala Terengganu, Tuanku Mizan mendirikan rumahtangga dengan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra.

Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006.

Pemilihan baginda adalah bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan raja-raja Melayu untuk tempoh lima tahun. Sistem ini merupakan satu-satunya sistem seumpama itu yang diamalkan di dunia.

Tuanku Mizan juga dekat di hati rakyat bukan saja melalui acara kenegaraan, tetapi juga sikap terpuji Seri Paduka yang sering mendekati rakyat termasuk menunaikan solat Jumaat di banyak masjid, terutama sekitar ibu negara yang membolehkan rakyat beramah mesra dengan Seri Paduka.

Dalam acara sukan, Tuanku Mizan amat menggemari sukan berkuda dan pernah menyertai beberapa siri Kejohanan Kuda Lasak bertaraf antarabangsa dan juga mengemari sukan golf, tenis, menyelam ‘scuba’ dan bola sepak.

Baginda juga pernah ke Munich, Jerman bagi menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar.

Tuanku Mizan yang juga Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang pertama, dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada 15 Mei 1998 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Mahmud.

Tuanku Mizan yang dikenali sebagai seorang Raja Berjiwa Rakyat bukan saja untuk negeri kelahiran Seri Paduka, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia, pada 13 Disember ini menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, yang menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, kini menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Menjunjung kasih, Tuanku. - Bernama

No comments:

Post a Comment