Wednesday, July 25, 2012

BAGI ALLAH TAK DE YANG MUSTAHIL...BUKAN BOLEH TENGGELAM...APA SAJA BOLEH...AMAN BUKAN SEBAB PARTI ATAU PEMERINTAH TAPI ADA LAGI MAKHLUK BANGUN MALAM BERMUNAJAT PADA ALLAH...ADA LAGI MANUSIA MENCEGAH MUNGKAR SERTA MENGAJAK KEBAIKAN...YANG LAIN MASIH TERANG2 BUKA AURAT...BUAT MAKSIAT...MENOLAK HUKUM ALLAH...MINUM ARAK...TAK SOLAT...TAK PENDULI ISLAM...ADAKAH ORANG MACAM NI ALLAH PANDANG...ATAU ALLAH LIHAT DENGAN RAHMAT....SUDAH TENTU TIDAK...JANGAN PERASAN LAH...

Kemarau terburuk di AS

Posted on the July 18th, 2012 under Luar Negara by admin

  • Share

SEEKOR lembu meragut rumput di kawasan yang kering di Hays, Kansas pada 6 Julai lalu.- Agensi
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 56 tahun, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) kelmarin.
Menurut agensi itu, kira-kira 55 peratus wilayah di AS mengalami kemarau pada bulan lalu.




Pada tahun 1956, kemarau melanda 58 peratus daripada wilayah AS.
Cuaca panas dan kering akan berterusan dalam tempoh dua minggu lagi.
Ia akan menyebabkan tanaman jagung dan kacang soya di tengah AS terjejas.
Seorang ahli meteorologi untuk agensi cuaca MDA EarthSat, Don Keeney berkata, cuaca kering akan berterusan di Illinois, Iowa, Kansas, Nebraska, Minnesota, Dakota dan selatan Wisconsin. – Agensi

Malaysia juga boleh tenggelam



KAWASAN pantai yang terhakis seperti di Tanjung Piai, Johor ini lebih mudah tenggelam jika berlaku kenaikan paras laut.



KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia terutama kawasan pesisir pantai berisiko ditenggelami air laut jika lapisan ais di Greenland cair sepenuhnya.
Pakar geologi, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, risiko itu timbul kerana kejadian ais cair di pulau berhampiran Kutub Utara tersebut jika berterusan boleh menyebabkan paras air laut termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka meningkat.
“Apabila air laut meningkat maka daratan Malaysia akan ditenggelami air laut terutama kawasan pesisir pantai yang berada pada kedudukan rendah.
“Risiko ini bagaimanapun tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana pencairan ais di Greenland akibat pemanasan global berlaku secara berperingkat-peringkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau mengulas kejadian kecairan glasier yang luar biasa di Greenland pada bulan ini yang membabitkan kawasan lebih luas berbanding sepanjang tempoh 30 tahun lalu.
Imej satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan hampir 97 peratus permukaan glasier di Greenland mula mencair.
Sebuah bongkah ais gergasi dua kali lebih besar daripada Manhattan, Amerika Syarikat atau hampir menyamai saiz Pulau Tioman di Malaysia turut pecah.
Ibrahim berkata, fenomena pemanasan global menjadi punca lapisan ais di Greenland cair dan ini telah mengakibatkan paras air laut di Malaysia meningkat satu hingga dua milimeter setiap 10 tahun.
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, langkah terbaik untuk memperlahankan pencairan ais di Greenland ialah dengan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan pemanasan global.
Sementara itu, Pakar Oseanografi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Prof. Dr. Kamaruzaman Yunus pula memberitahu, peningkatan paras air laut akan menyebabkan kawasan-kawasan rendah di negara ini dinaiki air dan banjir kilat berlaku lebih kerap.
“Kawasan rendah yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini berkemungkinan berlaku banjir dan proses untuk air surut akan mengambil masa lebih lama,” jelasnya.
Menurut Kamaruzaman, kecairan ais yang berlaku dan kesannya kepada negara ini adalah berpunca daripada pemanasan global yang disebabkan oleh pembuangan sisa industri yang tidak dikawal, pembebasan karbon dioksida (CO2) dan pertambahan penduduk manusia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Yap Kok Seng pula ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang memantau perkembangan di Greenland serta akan mengkaji kesan fenomena itu terhadap Malaysia.

Takut tengok roket atas kepala



KUMPULAN pertama tujuh pelajar Malaysia dari Syria mengaminkan doa selepas selamat tiba di KLIA, Sepang semalam.



SEPANG - "Saya hanya boleh berdoa ketika melihat roket tentera berterbangan di ruang udara atas rumah kami pada waktu malam."
Itulah antara detik mencemaskan yang dialami pelajar Malaysia di Syria, Mohd. Luqman Saidin, 23, ketika dia berada di negara yang sedang bergolak itu minggu lalu.
Menurut pelajar Ma'had Dauli itu, situasi tersebut menyebabkan dia serta rakan-rakan pelajar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyelamatkan diri.
"Bunyi tembakan dapat didengari dengan jelas dari tempat tinggal saya di kota Damsyik dan malah ia juga kerap berlaku.
"Paling menakutkan, ia bagaikan tidak putus-putus terutamanya pada waktu petang selepas Isyak dan berterusan sehingga tengah malam," kata pelajar dari Kedah itu kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Luqman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana bertindak pantas membawa dia dan rakan-rakannya pulang ke tanah air.
Dia bersama enam lagi pelajar menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa pulang semalam dengan menaiki pesawat Emirates EK346 dari Damsyik, Syria.
Pelajar lain yang selamat tiba ialah Abdul Halim Mohammad Ghazali, 21; Muhammad Afifuddin Md. Tahir, 23; Muhammad Hasan Hilmi Hassan Shukri, 21; Muhammad Othman Zawawi, 23; Muhammad Rusydi Ilhami Ahmad Fahmi, 22, dan Syed Abdul Rahman Syed Ramli, 14.
Luqman menceritakan, dia yang tinggal bersama tiga lagi pelajar Malaysia di rumah sewa mereka bersyukur kerana dapat pulang dengan selamat serta tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan.
Seorang lagi pelajar Ma'had Dauli, Muhammad Afifuddin berkata, pergolakan itu menjadikan masjid di Syria sunyi kerana tidak ramai yang berani mengunjunginya untuk beribadat.
Malah, katanya, solat tarawih juga dihadkan kepada lapan rakaat dan bukan 20 rakaat bagi mengelak ada jemaah menjadi mangsa serangan.
"Selepas solat, kami terpaksa pulang segera ke rumah atas faktor keselamatan, lebih-lebih lagi kawasan kejiranan cuma satu kilometer dari medan pertempuran," katanya.
Sementara itu, bagi Muhammad Hasan, keadaan menjadi semakin tidak terkawal pada minggu lalu terutamanya pada hari Rabu dan Khamis.
Menurutnya, bunyi tembakan dapat didengari pada bila-bila masa manakala kelibat tentera yang ramai cukup membimbangkan.
"Alhamdulillah, Persatuan Pelajar Malaysia Syria dan kerajaan telah membuat keputusan yang tepat untuk menghantar kami pulang," katanya yang belajar di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro.

Penjawat awam dapat bonus raya



NAJIB beramah mesra dengan sebahagian daripada 60 pelajar Tahfiz Iqraq al-Quran Ampang pada majlis penyerahan sumbangan dana bina masjid di Taman Nirwana, Ampang semalam.



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.
Menurut Perdana Menteri, pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.
Najib berkata, pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.

Perkampungan Ramadan artis jadi tumpuan



SERINA menunjukkan biskut raya di gerainya di Perkampungan Ramadan Artis bersebelahan Bukit Jalil Nite Walk, Kuala Lumpur kelmarin.



KUALA LUMPUR – Kemeriahan Perkampungan Ramadan Artis bersebelahan Bukit Jalil Nite Walk di sini menjadi tumpuan orang ramai yang bukan sahaja mahu mendapatkan juadah berbuka puasa tetapi juga bertemu selebriti pujaan masing-masing.
Program anjuran Barisan Artis Nasional (Bran) yang dipengerusikan oleh Datuk AC Mizal, bermula sejak 20 Julai lalu sehingga 19 Ogos dari pukul 4 petang hingga 8 malam.
Perkampungan itu merupakan cetusan idea artis yang mahukan kemeriahan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri disambut bersama peminat yang tidak mempunyai kampung halaman selain tinggal tetap di Kuala Lumpur.
Antara yang membuka gerai di situ ialah pelakon dan pengacara, Serina Redzuawan yang menjual biskut raya berharga sekitar RM25 hingga RM35 setiap pek.
Katanya, biskut yang dibuat sendiri dijual menggunakan mentega sepenuhnya bagi menambah keenakan dan gebu.
“Saya jual 10 jenis biskut dengan paling laris ialah tat nenas, kacang, coklat rangup dan nestum,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Pelakon drama, Ema Akma (gambar kecil) pula menjual ayam percik menggunakan resipi campuran rempah ratus istimewa.
“Ayam percik yang saya jual rasanya sedikit manis dan pedas. Keenakannya terletak pada kuah yang dibuat sendiri tidak terlalu berwarna merah tetapi pekat.
“Setiap satu dijual pada harga RM3.50,” katanya.
Lain pula dengan penyanyi dan pelakon, Eida Moin yang memilih untuk membantu keluarganya menjual masakan popular mereka iaitu sotong kangkung, yong tau fu dan air soya.
“Ini merupakan perniagaan keluarga saya tetapi saya turun padang membantu kerana bila Ramadan, memang tidak menang tangan melayan pengunjung.
“Air soya kami juga berbeza kerana kami meletakkan ais yang dibalut plastik supaya rasa lemak soya kekal lama,” jelasnya.
Bintang Akademi Fantasia 4, Farhan pula menjual kira-kira 20 jenis biskut raya buatan sendiri.
“Saya minat buat biskut sejak kecil lagi. Saya akan mula membancuh adunan bermula lepas sahur sampai waktu berbuka,” katanya.
Katanya, antara jenis biskut yang dijual adalah coklat pizza, makmur Sabah dan mama carry pada harga RM25 hingga RM28.
Selebriti lain yang turut berniaga di situ ialah Salamiah Hassan, Watie Elite, Azza Elite, Muhammad Mentor, Ayu One In A Million, Maya Matahari dan Riot Kool.

Polis tubuh pasukan khas buru 18 lelaki

GEORGE TOWN - Polis negeri ini semalam memberitahu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menjejaki 18 lelaki bagi membantu siasatan berhubung rancangan dua kumpulan gengster untuk bergaduh di sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, setakat semalam, tiada seorang daripada 18 yang dicari tampil menyerah diri bagi membantu siasatan polis berhubung rancangan gaduh besar-besaran itu.
Menurut beliau, polis telah mengenal pasti beberapa tempat yang sering dikunjungi 18 lelaki itu.
"Kita yakin akan dapat menangkap mereka jika masih enggan tampil menyerah diri," katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, polis menahan 93 suspek berusia antara 16 hingga 42 tahun selepas disyaki terlibat merancang satu pergaduhan besar-besaran di sebuah hotel di sini.
Serbuan pukul 12.30 tengah malam itu juga merampas beberapa senjata seperti parang, pisau, kayu besbol, buku lima dan rotan.

Kerani penipu didenda, dipenjara



MOHD. FAUZY meninggalkan Mahkamah Sesyen Melaka semalam selepas hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya
ditangguhkan menunggu proses rayuan.



MELAKA – Gara-gara membuat lapan tuntutan palsu berjumlah RM270,650, seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM1.35 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Fauzy Mohd. Yusuf, 41, dari Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah selepas prosiding pada akhir kes pembelaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut ketika memegang jawatan sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Perkhidmatan Haiwan Melaka (kini Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka) antara 9 November hingga 30 November 1999.
Lapan pertuduhan itu meliputi tuntutan palsu membabitkan dokumen pesanan kerajaan, inden (pesanan pembelian barang secara rasmi) dan invois dengan jumlah tuntutan tertinggi bernilai RM49,800 dan paling rendah RM9,250.
Semua tuntutan itu didakwa dilakukan bagi kerja-kerja pembangunan projek tenusu di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Merlimau, Jasin dan Masjid Tanah.
Antaranya bagi pembelian benih rumput, kerja membina travis berbumbung lembu susu, pembinaan kandang lembu susu, pembangunan infrastruktur di kawasan padang ragut dan projek tenusu PPRT.
Bagi semua pertuduhan itu, Mohd. Fauzy didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Terdahulu selepas hukuman dijatuhkan, tertuduh kelihatan tenang menerima keputusan mahkamah tersebut.
Elesabet memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan berdepan hukuman penjara lima tahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda yang dikenakan RM1.35 juta.
Tertuduh bagaimanapun bernasib baik apabila hakim memerintahkan hukuman penjara bagi kelapan-lapan pertuduhan itu berjalan serentak bermula semalam.
Peguam yang mewakili tertuduh, Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman penjara dan denda ke atas anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Namun Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Roziza Sidek yang mengendalikan kes membantah permohonan itu.
“Sekiranya penangguhan dibenarkan saya pohon jumlah jaminan RM10,000 yang sedia ada ditambah,” kata beliau.
Elesabet yang mendengar permohonan kedua-dua belah pihak kemudian membenarkan hukuman itu ditangguhkan dengan syarat notis rayuan difailkan semalam.
Jaminan dinaikkan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu.
Dalam perbicaraan yang berlangsung selama setahun bermula tahun 2009 itu seramai 30 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan tersebut.

Sindiket judi masih tak serik



ANGGOTA polis memeriksa komputer yang dirampas daripada sebuah premis judi di Kubang Kerian kelmarin.



KOTA BHARU - Satu sindiket perjudian di negeri ini didapati langsung tidak gentar terhadap pihak berkuasa apabila terus menjalankan kegiatan haram tersebut meskipun dua premis milik mereka pernah digempur polis bulan lalu.
Jika sebelum ini, polis merampas 22 buah komputer dipasang dengan perisian judi bernilai RM50,000 di dua premis di kawasan Jalan Kebun Sultan dan Wakaf Che Yeh, di sini, kelmarin pula polis menggempur sebuah lot kedai dua tingkat di Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian pada pukul 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman (gambar kecil) berkata, serbuan hasil maklumat orang ramai itu dapat merampas 11 buah komputer yang dilengkapi cip perjudian dengan nilai keseluruhan RM50,000
Bagaimanapun katanya, dalam serbuan itu, pihaknya tidak membuat sebarang tangkapan.
"Sindiket ini masih tidak serik-serik walaupun kita telah menggempur dua premis mereka bulan lalu. Kita sedang mengesan pemilik premis di Kubang Kerian itu untuk mendapatkan maklumat penyewa yang menjalankan kegiatan perjudian itu," katanya.
Tambahnya, polis percaya ketiga-tiga premis itu melibatkan sindiket sama berdasarkan persamaan model komputer, cip perjudian dan beberapa peralatan yang dirampas sebelum ini. Mereka telah bergiat sejak tiga bulan lalu.
Katanya, antara jenis permainan perjudian yang popular di premis perjudian tersebut ialah Roulette dan Black Jack.
"Pusat ini terbuka kepada semua dan sesiapa sahaja boleh memasuki premis ini.
"Premis ini khusus untuk mereka yang berjudi bukan seperti kebiasaan di mana sindiket berselindung di sebalik perniagaan kafe siber," ujarnya.
Jelasnya, mereka yang ingin bermain perlu membayar sejumlah wang di kaunter sebelum wang tersebut akan dikreditkan ke mesin berkenaan.
Menurut Azham, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 dan lima tahun penjara.

Hasan Budu ketagih curi kereta




KUALA TERENGGANU – Ketua sindiket curi kereta, Hasan Budu (gambar) bagaikan sudah ketagihan untuk terus melakukan jenayah walaupun baru dibebaskan dari Pusat Pemulihan Akhlak, Machang, Kelantan apabila dia disyaki masih terjebak dalam kegiatan jenayah.
Suspek yang sebelum ini mempunyai 15 rekod mencuri kenderaan dipercayai kembali aktif melakukan jenayah sama selepas dibebaskan dari tahanan pada April lalu apabila banyak kes curi kenderaan kini dipercayai didalangi Hasan Budu atau nama sebenarnya Samsul Bahri Awang Noh, 39.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kegiatan jenayah suspek dari Kampung Padang Luas, Besut itu terbongkar ekoran penahanan seorang lelaki berusia 41 tahun di sebuah rumah di Kemaman pada Isnin lalu
“Suspek berkenaan mendedahkan kaitan Hasan Budu dengan penemuan lori Hino dan Mitsubishi Pajero yang berada di rumah suspek terbabit,” kata beliau.
Menurut beliau, polis kemudian membuat intipan beberapa jam di kawasan rumah tersebut sebelum mengesan Hasan Budu yang memandu Mitsubishi Pajero juga kenderaan curi menghala ke rumah itu.
Bagaimanapun, Hasan Budu yang cuba ditangkap dapat menghilangkan diri.
Menurut beliau, polis percaya sejak dibebaskan, Hasan Budu telah berjaya merekrut beberapa orang anak buahnya untuk melakukan jenayah curi kenderaan di negeri ini, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang.
Katanya, modus operandi kumpulan Hasan Budu ialah menggunakan kunci pendua untuk menghidupkan enjin kenderaan yang mahu dicuri.
“Kumpulan tersebut berjaya melarikan kereta dalam beberapa minit tanpa mengira jenis kenderaan,” kata beliau.
Berikutan itu, Manoharan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hasan Budu tampil membuat laporan polis bagi menyekat aktiviti penjenayah itu.

Sindiket jual minyak subsidi tumpas

JOHOR BAHRU - Satu sindiket yang mengaut keuntungan mudah dengan menjual minyak bersubsidi kepada pihak industri sejak beberapa bulan lalu tumpas selepas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Kawasan Perindustrian Tiram, Ulu Tiram di sini semalam.

Israel akan serang Syria





BAITULMUQADDIS - Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menegaskan, negaranya akan bertindak dengan segera jika para pejuang Hezbollah Lebanon menyerbu tempat simpanan senjata kimia dan biologi milik Syria.
Beliau membuat kenyataan itu di Radio Israel semalam.
Beberapa pemimpin Israel sebelum ini menyatakan bahawa ia akan melakukan serangan di tempat simpanan senjata Syria bagi menghalang senjata kimia dan biologi jatuh ke tangan para pejuang Hezbollah.
Para pemimpin Israel bimbang jika rejim Presiden Bashar Al-Assad tumbang, senjata itu akan diperoleh para pejuang Hezbollah dari Lebanon.
Sementara itu, Turki menutup laluan komersial di sempadan Syria.
Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu memberitahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai pelarian bahawa sempadannya itu masih dibuka untuk para pelarian dari Syria.
Sementara itu, keganasan di bandar raya kedua Syria, Aleppo, memuncak kelmarin ekoran pertempuran tentera pemerintah dengan kumpulan pemberontak, kata pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Badan pemantau yang beribu pejabat di Britain itu melaporkan pertempuran berlaku di daerah Bustan Al-Qasr, selatan Aleppo dengan tentera Bashar menggunakan beberapa helikopter tempur di kawasan penempatan penduduk.
Kebangkitan penduduk di Syria bermula pada Mac lalu apabila kumpulan pemberontak menentang tentera Bashar.
Kumpulan pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran kabangkitan rakyat berlaku di Tunisia dan Mesir.
Tentera Pembebasan Syria yang turut mewakili pemberontak turut terlibat dalam serangan menentang tentera Bashar.
Setakat ini lebih 20,000 orang telah terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak itu dengan tentera Bashar.
- Agensi

Saluran TV guna pekerja wanita berpurdah



BEBERAPA pekerja wanita di studio saluran televisyen Maria TV di Kaherah pada 23 Julai lalu.



KAHERAH - Mesir mempunyai satu-satunya saluran televisyen yang menggunakan pengacara, pemberita dan jurukamera yang memakai purdah. Saluran televisyen itu, Maria TV turut dikendalikan oleh wanita Muslim.


SEORANG jurukamera saluran Maria TV.



Ia dilancarkan pada Sabtu lalu dan diilhamkan pengarah televisyen itu, Ahmed Abdallah. Antara program yang disiarkan adalah tentang kecantikan, perubatan dan perkahwinan. Saluran itu disiarkan enam jam seminggu. - AP

Gempa bumi kuat landa Sumatera






SINABANG, Indonesia - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan pantai barat Pulau Sumatera semalam dengan menyebabkan penduduk bertempiaran keluar dari kediaman dan bangunan. Pihak berkuasa berkata, seorang lelaki rebah dan mati akibat terkejut semasa dia keluar dari rumahnya. Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa yang berpusat pada kedalaman 22 kilometer itu berlaku pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan kira-kira 34 kilometer ke barat laut Sinabang.
Penduduk di sini memberitahu, gegaran kuat berlaku selama satu minit dan menyebabkan bekalan elektrik terputus. "Orang ramai menjerit, mengambil barang milik masing-masing dan bergegas keluar dari kediaman mereka," kata seorang wartawan agensi berita AFP di sini. "Bekalan elektrik terputus dan saya dapat melihat rekahan pada dinding-dinding kediaman," tambahnya. Seorang jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, seorang lelaki mati semasa keluar dari rumahnya di pulau ini yang memiliki 80,000 penduduk. Media tempatan dan agensi meteorologi memberitahu, tiada laporan tentang kerosakan besar atau kemalangan jiwa akibat bencana itu setakat ini. - Agensi

Pembuat tauhu, tempe lancar mogok


SEORANG wanita menggoreng tauhu di sebuah kantin di Jakarta semalam.



JAKARTA - Pembuat tauhu dan tempe melancarkan mogok semalam dengan menghentikan pengeluaran bahan itu semalam manakala produk soya yang diperbuat daripada kacang soya tidak dijual di kedai-kedai, lapor agensi berita AFP semalam. Keadaan itu berlaku kerana kemarau yang menlanda Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan pengeluaran kacang soya. AS merupakan pengeluar terbesar jagung dan kacang soya mengalami musim kemarau yang paling teruk dalam tempoh 25 tahun.
Kira-kira 23,000 pembuat tauhu dan tempe di Jakarta dan Jawa Barat melancarkan mogok kerana harga kacang soya yang meningkat. "Para pengeluar makanan terpaksa membuat saiz makanan itu lebih kecil dan pengguna berasa marah," kata Pengerusi Koperasi Taufu dan Tempe Indonesia, Sutaryo. Ketika ini, harga kacang soya meningkat dari 5,500 rupiah (RM1.83) sekilogram pada Januari lalu kepada 8,000 rupiah (RM2.67). Menurut laporan, sebanyak 60 peratus import kacang soya Indonesia adalah dari AS. Ekoran mogok itu, pelaksanaan duti import kacang soya sebanyak lima peratus ditangguhkan sehingga akhir tahun ini. - Agensi

Pesakit kagum pulih daripada jangkitan HIV




WASHINGTON - Satu-satunya pesakit HIV yang dipercayai sembuh menerusi pembedahan pemindahan sum-sum, Timothy Ray Brown (gambar) memberitahu kelmarin bahawa dia berasa kagum dan kini melancarkan satu yayasan baharu bagi menggalakkan penyelidikan bagi mencari ubat penyakit maut itu.
Brown, 47, yang berasal dari bandar raya Seattle dalam negeri Washington, popular selepas beberapa doktor cuba menggunakan teknik yang unik itu dengan menggunakan penderma kebal HIV untuk menjalani satu pemindahan sel induk bagi mengubati penyakit leukemianya.
Sejak 2007, dia telah menjalani dua pembedahan pemindahan tulang sum-sum dan menunjukkan keputusan yang negatif dalam ujian HIV.
"Saya menjadi bukti bahawa AIDS boleh diubati," kata Brown dalam satu wawancara bersama agensi berita AFP.
"Sungguh mengagumkan apabila dapat sembuh daripada jangkitan HIV," tambahnya.
Lelaki itu sedang belajar di Berlin, Jerman apabila didapati positif HIV pada 1995 dan diberitahu dia cuma boleh hidup selama dua tahun lagi.
Namun, kombinasi terapi antivirus yang muncul di pasaran dunia setahun kemudian membolehkan jangkitan HIV yang dihidapi berjuta-juta penduduk dunia dirawat.
Terapi itu dapat mengekang kuman HIV di dalam badan Brown tetapi dia memilih untuk menemui seorang doktor pada 2006 selepas mengalami kelesuan yang berpanjangan.
Dia kemudian disahkan menghidap leukemia dan menjalani rawatan kemoterapi yang menyebabkannya mengalami pneumonia dan kandungan darahnya mengandungi bakteria beracun.
Dalam usaha menyelamatkan nyawa Brown, doktornya, Gero Huetter mendapat idea untuk melakukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum dengan menggunakan penderma sel induk yang memiliki gen mutasi CCR5.
Mereka yang tiada gen CCR5 kebal terhadap jangkitan HIV kerana sel mereka tidak boleh ditembusi virus tersebut.
Namun, manusia yang tiada gen CCR5 jarang ditemui dan dipercayai cuma satu peratus penduduk dunia yang tinggal di rantau Eropah Utara memiliki keupayaan tersebut.
Idea Huetter adalah untuk cuba menyembuhkan leukemia dan HIV menerusi pembedahan transplan itu.
Brown didapati bebas daripada kuman maut itu selepas menjalani pembedahan tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment