Saturday, July 28, 2012

BUATLAH APA SAJA...BERSATULAH MUSUH2 ISLAM...MAKA KEKUATAN SERTA KEKUASAAN ALLAH MEMANG TAK BOLEH DICABAR...

Pasar malam tempat tibi menular

WARGA asing bukan sahaja mengunjungi pasar malam sebagai pembeli malah turut terlibat secara langsung sebagai peniaga.


KUALA LUMPUR - Siapa sangka pasar malam yang selama ini menjadi tempat tumpuan orang ramai membeli pelbagai barangan basah serta makanan kini menjadi antara kawasan yang berisiko tinggi merebaknya penyakit berjangkit terutamanya tuberculosis atau tibi.
Penyebaran penyakit batuk kering itu dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membawa virus tibi di tempat-tempat awam terutamanya pasar malam dan menyebarkannya kepada penduduk tempatan.
Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, situasi itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila pada tahun lalu sahaja pihaknya telah menerima kira-kira 1,500 kes dengan 15 peratus daripada penghidapnya terdiri daripada warga asing.
"Kita bimbang dengan angka berkenaan kerana mereka (PATI) ini dilihat semakin ramai berada di kawasan awam seperti pasar malam dan pada masa yang sama menyebarkan virus penyakit tibi," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau memberitahu, pelarian dari Myanmar merupakan antara penyumbang utama penyebaran penyakit tibi terutamanya di sekitar ibu negara khususnya di kawasan Pudu dan Bukit Bintang.
"Warga Myanmar yang rata-rata kebal kepada ubat penyakit itu biasanya telah pun menghidap tibi sebelum masuk ke negara ini," ujar beliau.
Menurut Abdul Razak, keadaan itu telah meningkatkan risiko penyebaran penyakit tibi dalam kalangan penduduk tempatan yang secara langsung atau tidak langsung berinteraksi dengan mereka.
Katanya, kadar penyebaran penyakit itu dalam kalangan mereka juga adalah tinggi kerana golongan tersebut kebiasaannya tinggal beramai-ramai di sebuah rumah.
"Sebuah rumah biasanya didiami oleh kira-kira 40 orang pelarian dan ia memudahkan penyakit itu disebarkan antara mereka kerana keadaan itu pasti mewujudkan sistem pengudaraan yang tidak baik.
"Golongan yang dijangkiti ini pula seterusnya akan ke kawasan awam dan menyebarkan penyakit itu kepada orang ramai," ujarnya.
Selain warga Myanmar, PATI dari Indonesia, Nepal serta Bangladesh turut menyumbang kepada peningkatan penyakit tibi di negara ini.
"Selain pasar malam, pasar-pasar awam juga menjadi kawasan penyebaran penyakit itu seperti Pasar Borong Selayang yang dipenuhi oleh warga Bangladesh," ujarnya.

Kembar Siam berjaya dipisah


KEMBAR Muaimin Azli (kanan) dan Muaiman sebelum mereka dipisahkan.



TIONG LAI menziarahi Muaimin Azli (depan) dan kembarnya
Muaiman Azli yang selamat menjalani pembedahan pemisahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pakar-pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatat satu lagi sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam berusia setahun yang berasal dari Segamat, Johor dan bercantum di bahagian tulang pinggul baru-baru ini.
Mereka yang terdiri daripada 19 pakar bedah dan anastetik serta 36 jururawat dan pegawai perubatan berjaya memisahkan kembar Muaiman Azli dan Muaimin dalam satu pembedahan maraton selama 24 jam.
Pasangan kembar tersebut yang bercantum di bahagian tulang pinggul dan turut berkongsi usus dan saluran kencing tetapi tiada lubang dubur, selamat menjalani pembedahan untuk pemisahan pada 15 Julai lalu.
Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, pembedahan tersebut bertujuan memisahkan dan menstrukturkan semula anggota badan kembar tersebut
“Kami berjaya memisahkan mereka pada pukul 10.10 malam pada hari pertama pembedahan iaitu 14 Julai lalu sebelum dua pasukan pakar bedah bertanggungjawab ke atas bayi tersebut masing-masing.
“Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pembedahan bagi tampalan kulit memandangkan luka pembedahan itu agak besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut meluangkan masa melawat kembar berkenaan di Wad Pediatrik, HKL.
Muaiman dan Muaimin telah dilahirkan pada 14 April tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum mereka ditempatkan di HKL keesokan harinya iaitu 15 April.
Tambah Zakaria, salah seorang daripada bayi berkenaan akan memiliki satu kaki sahaja memandangkan hanya tiga anggota badan berkenaan yang terbentuk.
“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam masa dua minggu. Sekiranya semua berjalan lancar kembar berkenaan akan mula menjalani fisioterapi,” katanya.

Bapa ajar anak curi motosikal


INILAH tiga buah motosikal Honda EX5 yang dirampas daripada empat beranak yang diberkas di Taman Putera Jaya, Telipok, Kota Kinabalu, Rabu lalu.


KOTA KINABALU - Seorang bapa seharusnya memberi contoh baik kepada anak-anak namun lain pula yang berlaku kepada seorang ketua keluarga yang menurunkan ilmu menjadi penjenayah kepada ketiga-tiga anak lelakinya.
Lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai memberi latihan kepada ketiga-tiga anaknya yang berusia 18 hingga 25 tahun untuk mencuri motosikal untuk dijadikan sumber rezeki.
Bapa dan tiga orang anak lelakinya itu diberkas pada pukul 12.40 pagi, 25 Julai lalu di sebuah kedai berhampiran kawasan Taman Putera Jaya, Telipok.
Ketiga-tiga anak lelaki tersebut masih bujang. Empat beranak itu penganggur.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, penangkapan empat beranak itu ekoran laporan seorang mangsa yang kehilangan sebuah motosikalnya di sebuah institusi pengajian tinggi di bandaraya ini baru-baru ini.
Menurut beliau, bersama dengan penangkapan tersebut polis merampas tiga buah motosikal curi jenis Honda EX5 bersama empat beranak terbabit.
"Soal siasat terhadap empat beranak berkenaan membawa kepada penahanan suspek kelima berusia 26 tahun di tepi jalan di Taman Putera Jaya," kata beliau,
Suspek kelima itu dipercayai bersubahat dengan empat beranak itu untuk melakukan jenayah curi motosikal sejak April lalu.
Nilai rampasan membabitkan tiga buah motosikal itu berjumlah RM10,000.
Ahmad Sofi memberitahu, modus operandi pencuri motosikal itu ialah menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan tersembunyi di sekitar bandar raya ini.
"Penjenayah tersebut menggunakan pemutar skru bagi membuka enjin motosikal sebelum menyambungkan wayar untuk menghidupkan enjinnya," kata beliau.

Perompak rumah Megat Junid diberkas

KELANA JAYA - Polis menahan enam suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian rompakan di rumah milik Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob di sini pada 18 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata , tangkapan pertama melibatkan seorang wanita berusia 28 tahun di Kampung Baru Air Panas, Setapak pada pukul 1.30 pagi kelmarin.
Menurut beliau, susulan tangkapan pertama, polis pada pukul 3.20 pagi hari yang sama menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 52 tahun di sebuah rumah di Flat Seri Sabah, Cheras.
Polis pada pukul 5 pagi kemudian menahan dua lagi suspek warga Indonesia berusia 21 dan 28 tahun di Batu 10, Cheras.
"Keenam-enam suspek terbabit merupakan rakan manakala dua lelaki Indonesia terbabit bekerja sebagai buruh," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Mohd. Adnan memberitahu, polis masih menyoal siasat kesemua suspek bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
"Polis belum menemui apa-apa barang bukti daripada keenam-enam suspek yang dipercayai terbabit merompak rumah bekas menteri tersebut," kata beliau dengan memberitahu kesemua suspek direman sehingga 29 Julai ini.

Geng Boboy Rawang tumpas


Zahedi melihat rangka motosikal curi yang sudah dileraikan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Penjenayah bergelar Geng Boboy Rawang yang baru enam bulan berjinak-jinak untuk menjadi penyamun kereta handalan terbantut apabila ketua kumpulan itu dan 15 ahlinya diberkas dalam beberapa siri tangkapan baru-baru ini.
Kesemua 16 anggota kumpulan itu ditahan dalam Ops Lejang selama 10 hari bermula 10 Julai lalu. Bersama suspek-suspek yang ditahan, polis menemui 12 buah kereta pelbagai jenis, tiga enjin kenderaan dan beberapa komponen motosikal curi yang kesemuanya bernilai lebih RM300,000.
Gelaran Geng Boboy Rawang sempena nama panggilan ketuanya seorang remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah. Kumpulan itu menyamun kenderaan di sekitar Lembah Klang sebelum melakukan kerja-kerja mengubah suai pada nombor casis dan enjin setiap kenderaan curi di sebuah rumah kedai di kawasan Rawang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas kumpulan tersebut mencuri sebuah kereta Proton Satria GTi seorang pelajar sebuah universiti yang diletakkan di kawasan flat di Seksyen 16 di sini pada 10 Julai lalu.
Menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan kereta pelajar itu berjaya mengesan kenderaan tersebut di kawasan Taman Kota Cheras, Batu 9, Cheras.
“Bersama kereta Satria GTi polis menahan dua suspek termasuk Boboy Rawang ketika mereka berada di dalam kereta tersebut.
“Pemeriksaan dalam kereta tersebut menemui pelbagai peralatan untuk mencuri kenderaan seperti batang besi yang diubah suai, tukul besi, pemutar skru dan kunci pendua pelbagai jenis,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan 14 lagi suspek bersama 11 buah kereta dan komponen kereta curi di sekitar Rawang, Puchong dan Klang.
Antara kereta yang ditemui ialah Proton Waja, Proton Wira, Proton Perdana, Honda Civic, Honda Accord dan Toyota Levin.
“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan dilengkapi enjin berkuasa tinggi untuk dicuri.
“Selepas dicuri, kenderaan tersebut dibawa ke sebuah premis di Rawang bagi mengubah suai nombor casis dan nombor enjin pada kenderaan tersebut,” kata beliau.

Geng Boboy Rawang tumpas


Zahedi melihat rangka motosikal curi yang sudah dileraikan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Penjenayah bergelar Geng Boboy Rawang yang baru enam bulan berjinak-jinak untuk menjadi penyamun kereta handalan terbantut apabila ketua kumpulan itu dan 15 ahlinya diberkas dalam beberapa siri tangkapan baru-baru ini.
Kesemua 16 anggota kumpulan itu ditahan dalam Ops Lejang selama 10 hari bermula 10 Julai lalu. Bersama suspek-suspek yang ditahan, polis menemui 12 buah kereta pelbagai jenis, tiga enjin kenderaan dan beberapa komponen motosikal curi yang kesemuanya bernilai lebih RM300,000.
Gelaran Geng Boboy Rawang sempena nama panggilan ketuanya seorang remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah. Kumpulan itu menyamun kenderaan di sekitar Lembah Klang sebelum melakukan kerja-kerja mengubah suai pada nombor casis dan enjin setiap kenderaan curi di sebuah rumah kedai di kawasan Rawang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas kumpulan tersebut mencuri sebuah kereta Proton Satria GTi seorang pelajar sebuah universiti yang diletakkan di kawasan flat di Seksyen 16 di sini pada 10 Julai lalu.
Menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan kereta pelajar itu berjaya mengesan kenderaan tersebut di kawasan Taman Kota Cheras, Batu 9, Cheras.
“Bersama kereta Satria GTi polis menahan dua suspek termasuk Boboy Rawang ketika mereka berada di dalam kereta tersebut.
“Pemeriksaan dalam kereta tersebut menemui pelbagai peralatan untuk mencuri kenderaan seperti batang besi yang diubah suai, tukul besi, pemutar skru dan kunci pendua pelbagai jenis,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan 14 lagi suspek bersama 11 buah kereta dan komponen kereta curi di sekitar Rawang, Puchong dan Klang.
Antara kereta yang ditemui ialah Proton Waja, Proton Wira, Proton Perdana, Honda Civic, Honda Accord dan Toyota Levin.
“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan dilengkapi enjin berkuasa tinggi untuk dicuri.
“Selepas dicuri, kenderaan tersebut dibawa ke sebuah premis di Rawang bagi mengubah suai nombor casis dan nombor enjin pada kenderaan tersebut,” kata beliau.

Mayat dua anak kapal ditemui


SEBAHAGIAN dek kapal Bunga Alpinia yang hangus terbakar di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol di Labuan semalam.


LABUAN - Dua mayat daripada empat mangsa yang hilang dalam kejadian letupan kapal tangki Bunga Alpina di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol Labuan ditemui pasukan penyelamat semalam.
Mayat kedua-dua mangsa ialah Mohd. Hanafi Kalil, 24, dari Melaka dan Zahari Hassim, 46, dari Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Saiman Kasron berkata, kedua-dua mayat tersebut dijumpai terapung di laut iaitu kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
"Mayat Hanafi ditemui di Jeti Amsteel manakala mayat Zahari ditemui di Jeti Iron. Jeti Amsteel dan jeti Iron terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kapal tangki meletup," kata beliau di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa yang pertama dijumpai pada pukul 12.41 tengah hari manakala mayat yang kedua dijumpai selang 16 minit kemudian.
Kedua-dua mayat yang melecur teruk itu dihantar ke Hospital Nukleus untuk bedah siasat.
Sementara itu, operasi mencari dua lagi mangsa yang hilang iaitu Muhamad Nazrin Khamsani, 20, dari Kuala Lumpur dan seorang warga Filipina, Colanggoy Errol Calaluan, 22, masih diteruskan.
Kapal Bunga Alpina yang meletup dan terbakar sudah ditunda ke tengah laut iaitu kira-kira 50 kilometer dari jeti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Jabatan Alam Sekitar Sabah juga memasang perangkap minyak di sekitar lokasi kejadian bagi mengelakkan tumpahan minyak merebak.
Kelmarin, kapal itu membawa bahan bakar methanol terbakar selepas dipercayai disambar petir yang melanda kawasan tersebut.
Semasa kejadian kapal yang berlabuh di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol itu mempunyai 29 anak kapal.
Sementara itu, bapa Hanafi, Kalil Abdullah, 46, berkata, dia amat terkilan kerana tidak sempat menatap wajah anak sulungnya yang terpisah sejak 19 tahun lalu.
"Kami sudah merancang untuk bertemu pada Aidilfitri ini tetapi hajat itu tidak kesampaian," ceritanya ketika ditemui di Hospital Nukleus di sini.

Barack Obama setuju rang undang-undang mengenai Israel

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menandatangani satu rang undang-undang bagi mengukuhkan hubungan ketenteraan antara negaranya dengan tentera Israel semalam.
Obama menandatangani rang undang-undang itu selepas pencabarnya bagi jawatan Presiden AS daripada parti Republikan, Mitt Romney mendakwa beliau telah menjejaskan hubungan negara ini dengan Israel.
Romney akan menentang Obama pada pilihan raya Presiden AS pada November depan.
Obama memperoleh 78 peratus undi penduduk keturunan Yahudi pada pilihan raya Presiden 2008. - Reuters

'Tandas terbesar' dunia di India


AFP
GAMBAR fail menunjukkan seorang pekerja perkhidmatan kereta api India memeriksa
landasan di Mumbai pada 13 Julai lalu. Ramai penduduk India membuang air dalam kereta api.


NEW DELHI - Menteri Pembangunan Luar Bandar India, Jairam Ramesh mencadangkan projek bernilai AS$130 juta (RM411.35 juta) untuk membersihkan landasan kereta api di negaranya yang dianggapnya sebagai 'tandas terbuka' yang terbesar di dunia, menurut beberapa laporan semalam.
Beliau menyatakan demikian pada satu mesyuarat di sini kelmarin bahawa terdapat 130 juta isi rumah yang tidak mempunyai kemudahan tandas.
"Ia merupakan sesuatu yang amat memalukan, dukacita dan marah," kata Ramesh seperti yang dilaporkan akhbar Times of India.
Menteri itu mencadangkan supaya sebanyak AS$28 juta (RM88.59 juta) diperuntukkan untuk menyediakan 100,000 tandas mesra alam di kampung-kampung di seluruh India.
Menurutnya, kereta api di India membawa 11 juta penumpang setiap hari.
Justeru, katanya, landasan kereta api di negara ini merupakan tandas terbuka yang paling besar di dunia. - AFP

Ditipu beli baju kurung di Facebook


DUA mangsa menunjukkan kedai menjual pakaian di Facebook yang didakwa menipu mereka selepas membeli baju kurung di laman sosial tersebut di Padang Besar semalam.


PADANG BESAR – Impian lima rakan sekerja untuk melaram baju kurung baharu yang didakwa dibeli melalui sebuah kedai pakaian di laman sosial, Facebook bagi menyambut Aidilfitri nanti berkecai setelah pakaian yang dipesan tidak diterima.
Kesemua mereka bertugas di sebuah institut pengajian tinggi di sini kerugian RM520 berikutan 10 pasang baju kurung yang dipesan itu tidak diterima selepas membuat bayaran pada 19 Julai lalu.
Seorang mangsa, Nohasihida Mat Yazid, 26, berkata, pengendali kedai laman sosial tersebut didakwa telah menutup akaun Facebook tersebut selepas dua hari membuat bayaran.
“Kami amat terkilan dengan taktik pengendali laman Facebook itu yang mengambil kesempatan sempena hari raya ini untuk menipu orang ramai dan hasrat kami untuk membeli baju raya tidak kesampaian,” katanya di sini semalam.
Menurut Nohashida, dia tertarik untuk membeli baju kurung di laman pengendali tersebut ekoran harga yang ditawarkan murah berbanding kedai lain dan pakaian yang ditonjolkan itu cantik serta mempunyai ciri serba moden berlabuci.
“Harga baju kurung yang dijual di kedai pengendali laman sosial itu sekitar RM90 sepasang, jimat RM100 dari kedai di luar dan apabila kita membeli dalam kuantiti lebih 10 pasang, kedai tersebut menurunkan harga kepada RM50 sepasang,” ujarnya.

Orang utan suka merokok dipindahkan


AP
GAMBAR fail menunjukkan Tori menghisap rokok di Zoo Taru Jurug di Solo pada 6 Julai lalu.


JAKARTA - Beberapa pekerja telah memindahkan seekor orang utan yang suka merokok ke sebuah pulau di dalam sebuah zoo di Jawa Tengah.
Jurucakap Zoo Taru Jurug, Daniek Hendarto berkata kelmarin, orang utan itu yang bernama Tori dan teman hidupnya, Didik dipindahkan ke pulau tersebut kelmarin.
Tori merupakan orang utan betina berusia 15 tahun yang telah menghisap rokok selama satu dekad.
Pemindahan itu dilakukan supaya pengunjung zoo tersebut di Solo tidak melemparkan rokok di dalam kurungannya. - AP

Ikan paus terdampar dekat pantai Jawa


SEBUAH bot penyelamat berada dekat seekor ikan paus yang terdampar dekat pantai Pakis, Jawa Barat semalam.
- AFP


JAKARTA - Seekor ikan paus sepanjang 11 meter terperangkap dekat pantai Pakis, Jawa Barat di kawasan air cetek kelmarin.
Menurut seorang penyelamat dari Rangkaian Bantuan Haiwan Jakarta, Benvika, usaha menyelamat ikan tersebut terjejas kerana bunyi enjin bot.
"Kami hampir melepaskan ikan itu beberapa kali kelmarin tetapi bunyi enjin puluhan bot menyebabkan haiwan tersebut keliru menyebabkan ia tidak dapat berenang ke laut," katanya semalam.
Beliau berkata, seramai 16 orang penyelam terlibat dalam usaha untuk menyelamatkan ikan tersebut.
Menurutnya, sebelum ketibaan pasukan penyelamat itu, sekumpulan nelayan cuba menarik ikan tersebut kembali ke laut.
Namun, Benvika berkata, bahagian belakang ikan itu lebam semasa proses menarik ikan tersebut dilakukan oleh para nelayan.
Beliau berkata, seramai 30 buah bot membawa pelancong turut bergerak di sekitar ikan tersebut.
Menurutnya, setiap penduduk tempatan membayar sebanyak AS$0.50 (RM1.57) untuk melihat ikan paus tersebut dengan menaiki bot. - AFP

Sebatang kayu jadi tumpuan ribuan orang


SEJUMLAH orang menyaksikan sebatang kayu yang dipercayai mempunyai kuasa untuk menyembuhkan penyakit di Kampung Prey Yeang, Kemboja pada 19 Julai lalu. - AFP


PHNOM PENH - Sebatang kayu di Kampung Prey Yeang, wilayah Pursat menjadi tumpuan ribuan orang yang percaya ia mempunyai kuasa menyembuhkan penyakit dan meramalkan nombor tiket loteri yang akan menang, kata beberapa pegawai kelmarin.
Kayu itu sepanjang 13 meter dan ditemui pada awal bulan ini semasa sebuah keluarga menggali sebuah kolam.
"Sekurang-kurangnya,dalam tempoh seratus orang melawat kayu itu sehari untuk meminta nombor tiket loteri dan menyembuhkan penyakit mereka," kata ketua kampung itu, Hun Nov menerusi telefon.
Nov menyatakan beberapa orang meletakkan bedak di atas kayu itu dengan harapan untuk melihat nombor tiket loteri.
Menurutnya, beberapa orang lagi meminum air dari kolam tersebut dan melumurkan badan mereka dengan lumpur sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakit mereka.
Kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang telah mengunjungi lokasi kayu tersebut. - AFP

38 alami keracunan makanan

PORT DICKSON - Seramai 38 orang termasuk 33 pelajar Kolej Uniti di Tanjung Agas dekat sini terpaksa dirawat di Hospital Seremban akibat keracunan makanan dipercayai selepas membeli bihun sup di sebuah gerai berdekatan kolej itu untuk berbuka puasa petang kelmarin.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 33 merupakan penuntut perempuan kolej berkenaan, seorang kakitangan kolej dan empat orang awam.
"Empat orang awam itu pula terdiri daripada dua dewasa seorang lelaki berusia 40 tahun, seorang wanita 33 tahun dan dua orang kanak-kanak berumur tujuh dan lapan tahun.
"Seramai 12 daripada mereka telah dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan lanjut manakala 26 lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Port Dickson," katanya di sini semalam.
Difahamkan, kesemua mangsa itu mengalami sakit perut serta cirit birit pada pagi semalam selepas berbuka puasa dan sahur dengan memakan bihun sup yang dibeli di sebuah gerai berdekatan kolej berkenaan.
Menurut Zailan, berikutan kes tersebut, pihaknya telah bertindak menjalankan pemeriksaan dan mengarahkan premis itu ditutup serta-merta selama 14 hari.
Sementara itu, seorang mangsa, Tuan Maizatul Elmi Syed Mazlan, 18, berkata, dia membeli bihun sup di gerai berkenaan untuk berbuka puasa dan mula rasa sakit perut pada pukul 3 pagi semalam.
"Sewaktu berbuka, makanan itu tidak menunjukkan sebarang tanda basi atau kurang enak tetapi pada pukul 3 pagi saya terbangun daripada tidur kerana sakit perut," katanya ketika ditemui di Hospital Port Dickson semalam.
Rakannya, Kartika Hidayah Tajul, 19, memberitahu, dia terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama beberapa jam berikutan keadaannya yang serius.
"Badan saya lemah selepas terlalu kerap ke tandas dan selepas menerima rawatan saya dibenarkan keluar dari ICU," ujarnya.
Seorang lagi pelajar, Maznadia Hazwawi Abdul Aziz, 22, pula kecewa kerana pemilik gerai berkenaan hanya mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan aspek kebersihan.
"Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik gerai terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment