Timbalan Menteri Lajim letak jawatan Umno, Pengerusi BN
KOTA KINABALU – Datuk Seri Lajim Ukin, yang lima hari yang lalu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.Beliau merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan tindakannya yang diputuskan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) agak mengejutkan banyak pihak.
“Bagi jawatan Timbalan Menteri, saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukkan kedudukan saya kerana itu budi bicara beliau.
“Bagi menentukan keahlian saya dalam Umno, saya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan… kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti mereka boleh pecat saya,” katanya dipetik Bernama.
Beliau mengumumkan keputusannya itu ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan program khas serta pengisytiharan gerakan ‘Pakatan Perubahan Sabah’ (PPS) di kediamannya di Likas Jaya, dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, Lajim turut mengumumkan senarai perwakilan PPS di 17 kawasan Parlimen di Sabah.
Bulan lalu, Lajim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu.
“Surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Cawangan telah dihantar kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort beberapa hari lalu. Langkah pertama tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan langkah kedua peletakan ketua cawangan Umno dan langkah ketiga katanya tunggu dan lihat,” katanya yang dipetik portal berita New Sabah Times pada Isnin lalu.
Sebelum ini, Lajim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian Beaufort.
Lajim berkata, beliau masih ‘pemimpin kerajaan’ dan meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dalam parti kerajaan.
Sinar
Mangsa sup bazar Ramadan
PORT DICKSON – Nurul Sabrina Idris, 7, yang baru belajar berpuasa, antara 38 mangsa keracunan makanan selepas menikmati makanan bersup yang dibeli di sebuah gerai bazar Ramadan di Tanjung Agas, Rabu lalu.Ayah mangsa, Idris Ab Razak, 41, yang turut mengalami keracunan berkata, dia baru pertama kali ke bazar berkenaan untuk membeli bubur kerana isterinya kurang sihat.
Anak cirit birit
Idris yang bekerja sebagai Pembantu Am pejabat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Panjang berkata, dia, isteri dan Nurul Sabrina mengalami sakit perut keesokan harinya tetapi tidak begitu ambil peduli.
“Bagaimanapun, pada jam 9 pagi, guru sekolah menghubungi saya memaklumkan Nurul Sabrina yang cirit birit. “Saya yang turut cirit birit terus bawa Nurul Sabrina ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang untuk rawatan,” katanya.
Menurutnya, isteri yang turut serta mendapatkan rawatan dibenarkan pulang, sementara anak bongsu pula tidak mengalami sebarang keracunan.
“Di klinik, saya lihat ramai yang turut mengalami sakit seperti kami. Sekitar jam 6 petang, kami dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) dan dimasukkan ke wad,” katanya.
Hirup beberapa sudu sup
Sementara itu, seorang pelajar Kolej Uniti yang dimasukkan ke Unit Rawatan rapi (ICU) HPD, Tuan Maizatul Elmi Syed Mazlan, 18, berkata, dia hanya menghirup beberapa sudu sup yang dibeli rakannya.
“Rasa sup berkenaan seperti biasa sahaja, tidak ada rasa basi. Saya hanya mula rasa seperti demam dan sakit perut ketika bangun sahur pagi semalam (Khamis).
“Disebabkan terlalu lemah, saya beritahu warden asrama sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang dan kemudian ke HPD,” katanya yang mengakui serik membeli makanan di bazar atau gerai.
Seorang lagi pelajar yang dimasukkan ke ICU HPD, Kartika Idayu Tajul Arifin, 19, berkata, dia memang sering membeli makanan di gerai yang menjual sup berkenaan.
“Makanan yang dijual peniaga berkenaan sedap dan harganya berpatutan. Sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini.
“Saya mula rasa sakit semasa bangun sahur pagi semalam (Khamis) tetapi tetap ke kelas seperti biasa. Namun terpaksa memaklumkan kepada warden selepas mengalami cirit birit yang serius,” katanya.
Gerai diarah tutup
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ismail Taib berkata, Pejabat Kesihatan segera melakukan pemeriksaan terhadap gerai yang dipercayai menjual makanan kepada mangsa terbabit.
Menurutnya, arahan supaya pemilik gerai menghentikan operasi selama dua minggu juga dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan dan sampel sup tersebut turut diambil untuk kajian makmal.
“Siasatan awal mendapati, tahap kebersihan gerai dan penjual terbabit baik.
“Pejabat Kesihatan juga telah melakukan pemeriksaan di rumah peniaga terbabit iaitu lokasi makanan tersebut disediakan,” katanya ketika melawat mangsa di HPD, semalam.
Ismail berkata, kes seumpama itu adalah yang pertama berlaku di negeri ini sejak Ramadan tahun ini.
“Sejak hampir lima hingga enam tahun kebelakangan ini, tidak pernah berlaku kes keracunan makanan akibat pembelian di bazar Ramadan.
“Diharap peniaga atau pembekal makanan mengambil iktibar daripada kejadian ini supaya tidak berulang pada masa depan,” katanya.
Tekanan darah rendah
Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah 2, Dr Mohd Zulfa Mohamad berkata, Klinik Kesihatan Pasir Panjang menerima 38 pesakit mengadu sakit perut dan cirit birit sekitar jam 3 petang.
“Daripada jumlah itu, 33 adalah pelajar, empat orang awam dan seorang kakitangan Kolej Uniti.
“12 daripada mereka melibatkan 10 pelajar dan dua orang awam termasuk kanak- kanak. Mereka dihantar ke HPD sekitar jam 6 petang untuk rawatan . Seramai 26 pesakit dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Menurutnya, dua daripada 12 pesakit terbabit dimasukkan ke ICU awal pagi tadi (semalam) kerana mengalami tekanan darah rendah dan dilaporkan stabil.
“Pesakit yang mengalami keracunan makanan, jika tidak mendapat rawatan awal boleh memudaratkan sehingga membawa maut,” katanya.
Kebersihan tak terjamin
Yang Dipertua MPPD, Abd Wahab Shamsuddin berkata, bazar Ramadan di Kolej Uniti itu adalah di bawah penganjuran kolej berkenaan.
“MPPD hanya membekalkan lesen namun pemeriksaan tetap dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan mengesahkan menerima laporan mengenai kes keracunan makanan itu.
Menurutnya, walaupun tahap kebersihan terkawal tetapi tidak menjamin kualiti kebersihan penyediaan makanan itu sendiri.
“Kami telah menjalankan pemeriksaan awal dan mendapati kebersihan persekitaran gerai peniaga terbabit berada pada tahap 88 peratus.
“Dalam kes ini, mungkin penyediaan makanan oleh peniaga terbabit di rumahnya berada pada bawah 65 peratus,” katanya.
Dr Zailan berkata, arahan pemilik gerai menghentikan operasi selama dua minggu dikeluarkan bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.
Sinar
Tak malu ponteng puasa
KULIM – Sebelum ini ada dalam kalangan kaki ponteng puasa menjadikan ladang kelapa sawit sebagai port untuk makan dan minum bagi diketahui orang ramai.Namun selepas lapan hari menunaikan Rukun Islam ke tiga ini, mereka semakin tidak malu dan berani makan secara terbuka di kedai makan yang dimiliki bukan Islam.
Seorang pemandu lori pasir yang mahu dikenali sebagai Abdul, 38, mengaku tidak berpuasa dengan alasan penat kerana terpaksa bekerja di tempat yang panas dan menggunakan tenaga yang banyak.
“Dulu memang kita makan dalam ladang kelapa sawit kerana takut ditangkap, sekarang tak payah dah.
“Kita makan dan minum di kedai kopi sahaja. Penguat kuasa yang ada pada jabatan terlibat pun bukannya ramai sangat. Pemilik kedai akan memaklumkan kepada kami sekiranya mereka datang. Taktik yang mereka gunakan sama.
“Mereka akan serbu pintu hadapan dan pintu belakang. Dalam satu kumpulan mungkin dua tiga orang sahaja yang mempunyai kad kuasa manakala yang lain hanya pekerja pejabat dan pemandu. Pada saya mereka pun faham kerja macam kami ini memenatkan dan harus makan,” katanya.
Selain itu, ketika umat Islam sibuk merebut pahala berganda ketika ini, masih ada segelintir mereka yang mencemar kesucian Ramadan dengan membeli nombor ekor.
Kaki ekor beragama Islam masih bebas membeli nombor ramalan di premis yang menjalankan perniagaan itu di sekitar pekan Kulim. Ini adalah kerana penguatkuasaan dijalankan tidak menyeluruh.
Pemilik premis nombor ramalan berkata, nombor ramalan akan dijual seperti biasa termasuk kepada pelanggan beragama Islam.
“Kita tidak paksa mereka membeli nombor di kedai kita. Sekiranya mereka nak beli, kita akan jual.
“Sekiranya jabatan terlibat nak ambil tindakan, ambil tindakan pada mereka yang beragama Islam. Tetapi sehingga kini premis menjual nombor ramalan belum pernah lagi diserbu,” katanya.
Sinar
No comments:
Post a Comment