Ariel Peterpan dibebas bersyarat hingga 2013
|
BANDUNG (Jawa Barat) - Vokalis band Peterpan, Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham akhirnya dibebaskan dari penjara pada hari ketiga umat Islam menyambut Ramadan semalam selepas bergelar banduan selama dua tahun akibat penglibatannya dalam kes pengedaran video lucah.
Pembebasan penyanyi berusia 31 tahun itu dari penjara Kebon Waru di sini pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) itu diputuskan selepas Ariel berkelakuan baik sepanjang dipenjarakan bermula 31 Januari tahun lalu serta selepas dia membayar denda sebanyak Rupiah 250 juta (RM84,000).
Pembebasan Ariel itu bagaimanapun secara bersyarat dengan peringatan dia tidak boleh mengulangi perbuatannya serta diwajibkan melapor diri ke penjara setiap bulan sehingga dibebaskan secara mutlak pada 21 September 2013.
Mengikut hukuman sebenar, Ariel telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun setengah oleh Mahkamah Daerah Bandùng.
Berita pembebasan Ariel mendapat reaksi luar biasa daripada ratusan peminatnya yang mengerumuni pekarangan penjara sehingga berlaku kesesakan teruk.
Dalam ucapan ringkas di hadapan peminat, Ariel berkata: "Terima kasih kerana terus menyokong saya sekalipun saya sudah bersalah. Tapi yang pastinya pembebasan ini bersyarat dan saya tahu akan ada laporan perlu dibuat setiap bulan dan prosedur lain."
Ariel juga dilarang terlibat dalam konsert di luar Indonesia sepanjang tempoh pembebasan bersyarat itu
Dari penjara Kebon Waru, Ariel kemudian dibawa ke pejabat Pendakwaraya Bandung untuk menandatangani dokumen serta mendengar syarat-syarat pembebasannya.
Kes pengedaran video lucah yang melibatkan Ariel dengan dua artis wanita popular republik itu, Luna Maya dan Cut Tari mencetuskan kegemparan apabila ia mula diedarkan sekitar Jun 2010.
Berikutan itu, Ariel ditahan pada 23 Jun 2010 dan menjalani sidang mahkamah sebanyak 14 kali.
Sepanjang persidangan mahkamah, dia tidak pernah mengaku melakukan perbuatan itu selain sering memberikan jawapan yang berbelit.
Kes pornografi pertama di Indonesia yang dibawa ke pengadilan itu mula dibicarakan di mahkamah pada 22 November 2010.
Pada 13 Disember tahun yang sama, Cut Tari yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan mengaku di mahkamah yang dia merupakan pasangan yang mengadakan hubungan seks dengan Ariel dalam video itu.
Luna Maya pula pada 20 Disember 2010 menafikan di mahkamah dia merupakan pasangan wanita dalam video tersebut.
Mayat lelaki Sibu bawah lampu
KUALA SELANGOR – Mayat seorang lelaki dari Sibu, Sarawak ditemui dengan tiga kesan tembakan di kepala tertiarap di bawah lampu jalan di Sungai Buloh Country Resort di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohamad Mat Taib berkata, polis yang menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki itu pada pukul 7.30 pagi telah bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pemeriksaan polis pada mayat lelaki itu menemui pengenalan diri mangsa yang dikenali sebagai Wong Teck Sern, 42, berasal dari Jalan Teng Kung Sui, Upper Lanang, Sibu.
“Mayat tersebut mempunyai tiga kesan tembakan di kepala dan polis mengesyaki mangsa ditembak beberapa jam sebelum mayatnya ditemui,” kata beliau ketika dihubungi.
Kata Mohamad, polis bagaimanapun menolak kematian mangsa mempunyai kaitan dengan ah long.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Semua ingin balik ke Malaysia
KUALA LUMPUR – Sekretariat Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) sedang berusaha untuk menguruskan dokumen perjalanan dan proses pemindahan 128 pelajar di Damsyik sebelum diserah kepada pihak Kedutaan Malaysia untuk urusan dengan pihak imigresen negara bergolak itu.
Menurut Ahli Jawatankuasa PPMS, Muhamed Aman Akil, 23, semua pelajar terbabit sudah menghantar pasport masing-masing untuk urusan mendapatkan visa keluar (exit visa) daripada kerajaan Syria.
“Terdapat dua atau tiga orang lagi pelajar yang sudah kita kenal pasti belum menghantar pasport mereka tetapi kita tahu mereka sama seperti yang lain ingin sangat pulang ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Syria bergolak dengan perang saudara berikutan keengganan Presiden Bashar Al-Assad untuk meletakkan jawatan sehingga mendorong kumpulan pemberontak meneruskan perjuangan menentang askar-askar kerajaan sejak Mac tahun lalu.
Ketika ini semua pelajar wanita ditempatkan di satu kawasan dekat Rukmuddin, Damsyik manakala pelajar lelaki pula masih tinggal di rumah masing-masing di sekitar kawasan Mujtahid.
Kawasan tersebut berdekatan antara satu sama lain dan mereka boleh dihubungi dengan mudah.
Muhamed yang juga pelajar tahun dua di Ma’ahad Abu Nour berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tujuh pelajar lagi tidak akan pulang bersama-sama dengan semua 128 pelajar termasuk 10 orang ekspatriat yang berkhidmat di negara tersebut.
“Ada di antara mereka sedang menanti untuk mengambil peperiksaan ulangan dan selebihnya memang tidak mahu pulang kerana mereka sudah lama berhijrah ke sini,” ujar pelajar jurusan syariah dan Bahasa Arab itu.
Dia menjelaskan, kesemua pelajar sudah tidak sabar untuk pulang ke tanah air dan berharap tidak berdepan dengan halangan.
“Kami sudah membantu pelajar-pelajar mengemaskan barang-masing-masing dan mereka semua kelihatan begitu teruja untuk pulang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Exco Penerangan PPMS, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, 25, berkata, dia sedang menyiapkan modul penerangan untuk diserahkan kepada semua pelajar sebelum mereka pulang ke tanah air.
Superintendan polis didakwa
SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua remaja lelaki berumur 15 tahun empat tahun lepas.
Mohamad Radzi, 54, yang berdiri di dalam kandang tertuduh didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran BKA 8411 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang dan pembonceng motosikal, Muhammad Luqman Hakim Mohamad dan Muhamad Khairol Khaizuran Mohammed Sani di Jalan Kebun di sini pada pukul 11.45 malam 14 September 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen digantung.
Timbalan Pendakwa Raya, Aida Mastura Mohamed Aman mencadangkan agar Mohamad Radzi dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung.
Geng 13 aktif samun tumpas
|
PORT DICKSON – Kegiatan jahat sekumpulan 13 lelaki bergelar Geng 13 yang akan menginap di hotel sebelum berpecah untuk melakukan samun di sekitar daerah ini sejak sebulan lalu berakhir apabila kesemuanya berjaya ditahan dalam serbuan di Batu 3, Jalan Pantai di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd. Wahab Harun berkata, suspek-suspek berusia antara 21 hingga 27 tahun dari Ulu Yam, Gombak; Sungai Pelek, Sepang; Nilai dan Seremban itu ditahan pada pukul 5.40 pagi selepas menyamun seorang pelanggan hotel tersebut.
Katanya, polis percaya kumpulan tersebut telah banyak melakukan samun di daerah ini tetapi setakat ini pihaknya hanya dapat mengaitkan mereka dengan dua kes iaitu di sebuah kedai runcit dan sebuah stesen minyak di sini pada 20 dan 21 Julai lalu.
“Selain suspek, kita turut merampas sebuah kereta Proton Persona, 31 telefon bimbit, wang RM1,500, sepucuk pistol mainan, satu pemetik api berbentuk pistol, satu buku lima dan dua buah topi keledar.
“Modus operandi mereka ialah akan menginap di hotel-hotel di sini selama beberapa hari sebelum keluar menyamun dengan menggunakan kayu dan besi sebagai senjata. Mereka kemudian akan pulang ke tempat masing-masing sebelum berkumpul semula pada masa lain untuk melakukan jenayah,” katanya di sini semalam.
Ibu sakit tua tunggu kepulangan
|
ALOR SETAR – Seorang warga emas berusia 82 tahun dari Kampung Tanjung Inggeris, Langgar di sini tidak dapat tidur lena kerana memikirkan keadaan anak bongsunya yang menghilangkan diri sejak 17 hari lalu.
Intan Baharom yang sakit tua bimbang dengan keselamatan dan kesihatan Mahmood Hashim, 50, berikutan keadaannya yang terencat akal sejak kecil.
Menurut Intan, dia amat merindukan anak lelakinya itu yang menghilangkan diri sejak keluar dari rumah pada pukul 6 pagi, 6 Julai lalu.
“Setiap masa saya teringatkan dia, lebih-lebih lagi pada bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Sementara itu, abang Mahmood, Mohd. Saad, 60, memberitahu, adiknya itu pernah menghilangkan diri selama hampir lima bulan empat tahun lalu tetapi pulang ke rumah dengan selamat.
“Semasa hilang kali pertama, ada seorang saudara menemuinya di Johor tetapi Mahmood melarikan diri sebaik diberitahu hendak dibawa ke balai polis tetapi Alhamdulillah, akhirnya dia pulang dengan sendiri,” ujarnya sambil memberitahu Mahmood tidak tahu membaca selain pertuturannya yang sukar difahami.
Kata Mohd. Saad lagi, baru-baru ini dia ada mendapat maklumat daripada seorang penduduk kampung yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Shah Alam mengatakan ternampak Mahmood di sana.
“Saya pun tidak tahu betul ke tidak tetapi saya rayu orang ramai yang ternampak Mahmood agar menghantarnya ke balai polis berdekatan,” jelasnya.
Katanya, dia membuat laporan polis kehilangan Mahmood di balai polis Langgar pada 17 Julai lalu.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Mahmood diminta menghubungi Mohd. Saad di talian 04-787 8102 atau 019-435 9607.
Kerajaan Pusat tolak pengambilalihan Syabas
PUTRAJAYA - Kerajaan Pusat melalui Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor menolak cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar kecil), pengambilalihan Syabas tidak boleh dilakukan kerana Kerajaan Negeri Selangor tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi seperti kenaikan tarif air dan pampasan.
"Walaupun ada klausa 32 dalam perjanjian konsesi, kerajaan negeri boleh ambil alih tetapi kita dapat nasihat ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa perkara yang substantif dan prosedur yang tidak dapat dipenuhi Kerajaan Negeri Selangor dan Syabas.
"Apa pun kita meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara dan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad dengan segera," katanya pada sidang media selepas jawatankuasa tersebut mengadakan pertemuan di sini semalam.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala.
Muhyiddin memberitahu, krisis air di Selangor kini berada dalam keadaan kritikal apabila lima daripada 34 buah loji rawatan air di negeri tersebut terpaksa mengeluarkan bekalan air terawat melebihi kapasiti sebenar.
Syria ancam guna senjata kimia
|
WASHINGTON - Syria semalam mengaku buat kali pertama bahawa ia memiliki senjata kimia dan biologi sekali gus memberi amaran akan menggunakannya jika diserang tentera asing, lapor agensi berita Reuters.
Amaran itu dibuat oleh jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdisi pada satu sidang akhbar di Damsyik.
Sebelum ini, Israel menyatakan kemungkinan simpanan senjata kimia di Syria akan dirampas para pejuang Lebanon yang bersekutu dengan Al-Qaeda.
"Syria tidak akan menggunakan sebarang senjata kimia atau senjata bukan konvensional terhadap orang awam dan akan menggunakannya hanya dalam kes diserang pihak luar.
"Senjata-senjata itu disimpan dan dikawal tentera Syria," kata Jihad.
Sementara itu, Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) secara rahsia cuba menyekat penghantaran senjata dan minyak dari Iran ke Syria dalam usaha mempercepatkan kejatuhan Presiden Bashar Al-Assad, lapor akhbar Wall Street Journal kelmarin.
Memetik kenyataan beberapa pegawai AS, akhbar itu melaporkan usaha-usaha dilakukan supaya Iraq menutup ruang udara untuk penerbangan dari Iran ke Syria.
Ia ditutup kerana Iran dipercayai membekalkan senjata untuk tentera Bashar.
Laporan Wall Street Journal itu disiarkan selepas tentera Syria meningkatkan serangan di kawasan penempatan Barzeh di Damsyik yang menyebabkan ramai penduduknya melarikan diri.
Perkembangan tersebut turut berlaku selepas seorang komander pemberontak muncul dalam satu klip video untuk mengumumkan bahawa perang bagi membebaskan bandar kedua terbesar di Syria, Aleppo telah bermula.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita rasmi SANA melaporkan, tentera pemerintah telah mengusir para pemberontak dari kawasan penempatan Qaboon di Damsyik. - Agensi
Pemberontak Syria di ambang kemenangan
|
DAMSYIK - Majlis Nasional Syria (SNC) yang mewakili para pemberontak mengeluarkan kenyataan balas bahawa pertempuran sengit yang berlaku di beberapa buah bandar memberi petunjuk bahawa mereka kini di ambang kemenangan.
Jurucakap SNC, George Sabra berkata, pertempuran sengit di sini dan di bandar kedua terbesar di Syria, Allepo yang berlaku sejak beberapa hari lalu merupakan petunjuk penting bagi menentukan kejayaan pemberontak.
Penentangan penduduk terhadap Presiden Syria, Bashar Al-Assad telah bermula pada Mac tahun lalu.
Pertempuran dengan tentera Bashar sejak Mac 2011 itu telah menyebabkan lebih 19,000 orang terbunuh.
"Apa yang berlaku di sini dan Aleppo serta bandar lain di Syria sejak dua hari lalu merupakan langkah penting bagi mewujudkan fasa baharu untuk negara kami (Syria) dan rantau Arab," kata Sabra.
"Pertempuran ini menunjukkan dengan jelas bahawa rejim Bashar akan menemui jalan penamatnya," tambah Sabra. - Agensi
No comments:
Post a Comment