4 peniaga mangsa curi tong gas
4 Oktober 2012
Suspek dikatakan mengambil kesempatan ketika mangsa tidur untuk menjalankan operasi 'mengutip' tong gas di keempat-empat premis terletak tidak jauh antara satu sama lain.
Sinar Harian difahamkan, kecurian tong di premis perniagaan di sekitar kawasan ini tidak pernah berlaku.
Seorang mangsa dikenali sebagai Kak Yah, 43, berkata, dia hanya menyedari tong gas diletakkan di hadapan kedainya lesap sebaik hendak memulakan perniagaan pada pagi berkenaan.
Kak Yah berkata, dia dan keluarga tidur di tingkat atas premis perniagaannya dan langsung tidak menyedari kehadiran pencuri berkenaan.
Menurutnya, dia tidak menyangka pencuri berani mengambil tong gas itu walau lampu di hadapan kedainya dipasang.
“Pada hari kejadian, keadaan di hadapan kedai cerah memandangkan lampu terpasang. Kesemua tong yang diletakkan di hadapan kedai pula dirantai dan dikunci,” katanya tengah hari semalam.
Menurutnya, sebelum ini bateri lori serta peralatan lain miliknya kerap dicuri.
“Kes curi di sini bukan yang pertama kalinya, sudah terlalu kerap barangan saya dicuri. Kecurian melibatkan tong gas pula baru pertama kali berlaku,” katanya.
Sementara itu, jiran enggan dikenali berkata, sekitar jam 2 pagi dia terdengar bunyi bising seperti orang sedang mengheret tong gas.
Menurutnya, dia yang berada di tingkat atas rumah berkenaan kemudiannya memaklumkan kepada isterinya sebelum menjenguk melalui tingkap.
“Sebaik keluar, saya lihat sebuah kereta bergerak meninggalkan pekarangan kedai. Keesokan pagi jiran memberitahu tong gas diletakkan di hadapan kedainya hilang,” katanya.
Dia berkata, kejadian begitu pantas dan tidak sempat mengecam jenis kereta dan nombor pendaftarannya.
Masalah kiblat 'tersasar' selesai
4 Oktober 2012
Inisiatif itu sekali gus menyelesaikan masalah penduduk terpaksa melalui jalan ladang tidak berturap dan laluan tanah merah untuk ke Masjid Kuala Pertang kerana kemudahan jalan sempurna belum ada.
Biarpun masih perlu ke masjid mukim untuk solat Jumaat, penduduk dapat menggunakan madrasah itu untuk solat sunat hari raya, solat Tarawih serta aktiviti agama seperti sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul.
Namun, selepas bertahun-tahun digunakan di samping kaedah penentuan kiblat makin canggih, penduduk diselubungi resah apabila arah kiblat surau itu didapati ‘tersasar’.
Ruang solat jadi sempit
JEMAAH madrasah itu, Hassan Deris, 64, berkata, apabila saf solat diperbetulkan mengikut arah kiblat sebenar, ruang sembahyang di madrasah itu jadi makin sempit dan tidak dapat menampung ramai orang.
“Bilangan saf juga bertambah kerana satu saf hanya dapat muat beberapa orang sahaja dan bila solat sunat hari raya, jemaah melimpah sampai ke luar pagar surau,” katanya.
Hassan berkata, madrasah itu sentiasa dapat sambutan penduduk setempat apabila kira-kira 20 orang termasuk wanita datang solat berjemaah pada hari biasa terutama ketika Maghrib dan Isyak.
“Solat berjemaah di surau ini tidak pernah terputus. Bukan sahaja malam, malahan kalau siang hari pun ada (solat berjemaah) kerana ada penduduk yang tidak bekerja,” katanya.
Dinaiki air bila banjir
SELAIN masalah arah kiblat, Hassan berkata, surau terbabit juga dinaiki air setiap kali musim banjir malah pernah hampir tenggelam ketika bencana alam itu pada 2000.
Justeru katanya, dia amat bersyukur apabila Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkebang, Azizzuddin Hussein meluluskan peruntukan bagi membina surau baru menggantikan madrasah berkenaan.
“Pada tahun 90-an, Datuk Wan Zaid (bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Krai) pernah hulur bantuan untuk membesarkan surau ini dan seingat saya sehingga sekarang, sudah empat imam bertugas di sini.
“Dengan adanya surau baru nanti, masalah arah kiblat serta banjir dapat diatasi kerana penentuan kiblat dibuat dulu dan bangunan baru juga dibina lebih tinggi,” katanya.
Peruntukan amal jariah
SEBAGAI tanda bermulanya kerja pembinaan madrasah baru itu, semalam, penentuan arah kiblat dilakukan Imam Tua Masjid Mukim Kuala Pertang, Mohd Zin Deraman di tapak projek itu.
Hadir sama, Azizzuddin; Bendahari Umno Dun Mengkebang, Nor Yakin Che Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan, Mhd Hatta Mahmud dan Ketua UMNO cawangan Pertang Barat, Adnan Mat Yasin.
Azizzuddin berkata, projek dijangka siap dalam tempoh tiga bulan itu dilaksanakan di bawah program amal jariah naik taraf madrasah dan masjid hasil usaha beliau selaku Penyelaras Dun Mengkebang.
Bagi mengatasi masalah madrasah lama sering dinaiki air pula katanya, tiang bangunan madrasah baru itu dibina setinggi 2.4 meter dari permukaan tanah.
“Di luar musim banjir, bahagian bawah madrasah baru nanti boleh digunakan untuk aktiviti keagamaan seperti kelas mengaji al-Quran dan Fardu Ain,” katanya.
Masih terima permohonan
Sementara itu, Azizzuddin berkata, masih ada permohonan diterimanya daripada jawatan kuasa madrasah dan masjid seluruh Parlimen Kuala Krai dalam pertimbangan dan perbincangan dengan penderma untuk kelulusan.
Selaku Penyelaras Dun katanya, beliau berusaha mencari peruntukan daripada pelbagai sumber termasuk Kerajaan Persekutuan; agensi kerajaan dan derma rakan korporat bagi membantu rakyat.
“Terima kasih kepada penderma termasuk institusi perbankan dan rakan korporat untuk projek amal jariah ini,” katanya.
Polis Kelantan yakin dapat berkas suspek tetak warga emas
3 Oktober 2012
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata polis sedang menyiapkan lakaran fotofit ketiga-tiga suspek itu dan yakin identiti mereka akan dikenal pasti tidak lama lagi.
"Polis akan cuba dapatkan maklumat daripada orang tempatan kerana kita percaya bahawa penjenayah itu adalah orang tempatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, Abdul Kadir Talib, 61, cedera ditetak di lengan kiri selepas menyergah tiga lelaki yang cuba mencuri kabel telefon di kampung tersebut.
Akibat tetakan itu, Abdul Kadir menerima tujuh jahitan.
Mazlan berkata pihaknya bercadang untuk memberi penghargaan kepada Abdul Kadir yang juga seorang pengawal keselamatan atas tindakan beraninya itu.
"Kita minta orang ramai yang ada maklumat memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis," katanya.- Bernama
Impian penoreh getah miliki rumah sendiri tercapai
3 Oktober 2012
Menerusi Skim Bantuan Rumah Dhuafat di bawah Kerajaan Negeri, keluarga itu sekarang tinggal di kediaman baharu yang lebih selesa di Kampung Bukit Sireh, dekat sini, sejak seminggu lalu.
Ketua keluarga terbabit, Redzuan Che Hassan, 30, melahirkan rasa syukur dan gembira kerana permohonannya untuk mendapatkan rumah di bawah skim bantuan itu, diluluskan pihak terbabit.
Katanya, dengan pendapatan hasil menoreh dan sekali sekala ambil upah sebagai tukang rumah, dia tidak mampu sediakan rumah sendiri yang lebih selesa untuk isteri dan tiga anak mereka.
“Kalau nak harapkan saya bina sendiri rumah luas dan selesa seperti Rumah Dhuafat yang kami dapat ini, mungkin ambil masa bertahun-tahun.
“Sebelum ini, memang saya rancang nak bina rumah sendiri tetapi terhenti di peringkat bersih tapak (rumah) sahaja sebab tak mampu nak teruskan,” katanya kepada Sinar Harian.
Redzuan sebelum itu mengadakan solat hajat sempena majlis ringkas penyerahan rasmi rumah baharunya disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Hadir sama Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai, Mahadi Mat Zin, Penghulu Mukim Bedal, Zamri Hassan dan Ketua Pas cawangan Bukit Sireh, Rashdi Ibrahim.
Redzuan berkata, dia bersama isteri, Noraini Shafie serta tiga anak berusia antara dua dan 10 tahun pernah tinggal di rumah sewa di Kampung Keroh sebelum berpindah dan menyewa di Bukit Sireh sejak empat tahun lalu.
“Terima kasih kepada semua pihak terutama Kerajaan Negeri juga ustaz (Abdul Latiff) dan penghulu (Zamri) kerana banyak membantu sehingga saya dapat miliki rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, Abdul Latiff berkata, skim bantuan tersebut diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2006 bertujuan membantu rakyat miskin dan susah memiliki rumah sendiri.
Katanya, pemohon bantuan perlu memenuhi dua syarat utama iaitu tidak memiliki rumah dan ada ramai tanggungan selain bergantung kepada peruntukan disalurkan Kerajaan Negeri bagi setiap Dewan Undangan Negeri (Dun).
Pujuk ibu petanda pergi selamanya
3 Oktober 2012
Ketua Polis Jeli, Sheik Azhar Sheik Omar berkata, mangsa, Azli Osman, 43, memandu kereta Vios berseorangan dari arah Jeli ke Grik, melanggar sebuah lori 10 tan dari arah bertentangan.
Pertembungan ini katanya, menyebabkan mangsa tersepit di dalam kereta dan maut di tempat kejadian.
“Mayatnya dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan hasil mendapati, mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh badan.
“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Minta ibu teman isteri, anak
Ibu mangsa, Faridah Mustapa, 70, berkata, dia yang tinggal di Kampung Bako, Machang, tidak menyangka perubahan sikap arwah, membawa kepada petanda akan pergi buat selamanya.
Menurutnya, anak ketiga daripada lapan beradik ini, mengambil dan memintanya untuk tinggal bersama isteri dan tiga cucu, selama beberapa hari.
“Tidak sangka pula, saya akan menguruskan majlis pengkebumian dan tahlil selama seminggu, di sini,” katanya.
Tunai solat Taubat
Faridah berkata, sehari sebelum kejadian, arwah Azli bertanya mengenai solat Hajat dan solat Taubat.
“Saya beritahunya, lebih baik menunaikan solat Hajat terlebih dahulu, kemudian menunaikan solat Taubat.
“Mohon kepada tuhan, agar diselamatkan dunia dan akhirat serta dilindungi daripada sebarang penyakit,” katanya.
Tidak cukup dengan itu katanya, arwah tidak lekang daripada sejadah dan memohon keampunan selama berjam-jam.
Katanya, arwah turut menangis ketika menunaikan solat Subuh, iaitu sebelum berangkat ke tempat kerja di Grik.
Komited dengan kerja
Abang sulung, Mohd Zulkifli Osman, 49, berkata, arwah yang bercuti daripada kerja selama seminggu, berkeras mahu meneruskan kerja dan bertolak ke Grik, meskipun masih tidak sihat.
“Jika kita larang, kita pula yang akan dimarahinya, kerana arwah sememangnya seorang yang komited dengan kerja.
“Seolah-olah dia sudah mengetahui dia akan pergi lebih dahulu daripada kami,” katanya, selepas majlis pengkebumian.
Pengarah JPJ ucap takziah
Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Che Kasim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar dengan ketentuan ini.
“Sebelum ini, arwah Azli pernah berkhidmat di JPJ Kota Bharu selama beberapa tahun dan berpindah ke Grik, di atas kenaikan pangkat.
“Beliau merupakan seorang kakitangan yang berkaliber dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada jabatan,” katanya, semalam.
Kakitangan JPJ dari Grik dan Kota Bharu turut hadir ke rumah keluarga arwah, bagi menunaikan solat jenazah.
Minta maaf dengan isteri sebelum kemalangan
3 Oktober 2012
Pada kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja, dikatakan maut dilanggar dua kenderaan ketika cuba membelok ke simpang jalan itu.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Krai Ke Kota Bharu dipercayai cuba membelok ke simpang Jalan Kemuning Lama sebelum dilanggar.
Katanya, pada rempuhan pertama, mangsa dipercayai terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta lain ketika cuba bangun.
“Mangsa maut di tempat kejadian, di Kilometer 43, Jalan Kota Bharu -Kuala Krai akibat kecederaan parah di seluruh badan, dan dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga serta di bawa pulang ke Kampung Jakar, Temangan.
Che Malek berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian tersebut, diminta tampil bagi membantu siasatan.
Sementara itu, isteri mangsa, Rugayah Che Noh, 37 berkata, suaminya keluar agak lewat ke tempat kerja pagi tadi (semalam) namun, masih sempat berpatah balik ke rumah dan meminta maaf daripadanya.
“Katanya, dia bimbang jika sesuatu terjadi kepadanya, dan tidak sempat bermaafan. Sejak kebelakangan ini, dia juga melayan saya dan anak-anak dengan baik, lebih daripada biasa.
“Saya mengetahui mengenai kejadian ini kira-kira jam 7 pagi selepas dimaklumkan penduduk kampung,” katanya yang mempunyai dua anak yang masih belajar.
Remaja cedera bergelut dengan peragut
4 Oktober 2012
Mangsa, Tan Kuan Siang, 18, berkata, ketika itu, dia bersama empat lagi rakannya duduk di bahagian tepi rumah salah seorang rakan untuk bermain tanglung.
“Sedang asyik kami bermain tanglung, tiba-tiba datang dua orang lelaki menaiki motosikal dan meminta kami memberikan minuman keras.
“Kami tidak melayan permintaannya kerana kami hanya mahu meraikan pesta tanglung, bukannya berhibur di tepi jalan,” katanya ketika ditemui petang semalam.
Tambahnya, tiga daripada rakannya bertindak meninggalkan tempat itu kerana bimbang lelaki berkenaan mengganggu dua rakan perempuan mereka.
“Sebaik mereka meninggalkan tempat itu, datang seorang lelaki berjalan kaki ke arah saya dan seorang lagi rakan. Dia kemudiannya bertindak meragut dompet serta telefon bimbit yang berada di genggaman saya.
“Tidak puas hati dengan tindakan itu, saya mengejarnya dengan motosikal sementara seorang lagi rakan saya mengekori dari belakang,” katanya.
Kuan Siang berkata, ketika itu berlaku pergelutan antara dia dan peragut itu menyebabkan dia terjatuh dari motosikalnya dan mengalami kecederaan di bahagian kening, tangan dan kaki.
“Ketika itu, saya tidak fikir tentang keselamatan diri. Saya hanya mahu mendapatkan dompet serta telefon bimbit saya.
“Saya juga tidak sedar peragut itu memiliki parang kerana cermin mata saya sudah rosak akibat pergelutan itu. Rakan saya yang memberitahu peragut itu memiliki senjata,” katanya.
Menurutnya, tiga lagi rakannya datang semula ke tempat kejadian dan cuba menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan, namun gagal.
“Saya terpaksa melepaskan peragut itu setelah diugut oleh dua rakannya yang menaiki motosikal. Bimbang keselamatan kami, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 4.06 pagi,” katanya.
Empat lagi rakan sebaya yang terlibat ialah Lai Yong Sheng, Chow On Wah, Low Huey Lin, dan Sharen Chang Zhisun.
Turut hadir melawat keadaan mangsa semalam, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang.
Anggota polis maut, dua cedera
4 Oktober 2012
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa, Wan Abdul Aziz Wan Nik,51, bersama dua lagi anggota menaiki kereta jenis Wira dalam perjalanan ke Penjara Bentong.
Abdul Aziz berkata, setibanya di tempat kejadian kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan kemudian masuk ke bawah tebing jalan.
“Ketiga-tiga anggota itu kemudiannya di bawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.
“Namun begitu, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengahari akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Aziz berkata, manakala dua lagi anggota termasuk seorang angngota wanita masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.
Menurutnya, jenazah mangsa kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Bentong sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian di Paka, Terengganu.
Keselamatan terancam, kecurian menjadi-jadi
4 Oktober 2012
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu didakwa dilakukan sekumpulan remaja yang sering melepak dan menghabiskan masa di kawasan padang taman berkenaan.
Setiap malam seramai 20 hingga 30 remaja bukan sahaja berkumpul di kawasan lapang berkenaan, bahkan membuat bising dan lebih memburukkan keadaan turut mengambil barangan terlarang seperti menghidu gam serta minum arak.
Saban hari ada sahaja kejadian curi berlaku termasuk pecah masuk kedai runcit, pecah masuk kereta untuk mencuri bateri dan barangan berharga dan mencuri kenderaan serta barangan berharga penduduk.
Kedai di pecah masuk
Seorang peniaga, Lee Poh Ling, 56, berkata, seminggu lalu kedai runcitnya telah di pecah masuk dan kerugian kira-kira RM4,000.
“Saya hanya menyedari kedai telah di ceroboh pada waktu pagi iaitu sewaktu ingin membuka kedai tetapi kelihatan pintu telah terbuka. Setelah diperiksa, mangga telah dipotong dan saya dapati mesin membuat kunci serta beberapa lagi barangan sudah lesap.
“Pada malam yang sama bukan kedai saya sahaja di ceroboh tetapi beberapa lagi kedai runcit di sekitar ini telah dipecah masuk,” katanya.
Seorang lagi peniaga, R.Vincent, 35 turut mengalami nasib yang sama dan dia mengalami kerugian lebih RM3,000 apabila berpuluh karton rokok telah dicuri.
“Taktik yang digunakan dengan memotong mangga dan perbuatan dilakukan di antara jam 1 hingga 5 pagi ketika orang sedang nyenyak tidur. Ini kejadian kali pertama tetapi kita berasa sangat bimbang kerana setiap pagi kedengaran kes curi berlaku di sini,” katanya.
Kenderaan juga dikebas
Seorang penduduk, Kuan Lee Sing, 44 berkata, dia terkejut apabila enjin keretanya gagal dihidupkan dan apabila diperiksa didapati bateri sudah dikebas.
“Seperti biasa saya keluar awal pagi untuk ke tempat kerja tetapi semalam enjin tidak hidup dan terus memeriksa keadaan di sekitar enjin serta didapati tempat bateri sudah kosong. Saya tidak hairan dengan kejadian ini kerana sebelum ini sudah banyak kereta penduduk yang menjadi mangsa, bahkan ada cermin yang dipecahkan,” katanya.
Adlina Mahyuddin, 45, pula kehilangan sebuah motosikal dan basikal yang di kawasan rumah.
“Pada waktu malam, memang ramai remaja berkeliaran dan melepak di kawasan ini, kita percaya kegiatan ini dilakukan mereka. Aduan sudah dibuat dan rondaan dilakukan tetapi sehingga kini kes curi tidak pernah berhenti membuatkan penduduk sentiasa bimbang serta tidak selamat,” katanya.
Curi di siang hari
Salah seorang Anggota Peronda Skim Cegah Jenayah Taman Tas, Liong Sing Sing, 60 berkata, apa sahaja yang boleh dijual akan menjadi sasaran pencuri termasuk meter air, pakaian, kenderaan dan banyak lagi.
“Bukan sahaja waktu malam, pada siang hari juga ada remaja yang begitu berani mencuri bawang di kedai runcit. Apa sahaja akan dicuri mereka, bahkan saya juga mengalami kerugian bernilai ribuan ringgit apabila kedai di ceroboh.
“Remaja lelaki dan perempuan berusia 20an ini berkumpul sehingga lewat pagi dan tidak mengendahkan penduduk yang terganggu dengan mereka,” katanya.
Salah seorang anggota Rela, M. Subramaniam, 49, berkata, walaupun rondaan dilakukan di sekitar taman itu ia tidak membawa sebarang penyelesaian, malah kegiatan remaja berkenaan semakin berleluasa.
“Pernah kita menegur tetapi mereka buat tidak tahu sahaja dan dengan berani menghidu gam serta mabuk di tempat terbuka. Dalam minggu ini sahaja sebanyak lapan hingga 10 buah kereta telah dipecah masuk dan ini tidak lagi dikira kes curi yang lain.
“Bukan itu sahaja, remaja ini turut melakukan vendalisme dengan memusnhakan harta benda awam termasuk telefon awam dan memusnahkan pagar yang dibina di padang tempat mereka melepak.
“Kami anggota Rela dan pihak polis ada melakukan rondaan tetapi mereka licik dan segera melarikan diri apabila ternampak kelibat kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Anggota Peronda Skim Cegah Jenayah Taman berkenaan, Lam Kai Cheong, berkata, dia baru sahaja dilantik sebagai ketua di kawasan itu memandangkan kes kecurian semakin meningkat.
“Dalam tempoh tiga minggu memang banyak kes curi berlaku dan keadaan ini tidak boleh dihentikan.
“Apa yang kita boleh lakukan ialah membuat rondaan dan lebih penting ialah kerjasama daripada semua pihak.
“Bagi mengatasi masalah ini, penduduk tanpa mengira kaum dan latar belakang politik harus bersatu serta membuat rondaan supaya remaja berkenaan tidak bertindak liar," katanya.
Bekas jaguh angkat berat tanggung derita
3 Oktober 2012
Fahmizan Husin, 33, ditahan selepas sampel darah dikeluarkan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati bekas atlet angkat berat itu dijangkiti bakteria tersebut.
Isterinya, Nur Hafizah Rosli, 28, berkata, suaminya disyaki dijangkiti bakteria itu pada pertengahan Julai lalu selepas mengalami demam berpanjangan dan sukar tidur.
“Saya hairan kerana suami sukar tidur, kerap mengadu letih pada waktu siang dan mengalami sakit di bahagian urat sendi,” katanya.
Nur Hafizah berkata, dia kemudiannya menghantar Fahmizan menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Rompin sebelum dipindahkan ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan susulan pada 17 Ogos lalu.
“Suami dimasukkan ke hospital itu dua hari sebelum hari raya Aidilfitri untuk mengesan punca penyakit yang dialaminya. Dia ditahan selama dua minggu.
“Hasil pemeriksaan doktor ketika itu mendapati suami bebas daripada sebarang penyakit seperti tibi, malaria mahupun denggi dan dibenarkan pulang selepas beransur pulih,” katanya.
Sakit Fahmizan berulang
Bagaimanapun katanya, setelah tiga atau empat hari di rumah, suaminya yang menjual ikan di sekitar Bera dan Keratong tidak dapat menjalankan rutinnya seperti biasa.
“Selepas pulang ke rumah, saya mengesan terdapat perubahan ketara dialami suami yang mudah letih dan lemah. Dia hanya mampu menjual ikan dua atau tiga kali sebelum keadaannya bertambah teruk,” katanya.
Nur Hafizah berkata, dia dihubungi petugas Hospital Muadzam Shah yang meminta suaminya datang pada Jumaat lalu untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Atas sebab-sebab tertentu, suami hanya hadir pada Selasa lalu dan terpaksa ditahan di wad kerana dia didapati dijangkiti bakteria tersebut,” katanya.
Dia berkata, suaminya kini bergantung sepenuhnya pada antibiotik selama empat atau enam minggu untuk mengawal kuman daripada terus merebak.
“Sekiranya suami pulih, dia terpaksa meneruskan pengambilan antibiotik selama enam bulan atau 24 minggu untuk mengawal jangkitan tersebut,” katanya.
Malah katanya, doktor turut memberitahu penyakit itu boleh berjangkit sekiranya berlaku pemindahan darah dalam kuantiti banyak antara pesakit dan orang awam.
Hilang punca pendapatan
Dalam masa sama, Nur Hafizah berkata, keluarganya kini berdepan masalah kewangan berikutan mereka hilang punca pendapatan sejak tiga bulan lalu.
“Duit simpanan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan dapur dan persekolahan anak-anak. Rumah disewa daripada Pasdec sebanyak RM750 sebulan dan kenderaan pula sudah dua bulan tidak berbayar.
“Saya bukan mahu menagih simpati dan selalu berpesan kepada suami supaya tidak terlalu memikirkan soal perbelanjaan asalkan dia kembali sihat. Saya juga terima semuanya sebagai ujian dan reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana masih ada rakan-rakan suami dan keluarga sudi membantu dari segi kewangan dan perbelanjaan dapur.
Bagi menangani kemelut kewangan, dia bercadang berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual char kuey teow dan otak-otak ayam di hadapan rumah.
“Saya akan berusaha mendapatkan modal awal dan merancang menjual makanan untuk menambah perbelanjaan kami sekeluarga sementara menunggu suami kembali sihat,” katanya.
Nur Hafizah juga berharap masyarakat terutama ‘kaki pancing’ diberi pendedahan berhubung penyakit tersebut.
Menurutnya, ia berikutan banyak kes dilaporkan berlaku disebabkan masyarakat tidak tahu untuk menangani kes seperti itu.
Tunggu maklumat penuh
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat penuh daripada Jabatan Kesihatan Negeri terlebih dahulu berhubung penyakit tersebut.
Katanya, orang ramai yang menjalankan aktiviti di kawasan hutan lipur juga diingatkan supaya membuat pemeriksaan kesihatan sebagai langkah pencegahan awal sekiranya didapati positif penyakit itu.
“Penyakit ini biasanya menyebabkan pesakit letih dan sengal-sengal badan. Ia juga mudah menjangkiti pesakit kencing manis serta darah tinggi.
“Antara kawasan berpotensi seperti kawasan hutan lipur dan tempat perkelahan tercemar dengan longgokan makanan,” katanya.
Pada 10 Julai 2010, kawasan perkelahan Lubuk Yu, Maran pernah diarahkan ditutup serta-merta selepas tujuh orang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan melioidosis dan leptospirosis (kencing tikus).
Penyakit berpunca daripada bakteria dalam tanah dan air berkenaan juga dilaporkan turut meragut nyawa seorang lelaki dari Leban Chondong, Jun lalu.
Mayat hanyut tiga kilometer
3 Oktober 2012
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, mangsa, M Selvakumar, 21, ditemui polis marin dalam keadaan terapung ketika mengadakan rondaan.
“Mayat dijumpai pada jam 9.45 pagi semalam iaitu kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Badan mangsa mengalami sedikit kecederaan dipercayai kesan gigitan haiwan dan sudah disahkan keluarganya,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, Selvakumar dari Taman Wira dan dua rakannya cuba menyeberangi sungai menuju ke sebuah pulau kecil untuk menjala ikan.
Mangsa dikatakan cuba menyelamatkan rakannya, M Maheswaran, 12, yang hampir lemas sebelum hilang dibawa arus.
“Saya berharap penduduk tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan berhampiran mesin penyedut pasir kerana sangat bahaya,” katanya.
Pemandu teksi hilang sabar
4 Oktober 2012
Tindakan sedemikian dilihat tidak wajar dalam situasi yang disifatkan mereka kini sukar ‘mencari makan’ dengan kewujudan perkhidmatan bas percuma Go KL yang menambah ‘seksa’ mereka untuk memperoleh pendapatan.
Protes bermula sejak kira-kira jam 2.30 petang, berlarutan sehingga jam 7.30 malam apabila mereka tidak mahu berganjak selagi tiada pihak tertinggi SPAD yang turun berjumpa mereka.
Mogok yang berlangsung juga membuatkan 20 anggota polis berkawal dan terpaksa menutup jalan menuju dari Jalan Raja Chulan ke Bukit Bintang dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan kesesakan bertambah teruk.
Bagaimanapun, kehadiran wakil SPAD yang kemudiannya bersetuju mengadakan perbincangan bersama wakil pemandu teksi meredakan keadaan.
Pemandu teksi yang menyertai mogok kemudiannya bersurai secara berperingkat pada kira-kira jam 7.30 apabila pihak SPAD memberi jaminan tiada tindakan penguatkuasaan yang akan dibuat pada malam itu selain berjanji akan membuat perbincangan lanjut bersama wakil mereka.
Banyak isu berbangkit
Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang), Mohamed Asharaf Yasin berkata, rasa tidak puas hati mereka memuncak dengan kejadian yang berlaku pada malam Ahad lalu apabila terdapat anggota penguatkuasaan SPAD menjalankan tindakan dengan lagak samseng.
Menurutnya, beberapa perkara lain yang selama ini dihadapi pemandu teksi khususnya di Bukit Bintang juga membuatkan mereka sudah tidak tahan lagi dan memilih untuk mogok agar semua isu-isu berkenaan diberi perhatian serius pihak bertanggungjawab.
“Tidak cukup terpaksa berhadapan dengan ulat teksi Arab, kami terpaksa berdepan dengan tindakan penguatkuasaan dan sering disaman kerana menunggu untuk mengambil penumpang.
“Perkhidmatan bas percuma juga tambah menjejaskan pendapatan kami yang sedia terjejas ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Laporan polis turut dibuat Setiausaha persatuan itu, Mohd Jamal Abdul Nasir Mohd Saad, berhubung insiden yang berlaku pada Ahad lalu.
Memetik daripada laporan polis yang dibuat, Mohd Jamal berkata, pendekatan yang diambil oleh pegawai SPAD bertugas disifatkan mengguna kuasa mengikut emosi dengan bertindak secara kasar dan membuat provokasi.
“Sejak kebelakangan ini pendapatan kami merosot sebanyak 70 peratus disebabkan bas percuma, aktiviti ulat Arab dan tempatan tidak berlesen yang langsung tiada tindakan daripada pihak berkaitan walaupun sudah 14 laporan polis dibuat,” katanya.
Spad siasat dakwaan
Sementara itu, Ketua Jabatan Perundangan SPAD, Farizul Hazli Baharom berkata, dakwaan mengatakan terdapat perilaku biadab pegawai SPAD dalam melaksanakan penguatkuasaan ke atas pemandu teksi akan disiasat.
Menurutnya, hasil perbincangan ringkas bersama wakil berkenaan, pihaknya bersetuju mengambil serius sembilan perkara yang disenaraikan.
Bahkan katanya, perbincangan secara lanjut juga akan dibuat dalam mencapai satu keputusan yang memuaskan hati semua pihak.
“Kami faham mogok yang dibuat bukannya untuk suka-suka, jadi kami akan mengambil serius semua perkara dibangkitkan. SPAD akan menyiasat dakwaan berhubung tindakan penguat kuasa SPAD dan jika didapati pegawai tidak menjalankan tugas dengan tertib seperti didakwa, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Difahamkan, perbincangan lanjut turut dibuat semalam, namun tiada sebarang perkembangan dilaporkan.
Setuju lihat masalah dituntut
Dalam pada itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Ahmad Albar dalam kenyataan ringkasnya semalam berkata, pihaknya mengadakan pertemuan bersama kumpulan Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang).
Katanya, pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan sembilan perkara yang disenaraikan kumpulan tersebut.
“SPAD bersetuju untuk melihat masalah yang mereka kemukakan. SPAD juga akan memanggil mesyuarat dengan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian kepada perkara dibangkitkan persatuan tersebut bagi mengatasi masalah jangka pendek dan jangka panjang mereka,” katanya.
SPAD akan teliti masalah pemandu teksi di Bukit Bintang
3 Oktober 2012
Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, dalam kenyataan di sini, berkata persetujuan itu diberikan selepas mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sembilan perkara telah dibangkitkan persatuan itu pada pertemuan tersebut yang kebanyakannya melibatkan isu operasi termasuk mendakwa pendapatan pemandu teksi terjejas dengan pengenalan perkhidmatan percuma bas GO-KL.
Mereka juga memohon agar sistem kupon teksi di KLCC dan Pavillion dihapuskan, selain memohon agar perhentian teksi diwujudkan di Bukit Bintang.
Syed Hamid berkata SPAD akan bermesyuarat dengan agensi-agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian kepada perkara-perkara yang dibangkitkan itu.
Demonstrasi, yang bermula 3.30 petang itu, telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan berkenaan dan berakhir selepas Pegawai Kanan SPAD 'turun padang' pada pukul 6.30 petang. - Bernama
Warga asing ada ‘MyKad’
4 Oktober 2012
Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, hasil maklumat yang dikumpul pihaknya, didapati kira-kira 50 peratus peniaga dan penjaja warga asing di negara ini terutamanya warga Pakistan dan Bangladesh memiliki MyKad biru.
Menurutnya, MyKad dan pasport antarabangsa palsu itu boleh diperoleh dengan harga RM18,000 hingga ke RM50,000.
“Dokumen tersebut akan menggunakan maklumat warga tempatan, tetapi menggunakan gambar warga asing tersebut. Contohnya seperti nama saya, saya dapati ada tiga orang guna maklumat sama.
“Terdapat satu kes di Seremban, warga Bangladesh menggunakan pasport antarabangsa palsu dan bekerja sebagai kontraktor yang mengambil kontrak di balai polis selama tempoh lima ke enam tahun, termasuk melakukan jenayah.
"Warga asing ini ditahan dan dihantar pulang ke Bangladesh, namun kini kembali ke Malaysia membuat kerja sama,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Travers, Bangsar, di sini, semalam.
Ridzuan berkata, beliau bersama ahli Ikhlas yang lain mengumpul maklumat berhubung perkara tersebut dalam tempoh setahun ini.
“Saya sendiri turun padang, menyamar dan bergaul dengan peniaga warga asing ini untuk memperoleh maklumat. Kami ada bukti berhubung perkara ini untuk diserahkan bersama memorandum yang akan dihantar kepada Perdana Menteri,” katanya.
Menurutnya, perkara tersebut menjadi ancaman kepada negara berikutan lambakan warga asing tidak terkawal.
“Sekarang ini, Melayu merupakan yang paling ramai di Malaysia, diikuti dengan Cina, dan warga asing. Kaum India lebih sedikit berbanding warga asing. Jika keadaan ini berterusan, warga asing mampu mengatasi jumlah Melayu.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu tegas kerana isu ini melibatkan menjual keselamatan negara. Ikhlas mahu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat habis-habisan berhubung perkara ini,” katanya.
Ikhlas membuat laporan polis dengan menyenaraikan beberapa isu menjual keselamatan negara disebabkan wujudnya keadaan di mana warga asing yang dengan mudah memiliki MyKad biru, juga berkaitan dengan tender Mykad yang diberi kepada syarikat swasta, termasuk rasuah dalam kakitangan kerajaan.
Sanggup gadai nyawa lintas landasan
3 Oktober 2012
Tinjauan Sinar Harian mendapati, tanpa mengira masa, penduduk berhampiran khususnya penghuni Flat Seri Perantau termasuk pelajar melintas landasan tersebut tanpa menghiraukan nyawa masing-masing.
Difahamkan, penghuni flat tersebut mudah menyeberang kerana tiada pagar dibina di antara landasan.
Stesen kereta api itu dijadikan jalan pintas untuk ke Bandar Pelabuhan Klang dan beberapa kawasan lain.
Seorang penghuni Flat Seri Perantau yang hanya ingin dikenali Kamsiah berkata, dia dan penghuni lain kerap menyeberang landasan itu kerana ia jalan paling cepat untuk ke Pelabuhan Klang.
“Kalau mahu ke bandar itu, kami terpaksa menunggu bas dan mengambil masa lama untuk ke bandar itu," katanya.
Kamsiah berkata, disebabkan ingin cepat sampai ke tempat kerja, soal keselamatan sanggup diketepikan.
Menurutnya, tindakan berbahaya tersebut sudah lama berlarutan.
Budak trauma dikejar anjing
3 Oktober 2012
Haiwan liar tersebut bergerak secara berkumpulan dan kerap membuat bising pada waktu malam sehingga menceroboh kediaman penduduk sehingga ke tingkat empat menggunakan tangga.
Malah penduduk mendakwa, kanak-kanak yang bermain di taman permainan di sini turut menjadi mangsa anjing liar yang bertindak mengejar mereka.
Ibu mangsa, Aizura Ahsan, 37, berkata, dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun dikejar anjing tersebut sehingga ke rumah sewaktu membeli nasi lemak berhampiran sekitar jam 8 pagi.
“Anak trauma untuk keluar rumah dan bernasib baik kejadian disedari jiran yang bertindak menghalau anjing tersebut.
“Kes hampir sama juga pernah berlaku ke atas kanak-kanak berusia dua tahun sewaktu sedang bermain di taman permainan namun sempat diselamatkan ibunya yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama, Zulkifli Yaakob berkata, pihaknya telah membuat aduan perkara berkenaan sebanyak dua kali kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Badan Pengaduan Awam.
Menurutnya, aduan telah dibuat tiga bulan lalu selepas tertekan dengan gangguan anjing yang kerap membuat bising, menyelongkar sampah dan menceroboh rumah penduduk.
“Van MPS ada yang lalu-lalang namun masih tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah anjing liar ini,” katanya.
Selain itu katanya, hasil pemerhatiannya mendapati terdapat tiga keluarga di pangsapuri itu membela anjing di kawasan perumahan bertingkat itu.
“MPS mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan ke atas mereka seperti kompaun kerana memberi keadaan kurang selesa kepada penduduk lain,” katanya.
Pelajar terdedah risiko bahaya
3 Oktober 2012
Difahamkan tiga bulan lalu, pemilik tanah jenis persendirian itu telah dikenakan tindakan termasuk arahan menghentikan projek selepas berlaku runtuhan tebing.
Namun, tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, projek yang siap 80 peratus itu telah bermula seperti biasa dan terdapat seorang pekerja sedang mengecat rumah jenis dua tingkat enam pintu itu.
Menurut penduduk yang enggan dikenali, tebing yang runtuh tidak dibaiki sebaliknya hanya ditutupi plastik dan pita kuning yang digunakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah ditanggalkan.
Sumber memaklumkan, tebing yang runtuh itu menyebabkan sistem saliran di bawah tebing tertimbus.
"Apabila hujan, air akan menutupi jalan serta melimpah ke rumah penduduk di tanah rendah," katanya.
Justeru, dia meminta supaya pihak berkaitan memantau perkara itu dan membaiki sistem saliran dalam kadar segera untuk mengelakkan banjir kilat.
Keadaan juga katanya berbahaya kepada pelajar memandangkan lokasinya yang bersebelahan dengan sekolah dan digunakan oleh pelajar untuk berulang alik dari sekolah ke rumah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya mengakui sebelum ini pemilik telah diberikan notis kerja tanah kerana menjalankan projek tanpa kebenaran.
“Pihak Jabatan Kejuruteraan akan ke tapak esok (hari ini) bagi memastikan mereka menjalankan kerja dengan kebenaran MPS.
“Selain pematuhan undang-undang, ia perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya.
No comments:
Post a Comment