Terkejut tasbih ada gambar binatang
4 Oktober 2012
Ramli Awang, 50, berkata, dia terkejut apabila isterinya memaklumkan bahawa gambar yang terdapat pada tasbih itu kelihatan seperti khinzir.
Menurutnya, tasbih itu dibeli di sebuah gerai yang dibuka pada hari minggu berhampiran dengan kediamannya.
“Saya tertarik dengan tasbih yang diperbuat daripada kayu ini kerana terdapat kalimah ALLAH pada hujungnya. Sewaktu hendak membelek-belek untuk melihat dengan lebih dekat lagi, peniaga di situ terus meletakkan tanda harga pada belakang kalimah Allah.
“Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju membeli tasbih ini kerana peniaganya menawarkan harga RM8 berbanding harga asal RM11.
“Saya sendiri tidak perasan ada sesuatu pada tasbih itu sehinggalah pada hari Selasa lalu,” katanya yang ditemui Sinar Harian.
Ramli bagaimanapun tidak mahu menyalahkan peniaga itu yang berkemungkinan turut tidak sedar barang jualannya mengandungi gambar seperti itu.
“Saya tidak mahu tuduh peniaga kerana mungkin dia tidak sedar.
“Bagi saya, isu ini merupakan perkara yang sensitif kerana membabitkan agama. Tambahan pula, tasbih digunakan untuk berzikir dan di tasbih ini juga mengandungi kalimah Allah,” katanya.
Tambah Ramli, dia juga tidak mahu ada umat Islam lain yang turut tertipu dengan membeli tasbih seperti itu.
Jambatan rosak ancam nyawa
4 Oktober 2012
Jambatan berusia lebih 25 tahun itu mengundang bahaya setelah beberapa strukturnya semakin mereput sehingga mendatangkan kebimbangan kepada penduduk kampung.
Penduduk terpaksa berdepan dengan risiko kerana kerana jambatan itu merupakan laluan utama penduduk ke kawasan kebun atau ke kampung lain.
Penduduk, Md Shukri Yaakup,57, berkata, jambatan sepanjang 100 meter itu seharusnya diganti baru bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya, seorang warga emas yang menunggang motosikal pernah terjatuh ketika melalui jambatan itu sehingga dimasukkan ke hospital.
“Mujurlah motosikalnya tersangkut pada jaring, sekiranya tidak, pasti akan berlaku perkara yang lebih buruk,” katanya kepada Sinar Harian.
Md Shukri berkata, masalah jambatan itu dipanjangkan kepada pihak berkenaan sejak 2007 tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Kita menghantar permohonan supaya jambatan itu ditukar kepada jambatan konkrit untuk kebaikan penduduk kampung.
“Jambatan ini seharusnya diganti baru berikutan keadaan struktur jambatan yang terlalu usang sehingga membahayakan penduduk,” katanya.
Menurutnya, penduduk amat berharap masalah penduduk di sini diatasi dengan segera demi keselesaan mereka.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Sik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah, berkata masalah jambatan itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib.
Menurutnya, laporan lengkap diserahkan kepada Pejabat Kemajuan Negeri Kedah melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan segera.
Menurutnya, masalah jambatan ini akan diselesaikan dalam kadar segera bagi menjamin keselamatan penduduk di sini.
“Insya-ALLAH, saya berharap penduduk dapat bersabar kerana masalah jambatan ini telah mendapat perhatian dan akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya semasa melawat penduduk.
Rayu tunang pulang, bakal bernikah Disember ini
4 Oktober 2012
Shahidan Shaari, 21, operator kilang di Tikam Batu, Sungai Petani berkata, tunangnya Nur Fatini Amirah Mohd Rashidi, 17, meninggalkan rumahnya di Lahar Ikan Mati di sini pagi Isnin lalu tanpa memaklumkan destinasi yang ingin dituju.
“Kehilangan tunang saya disedari apabila keluarganya mendapati dia tiada di rumah awal pagi Isnin lalu selepas saya meminta mereka mencarinya kerana merasa hairan apabila panggilan telefon saya tidak dijawab.
“Selepas melakukan pemeriksaan, neneknya, Bariah Ahmad, 64, mendapati Nur Fatini telah meninggalkan rumah di mana pakaian dan barangan peribadinya turut tiada,” katanya.
Menurutnya, dia kemudiannya bergegas ke rumah tunangnya itu yang terletak lebih kurang 400 meter dari rumahnya dan selepas berbincang dengan keluarga Nur Fatini dia kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Shahidan berkata, dia telah bertunang dengan Nur Fatini Julai lalu dan menetapkan bulan Disember ini untuk dilangsungkan majlis nikah dan kenduri mereka.
“Saya tidak mempunyai masalah dengannya kerana selama dalam tempoh bertunang ini hubungan kami rapat serta mendapat restu seluruh ahli keluarganya termasuk ayahnya, Mohd Rashidi Mohd Rashid, 49, dan ibunya, Norasiah Lazim,48, serta neneknya Bariah.
“Saya telah pun membuat persiapan perkahwinan kami dan sekarang hanya menunggu tarikhnya sahaja,” katanya.
Sementara itu Bariah berkata, dia terkejut dan tidak menyangka cucunya itu sanggup keluar meninggalkan rumah mereka kerana dia merupakan cucu kesayangannya.
“Selain tinggal bersama saya sejak kecil kerana ibu bapanya bekerja di luar daerah, dia lebih rapat berbanding adik beradiknya yang lain dan sering meminta pandangan saya jika dia mengalami masalah.
“Sepanjang pengetahuan saya hubungan dengan tunangnya, Shahidan juga didapati baik dan mereka sering keluar bersama jika mempunyai masa lapang,” katanya.
Bariah berkata, Nur Fatini Amirah merupakan cucu kelima dari sembilan beradik dan tidak lagi bersekolah selepas tamat tingkatan tiga dua tahun lalu.
“Kerana sayangkannya, dia tidak dibenarkan bekerja di luar seperti mana kakaknya yang lain dan hanya membantu saya mengambil upah meleraikan komponen peralatan eletronik yang dihantar pelanggan di rumah.
“Bapanya hanya pulang seminggu sekali ke rumah kerana bekerja di luar daerah, ibunya juga bekerja dan sayalah yang banyak menghabiskan masa bersamanya sejak dia dilahirkan 17 tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, usaha mereka menghubungi telefon bimbit Nur Fatini gagal, malah dia juga tidak membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar mereka.
Sehubungan itu, Bariah dan Shahidan merayu Nur Fatiini pulang segera ke rumah dan akan membantunya jika dia mempunyai masalah kerana selain merinduinya mereka juga bimbangkan keselamatan dirinya.
Sesiapa yang terjumpa atau melihat Nur Fatini oleh menghubungi Shahidan di talian 010-3703309 atau Bariah di talian 014-2442808 atau melaporkannya ke mana-mana balai polis terdekat.
Garis panduan papan iklan di Alor Setar wajibkan model perlu pakaian sopan
3 Oktober 2012
Antara perkara yang ditekankan dalam garis panduan itu ialah model dalam gambar perlu sopan dan berpakaian tidak menjolok mata dan jika model itu beragama Islam, dia perlulah menutup aurat.
Datuk Bandar MBAS Mat Noh Ahmad berkata pihak MBAS sedang membuat operasi di setiap papan iklan yang tidak mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh MBAS.
"Terdapat rungutan daripada orang ramai tentang penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan yang tidak memenuhi standard dan bagi menangani isu itu, kami akan menjalankan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Papan Iklan yang dijalankan secara berkala.
"MBAS turut akan menitikberatkan gambar model yang dipaparkan pada papan iklan itu," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata bagi mereka yang ingin membuat iklan di papan iklan perlulah mengikut syarat yang telah ditetapkan MBAS dengan mengemukakan permohonan ke Bahagian Kesihatan Awam, MBAS.
"Sekiranya mereka membina papan iklan secara haram, tindakan kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan dan kami juga akan menurunkan papan iklan itu," katanya.
Mat Noh berkata pada awal tahun hadapan MBAS akan menyeragamkan papan-papan iklan dari segi saiz papan iklan dan memastikan bahagian landskap tersusun rapi bagi mengindahkan kawasan papan iklan itu.
Beliau berkata MBAS tidak akan meluluskan sebarang papan iklan untuk pemilik yang ingin mengiklankan mengenai pusat hiburan atau premis judi. - Bernama
Lebih sebulan tak lena tidur
3 Oktober 2012
Penduduk terpaksa bergelap apabila lampu jalan di kawasan taman berkenaan tidak berfungsi lebih sebulan lalu, sehingga memberi peluang kepada pencuri melakukan kegiatan mereka.
Tinjauan mendapati, lampu jalan di Lorong Tenggiri 18 sehingga 22 tidak berfungsi dan menyebabkan kawasan rumah itu hanya bergantung kepada cahaya gerai makan berhampiran yang dibuka pada waktu malam.
Timbalan Pengerusi Surau Al-Islam, Othman Sulong berkata, beberapa kejadian kecurian dan pecah rumah berlaku di kawasan itu, terutama di kawasan rumah yang terhalang daripada pandangan dan tidak mempunyai sumber cahaya.
“Apabila malam kami terpaksa berhadapan dengan masalah gelap. Selepas senja sahaja, kami hanya bergantung kepada cahaya gerai berhampiran dan kemudiannya kembali bergelap selepas gerai berkenaan ditutup pada jam 12 tengah malam.
“Sebelum ini, ada kejadian pecah rumah, di mana mesin basuh seorang penduduk hilang. Selain itu, ada juga yang mencuri pintu pagar yang belum dipasang.
“Inilah masalahnya apabila lampu jalan tidak berfungsi. Kami khuatir lebih banyak risiko kejadian tidak elok akan berlaku,” katanya.
Othman berkata, dia juga sudah beberapa kali terserempak dengan dua lelaki mencurigakan yang meronda pada waktu malam di sekitar kawasan perumahan itu.
Menurutnya, lebih mengecewakan tiada tindakan diambil pihak berkenaan walaupun sudah beberapa kali pihaknya membuat aduan berhubung masalah itu.
“Lampu jalan di sini tidak berfungsi sejak 28 Ogos lalu. Bayangkan dalam tempoh sebulan lebih, sudah enam kali saya hubungi mereka, namun tiada maklum balas.
“Mereka ada meminta nama dan nombor telefon saya, tetapi sehingga kini saya tidak hubungi. Malah setiap kali saya telefon, mereka kata juruteknik akan datang memeriksa,” katanya lagi.
Selain kes pecah rumah, Othman turut bimbang sekiranya kawasan berkenaan terus bergelap akan mengundang kegiatan tidak bermoral di situ seperti gejala maksiat.
20 hari adik menghilangkan diri
4 Oktober 2012
Menurutnya, adiknya, Erman Fazli Hadi Kamim, 17, yang bekerja di sebuah kilang di Kamunting menaiki van ke tempat kerja kira-kira jam 5.20 petang.
Katanya, sebelum adiknya menghilangkan diri, tidak ada perbalahan berlaku antara Erman Fazli dan ahli keluarga yang lain.
"Bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku selepas 24 jam adik tidak pulang ke rumah, saya terus ke tempat kerjanya, namun pihak kilang ada menyatakan adik tidak datang bekerja.
"Keadaan ini semakin membimbangkan kami sekeluarga apabila telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.
Zulfazly berkata, dia terus membuat laporan polis pada 16 September lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini.
“Dalam masa yang sama saya terus berusaha mencari dan bertanyakan kepada kawan-kawannya namun, menemui jalan buntu.
“Semasa adik keluar bekerja dia hanya membawa wang RM10 sebagai wang saku untuk berbelanja,” katanya.
Katanya, dia bimbang keselamatan adiknya terancam dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubunginya di talian 012-452 1130 atau di alamat, Kampung Repoh, Batu Kurau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi berkata, pihak beliau mengesahkan menerima laporan itu dan kes masih lagi disiasat.
“Sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklumat berhubung keadaan Erman Fazli Hadi.
"Sekiranya orang ramai mengetahui dan mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Taiping di talian 05-829 1222,” katanya.
20 tahun sepi tanpa berita
3 Oktober 2012
P Renganathan, 87, yang tinggal sendirian sejak kematian isterinya, enam tahun lalu kini mengidap masalah jantung dan strok selain hanya mampu terlantar serta menghabiskan masa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.
Pada saat insan lain dijaga rapi ahli keluarga, warga emas itu kini hanya mengharapkan ihsan jiran tetangga bagi menguruskan rutin hariannya.
Seorang jiran yang ditemui, Zabedah Abdullah, 38, berkata, sejak lapan tahun lalu hanya jiran menjadi tempat Renganathan mengadu.
Menurutnya, warga emas itu sebelum ini ada menceritakan serba sedikit maklumat keluarga termasuk keinginannya melihat dua anak perempuannya kembali setelah sekian lama tidak bertemu.
“Dia tak cerita semua, tetapi sekadar beritahu dia ada anak dan kini berada di Kuala Lumpur.
“Dia juga ada menyatakan, anak sulungnya pernah berkhidmat sebagai pramugari, namun selepas berkahwin, anaknya tidak pernah datang menjenguknya di rumah,” katanya.
Zabedah berkata, sejak kematian isteri, Renganathan enggan lagi bercerita soal anak-anaknya.
"Melihat keadaan warga emas ini, saya bersama beberapa jiran lain bercadang untuk menghantarnya ke Rumah Seri Kenangan Taiping," katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia dan jiran lain sedang berusaha menjejaki kedua-dua anaknya sebelum tindakan lanjut diambil.
“Saya rasa dia lebih selamat kerana ada orang yang boleh membantu dan menjaga sepanjang masa, jika di rumah, dia keseorangan.
“Sebagai jiran saya hanya melakukan apa yang difikirkan betul dan jika anak-anak mahu berjumpa dengan bapa mereka, inilah masanya,” katanya.
Seorang lagi jiran, P Maria, 30, berkata, selepas Renganathan dimasukkan ke hospital, dia bersama jiran lain cuba membantu mencari anak-anaknya.
“Ketika mencari maklumat berkenaan keluarganya, kami terjumpa sebuah beg yang mengandungi beberapa keping gambar keluarga.
“Gambar majlis perkahwinan mungkin ketika persandingan anak sulungnya, kami harap gambar ini dapat membantu mencari dua anaknya itu, sebab kami tidak mempunyai maklumat lanjut, hanya gambar sebagai bukti,” katanya.
Renganathan sebelum ini pernah berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), kini dia menjalani hidup dengan wang pencen RM720 setiap bulan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkenaan dua anak perempuan Renganathan diminta menghubungi Zabedah di talian 017-545 9650 atau 013-502 3740 atau di alamat No2, Tingkat 2, Blok A, Flat Kampung Boyan, Taiping.
Wanita cedera ditendang penjenayah
3 Oktober 2012
Mangsa, Rafidah Abdul Manan berkata, ketika kejadian, dia baru dalam perjalanan ke Teluk Intan untuk membayar ansuran motosikal sebelum terlihat sepasukan polis sedang mengejar sebuah kereta berwarna merah.
Menurutnya, ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, tiba-tiba lelaki itu turun dari keretanya lalu menendangnya sehingga terjatuh di atas jalan, sebelum melarikan diri menggunakan motosikal miliknya.
"Pada waktu itu, kereta yang dipandu lelaki berkenaan berhenti selepas semua kenderaan di hadapan berhenti di lampu merah.
"Saya bergerak di celah-celah kereta yang berhenti dan secara tiba-tiba lelaki itu turun dari keretanya lalu terus menendang saya bertubi-tubi sehingga terjatuh," katanya kepada Sinar Harian.
Kata Rafidah, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan di bahagian perut dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan oleh anggota polis.
"Saya bersyukur hanya menerima rawatan pesakit luar dan tidak mengalami kecederaan serius akibat ditendang penjenayah beberapa kali sehingga terjatuh," katanya.
Dalam kejadian jam 4 petang semalam, suspek dalam lingkungan 30-an dikejar sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung selepas tidak memberi kerjasama ketika ditahan kerana memandu sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Kuala Kangsar.
Timbalan Ketua Polis daerah Hilir Perak, Superintenden Mohd Zaki Harun berkata, suspek disyaki mencuri kereta jenis Honda Accord di Kuala Kangsar dan mengubah nombor pendaftaran kenderaan itu sebelum melarikan diri ke Manjung.
Katanya, setiba di Manjung, suspek ditahan polis di sana, tetapi enggan memberikan kerjasama sebelum memecut kereta berkenaan menghala ke Teluk Intan.
"Menyedari beberapa anggota polis keluar dari kereta peronda untuk menangkapnya, suspek bertindak menendang perut dan menjatuhkan seorang wanita yang kebetulan memberhentikan motosikalnya berdekatan kereta dipandu sebelum melarikan kenderaan itu ke arah Kampung Banjar – Kampung Selabak.
"Suspek berjaya ditahan dua anggota polis cawangan Anti Nakotik IPD Teluk Intan yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut," katanya.
Kata beliau, hasil soal siasat, pihaknya mendapati suspek berasal dari Terengganu dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau dalam kes dadah manakala ujian awal air kencing ke atasnya menunjukkan dia positif heroin.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan suspek turut dirujuk ke IPD Manjung serta IPD Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut.
Sindiket sorok diesel subsidi tumpas
4 Oktober 2012
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket yang menjalankan kegiatan itu di sebuah bangunan di kawasan perindustrian Tasek, Jalan Kuala Kangsar, Isnin lalu.
Timbalan Pengarah PPDNKK Negeri, Rosli Ahmad berkata, seramai enam pegawai terbabit yang diketuai Ketua Operasi KPDNKK Negeri, Mohd Ziyad Ismail, dalam serbuan yang dijalankan pada jam 4 petang itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya berjaya menemui satu tangki besar yang digunakan untuk menyembunyikan 8,260 liter diesel subsidi yang dipercayai cuba dijual kepada pihak industri pada harga lebih tinggi.
Diesel subsidi yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM15,000 mengikut nilai pasaran.
“Ketika serbuan dilakukan terdapat beberapa lelaki di bangunan tersebut dipercayai ahli sindiket terbabit namun mereka berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Rosli berkata, melalui siasatan awal yang dijalankan, pihak sindiket akan singgah di beberapa stesen minyak untuk membeli diesel dalam kuantiti anggaran antara 100 hingga 200 liter.
Tambahnya, sindiket itu menggunakan lori persendirian lengkap dengan tangki khas bagi memuatkan diesel dibeli sebelum dipindahkan ke tangki lebih besar yang terletak di bangunan tersebut.
“Berdasarkan maklumat, diesel subsidi berharga RM1.80 seliter itu akan dijual kepada pihak industri pada harga RM2.60 seliter dan kami percaya sindiket itu sudah giat beroperasi sejak dua tahun lalu,” katanya.
Rosli berkata, kes itu kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya masih mengesan mereka yang terbabit dalam sindiket berkenaan.
“Jika sabit kesalahan, individu yang bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 manakala pihak syarikat boleh didenda RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
1,188 mesin judi dirampas
3 Oktober 2012
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan rampasan sebanyak 717 mesin judi bagi 100 serbuan yang dibuat dalam tempoh sama.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan polis sentiasa komited dalam memastikan gejala judi khususnya di daerah ini dikekang.
“Bagi tahun ini juga seramai 89 individu telah ditahan untuk siasatan melibatkan penjaga premis mesin judi.
"Justeru, kita minta orang ramai terus membantu polis dengan menyalurkan maklumat sebelum tindakan segera dapat diambil,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, aktiviti di pusat hiburan dan premis makanan yang menyediakan khidmat pelayan warga asing turut tidak terlepas daripada tindakan polis.
Katanya, bermula Januari hingga September tahun ini, pihaknya telah membuat 315 serbuan di seluruh daerah dan berjaya menangkap 686 wanita warga asing.
“Mereka yang ditangkap ini melibatkan warga Vietnam, China, Indonesia dan Thailand yang kebanyakan berumur antara 30-an dan 40-an.
"Serbuan ini dilakukan secara berterusan bagi membanteras aktiviti pelacuran melibatkan warga asing,” katanya.
Bagi tempoh yang sama tahun lalu, sebanyak 217 serbuan dilakukan melibatkan tangkapan 415 orang.
Jaafar berkata, mereka yang ditahan boleh didakwa di di bawah seksyen 39 b Peraturan Imigresen 1959/63.
“Ini menunjukkan kita tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan bagi membanteras gejala tidak sihat ini.
“Kita berterima kasih kepada orang ramai yang tidak putus-putus menyalurkan maklumat dan berharap kerjasama ini diteruskan,” katanya.
Budak mati tercekik anggur
3 Oktober 2012
Kejadian berlaku ketika ibunya sedang sibuk mengupas kulit buah itu di rumah mereka di Kondominium Raya Ria, di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, kira-kiran jam 10 malam kelmarin.
Mangsa Taheem Shahriar, 2, dipercayai berada berhampiran ibunya ketika itu.
Tanpa disedari ibunya, kanak-kanak terbabit mengambil sebiji anggur dan memasukkan ke dalam mulut sehingga menyebabkan dia tercekik.
Seorang saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dimaklumkan selepas kanak-kanak tersebut meninggal dunia.
Katanya, bapa kanak-kanak malang itu bekerja sebagai Pensyarah Perubatan di salah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di sini manakala ibunya adalah surirumah.
“Saya difahamkan Taheem mempunyai masalah tonsil dan lehernya sedikit membengkak menyebabkan buah anggur sebesar guli itu tersekat di kerongkongnya,” katanya.
Dia ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.
Menurutnya, ibu bapa kanak-kanak itu turut cuba menyelamatkan nyawa anak tunggal mereka namun usaha mereka gagal.
“Mereka terus membawa Taheem ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
"Kemudian disahkan meninggal dunia setibanya di hospital malam semalam (kelmarin),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan ada menerima laporan berhubung kematian kanak-kanak terbabit.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut kerana tiada unsur jenayah ditemui pada mangsa.
“Mangsa yang dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun disahkan meninggal pada jam 10.25 malam semalam (kelmarin) dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat,” katanya.
Jenazah mangsa dijangka dibawa pulang ke Bangladesh untuk dikebumikan.
Bayi maut tersedak susu
4 Oktober 2012
Ho Zi Xin, yang baru berusia dua bulan, disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH) untuk mendapatkan rawatan.
Seorang anggota keluarga yang enggan dikenali berkata, kejadian itu hanya disedari ibunya kira-kira jam 1 pagi semalam selepas melihat wajah mangsa berubah menjadi pucat dan tidak bergerak selepas diberi minum susu menggunakan botol.
“Sejurus melihat Zi Xin dalam keadaan tidak sedarkan diri, mereka segera membawanya ke unit kecemasan KPJ-ISH untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia beberapa minit selepas itu.
“Mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, setiap hari Zi Xin dihantar kepada pengasuh berhampiran rumah mereka pada waktu siang memandangkan ibu bapa bayi itu bekerja.
“Pada sebelah malam, mereka akan membawanya pulang ke rumah dan menjaga anak bongsu daripada empat adik beradik itu. Ia adalah rutin harian mereka pada hari bekerja,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke pekarangan Jabatan Forensik HRPB mendapati bapa mangsa berada dalam keadaan sedih dan enggan ditemu bual.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, laporan bedah siasat pihak hospital mengesahkan bayi itu maut disebabkan susu yang diminumnya memasuki paru-paru ketika sedang tidur sehingga menyekat saluran pernafasan.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau kecuaian ditemui pada mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Lelaki ditahan miliki dadah
4 Oktober 2012
Ketua Polis Daerah, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, lelaki terbabit ditahan kira-kira jam 12 tengah hari apabila anggota polis mengarahkannya turun dari kereta Perodua Kancil untuk membuat pemeriksaan ke atasnya.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis menjumpai pelbagai jenis dadah di dalam beg sandang yang dibawa lelaki berusia 43 tahun itu.
“Dadah-dadah tersebut ialah empat paket plastik lutsinar dipercayai heroin, dua paket plastik lutsinar dipercayai syabu, 46 biji pil eramin 5 dan satu tiub straw heroin.
“Turut ditemui wang tunai RM3,000 dan buku catatan,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian, di sini, pagi semalam.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Simpang Renggam itu turut didapati positif dadah selepas pemeriksaan air kencing dilakukan ke atasnya.
“Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam kes yang berasingan, sebanyak 360 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang Operasi Samseng Jalanan selama 15 hari bermula 15 September lalu.
“Sebanyak 1,489 kenderaan telah diperiksa dalam operasi yang turut membabitkan pasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, Pasukan Polis Sukarelawan (PVR) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela).
“Saman yang dikeluarkan meliputi kesalahan seperti tiada lesen memandu, tidak mempunyai cukai jalan kenderaan yang sah, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, tidak mempunyai lampu brek ketiga dan menggunakan lampu kereta berwarna putih (HID),” katanya.
Zahaliman berkata, daripada operasi itu juga, sebanyak 108 motosikal dan 14 buah kereta dari pelbagai jenis telah disita.
“Kebanyakan mereka yang terlibat ini berusia di antara 15 dan 40an dan operasi itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan samseng jalanan khususnya di daerah Pontian,” katanya.
Tangkapan bongkar kes curi
4 Oktober 2012
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kesemua suspek berumur antara 17 hingga 25 tahun ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan yang mencurigakan.
Menurutnya, hasil siasatan awal berjaya membongkar kegiatan mereka yang didapati terlibat dalam enam kes curi motosikal bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
“Mereka ditangkap di lokasi berasingan antaranya di Jalan Junid dan Bukit Pasir termasuk di Sungai Rambai, Melaka yang bersempadan dengan daerah ini.
“Melalui serbuan di beberapa rumah suspek yang dijadikan bengkel untuk meleraikan motosikal curi, pihaknya merampas enam enjin motosikal termasuk komponen-komponennya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM10,000. Kesemua komponen yang dileraikan itu dipercayai untuk kegunaan sendiri dan sebahagiannya dijual.
“Kita dapati ada antara enjin motosikal yang dirampas itu sudah dipadam nombor pendaftarannya.
“Kesemua suspek tidak bekerja termasuk remaja berusia 17 tahun tersebut yang tidak bersekolah,” katanya.
Katanya, dua daripada mereka yang kedua-duanya berumur 23 tahun pernah mempunyai rekod lampau iaitu juga kes curi motosikal.
Sahadan berkata, hasil siasatan mendapati suspek mencuri motosikal dengan cara menggunakan kunci pendua selain membuka lampu hadapan dan menyambung wayar utama untuk menghidupkan motosikal.
“Dengan penangkapan kesemua suspek, pihak polis telah berjaya menyelesaikan enam kes kecurian motosikal sekitar Muar dalam tahun ini.
“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengesan saki baki yang terlibat dengan kumpulan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 37A (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.
Waspada pilih taska elak tragedi
4 Oktober 2012
Pengarah JKM Negeri, Khatijah Abdullah berkata, setakat ini 121 taska seluruh Johor mendapat kelulusan penuh dari JKM serta tiga agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Manakala terdapat 144 lagi permohonan dari pengusaha taska yang masih tertangguh kerana belum mendapat kelulusan dari agensi lain yang berkaitan.
“Selain perlu mendapat kelulusan dari tiga agensi berkenaan, setiap pengusaha yang berdaftar di bawah JKM juga disyaratkan mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak selama 18 hari,” katanya.
Selain itu katanya, pihaknya juga sentiasa menjalankan pemantauan berkala dari semasa ke semasa terhadap seluruh taska berdaftar bagi memastikan setiap pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan JKM.
“Pengusaha taska berdaftar yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan pergantungan atau penarikan semula lesen mereka.
“Manakala taska yang beroperasi tanpa berdaftar juga boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan dan denda,” katanya.
Dalam pada itu katanya, sehingga 30 September lalu, tiada kes kematian bayi membabitkan taska di Johor dilaporkan sepanjang tahun ini dan hanya terdapat satu kes kematian bayi di taska berdaftar di Pasir Gudang akibat jangkitan paru-paru tahun lalu.
Khatijah berkata, pihaknya juga turut menitikberatkan bilangan pengasuh yang bersesuaian mengikut bilangan bayi atau kanak-kanak yang dijaga agar keselamatan mereka tidak terabai dan dapat mengurangkan risiko kemalangan.
“Seorang pengasuh hanya dibenarkan menjaga lima kanak-kanak di bawah tiga tahun dan setiap sepuluh kanak-kanak tiga tahun ke atas ditetapkan untuk seorang pengasuh.
“Manakala kami turut menetapkan taska yang beroperasi di teres kediaman tiga bilik hanya sesuai bagi jagaan 15 hingga 20 kanak-kanak pada satu-satu masa,” katanya.
Samseng serang kontraktor dakwa lupuskan bukti kemalangan
3 Oktober 2012
Kumpulan terbabit bertindak sedemikian selepas berang apabila diberitahu rakan mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dalam kejadian kemalangan di lokasi sama, awal pagi kelmarin.
Sebelum itu, keadaan seakan menjadi tidak terkawal apabila kumpulan terbabit mendakwa rakan mereka, Anbalagan Jaya, 40-an, maut kerana dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian jam 12.15 pagi.
Bagaimanapun kekecohan itu berjaya dileraikan Ketua Kampung Senibong, Mohd Said Budin bersama anggota dari Balai Polis Permas.
Namun suasana kembali tegang apabila kumpulan bermotosikal itu kembali ke lokasi dan mengganggu kerja-kerja baik pulih yang dilakukan, sehingga ada di antara daripada mereka sanggup memecahkan cermin lori kontraktor itu.
Mangsa, Zulkifli Samian, 44, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dia bersama lima kontraktor lain yang sedang mengecat lintasan zebra didatangi lebih sepuluh lelaki yang kemudiannya memarahi dan memintanya memberhentikan semua kerja.
“Kami terkejut dengan tindakan kumpulan ini. Kami memaklumkan kepada mereka bahawa kami ditugaskan oleh pihak berkuasa tempatan untuk baiki jalan, namun mereka mengamuk kerana takut bahan bukti kemalangan akan lupus.
“Oleh kerana tidak berpuas hati, mereka terus memecahkan cermin lori kami, namun mujurlah tiada yang cedera,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.
Seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, motosikal ditunggang oleh Anbalagan dari arah Bandar Permas Jaya hilang kawalan sebelum terperosok ke bawah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.
“Mangsa terlebih dahulu melanggar bonggol jalan sebelum dilanggar sebuah kereta.
“Pada mulanya, kereta berkenaan tidak menyedari dia telah melanggar mangsa sehingga merasakan pergerakan kenderaannya tidak lancar seperti ada objek yang tersekat,” katanya.
Penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Mohd Said berkata, keadaan kawasan berkenaan tidak mempunyai lampu jalan selain permukaan jalan yang teruk merupakan antara faktor kemalangan kerap berlaku.
“Garisan lintasan zebra juga tidak nampak dan kita juga kesal kerana ketika kerja-kerja pembaikan rancak dijalankan di jalan ini, kontraktor pula diserang,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Hilux jadi penyelamat, pengurup nyaris hilang wang
3 Oktober 2012
Ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang bersama pekerjanya dikatakan membawa wang tunai RM700,000 menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan terbabit dalam kemalangan di Jalan Storey berhampiran bangunan Pacific Mall, di sini, sebelum diserang.
Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian, kenderaan mangsa dihimpit sebuah lori muatan lapan tan sewaktu mereka dalam perjalanan pulang ke premis perniagaan sehingga menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terbalik.
Bagaimanapun, belum sempat mangsa dan pekerjanya cuba menyelamatkan diri, mereka kemudiannya diserang sekumpulan lelaki bertopeng yang tiba-tiba datang menaiki dua kenderaan jenis Proton Wira dan melepaskan tembakan ke arah Toyota Hilux yang mereka naiki.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah, Datuk Dr Hashim Haron berkata, hasil siasatan mendapati, dua perompak dari kenderaan yang datang telah melepaskan lapan tembakan ke arah kenderaan mangsa dengan tujuan mendapatkan wang dibawa.
“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri selepas gagal melarikan wang tunai RM700,000 itu apabila tembakan yang dilepaskan tidak dapat menembusi kenderaan mangsa yang kalis peluru.
“Pihak polis turut menemui dua kenderaan jenis Proton Wira dinaiki suspek yang ditinggalkan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada hari yang sama,” katanya.
Hashim berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan hasil pemeriksaan yang dijalankan, sepucuk pistol ditemui serta beberapa topeng yang ditinggalkan dalam kereta suspek.
“Kesemua mangsa yang terbabit di dalam kes ini terselamat termasuk pemandu kenderaan yang hanya mengalami luka ringan kesan dari kemalangan yang berlaku.
“Kes ini disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan kesemua suspek sedang giat dikesan,” katanya.
Meninggal dalam dakapan ibu
3 Oktober 2012
Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal di pangkuan ibunya Russiah Ibrahim, 44, kira-kira jam 6.05 pagi selepas mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh.
Menurut Russiah, anaknya mengadu mengalami pening kepala sebelum rebah secara tiba-tiba di pangkuannya.
“Saya terus memangku Afiff, sambil mengurut bahagian dahinya dengan minyak, kira-kira 15 minit kemudian saya tengok bibir, kuku tangan dan kakinya terus menjadi biru.
“Saya terus mengusap bahagian dadanya dan kelihatan Afiff seperti tidur berdengkur dan selepas itu dia terus diam,” katanya yang menerima kunjungan dari Pegawai Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng, di rumahnya di Taman Nilam, di sini, pagi semalam.
Russiah bersama seorang anak lelakinya yang berusia 13 tahun ketika itu terus meminta pertolongan dari jiran dan menelefon ambulans memandangkan ketika itu suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, bekerja shift malam.
Jelasnya, sebaik saja ambulans tiba dan pegawai perubatan membuat pemeriksaan mereka telah mengesahkan Hafiff sudah meninggal dunia dan memintanya menghubungi pihak polis untuk membuat laporan.
Russiah berkata, Afiff anak ketiga daripada lima beradik tidak mempunyai sebarang penyakit dan merupakan seorang yang aktif dalam sukan bola baling.
“Baru setahun Afiff berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Penggawa Barat dari Sekolah Menengah Tinggi Melaka, mengikut ayahnya yang bekerja di Tanjung Bin, Pontian.
“Pada peperiksaan percubaan yang lepas Afiff mendapat keputusan 6A dan 2B,” katanya.
Bapa Afiff, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, berkata, dia diberitahu oleh isterinya mengenai kejadian itu melalui panggilan telefon kira-kira jam 6.15 pagi.
“Apabila tiba di rumah, anak saya sudah tiada lagi dan saya reda di atas pemergian anak kesayangan itu kerana ALLAH lebih menyayanginya,” katanya.
Difahamkan beliau baru dua tahun berpindah ke Pontian kerana sebelum ini bekerja di Melaka dan isteri serta anaknya pula baru setahun mengikutnya berpindah.
Menurutnya, anaknya dikebumikan semalam kira-kira jam 10 malam di Tanah Perkuburan Islam Taman Nilam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.
No comments:
Post a Comment