Thursday, October 4, 2012

RUMAH TANGGA AMAN BILA TAK ADA SIBATU API...TAK DE DAJAL BERMATA SATU...BERMATA SATU NI...HANYA DENGAR SEBELAH PIHAK...PATUT DENGAR KEDUA PIHAK...BARU ADIL DAN BETUL...BIASALAH SIPENCERITA AKAN CERITA DIRI DIA YANG BAIK2...PASANGANNYA PULA CERITA YANG JAHAT2...BERMAKNA IA TAK JAHAT DAN SENTIASA BETUL...HINGGA RASULLULLAH SAW MELARANG BUAT KEPUTUSAN JIKA TAK DENGAR KEDUA2 BELAH PIHAK....

Bukti cinta sejati

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi, Yusmizal Dolah Aling, dan Shahrul Redzuan Zulkifli
am@hmetro.com.my

KASIH ISTERI...Raya membantu Kamarul Baharin mengambil kuih.
KASIH ISTERI...Raya membantu Kamarul Baharin mengambil kuih.
KUALA PILAH: Dia diperkenalkan kepada calon suami yang lumpuh separuh badan, namun setuju untuk menerima jejaka itu sebagai suami dan kini selepas 39 tahun berlalu, hidup mereka kekal bahagia, malah dikurniakan lima anak.
“Sepanjang tempoh 39 tahun, suami insan paling sempurna di mata dan hati saya serta anak-anak,” kata Raya Dahan, 57, wanita yang tabah menjaga suaminya, Kamarul Baharin Shariff, 67, sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
Kamarul Baharin, bekas jurulatih silat gayong Selangor pada 1960-an lumpuh separuh badan selepas cedera di kepala akibat ditetak dengan parang secara tak sengaja oleh rakan ketika melakukan demonstrasi silat pada 1967.

“Insiden itu berlaku ketika suami saya beraksi untuk rakaman persembahan silat gayong untuk siaran televisyen. Tiga bulan dia dirawat di hospital sebelum disahkan doktor lumpuh separuh badan,” kata Raya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perigi Jerneh, Senaling, di sini.

Bakar RM500,000

Oleh Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

RENTUNG...anggota polis menyiasat van keselamatan yang disamun dan dibakar di Jalan Tiong, Off Jalan Meru, Klang.
RENTUNG...anggota polis menyiasat van keselamatan yang disamun dan dibakar di Jalan Tiong, Off Jalan Meru, Klang.
KLANG: Lima perompak bertindak nekad melarikan beberapa karung wang tunai berjumlah RM1 juta daripada sebuah van keselamatan sebelum membakar kenderaan itu yang masih mengandungi baki RM500,000 lagi dalam kejadian di Jalan Tion, Taman Eng Ann, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, van dinaiki tiga pengawal keselamatan itu baru selesai mengutip wang tunai dari beberapa kedai nombor ekor berlesen di bandar ini sebelum tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja dinaiki dua lelaki menghalang van berkenaan di Jalan Meru, di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, dua daripada suspek yang bersenjatakan pistol kemudian mengarahkan pekerja syarikat keselamatan itu duduk di bahagian belakang van serta mengarahkan pemandunya memandu ke arah Taman Eng Ann, kira-kira 2.5 kilometer dari tempat kejadian.

“Bagaimanapun, seorang daripada tiga pengawal keselamatan itu berjaya melarikan diri,” katanya.

Tukang urut ghaib 2 jam

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

CEKUP...wanita warga China yang ditahan, semalam.
CEKUP...wanita warga China yang ditahan, semalam.
BANYAK...kondom yang ditemui  penguat kuasa ketika  serbuan.
BANYAK...kondom yang ditemui penguat kuasa ketika serbuan.
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penjaga sebuah pusat rawatan refleksologi di Taman Usahawan, Kepong, di sini, cuba memperdaya sepasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Putrajaya yang menyerbu premis itu selepas dikesan menawarkan khidmat pelacur warga asing dengan menyamar sebagai pelanggan gagal apabila ditahan, awal pagi semalam.
Tembelang lelaki berusia 47 tahun itu selama hampir dua jam selepas pusat refleksologi itu diserbu kira-kira jam 1 pagi terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu menunjukkan dia bertugas di bahagian kaunter.

Timbalan Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Imigresen Putrajaya, Nik Shahanizam Ahmad berkata, ketika serbuan dilakukan, lelaki terbabit memberi kerjasama dan mendakwa dirinya adalah pelanggan sebelum diarah berhimpun bersama seorang lagi pelanggan untuk pemeriksaan.
“Sebaliknya, kami menahan seorang tukang cuci di pusat ini selepas mengesyaki dia yang mengendalikan operasi perniagaan.

“Bagaimanapun, identiti siapa penjaga sebenar terbongkar selepas kami meneliti rakaman CCTV sebelum serbuan dilakukan bagi mengesan tukang urut warga asing yang menawarkan seks berikutan tidak menemui seorang pun daripadanya dalam premis itu,” katanya.

Nik Shahanizam berkata, mulanya anggota penguat kuasa gagal menemui tukang urut wanita terbabit walaupun sudah menggeledah seluruh genap ruang pusat refleksologi itu. yang menyediakan 10 bilik mengurut.
“Kami turut mencari jika terdapat ruang sulit atau pintu khas dalam pusat urut tapak kaki ini termasuk lubang pada siling yang dibuat bagi memudahkan tukang urut wanita warga asing itu melarikan diri kerana ketika serbuan premis ini kosong.

“Berdasarkan rakaman CCTV, kami lihat ada ramai tukang urut terbabit dalam premis, tetapi mereka seakan ghaib dan kami gagal menahan merekaAda kemungkinan mereka mendapat tahu mengenai serbuan ini dan sempat bersembunyi,” katanya.
Menurutnya, seramai 30 penguat kuasa tidak berputus asa dan meneruskan pencarian sehingga keseluruhan bangunan premis setinggi empat tingkat itu walaupun terpaksa beberapa kali turun naik tangga dan memanjat sehingga aras bumbung bangunan yang menempatkan tangki air.

“Kami hampir buntu mencari selepas pemeriksaan di beberapa unit kediaman di tingkat atas pusat ini yang dikatakan dijadikan penginapan tukang urut wanita warga asing juga gagal menemui mereka.

“Namun, selepas berusaha hampir dua jam, kami berjaya menemui 10 tukang urut wanita warga China berusia lingkungan 20 hingga 30-an apabila mereka sendiri keluar dari tempat persembunyian di satu daripada unit kediaman yang sudah diperiksa kerana menyangkakan penguat kuasa sudah pulang,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tukang urut wanita terbabit gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah menyebabkan semuanya ditahan dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya bagi proses dokumentasi dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan penyalahgunaan permit kerja, tinggal melebihi tempoh ditetapkan selain tidak mempunyai dokumen lengkap.

“Kami turut merampas satu beg mengandungi kondom yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran, di samping mengambil keterangan daripada dua pekerja pusat urut tapak kaki ini dan dua pelanggan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tragedi cerita seram pertama

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my

PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan. Gambar kecil, S Kavi Arasu.
PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan. Gambar kecil, S Kavi Arasu.
KUALA LUMPUR: Kegembiraan seorang lelaki menonton cerita seram buat kali pertama dalam hidupnya bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 5.3, Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban arah Sungai Besi berhampiran Desa Petaling, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal, S Kavi Arasu, 21, maut di tempat kejadian kerana parah di kepala selepas tercampak ke tebing jalan manakala penunggang motosikal terbabit yang identiti belum dikenali cedera parah.

Seorang saksi kejadian berkata, motosikal yang dinaiki Kavi bersama rakannya itu terbabas selepas dihimpit sebuah lori yang meninggalkan lokasi sebaik menyedari kedua-dua mangsa terjatuh.
Menurut sepupu mangsa yang dikenali sebagai Ammu, 21, sebelum kejadian itu, mendiang menghubunginya memberitahu baru selesai menonton sebuah drama seram.

“Mendiang memberitahu saya dia sudah dewasa dan bukan lagi seorang yang penakut kerana berjaya menonton cerita seram itu. Sebelum ini, mendiang langsung tidak menonton cerita seram.

“Saya tidak sangka kata-kata dan tindakannya itu tanda mendiang pergi selama-lamanya,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 9, Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) arah Petaling Jaya, seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.

Kejadian jam 7 pagi itu berlaku apabila mangsa, Mohd Nor Azam Idris, 42, terjatuh daripada motosikal sebelum sebuah kereta yang mengekori merempuh dan mengheretnya kira-kira 10 meter.
Mayat mangsa yang tersepit di bawah kereta terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Suami derita jatuh garaj



KUALA TERENGGANU: “Suami begitu beria-ia menunaikan janji kepada anak (Muhamad Aizat Afiq, 29, untuk membawa kami sekeluarga bersiar-siar di pusat bandar pada malam sebelum kejadian itu,” kata Laila Mohamad, 26, isteri Mohd Noor Abd Majid, 36, yang lumpuh seluruh badan akibat terjatuh ketika memasang bumbung garaj di sebuah rumah di Kampung Chendering, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Mohd Noor bersama tiga rakannya yang mengambil upah membina garaj berkenaan naik ke atas palang setinggi tiga meter untuk memotong kayu bagi dijadikan kekuda bumbung berkenaan.

Bagaimanapun palang yang dipijaknya itu tiba-tiba patah menyebabkan dia terjatuh dengan kepalanya terlebih dulu jatuh di atas lantai simen garaj berkenaan.
Ketika ditemui di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam, Laila yang tinggal di Kampung Kebor Air, Manir, dekat sini, berkata, dia bergegas ke hospital selepas dimaklumkan kejadian menimpa suami oleh sepupunya.

Menurutnya, dia hanya menitiskan air mata apabila dimaklumkan doktor bahawa suaminya mungkin lumpuh seumur hidup kerana lehernya patah manakala saraf pada tulang belakang pula rosak.

“Saya sebak melihat keadaan suami yang terlantar di katil dengan kepalanya terpaksa ditarik dengan pemberat untuk menghalang pergerakan leher yang boleh menyebabkan kecederaannya bertambah serius.
“Walaupun berat hati, namun saya kuatkan semangat untuk memberitahu keadaan sebenar kepada suami yang masih dalam keadaan separuh sedar,” katanya yang juga pembantu di sebuah kedai roti di kampungnya.

Laila berkata, dia dimaklumkan doktor bahawa kos RM15,000 diperlukan untuk menyambung semula tulang leher Mohd Noor yang patah.
“Saya tiada wang sebanyak itu dan bercadang memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kos rawatan terbabit.

“Lebih menyedihkan, walaupun pembedahan menyambung semula tulang leher suami itu berjaya dilakukan, namun ia tidak mampu untuk membuatkan dia berjalan semula kerana bahagian sarafnya sudah rosak,” katanya.

Kereta baru dibeli remuk dirempuh



MELAKA: Kegembiraan seorang mekanik keluar makan malam menaiki kereta baru dibelinya dua minggu lalu, bertukar duka apabila kereta itu remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan di Persimpangan Taman Kota Laksamana di sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam membabitkan empat kenderaan iaitu Proton Saga BLM, Perodua Kancil, Perodua Viva dan Perodua Myvi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Difahamkan, nahas berlaku apabila Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Persimpangan Syahbandar merempuh Proton Saga dipandu Roslan Johari, 24, dan Kancil dipandu lelaki berusia 28 tahun yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.
Rempuhan kuat mengakibatkan Proton Saga melanggar Viva dipandu lelaki berusia 21 tahun yang turut berhenti di persimpangan itu.

Menurut Roslan, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Telok Mas selepas selesai makan malam bersama dua rakannya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang.

“Saya memberhentikan kenderaan di belakang Viva kerana lampu isyarat ketika itu merah. Namun, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat hingga menyebabkan kereta dipandu bergerak ke depan dan melanggar Viva itu.
“Jarak kereta saya dengan kenderaan di depan agak jauh tetapi rempuhan Myvi itu terlalu kuat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.

Beliau berkata, walaupun terkejut dengan kejadian yang mengakibatkan bahagian depan dan belakang kenderaannya remuk, dia bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku.
“Siapa tidak sedih jika kereta yang baru dua minggu diperoleh remuk disebabkan kecuaian pemandu lain. Namun, saya bersyukur kerana kedua-dua rakan yang duduk di bahagian penumpang belakang selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih dijalankan pihaknya.

Budak perempuan dilanggar lari disangka anjing



KENINGAU: Seorang lelaki yang menyangka sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh seekor anjing sebaik terdengar dentuman kuat tergamam mendapati mangsa seorang kanak-kanak perempuan sebelum pemandu kenderaan itu melarikan diri dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Keningau-Apin-Apin, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.45 pagi, kanak-kanak terbabit, Nurliza Azuray, 9, diseret hampir 10 meter sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan.

Seorang saksi mahu dikenali sebagai Isa, 30, berkata ketika kejadian dia menunggu bas di tepi jalan sebelum terdengar dentuman.
“Saya berada kira-kira 20 meter dari tempat kejadian dan menyangka kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser merempuh seekor anjing yang melintas jalan.

“Namun, saya hampir pitam apabila melihat mangsa adalah kanak-kanak dan diheret kira-kira 10 meter sebelum kenderaan itu berhenti, bergerak ke kiri sedikit lalu memecut meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Katanya, sejurus selepas itu, dia bergegas mendapatkan mangsa dan mendapati kanak-kanak itu berlumuran darah sebelum tidak bergerak lagi.
“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membantu membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Robert Solisip @ David mengesahkan kejadian dan mangsa maut sebaik tiba di hospital.
“Pemandu terbabit, warga Pakistan berusia 44 tahun bertindak memecut kenderaannya, tetapi akhirnya menyerah diri beberapa jam selepas kejadian,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai cuba melintas jalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Keningau menuju ke Apin-Apin.

“Pemandu terbabit iaitu warga Pakistan berusia 44 tahun bertindak memecut kenderaannya tetapi akhirnya menyerah diri di balai polis beberapa jam selepas kejadian,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

‘Kerja orang tidak waras’

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Semua ini kerja orang hilang kewarasan, sebelum ini saya tidak pernah berdendam atau mempunyai musuh sebaliknya melayan semua peminat dengan adil kerana ia sebahagian daripada tugas sebagai deejay.
“Jika ada yang berdendam atau berasa cinta tidak berbalas, itu mungkin berpunca daripada diri individu itu sendiri hingga sanggup bertindak di luar batasan,” demikian kata deejay radio Best 104, Julie Diana Omar Shariff, 34, mangsa yang dilarikan, disamun dan diugut bakar hidup-hidup oleh 11 lelaki.

Sebagai mangsa, Julie yang turut popular dengan gelaran JD juga tidak sabar untuk mengetahui individu yang kurang senang dengan dirinya selepas siasatan dijalankan polis mendapati kejadian terbabit bermotifkan dendam dan marah terhadapnya.
Julie berkata, sebelum ini dia pernah menerima lamaran daripada beberapa lelaki termasuk daripada kalangan peminat yang berhajat untuk menyuntingnya sebagai isteri namun ia ditolak.

“Lamaran itu ditolak dengan baik dan menggunakan kata-kata serta cara lembut untuk mengelakkan individu berkenaan daripada hampa dan tidak puas hati.

“Ini kerana, saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang. Saya juga tidak menolak kemesraan sebagai deejay melayan peminat yang membuat panggilan menyebabkan ada yang tertarik terhadap saya,” katanya, di sini, semalam.
Menurut Julie, dia tidak tahu siapa sebenarnya yang berdendam dan jika ada, dia memohon maaf kerana langsung tidak terniat untuk melukakan atau menimbulkan kemarahan kepada sesiapa.

“Mungkin itu bayangan diri mereka sendiri, jika ada yang kurang senang atau saya tersalah kata, saya minta maaf kerana sebagai deejay saya amat menghargai semua peminat.
“Kerana peminat, maka saya berada di sini sekarang,” katanya.

Julie turut menyifatkan dirinya individu cepat mesra dengan semua orang selain berperwatakan peramah, tidak sombong dan gemar berkawan kerana itu sifat semula jadinya sejak kecil.

Hampir seminggu selepas kejadian, Julie berkata, perasaan trauma dialaminya semakin berkurangan, namun atas sebab keselamatan, dia dinasihati polis supaya tidak keluar rumah seorang diri.

“Saya turut berterima kasih kepada polis kerana berjaya mengesan suspek dalam tempoh singkat selain memantau kawasan rumah saya 24 jam sehari selain menghubungi saya bagi memaklumkan perkembangan siasatan,” katanya.

Semalam, media melaporkan, lima lagi lelaki berusia antara 16 hingga 21 tahun direman bagi membantu siasatan kes melarikan serta menyamun Julie.

Sebelum itu, dua individu ditahan Ahad lalu bagi membantu siasatan kes sama. Dalam kejadian jam 1 pagi Sabtu lalu, Julie dilarikan dan diugut dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan 11 lelaki di Lebuh Raya Pesisir Pantai berhampiran Hotel Tune.

Julie dilarikan sebelum disamun kerana tidak membalas cinta seseorang dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

‘Nasihat dia baik-baik’

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah Subang Bistari di sini semalam menetapkan 7 November ini untuk keputusan bantahan awal yang dibuat pelakon Rita Rudaini Mokhtar berhubung permohonan kembali taat yang difailkan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak, Mei lalu.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Syarie Saharuddin Selamat selepas peguam syarie Datuk Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita Rudaini memaklumkan pihaknya sudah memfailkan afidavit balasan terhadap afidavit jawapan yang dikemukakan Aidil selaku plaintif terhadap bantahan yang dibuat Rita Rudaini itu. Sementara itu, pada prosiding semalam, Aidil masih gagal hadir ke mahkamah walaupun hakim sebelum ini sudah menegur dan menasihatkannya supaya lebih mengambil berat mengenai kes yang sedang berjalan di mahkamah.

Ketika ditanya di mana anak guamnya, peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Aidil memaklumkan plaintif tidak sempat hadir pada prosiding semalam kerana mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan Piala Malaysia 2012, malam kelmarin. Dalam masa yang sama, Ahmad Nazib juga menyerahkan dokumen yang mengesahkan Aidil tidak hadir ke mahkamah kerana menjalani latihan bola sepak selama dua minggu di Austria seperti yang diarahkan mahkamah pada prosiding kes itu dua bulan lalu.
“Pada tarikh lalu anak guam tidak hadir, hari ini (semalam) pun tidak hadir. Peguam tolong nasihatkan anak guam baik-baik. “Sepatutnya bila tidak hadir terus kemukakan dokumen sebagai bukti kerana perlawanan sudah ditetapkan lebih awal,” kata Saharuddin. Pada prosiding semalam, Rita Rudaini hadir berbaju kurung moden dan bertudung ungu. Aidil, 25, memfailkan perintah kembali taat pada 15 Mei lalu supaya Rita, 36, dan dua anak lelaki mereka, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 1, menetap di rumah disediakan Aidil di USJ1 di sini.

Pada tarikh sama, Aidil menarik balik permohonan cerai terhadap Rita Rudaini atas alasan ingin berbaik semula.

Pasangan itu bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 kerana tidak mendapat restu keluarga Aidil.
Mereka tinggal berasingan sejak lima bulan lalu selepas Aidil meninggalkan rumah mereka di Damansara di sini.

Manakala pada 25 September lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membatalkan permohonan hak lawatan dan bermalam yang dikemukakan Aidil terhadap dua anak lelaki itu. Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal difailkan Rita Rudaini berhubung isu permastautinan.

Rancang bahagi pusaka

Oleh Ikbal Salam

SEORANG sahabat memberitahu bahawa perjumpaan Aidilfitri anjuran ahli-ahli waris arwah datuknya, baru-baru ini berakhir dengan sebahagian besar ahli keluarganya meninggalkan majlis dengan bermasam muka malah ada meluahkan kemarahan dengan membaling pinggan hidangan kepada kelompok ahli keluarga yang lain.
Saya katakan kepadanya itu belum tragis kerana ada mesyuarat pembahagian pusaka ahli-ahli waris masyarakat Melayu berakhir dengan peristiwa berdarah hingga membabitkan laporan polis dan saman di mahkamah.

Menghairankan kerana dilihat nisbah pemilikan ekuiti hartanah orang Melayu di negara ini belum tinggi tetapi apabila dilihat daripada nilaian harta pusaka beku yang dilaporkan sekitar RM42 bilion dan kes-kes perebutan pusaka, hakikatnya ia sesuatu yang serius.

Bukanlah terlalu asing di dalam sebuah keluarga Melayu apabila ada geran hak milik tanah yang nama pemiliknya masih dicatatkan atas nama nenek moyang yang salasilahnya empat atau lima generasi terdahulu.

Akibat ketidaktentuan status pemilikan itu, harta pusaka diduduki atau dimanfaatkan oleh satu dua keluarga dari keturunan berkenaan manakala ahli-ahli waris lain sekadar mampu melihat atau menahan marah.

Dalam senario lain, terdapat banyak ahli-ahli waris yang mengaku berkepentingan di atas tanah dan bermulalah perang saudara hingga ada sanggup memutuskan hubungan persaudaraan.

Kadangkala pertelingkahan saudara berkaitan pusaka bukanlah sesuatu yang disangka. Percayalah ramai di kalangan kita yang awalnya mempunyai ahli keluarga yang harmoni dan tidak pernah terfikir kematian seseorang yang disayangi seperti ibu bapa atau suami isteri adalah titik mula kepada pertikaian yang panjang.

Perbincangan berkaitan harta milik ibu bapa satu isu sensitif di kalangan orang Melayu. Jika ada kematian, anak yang menyebut berkaitan isu harta pusaka ibu atau bapanya akan dianggap tamakkan harta.

Perbahasan pusaka itu akan ditangguh dari minggu ke bulan hingga tahun dan ini menyumbang kepada kesukaran penyelesaian kes-kes pusaka akibat berlakunya kematian demi kematian ahli waris secara berlapis.

Semakin banyak kematian, maka ramailah ahli waris yang wujud dan isu menjadi kian sukar dan mengambil masa lebih lama.

Kadangkala banyak kematian dalam sebidang tanah, maka permohonan harta pusaka yang perlu dibuat pada sebidang tanah meningkat sebelum harta itu dapat dibahagikan kepada ahli waris.

Lebih kronik lagi jika sedang kes pusaka itu diproses, ada pula ahli waris yang layak meninggal dunia dan ini akan melewatkan proses pembahagian pusaka hingga peguam bijaksana yang mengendalikan kes terbabit pula meninggal dunia.

Persepsi dan amalan itu hendaklah diubah dalam masyarakat Melayu. Perubahan minda itu perlu berlaku kepada ibu bapa dan ahli-ahli waris.

Ibu bapa masa kini perlu sedar bahawa terdapat pelbagai mekanisme hukum syarak yang membolehkan harta pusaka dibahagikan sejak hayat mereka.

Jika ibu bapa gagal merancang pembahagian pusaka, ahli waris hendaklah memastikan harta pusaka itu diuruskan dengan cepat selepas berlaku sesuatu kematian.

Selain mengelak kematian berlapis, pembahagian pusaka perlu disegerakan bagi memastikan hutang si mati yang tertunggak sama ada kepada Allah seperti haji, zakat atau fidyah dan hutang kepada manusia dapat diselesaikan segera.

Tidak adil mengaku menjadi waris jika si mati meninggalkan banyak harta tetapi tidak ramai tampil mengaku ahli waris jika si mati meninggalkan hutang.

Kelemahan orang Melayu juga berkaitan harta adalah tanggapan perancangan pembahagian harta hanya perlu dibuat oleh mereka yang meninggalkan banyak harta.

Pandangan itu tidak benar. Ada orang yang meninggalkan harta yang banyak, ahli waris yang ramai tetapi pembahagiannya dapat diselesaikan dengan pantas ibarat pemandu yang menggunakan kad smart tag di plaza tol lebuh raya.
Ada pula meninggalkan sedikit harta, ahli warisnya tidak ramai tetapi pembahagiannya memakan masa bertahun-tahun.

Lewat atau cepat pembahagian pusaka ini disebabkan faktor bahawa seseorang itu ketika hayatnya, menyempurnakan semua instrumen yang perlu bagi pembahagian hartanya.

Sebagai contoh, mereka yang menyatakan penama di dalam caruman KWSP atau simpanan Tabung Haji, ahli waris akan menerima wang itu untuk ditadbirkan dalam masa yang singkat berbanding mereka yang tidak membuat penamaan.

Selain hukum faraid yang mengikut garis panduan al-Quran, perundangan Islam mengiktiraf pelbagai mekanisme bagi pemilik harta mengagihkan harta kepada ahli-ahli waris atau pihak yang layak.

Antaranya melalui kaedah hibah, amanah, wakaf, nazar dan wasiat. Walaupun banyak kaedah, orang Melayu jarang menggunakan hukum faraid tetapi lebih gemar menyalahkan sistem yang ada.

Lazimnya, apabila suami meninggal dunia, isteri pertama meraung mempertikaikan bagaimana tidak adilnya hukum Islam yang memberikan haknya sama banyak dengan isteri kedua yang baru dua tahun dikahwini arwah suaminya sedangkan dia sudah 37 tahun mengharungi susah payah bersama arwah suaminya.

Jawab saya, Islam memang bersikap adil cuma kegagalan umat Islam melaksanakan mekanisme yang ada menjadikan Islam dianggap mewujudkan diskriminasi. Selain harta sepencarian, alangkah baiknya jika si suami itu menyediakan suratcara hibah (hadiah) kepada isteri pertama sebelum mengahwini isteri kedua.

Ini bagi mengelak nama isteri kedua yang baru dikahwini itu masuk sekali dalam geran hak milik rumah bersama isteri pertama dan anak-anak isteri pertama sedangkan rumah perkahwinan itu telah lama diduduki.

Selain itu instrumen hibah boleh memastikan anak angkat turut menerima harta dan tidak ditindas ahli-ahli waris. Ada kes, anak angkat yang tidak berhak mewarisi harta tetapi dijaga sejak kecil, dihalau keluar dari rumah selepas kematian ibu.

Justeru, pemberian melalui hibah akan dapat memberikan jalan keluar kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak angkat mereka menerima harta tanpa perlu melakukan penipuan nasab.

Bagi anak-anak kurang upaya, mekanisma pengamanahan dengan melantik pengamanah individu atau pengamanah institusi boleh memastikan hak-hak anak kurang upaya sentiasa terjaga hinggalah ke akhir hayatnya.

Ahli-ahli waris tanah Felda juga akan lebih harmoni jika suratcara amanah dibuat bagi mengawasi apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ahli waris yang dilantik mentadbir tanah pusaka mereka.

Dengan inovasi ahli-ahli perundangan hari ini, elemen kontrak hibah dan kontrak pengamanahan ini digabungkan dengan begitu teliti supaya ia mematuhi kehendak undang-undang syarak dan sivil.

Adalah penting pemberian harta ini disuratkan dengan betul. Pemberian harta melalui kaedah pindah milik menurut Kanun Tanah Negara dan kaedah hibah membawa konotasi yang berbeza.

Pindah milik harta yang sempurna tidak boleh dibatalkan tanpa izin penerima pindah milik, pemberian hibah seorang ibu atau bapa kepada anaknya masih boleh dibatalkan si ibu atau bapa tadi.

Kadangkala ada orang yang niatnya untuk menghibahkan harta tetapi disebabkan penulisan yang kabur, ia terpaksa ditukar kepada wasiat.

Walaupun hibah atau amanah ini boleh dikuatkuasakan jika ia dilafazkan secara verbal tanpa bertulis, ia adalah perjuangan yang getir untuk membuktikan kes-kes hibah yang dibuat secara lisan terlebih-lebih lagi saksi yang mendengarnya meninggal dunia.

Begitulah pentingnya umat Islam mengaplikasikan kontrak hibah atau amanah di dalam pembahagian harta mereka dan menjadi kewajipan seseorang itu menggunakan kaedah itu jika ahli waris mereka itu berisiko tinggi teraniaya.

Mereka ini terdiri daripada suami yang berpoligami, tidak mempunyai zuriat, anak lelaki atau memiliki anak angkat, golongan muallaf yang ingin memberikan kepada ibu bapanya yang bukan Islam atau mereka yang mahu meninfaqkan harta kepada tujuan agama Islam.

Kesimpulannya, orang Melayu memerlukan pemindahan minda bagi menukarkan amalan berkaitan pembahagian harta dengan mengguna pakai instrumen-instrumen yang diharuskan syarak.

Tiba masanya pihak berkuasa agama mengkanunkan dengan jelas instrumen perancangan harta ini bagi membolehkan umat Islam memanfaatkannya.

Sebelum nilaian harta beku meningkat setiap tahun dan usaha meninggikan martabat Mahkamah Syariah, kerajaan boleh meminda perundangan agar mereka yang menyempurnakan dokumen perancangan harta menurut kehendak Enakmen atau Akta Perancangan Harta Orang Islam ini hanya perlu mengesahkan dan pembahagiannya dilaksanakan di Mahkamah Syariah, bukannya Mahkamah Sivil.

Hari ini orang Melayu yang memiliki harta melebihi bidang kuasa Pejabat Pusaka Kecil perlu melalui proses mahkamah yang panjang sedangkan orang bukan Islam hanya melalui proses di Mahkamah Sivil.

Melalui kesedaran ibu bapa zaman ini dan penyusunan semula peruntukan perundangan bagi pemberian harta, harta pusaka beku orang Melayu dapat dikurangkan kepada jumlah yang lebih munasabah.


Penulis ialah Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya Johor Bahru

Remaja curi 60 kereta



CRAMPTON mahu bersih dosa.
CRAMPTON mahu bersih dosa.
LEICESTER: Seorang remaja berhasrat untuk ‘membersihkan dosanya’ selepas mendakwa merompak 278 rumah dan mencuri 60 kereta sejak berusia 12 tahun.
Adam Crampton, 19, mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan merompak di Mahkamah Majisteret Leicester baru-baru ini tetapi meminta 278 kes rompak lagi dan 60 kes curi kereta yang dilakukannya diberi pertimbangan apabila hukuman ke atasnya diumumkan hujung bulan ini.
Crampton yang tidak mempunyai alamat tetap, mendedahkan sepenuhnya sejarah jenayahnya ketika disoalsiasat oleh polis di sebuah institusi pesalah muda awal tahun ini.

Malah, dia juga membawa polis mengelilingi bandar Leicester empat kali untuk menunjukkan rumah yang pernah dirompaknya.

Inspektor Andy Parkes berkata: “Mangsa ingin tahu bahawa ada orang yang ditangkap dan dipertanggungjawabkan terhadap jenayah yang dilakukan terhadap mereka. Crampton terlalu muda apabila dia mula melakukan jenayah.

“Satu daripada matlamat sistem keadilan jenayah ialah membantu pesalah mengubah hidup mereka dan diharapkan ini satu proses permulaaan untuk Crampton.

Peguam Crampton, Steve Morris berkata: “Dia secara sukarela memberi maklumat untuk menyelesaikan kes rompakan yang dilakukannya dan mahu ia berakhir secepat mungkin.”

Sylvia Hammond, antara mangsa terawal Crampton berkata, dia lega setelah mengetahui identiti orang yang merompaknya.

Crampton mencuri komputer riba, telefon dan kamera digital dari kediamanSylvia pada Julai 2007. - The Mirror.

Kuasa polis agama Saudi dihadkan

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi akan mengehadkan kuasa pasukan polis agama.
Pasukan itu selama ini bertanggungjawab memastikan peraturan berkait dengan moral ajaran Islam dipatuhi di negara itu tetapi sering dituduh melanggar kuasa yang ada pada mereka. “Sistem baru itu akan mewujudkan mekanisme untuk tugas anggota pasukan. Beberapa tugas khusus mereka seperti penangkapan dan soal siasat akan diserahkan kepada badan lain,” lapor akhbar al-Hayat yang memetik kenyataan ketua pasukan itu, Sheikh Abdullatiff Abdel Aziz Al Sheikh.

Anggota pasukan itu yang dikenali sebagai Suruhanjaya Amal Makruf Nahi Mungkar juga akan dilarang melakukan operasi tanpa mendapat kebenaran gabenor, kata Abdullatiff.
Sementara itu, akhbar Okaz melaporkan, anggota pasukan berkenaan akan dilarang berdiri di pintu masuk pusat beli-belah untuk menyekat kemasukan orang tertentu.

Ia merujuk kepada cubaan anggota terbabit untuk menghalang wanita berpakaian yang bertentangan dengan kod pakaian Islam atau pasangan yang tidak berkahwin daripada memasuki pusat beli belah itu.

Abdullatiff yang berfahaman sederhana dilantik mengetuai pasukan itu pada Januari lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment