Erra Fazira: ‘Perangai cantik, cantiklah diri’
4 Oktober 2012
Ada juga artis yang namanya meletup apabila diterjah dengan kontroversi yang cukup hebat. Dalam pada itu seseorang artis itu juga perlu bijak mengawal situasi kontroversi yang dilalu.
Ada artis yang cepat melenting tidak kurang juga ada yang bersikap ‘cool’. Antara yang tenang berdepan pelbagai perkara yang dihadapkan kepadanya adalah pelakon, penyanyi dan juga model terkenal Erra Fazira.
Biarpun sering kali diasak dengan pelbagai soalan peribadi baik sebelum berkahwin sehinggalah kini memiliki seorang cahaya mata, namun bekas ratu cantik ini cukup bijak mengawal emosi dan tidak mudah melatah dalam temu bual bersama Mingguan Wanita.
MW: Apa komen Erra tentang kontroversi sesama artis yang banyak berlaku sekarang?
ERRA: Ini semua bergantung kepada pemikiran seseorang artis. Jika mempunyai sifat baran, suka bertelagah atau konon-konon mahu menegakkan kebenaran diri atau apa sahaja mereka tetap harus ikut cara yang betul kerana anda adalah ‘public figure’.
Sebagai Artis yang memilih bidang ini suka atau tidak suka kalau boleh penampilan dan keterampilan diri harus positif kerana anda dipandang masyarakat. Itu pengalaman saya.
MW: Sebagai artis senior, apa pandangan Erra mengenai artis baru yang sering menimbulkan masalah dengan bermasam muka, bergaduh dan sebagainya dengan artis lain?
ERRA: Penyakit sebegini memang akan sentiasa ada walaupun pada masa akan datang tetapi tidak semua artis begini. Hanya segelintir sahaja manakala yang lainnya lebih tertumpu pada karier. Sekarang lebih ramai yang mahu memajukan diri kerana minat dan cintakan bidang ini.
MW: Pernah bergelar ratu cantik sebelum ini, adakah Erra terasa terbeban dengan gelaran tersebut kerana terpaksa ‘maintain’ cantik terutama ketika berhadapan dengan orang ramai?
ERRA: Ini terpulang kepada penerimaan diri sendiri. Sampai bila saya harus membawa bersama imej ratu cantik terutama apabila bekerja dalam bidang ini. Apabila bekerja seperti sekarang, saya bukan lagi membawa gelaran ratu cantik sebaliknya saya memilih menjadi artis.
Jika tampil dengan sesuatu yang tidak ‘bersedia’, ini akan melibatkan imej dan periuk nasi saya sendiri. Sebagai artis, kena pandai membawa diri, tahu majlis dan keterampilan yang sesuai dengannya.
Sebaliknya, jika tidak bekerja, jadilah diri sendiri. Tidak perlu tampil cantik sentiasa, rimas rasanya kalau sedemikian. Pada saya, cantik bukan hanya sekadar memakai mekap tetapi tampil ringkas sudah memadai. Kalau ‘perangai’ cantik maka cantiklah anda.
MW: Erra seorang ibu yang cukup prihatin terhadap keperluan Alesya. Ada ikuti kelas keibubapaan sehingga kini?
ERRA: Sebelum bergelar ibu saya memang ada ikuti kelas keibubapaan, tetapi selepas Alesya lahir dan sehingga kini sudah tiga tahun, saya hanya praktikkan apa yang saya belajar. Perkara paling penting saya praktikkan adalah mengurut anak saya. Sejak kecil sampai besar, kalau saya tidak buat, Alesya sendiri akan tanya kenapa tidak urut dia. Kadang-kadang ada juga dia pula yang urut saya.
MW: Adakah Erra menyediakan bajet untuk anak setiap bulan?
ERRA: Semuanya bergantung pada keperluan anak seperti syampu, mandian dan sebagainya yang penting dan harus ada. Tetapi tidak bermakna setiap bulan saya membeli. Jika perlu atau hampir kehabisan barulah saya membelinya.
Tetapi saya memberi penekanan lebih kepada pemakaian losen serta mengurut dengan menggunakan minyak telon sejak anak saya masih bayi sehingga sekarang. Biasanya saya akan melakukan sendiri apabila tidak keluar bekerja, jika tidak pembantu yang akan buat. Tapi yang perkara yang kami kongsi bersama adalah memakai wangian., memang itu perkara wajib yang Alesya tiru daripada saya selepas siap berpakaian.
MW: Antara Erra dan suami, siapakah yang lebih tegas dalam mendidik anak?
ERRA: Alesya seorang yang penyayang dan dia sentiasa menitik beratkan hal orang lain. Tetapi itu tidak bermakna saya suka manjakan anak. Kalau dikira saya paling tegas berbanding ayah dia. Kalau dengan saya, memang Alesya sukar memperoleh terutama makan makanan segera. Tetapi dengan ayahnya dia memang senang nak dapat.
MW: Anak zaman sekarang lebih terdedah kepada teknologi . Adakah Erra sendiri memberi pendedahan pada Alesya?
ERRA: Zaman sekarang zaman teknologi, bukan anak saya sahaja sebaliknya anak-anak seangkatan dengan Alesya sudah terdedah pada teknologi. Tapi ia sebenarnya boleh menjejaskan kehidupan sosial.
Tidak dinafikan, dia turut mengalami masalah tersebut memandangkan Alesya anak tunggal. Dia agak pemalu dan lambat untuk bercampur dengan orang ramai. Untuk mengelakkan hal ini selain meningkatkan daya kreativiti, saya mengajar Alesya bermain origami dan permainan lain yang menjana mindanya.
Tetapi dalam masa yang sama, penggunaan teknologi tidak boleh diletak ke tepi kerana ia juga amat penting untuk Alesya kelak. Selain itu, saya juga menghantarnya ke play school dan dia cepat tangkap lagu dan melodi.
Mungkin waktu mengandung saya suka memasang lagu-lagu berentak klasik, dan juga mengaji di perut. Jadi itu yang menyebabkan Alesya mudah tangkap terutama melodi lagu.
MW: Alesya sudah berusia tiga tahun, tidakkah Erra dan suami teringin menimang cahaya mata kedua?
ERRA: Ini semua bergantung kepada anugerah Tuhan. Buat masa sekarang belum ada lagi rezeki. Mungkin ada sebab dan musabab kenapa kami belum ada rezeki menimang cahaya mata kedua.
* Dapatkan laporan lanjut temu bual bersama Erra Fazira dan lagi rencana menarik dalam Mingguan Wanita edisi terbaru.
Ugut ibu bapa, amuk sampai tertidur
4 Oktober 2012
Bagaimanapun, perbuatan tertuduh, Imran Yaacub, 32, menerima pembalasan selepas Mahkamah Majistret, semalam menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan dan denda RM2,500 atau sebulan lagi penjara jika gagal menjelaskan denda.
Majistret Noradila Ab Latiff menjatuhkan hukuman itu selepas Imran mengaku bersalah dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya, Yaacub Taib, 56, di kediaman mereka di Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini, 2 September lalu kira-kira jam 11 pagi.
Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, setibanya di rumah selepas mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Klinik Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, bapa malang itu nampak anaknya sedang mengamuk sambil tangannya memegang sebilah kapak serta berulang kali menyatakan akan membunuh ibunya yang ketika itu berada di rumah bersendirian.
Melihatkan situasi tegang itu, mangsa cuba memujuk anaknya jangan bertindak sedemikian, namun pujukan mangsa tidak 'menjadi' sebaliknya anaknya turut sanggup mengugut akan mengapa-apakan dirinya jika masuk campur.
Bagaimanapun, mungkin penat mengamuk, tertuduh kemudiannya tertidur di bawah rumahnya kira-kira jam 11.45 pagi sebelum ditangkap polis yang dimaklumkan orang ramai mengenai kejadian itu.
Janda ‘tomboy’ dicekup, memadu asmara di hotel murah
4 Oktober 2012
Wanita terbabit yang difahamkan mempunyai seorang anak hasil perkongsian hidup bersama bekas suami bagaimanapun dipercayai cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mendakwa dia berasal dari Kuala Lumpur.
Namun, siasatan lanjut oleh pegawai penguat kuasa syariah mendapati, dia sebenarnya berasal dari Kampung Padang Jambu dan dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan teman lelakinya yang bekerja sebagai buruh, masih bujang dan kini menetap di Tanah Lot.
Pasangan berkenaan dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan sebelum diikat jamin ahli keluarga.
Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun pada 5 November atas dakwaan khalwat mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.
Jika sabit kesalahan, pasangan itu yang masing-masing berumur 30 dan 40-an itu boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Nisan kerek naik harga
3 Oktober 2012
Pemilik syarikat itu, Suri Abdul Ghani, 44, berkata, harga setiap keping nisan kerek perlu dinaikkan sebanyak 5 sen hingga 10 sen sekeping untuk memastikan syarikat berkenaan tidak mengalami kerugian operasi berikutan kenaikan harga gula di pasaran.
Suri menjelaskan, kenaikan harga terpaksa dibuat kerana gula adalah bahan mentah utama digunakan bagi menghasilkan nisan kerek
Malah, syarikat itu memerlukan sebanyak 3,200 kilogram gula setiap bulan bagi menghasilkan manisan itu.
Menurutnya, kos operasi syarikat meningkat sebanyak RM640 sebulan apabila harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram bermula bulan ini tetapi hanya harga nisan kerek yang menggunakan campuran gula sahaja terpaksa dinaikkan.
“Harga nisan kerek asli yang tidak menggunakan gula sebaliknya menggunakan air nira sepenuhnya masih kekal pada harga lama iaitu RM4 sekeping. Hanya harga nisan kerek biasa yang bersaiz kecil dan bersaiz besar sahaja perlu dinaikkan sedikit.
“Manisan bersaiz besar kini terpaksa dijual dengan harga 95 sen sekeping berbanding 90 sen sebelum ini manakala sebungkus nisan kerek saiz kecil mengandungi enam keping manisan itu kini dijual pada harga RM2.50 berbanding RM2.40 sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, Suri yang ditemuinya Sinar Harian di pusat memproses manisan itu di Kampung Batangan di sini berkata, kenaikan itu masih belum diputuskan sepenuhnya dan masih bergantung kepada respons yang diterima daripada pemborong.
“Kami akan cuba meminimumkan kenaikan tersebut untuk tidak membebankan pemborong yang akhirnya akan membebankan pengguna,” katanya yang turut menjalankan perniagaannya secara talian melalui laman web.
Tinggal di rumah orang tua kerana anak
3 Oktober 2012
Sesekali, hati dibaluti perasaan sayu apabila melihat rakan sebaya begitu gembira mempunyai anak yang dapat memberikan perhatian dan kasih sayang serta dapat berteduh di bawah satu bumbung bersama zuriat dikasihi.
“Pak cik rindukan pelukan anak walaupun hanya mempunyai seorang anak, namun pak cik kecewa kerana dia tidak mahu berhenti menagih dadah lalu pak cik mengambil keputusan tinggal di sini,” kata Mohamad, penghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia, di sini.
Warga emas itu berkata demikian ketika menerima lawatan sekumpulan 60 pelajar sekolah agama terpilih seluruh negara menyertai Program Nadwah Kepimpinan Islam di Terengganu.
Mohamad yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia mula menghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia itu sejak Ogos tahun lalu selepas tidak tahan dengan sikap anaknya seorang penagih tegar dan enggan berhenti menagih dadah.
Menurutnya, dia juga kesal terpaksa menyerahkan harta untuk memenuhi kehendak nak yang juga sudah berkeluarga serta mempunyai anak.
“Kerana tidak tahan dan kecewa dengan perangai (anak), pak cik mengambil keputusan mendaftarkan diri dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghuni rumah orang tua ini dengan rela hati,” katanya.
'Macam makan nasi tiada budu'
4 Oktober 2012
Namun, bagi warga emas yang berniaga di Hari Giliran (pasar pagi) Kuala Berang, semua itu bukan persoalan utama bagi mereka.
Sebaliknya, kepuasan melebihi segala kerana ada peniaga warga emas ini berniaga bukan hanya untuk mencari rezeki tetapi sekadar melengkapi rutin hidup mereka kerana sudah lama melakukannya.
Tinjauan Sinar Harian ke Hari Giliran Kuala Berang, semalam mendapati, rata-rata peniaga warga emas ini mengakui selain mencari rezeki mereka berniaga hanya untuk mengisi masa lapang kerana jika tidak berniaga pada setiap Rabu dan Sabtu, hidup mereka terasa tidak lengkap.
Peniaga, Tuan Maznah Tuan Baharu, 72, dari Kampung Kuala Pueh berkata, dia sudah berniaga pada Hari Giliran Kuala Berang itu sejak hampir 20 tahun lalu dan itulah rutin kehidupan yang kini ia bagaikan nadi serta sebati dengan dirinya.
“Memang diakui, berniaga sambil duduk beralaskan tikar tidak selesa tetapi ia tidak menghalang makcik mencari rezeki bagi memenuhi kepua-san diri kerana sudah sekian lama berniaga di sini.
“Malah, jika tidak datang berniaga pada Rabu dan Sabtu, kehidupan hari itu bagaikan ada sesuatu yang tidak kena,” kata nenek 15 cucu ini.
Tuan Maznah berkata, jika dia tidak berniaga, ia umpama makan nasi tiada budu. Malah, jika tiada aral, dia akan tetap datang bagi menjual hasil tanaman.
“Biasanya makcik akan menjual pelbagai hasil tana-man yang diusahakan sendiri seperti kacang tanah, jagung ataupun pisang.
“Walaupun pendapatan jualan tidak seberapa tetapi makcik puas, daripada duduk di rumah sekurang-kurangnya dapatlah juga duit,” katanya.
Ia turut dikongsi Mek Long Salleh, 65, dari Kampung Sekayu yang sudah berniaga pada Hari Giliran Kuala Berang kira-kira lebih 10 tahun lalu dengan menjual hasil tanaman dari kebunnya yang berkeluasan kira-kira 0.4 hektar.
“Hasil tanaman makcik jual tidak tentu, kalau ada jagung makcik bawa jagung. Namun, biasanya ada orang yang datang hantar pisang untuk makcik jual. Lebih penting, setiap Rabu dan Sabtu, makcik dapat berniaga di sini.
“Jika tidak dapat berbuat demikian hari makcik rasa kekurangan an kerana itulah makcik tetap datang berniaga. Malah, selagi diizinkan-Nya, makcik akan terus berniaga,” katanya.
Anak mahu kesan bapa jadi wali nikah
4 Oktober 2012
Siti Zubaidah Zalamidin, 25, yang menetap di Kampung Gong Bayor berkata, selepas bapanya berpisah dengan ibunya Wan Siti Wan Musa, 54, pada 2008, kali terakhir dia bertemu bapa di Hospital Kuala Lipis, Pahang pada Julai 2010.
Menurutnya, dia melawat bapanya bekas anggota tentera terlantar di hospital berkenaan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya di daerah itu ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Selepas itu saya tidak mendapat khabar berita daripada ayah. Usaha menghubunginya melalui telefon juga gagal kerana dia sudah menggunakan nombor telefon lain.
“Pada Aidilfitri lalu saya pergi juga mencari bapa saya di kampung halamannya di Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan namun saudara maranya memberitahu tidak tahu di mana bapa saya berada malah dia juga sudah lama tidak pulang,” katanya.
Sehubungan itu, Siti Zubaidah merayu bapanya pulang untuk mewalikan pernikahan atau jika terdapat pihak tahu di mana bapanya berada supaya memaklumkannya.
Menurutnya, dia akan melangsung perkahwinan dengan lelaki pilihannya, Mohd Fathi Mohd Yusof, 24, yang berasal Pendang, Kedah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya menerusi talian 013 9549283.
No comments:
Post a Comment