Wednesday, October 17, 2012

AKHIRNYA SEMUA TUA...ITU PUN JIKA SEMPAT TUA...KEMUDIAN MATI....JADI JANGAN BUAT MAKSIAT@LANGGAR HUKUM ALLAH...BERTAUBATLAH...BERTAQWALA..FIKIRLAH...SAPE KITA DISISI ALLAH...KALAU IBADAH TERLALU SIKIT

Masjid bersejarah Syria terbakar di Aleppo

KABAKARAN berlaku di Masjid Umayyad di Aleppo pada Sabtu lalu.


ALEPPO - Pertempuran yang berlaku antara tentera Syria dengan para penentang Presiden Bashar Al-Assad telah memusnahkan Masjid Ummayad yang didirikan pada abad ke-13, kata seorang koresponden agensi berita AFP kelmarin.
Kebakaran akibat pertempuran memusnahkan permaidani antik dan perabot kayu yang digunakan untuk menghiasi masjid berkenaan pada Sabtu lalu.
Tiga helai rambut dan sebatang gigi Nabi Muhammad SAW yang terdapat di dalam masjid tersebut telah dicuri.
Bashar dilaporkan mengarahkan pembentukan sebuah panel untuk memantau kerja-kerja pemuliharaan masjid tersebut, lapor agensi berita SANA.
Menurut seorang wartawan AFP, pihak tentera menguasai sepenuhnya kawalan di masjid tersebut.
Bagaimanapun, katanya, para penentang berada di sekitar masjid berkenaan.
Para penentang turut menembak mati seorang jurutera, Mohammed Marwan Jarada yang mengiringi satu jawatankuasa pakar ke masjid tersebut untuk menyaksikan kerosakan kelmarin.
Kehadiran para penentang di sekitar Masjid Ummayad menyebabkan sukar untuk memindahkan jurutera tersebut yang cedera di kaki.
Sementara itu, jet-jet tentera Syria melakukan serangan udara di bandar Idlib dan Aleppo, utara negara tersebut.
Bagaimanapun, para aktivis yang menyokong para penentang berkata, serangan tersebut adalah yang paling buruk sejak minggu lalu.
Dalam perkembangan yang sama, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lakhdar Brahimi mendesak supaya gencatan senjata diadakan bagi menghormati ketibaan Hari Raya Aidiladha.
Brahimi turut meminta supaya pihak berkuasa Iran membantu memastikan gencatan tersebut berjaya dilakukan.
Lebih 30,000 orang terbunuh ekoran pertempuran yang berlaku antara kumpulan penentang dengan tentera Syria sejak Mac tahun lalu.
Para penentang itu mahu menggulingkan Bashar yang didakwa gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara. - Agensi

Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA


GAMBAR fail menunjukkan dua lelaki yang memakai kostum askar pada zaman pertengahan berdiri di lokasi tempat rangka tulang dipercayai milik Raja Richard III ditemui di Leicester pada 12 September lalu.


LONDON - Sekumpulan ahli arkeologi kini menunggu dengan penuh debaran hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan menentukan sama ada rangka tulang yang ditemui di dalam lubang di sebuah tempat meletak kereta di Leicester milik bekas pemerintah England, Raja Richard III.
Baginda mangkat pada 1485 semasa menyertai pertempuran menentang tentera Henry Tudor yang kemudian menggantikannya sebagai Raja Henry VII.
Generasi ke-17 anak saudara raja berkenaan, Michael Ibsen, 55, turut menunggu dengan penuh debaran keputusan tersebut kerana dia terlibat dalam ujian itu.
Ibsen yang dilahirkan di Kanada dan berpindah ke London 27 tahun lalu berkata, kekecewaan pastinya akan berlaku jika keputusan ujian tersebut tidak sepadan.
Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kayu berharap jika identiti tulang itu sah milik Raja Richard, ia akan membantu memulihkan reputasi baginda.
Sebelum ini, raja itu pernah digambarkan oleh dramatis terkenal, mendiang William Shakespeare sebagai seorang yang suka dengan kuasa dan pernah membunuh dua anak saudaranya bagi membolehkan baginda menjadi pemerintah.
Pendedahan tentang penemuan rangka tulang itu disiarkan media pada September lalu.
Beberapa saintis menyatakan bahawa rangka tulang itu mempunyai kesan kecederaan di tengkorak dan tulang belakang.
Keputusan ujian DNA itu akan diketahui pada Disember depan.
Rangka tulang tersebut ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti Leicester.
Beberapa pakar sebelum ini berpendapat bahawa mayat raja tersebut dikebumikan di sebuah gereja di Leicester selepas baginda terbunuh dalam pertempuran itu.
Bagaimanapun, terdapat cerita yang disebarkan pada abad ke-17 bahawa makam raja tersebut digali dan rangka tulangnya dibuang ke sungai. - Agensi

Penduduk pekan kecil dipindah kerana gas beracun


BEBERAPA anggota bomba menyemburkan air ke arah kilang Kraft Foods bagi menghalang pergerakan 'awan' yang mengandungi gas beracun di pekan Bad Fallingbostel semalam.


BERLIN - Kira-kira 1,400 orang yang tinggal di pekan Bad Fallingbostel, utara Jerman terpaksa berpindah selepas sebuah kilang mengeluarkan 'awan' yang mengandungi gas beracun.
Pihak berkuasa semalam menyatakan penduduk tersebut dipindahkan selepas beberapa pekerja melakukan kesilapan di kilang Kraft Foods di pekan tersebut.
Semua sekolah dan tadika juga ditutup.
Setakat ini tiada laporan tentang kecederaan dilaporkan.
Kejadian tersebut berlaku apabila asid dicampurkan ke dalam sebuah tangki mengandungi natrium hidroksida yang digunakan untuk kerja-kerja pembersihan.
Bagaimanapun, campuran itu menyebabkan gas tersebut dihasilkan.
Pakar-pakar di kilang berkenaan cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut. - Agensi

Pikat pelanggan guna 'sende'

GADIS-GADIS yang menjadi pelacur di Betong, Thailand dikatakan menggunakan 'sende' untuk memikat pelanggan.


BETONG (Selatan Thailand) – Keghairahan lelaki Malaysia terhadap layanan hebat pelacur Betong sehingga mereka sanggup berhabis duit untuk mendapatkan khidmat wanita terbabit rupa-rupanya tersirat rahsia di sebaliknya.
Sebelum diulit para pelacur atau dikenali juga sebagai ‘Darling Betong’ itu, lelaki terbabit terlebih dulu dikatakan terkena ilmu guna-guna atau sende (dalam bahasa Siam) yang dipakai pelacur terbabit untuk menarik perhatian para pelanggan.
Sama ada menerusi minuman yang diberi, hembusan atau sebutan nama, lelaki yang menjadi mangsa akan terus mendekati wanita tersebut tanpa membuat sebarang rundingan harga.
Difahamkan, kegiatan itu sering dilakukan pelacur bukan beragama Islam yang berasal dari Chiangmai dan Chengrai manakala mangsa pula terdiri daripada lelaki beragama Islam atau berketurunan India.
Dakwa seorang penduduk di situ yang hanya dikenali sebagai Nas, 23, perbuatan seumpama itu telah digunakan sejak dahulu lagi oleh sebilangan wanita yang bekerja sebagai pelacur di pusat hiburan dan hotel-hotel murah di pekan berkenaan.
Menurutnya, ilmu guna-guna yang dipakai mereka adalah bagi memikat lelaki Malaysia yang datang berseorangan ataupun berkumpulan tanpa mengira usia dan warna kulit.

Azean Irdawaty mahu mengundi walaupun sedang sakit


SHAHRIZAT (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada Azean di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Dramatis terkenal tanah air, Azean Irdawaty, 62, menyatakan hasrat untuk mengundi meskipun dia kini sedang terlantar sakit akibat penyakit kanser payu dara yang dihidapinya sejak enam tahun lalu.
Azean yang lebih mesra disapa Kak Yan berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara pada pilihan raya umum akan datang.
“Walaupun tidak sihat, Kak Yan tidak mahu ketinggalan untuk mengundi kerana bagi Kak Yan, kita kena laksanakan tanggungjawab bagi memastikan masa depan negara terjamin.
“Buat masa ini, pergerakan Kak Yan agak terbatas tetapi itu bukan alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat,” katanya.

7 lelaki samun emas 5kg dicekup


ZAHEDI (tengah) melihat pelbagai barangan yang dirampas daripada kumpulan penjenayah di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Polis menahan tujuh lelaki termasuk dua pelebur emas bagi membantu siasatan kes samun terhadap ahli perniagaan barang kemas bersama dua anaknya di hadapan sebuah rumah di Kota Kemuning di sini pada 27 September lalu.
Kesemua suspek ditahan di Shah Alam dan Seremban antara 3 Oktober sehingga 12 Oktober lalu dan ditahan reman sehingga Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian samun itu kira-kira pukul 3 petang pada 27 September lalu.
Menurut beliau, dalam laporan tersebut, tiga lelaki iaitu seorang bapa bersama dua anaknya mendakwa mereka dihampiri oleh sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna coklat ketika berada di luar rumah pelanggan mereka di Kota Kemuning.
"Mangsa turut diacu parang dan kehilangan barang kemas termasuk gelang, rantai, cincin dan lain-lain seberat lima kilogram (kg) yang bernilai RM700,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini semalam.

Wujudkan lebih ramai kaunselor bantu golongan LGBT


MOHD. Puad beramah-mesra dengan para peserta Seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mewujudkan lebih banyak kaunselor bertauliah untuk membantu menangani masalah lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, jika tidak, fenomena LGBT dibimbangi menular sehingga kepada pelajar sekolah, kerana pada peringkat ini terdapat beberapa kes turut membabitkan guru sekolah.
"Jika boleh, diwujudkan juga klinik kaunselor oleh NGO seperti mana wujudnya klinik-klinik kesihatan agar kita dapat membantu mereka yang menghadapi masalah ini kembali ke pangkal jalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Bagi Menangani Isu LGBT anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di sini semalam.

Pemuda Siam cedera ditembak


KERETA Proton Waja dinaiki suspek ditahan selepas dikejar di Jalan Yaakobiah, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU - Seorang pemuda Siam cedera selepas terkena tiga das tembakan ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.35 malam, mangsa Samnuan Sunnuan, 21, cedera di bahagian kanan kepala dan lengan kanan. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). Mangsa kini berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sebelum kejadian, Samnuan yang mengisi minyak kereta Perodua Myvi miliknya tiba-tiba dihampiri sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki.
"Salah seorang lelaki dari kereta Proton Waja turun dari kenderaannya lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa," kata beliau

Pensyarah UTHM didakwa tipu


Mohd. Effendi selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam atas pertuduhan menipu.


JOHOR BAHRU - Seorang pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu wang seorang pengusaha resort sebanyak RM16,000.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Effendi Daud, 39, dituduh menipu Paridah Husin, 46, pada 29 Julai tahun lalu di UTHM dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayainya akan mengadakan majlis penyampaian sijil untuk pelajar UTHM sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tersebut.
Paridah yang terpedaya dengan tertuduh menyerahkan wang tunai tersebut melalui akaun CIMB Bank bernombor 01050117958521 di Batu Pahat pada pukul 3.30 petang, 29 Julai tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 19 November ini.

Polis cedera dirempuh Camry


Toyota Estima (kanan) dan kereta Toyota Camry (kiri) yang ditemui semula ditinggalkan penjenayah di Taman Orkid, Kajang.


KAJANG – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera akibat dirempuh sebuah kereta Toyota Camry yang disamun bagi mengelak sekatan polis di Batu 10, Lebuh Raya Cheras-Kajang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi, Lans Koperal Rozaili Hamid, 28, cedera di kepala, dahi, bahu dan rusuk kiri.
Bagaimanapun, selepas dirawat di Hospital Kajang Rozaili kemudian dibenarkan keluar dari hospital pada pukul 8.30 pagi pada hari sama. Akibat kecederaan itu Rozaili terpaksa menerima lapan jahitan di bahagian atas kepala sebelah kiri.
Menurut beliau, sekatan jalan itu dilakukan sebaik polis menerima maklumat daripada seorang ejen hartanah wanita yang mendakwa kenderaan Toyota Estima miliknya disamun di rumahnya di Sungai Long di sini.
Kejadian tersebut didakwa dilakukan tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Toyota Camry.
Sebelum Toyota Estima itu dilarikan, penjenayah dikatakan memecah masuk rumah ejen hartanah itu dan mengambil kunci kenderaan tersebut.
Toyota Estima yang berada di dalam kawasan rumah pemiliknya kemudian dipandu secara mengundur sebelum pintu pagar rumah mangsa dirempuh dan kenderaan itu dilarikan.
Ab. Rashid memberitahu, bertindak atas maklumat itu, polis kemudian mengerahkan tujuh anggotanya mengadakan sekatan jalan di Batu 10 bagi mengesan kenderaan milik wanita itu.
Kata beliau, selepas kira-kira 25 minit kemudian Toyota Estima tersebut muncul dengan dipandu laju oleh seorang lelaki.
Kenderaan tersebut terus memotong ke lorong sebelah kanan lalu merempuh papan tanda sekatan polis.
Selepas rempuhan itu, kenderaan tersebut tidak berhenti malah terus dipandu laju menghala ke ibu negara.
“Tidak berhenti di situ, kereta Toyota Camry dinaiki dua lelaki yang mengekori Toyota Estima tersebut turut tidak berhenti malah merempuh Rozaili,” kata beliau.
Rozaili ketika itu tidak sempat mengelak kerana leka membuat pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan lain.

Superbug mampu membunuh


TIONG LAI menyampaikan poster kepada wakil-wakil Jabatan Kesihatan Negeri sempena kempen pengawalan AMR di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Rakyat diberi amaran mengenai ancaman bakteria Superbug yang boleh membawa maut jika mereka mengambil ubat antibiotik dengan cara yang tidak betul.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pengambilan ubat antibiotik secara tidak betul bakal meningkatkan kes Antimicrobial Resistance (AMR) atau kebal terhadap ubat antibiotik dan ia sekali gus membentuk bakteria Superbug dalam tubuh pesakit.
Beliau berkata, pihaknya bimbang dengan ancaman Superbug yang boleh menyerang bila-bila masa berikutan peningkatan penggunaan antibiotik dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
"Terdapat rakyat negara ini mengambil antibiotik secara salah seperti menggunakan bahan itu tanpa mendapat rujukan doktor atau tidak menghabiskan antibiotik yang dibekalkan mengikut masa ditetapkan.
"Oleh itu amat penting untuk orang ramai menyedari kepentingan mengawal pengambilan antibiotik kerana pengambilannya secara tidak tepat boleh menyebabkan kes AMR meningkat dan mewujudkan bakteria Superbug," katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Kempen Pengawalan AMR Peringkat Kebangsaan di sini semalam.

No comments:

Post a Comment