Budak dibunuh kerana ejek 'gila'
|
KLANG - Hanya kerana diejek 'gila', dua lelaki warga Kemboja dipercayai bertindak kejam memukul dan mencekik seorang kanak-kanak berusia lima tahun sehingga mati sebelum mayatnya dibungkus lalu dicampak dalam semak di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Udang di sini kelmarin.
Mayat Syed Rasikin Syed Ismail ditemui bapanya yang berumur 35 tahun kira-kira pukul 10 malam ketika gerakan mencari anak tunggalnya bersama penduduk kampung dijalankan selepas dia didapati tidak pulang ke rumah pada pukul 7 malam.
Kali terakhir Syed Rasikin dilihat ibunya, Asimas, 30, pada pukul 6 petang semasa anaknya bermain di kawasan rumahnya.
Difahamkan ibu bapa mangsa juga merupakan warga Kemboja dan mereka mengenali suspek kerana bekerja bersama sebagai tukang jahit di sebuah rumah.
Ketika gerakan mencari tersebut, kedua-dua suspek turut berpura-pura membantu mengesan mangsa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di Pekan Teluk Pulai di sini sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Menurut beliau, seorang jiran yang mencurigai kematian itu telah menghubungi polis dan siasatan mendapati ada unsur jenayah.
Pelanggan UniFi kempunan tonton bola
KUALA LUMPUR - Harapan para pelanggan perkhidmatan jalur lebar UniFi untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia 2012 antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertukar hampa apabila mereka sekadar melihat skrin kosong di televisyen masing-masing.
Telekom Malaysia (TM) selaku pengendali UniFi, tidak dapat menayangkan perlawanan secara langsung itu di saluran TV1 menerusi HyppTV kerana tidak mempunyai hak penyiaran.
Pelanggan hanya diberi notis berbunyi: 'HyppTV memohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2012 kerana tidak mempunyai hak penyiaran'.
Usaha untuk mendapatkan reaksi pihak pengurusan TM bagaimanapun tidak berjaya.
UniFi yang beroperasi sejak dua tahun lalu, kini mempunyai lebih 400,000 pelanggan di seluruh negara
Pasangan suami isteri, cucu maut kemalangan
PEKAN - Sepasang suami isteri dan cucu mereka yang berusia setahun maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori membawa buah kelapa sawit dan dua buah kereta di Kilometer 9, Jalan Salong-Chini di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, kejadian pukul 2.30 petang itu meragut nyawa pemandu kereta Perodua Kancil, Abdul Malek Mohamed Saman, 62; isterinya, Faridah Hamzah, 56; dan cucu mereka, Nur Syafiqa Shalily Mohd. Khairul Nizam, setahun.
Menurutnya, dua lagi mangsa yang parah dalam kereta sama ialah penumpang belakang, Norhidayu Abd Malek, 21, dan Ain Najwa Mohd. Khairul Nizam, 2.
Katanya, kesemua mangsa berasal dari Felda Chini 4, dekat sini dipercayai dalam perjalanan dari arah Chini ke Salong.
"Ketika tiba di tempat kejadian, buah kelapa sawit lebih muatan yang dibawa oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba terjatuh dan menghempap kereta Kancil," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Penyokong setia Kelantan maut
|
|
RAUB - Seorang penyokong pasukan Kelantan maut manakala seorang lagi cedera parah apabila motosikal yang dinaiki terbabas semasa dalam perjalanan menyaksikan perlawanan akhir pasukan itu menentang Angkatan Tentera Malaysia dalam kejadian di di Kilometer 328, Jalan Raub-Kuala Lipis di sini semalam.
Mangsa Muhamad Saiful Daud, 19, (gambar) yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 mati di tempat kejadian, manakala sepupunya, Mohd. Zulkarnain Mohd. Yusof, 18, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai dalam perjalanan ke Shah Alam.
"Mangsa dipercayai terbabas ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam beg mangsa ditemui bendera dan jersi skuad Kelantan.
Sementara itu, di Kuala Krai, ibu Muhamad Saiful, Noraini Abd. Rahman, 43, berkata, mangsa sebelum ini tidak merancang menonton perlawanan akhir bola sepak tersebut di Shah Alam.
100 belia felda sertai Imam Muda
BANGI – Seramai 100 orang belia dari 11 wilayah Felda di seluruh negara diberikan peluang mengikuti kursus intensif Imam Muda Siri Pertama 2012 anjuran Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) bagi menyediakan generasi pelapis imam muda pada masa akan datang.
Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Isa Samad berkata, program tersebut dilaksanakan selepas menyedari penglibatan golongan muda dalam menggalas tugas sebagai pemimpin masyarakat seperti imam semakin berkurangan terutamanya di kawasan perkampungan.
“Kalau dahulu orang di bandar sanggup mencari imam dan kadi hingga ke ceruk kampung, kini sudah ramai tokoh agama tinggal di bandar.
“Imam di kampung pula semakin berkurangan dan Felda beranggapan jika perkara ini berterusan, penduduk di kampung akan kekurangan pelapis yang boleh dijadikan sumber rujukan hal ehwal agama pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup kursus Imam Muda Felda siri pertama 2012 di sini semalam.
Mayat bayi lelaki sempurna sifat ditemui terapung dalam loji kumbahan
KUALA LUMPUR - Mayat bayi lelaki yang sempurna sifatnya ditemui terapung di dalam loji kumbahan di Batu 5, Jalan Ipoh di sini semalam.Penemuan pada pukul 11 pagi itu disedari oleh seorang pekerja syarikat kumbahan tersebut ketika dia melakukan kerja-kerja rutin di kawasan loji berkenaan.
Satu sumber berkata, pemeriksaan mendapati bayi tersebut baru dilahirkan dan masih mempunyai tali pusat.
Mayat bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.
Dalam pada itu, seorang buruh yang sedang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah menemui cebisan tulang manusia dipercayai milik penagih dadah di kawasan tapak pembinaan di Batu 4, Jalan Ipoh di sini semalam.
Tentera Israel serbu kapal ke Gaza
BAITULMUQADDIS - Tentera Laut Israel semalam menyerbu sebuah kapal yang membawa para aktivis Palestin termasuk wakil rakyat Eropah untuk memecahkan sekatan ke Gaza.
Menurut satu kenyataan tentera rejim Zionis, anggota-anggota tentera laut itu menaiki kapal MV Estelle yang dalam pelayaran ke Genting Gaza.
Kenyataan itu menyatakan, kapal tersebut yang mengibarkan bendera Finland diarah berlabuh di Pelabuhan Ashdod, Israel.
"Tiada sebarang keganasan (tindakan yang dilakukan anggota tentera laut)," kata seorang jurucakap tentera Israel.
Menurutnya, para penumpang kapal tersebut tidak melawan semasa serbuan itu dilakukan.
Pengumuman itu dibuat selepas pihak penganjur menyatakan kapal berkenaan 'diserang' ketika berada 35 batu nautika dari pantai Gaza.
Apabila tiba di pelabuhan tersebut, para penumpang akan diserahkan kepada polis sebelum dihantar untuk diuruskan pihak imigresen.
Kapal yang dimiliki Sweden itu berlepas dari Naples, Itali pada 7 Oktober lalu dengan membawa 30 orang dari lapan buah negara.
Ia membawa beberapa wakil rakyat dari Norway, Sweden, Greece, Sepanyol dan seorang aktivis Israel berusia 79 tahun dari Kanada.
Kapal itu membawa dua pokok zaitun, 41 tan simen, 300 biji bola sepak, peralatan perubatan dan buku kanak-kanak.
Ia turut membawa peralatan muzik, radio dan wayang gambar. - Agensi
Syria didakwa bunuh ketua perisik Lebanon
|
BEIRUT - Para penunjuk perasaan membakar tayar dan membuat sekatan jalan di Lebanon semalam bagi membantah pembunuhan ketua perisik pasukan keselamatan dalam negeri, Brigedier Jeneral Wissam al-Hassan kelmarin yang didakwa didalangi Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Wissam, 47, terbunuh apabila sebuah kereta yang mengandungi bom seberat 30 kilogram diletupkan dengan menggunakan alat kawalan jauh di daerah Ashrafieh yang didiami ramai penduduk beragama Kristian.
Selepas mengetahui kematian Wissam yang merupakan pengikut aliran sunah, para penunjuk perasaan tersebut membakar tayar dan menyekat jalan raya dari bandar Tripoli di utara Lebanon sehingga ke sempadan Syria.
Kejadian itu berlaku ketika para pengikut sunah di Syria menentang kepimpinan Bashar yang merupakan pengikut Syiah Alawi.
Bekas perdana menteri Lebanon yang kini menjadi ketua pembangkang, Saad Hariri mendakwa Bashar terlibat dalam serangan tersebut.
Seorang lagi pemimpin pembangkang, Walid Jumblatt turut menuduh rejim Bashar membunuh Wissam.
Ekoran kejadian itu, para pengikut sunah di Lebanon mendesak Perdana Menteri, Najib Makati meletakkan jawatan.
Mikati kemudian menawarkan peletakan jawatannya tetapi Presiden Michel Suleiman memintanya terus memegang jawatan itu bagi satu tempoh yang belum ditetapkan.
Sebelum letupan bom itu berlaku, Wissam telah menjangkakan beliau akan menjadi sasaran pembunuhan menyebabkannya menghantar isteri dan anak-anaknya ke Paris.
Kebanyakan pemerhati menyatakan serangan itu mempunyai kaitan dengan perang di Syria yang kini sudah berlanjutan selama 19 bulan dan menyebabkan lebih 30,000 orang mati.
Wissam mengetuai siasatan yang menyebabkan bekas menteri penerangan Syria dan penyokong Bashar, Michel Samaha ditangkap.
Samaha kini ditahan di penjara Lebanon atas dakwaan merancang kempen serangan bom dan pembunuhan dengan tujuan untuk menyebabkan perbalahan antara mazhab Islam di negara ini merebak.
Turut ditangkap ialah seorang pegawai tentera Syria, Brigedier Jeneral Ali Mamlouk.
Wissam juga memainkan peranan penting dalam siasatan pembunuhan bekas perdana menteri Lebanon, Rafik Hariri pada 2005 di sini.
Hariri mati apabila sebuah trak meletup.
Siasatan yang diketuai Wissam itu menemui bukti penglibatan kumpulan Hezbollah dan Syria. - Agensi
No comments:
Post a Comment