Bukti Syria guna bom berangkai
|
MAARET AL-NUMAN - Jet-jet tentera Syria melakukan serangan di bandar ini semalam ketika pihak tentera didakwa menggunakan bom berangkai.
Serangan itu dilakukan di bandar itu yang terletak di barat laut negara ini.
Bandar tersebut dianggap strategik di wilayah Idlib kerana ia telah ditawan para penentang tentera Bashar Al-Assad pada minggu lalu.
Sementara itu, para penentang menunjukkan kepada wartawan agensi berita AFP serpihan bom berangkai yang digunakan tentera Syria.
Menurut para penentang itu, bom tersebut digugurkan di beberapa kawasan penduduk.
Beberapa bom tersebutyang gugur tidak meletup.
Bom itu mempunyai aksara Cyril yang menyebakan ia dipercayai dibuat di Rusia.
Rusia merupakan sekutu utama Syria. Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch mendakwa Syria menggunakan bom berangkai.
Bagaimanapun, tentera Syria menafikan ia menggunakan bom tersebut.
Sebuah pertubuhan yang menyokong penentangan terhadap Bashar melaporkan bahawa bom tersebut digugurkan pada minggu lalu di bandar Saraqeb, utara Maaret Al-Numan.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan menyatakan sebanyak 40 peratus bom itu gagal meletup.
Menurut pertubuhan itu, 98 peratus mangsa bom itu ialah orang awam termasuk kanak-kanak yang menyentuhnya kerana mereka menyangka ia merupakan alat permainan.
Pergolakan di Syria berlaku sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh.
Para penentang mahu menggulingkan Bashar yang dianggap gagal melaksanakan pembaharuan politik termasuk hak kebebasan bersuara.
- Agensi
Restoran di Gaza dikendalikan pekerja bisu
BANDAR GAZA, Palestin - Sebuah restoran di sini yang dikendalikan beberapa pekerja bisu dibuka kepada orang ramai pada Selasa lalu.
Restoran Atfaluna yang terletak dekat sebuah pelabuhan digerakkan para pekerjanya yang berkomunikasi sesama mereka menggunakan bahasa isyarat.
Ia ditubuhkan dengan bantuan Yayasan Drosos, Switzerland bagi mempromosikan golongan bisu yang boleh bekerja.
Seramai 12 orang bekerja di restoran tersebut.
"Golongan bisu mempunyai keazaman dan tiada sebarang kebimbangan kecuali ketika pekerja berkomunikasi," kata seorang penyelia, Ayat Imtair.
Selepas para pekerja bisu itu menghadiri latihan selama enam bulan, Ayat yakin operasi di restoran tersebut akan berjalan dengan lancar.
- Reuters
Ulama dakwa perkahwinan Saif, Kareena anti-Islam
|
|
NEW DELHI - Sebuah sekolah pendidikan Islam, Darul Uloom Deoband menganggap perkahwinan antara pelakon Saif Ali Khan dengan Kareena Kapoor sebagai anti-Islam, lapor portal berita ApunKaChoice semalam.
Mereka membuat kenyataan itu kerana Kareena yang mengamalkan ajaran Hindu tidak memeluk agama Islam sebelum dia berkahwin dengan Saif.
"Mengikut undang-undang Islam, perkahwinan itu dianggap sebagai anti-Islam kerana Kareena tidak menukar agamanya kepada Islam," kata seorang ulama di sekolah tersebut, Habibur Rahman kepada agensi berita Press Trust of India.
Status akad nikah pasangan artis berkenaan masih lagi menjadi tanda tanya sama ada dilakukan mengikut ajaran Islam atau tidak.
Pasangan berkenaan pada mulanya mendaftarkan pernikahan mereka di Mumbai pada 16 Oktober lalu.
Majlis resepsi perkahwinan mereka kemudiannya diadakan di sini.
Menurut beberapa pihak yang rapat dengan pasangan tersebut, tiada majlis akad nikah seperti yang dilaporkan oleh pihak media.
Mereka menyatakan pasangan itu hanya sekadar melafazkan ikrar perkahwinan.
Sebelum ini, bapa Kareena, Randhir Kapoor menafikan anak perempuannya itu akan memeluk Islam.
"Tidak ada sesiapa yang menukar agama di sini, seorang insan berkahwin dengan insan yang lain dan mereka tidak kisah mengenai kasta, kepercayaan atau keturunan, " kata Randhir. - Agensi
MBSA bakal dakwa pemilik banglo mewah
|
SHAH ALAM - Pemilik banglo mewah bernilai hampir RM4 juta yang bumbung konkritnya runtuh hingga mengakibatkan seorang mati manakala lima lagi parah di Seksyen 7 di sini kelmarin akan diheret ke mahkamah kerana melakukan penambahan dan mengubah suai kediaman secara haram.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan berkata, semakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapati, pemilik banglo tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan pelan untuk mengubah suai banglonya.
Katanya, pemilik banglo itu akan didakwa mengikut Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan struktur binaan tanpa kebenaran pihak majlis dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM250,000.
"MBSA memang tegas dalam perkara ini kerana ia melibatkan kematian dan kecederaan parah hingga mangsa terpaksa dirawat di hospital," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Pemilik terkejut bumbung banglo runtuh
SHAH ALAM - Pemilik banglo mewah yang bumbung konkritnya runtuh di Seksyen 7 di sini kelmarin mendakwa dia terkejut dengan kejadian yang mengakibatkan seorang maut manakala lima lagi buruh binaan parah.
Ahli perniagaan berusia lingkungan 50-an yang enggan namanya disiarkan itu mendakwa, dia telah melantik Perunding Pengurusan Projek (PMC) untuk urusan ubah suai itu dan tidak menyangka runtuhan boleh berlaku memandangkan kontraktor tersebut berpengalaman luas dalam bidang pembinaan.
Dakwanya, dia juga tidak mengetahui mengenai urusan permohonan pelan tambahan atau ubah suai kediaman harus dipohon daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana beranggapan ia telah diuruskan oleh PMC.
"Saya beli rumah ini sudah lama dan perbincangan dengan PMC untuk kerja-kerja pengubahsuaian termasuk urusan hiasan dalaman banglo diadakan sejak akhir tahun lalu.
"Kerja-kerja pengubahsuaian mula dijalankan pada Julai lepas dan dijangka siap penghujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Lelaki itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tindakan MBSA yang hendak mengheretnya ke mahkamah sebaliknya mahu memikirkan cara untuk membantu kesemua mangsa. Dia juga enggan memikirkan tindakan yang ingin diambil ke atas kontraktor terbabit.
Porsche, BMW hilang ditemui semula
MELAKA – Dua buah kereta mewah jenis Porsche Panamera 3.6 dan BMW 5 Series serta barangan berharga bernilai RM1.5 juta milik seorang ahli perniagaan yang dilarikan Rabu lalu dari banglonya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini ditemui semula di Taman Bahariah Indah, Muar, Johor kelmarin.
Jarak antara dua tempat itu kira-kira 60 kilometer.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian pukul 6.30 pagi itu berlaku apabila rumah mangsa berusia 51 tahun tersebut dimasuki empat daripada enam penjenayah bertopeng.
Katanya, empat suspek dapat masuk selepas pintu belakang banglo dua tingkat itu dibuka oleh pembantu rumah mangsa untuk membasuh baju. Dua lagi rakan mereka menunggu di luar.
“Mangsa dan isterinya yang berada di tingkat atas bergegas turun sebaik terdengar bunyi bising sebelum si suami dipukul dengan benda tumpul dan diacu parang.
“Suspek kemudian melarikan diri bersama barangan kemas, telefon bimbit, jam tangan, beg duit serta kereta mewah jenis Porsche Panamera 3.6 dan BMW 5 Series yang kesemuanya bernilai RM1.5 juta selepas menggeledah selama 20 minit,” katanya pada sidang akhbar.
Tambahnya, polis yang menerima laporan kemudian telah menubuhkan satu pasukan khas selain bekerjasama dengan polis Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut Raja Shahrom, kira-kira 28 jam kemudian, pihaknya menemui semula Porsche putih bernilai RM800,000 dan BMW hitam berharga RM500,000 itu di tepi jalan di Taman Bahariah Indah, Muar.
Lapan samseng ditahan serang bengkel baiki motosikal
GEORGE TOWN - Lebih 10 lelaki bertindak ala samseng apabila menyerang sebuah bengkel membaiki motosikal sebelum melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM150,000 di Lorong Sungai Pinang di sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.30 petang itu berlaku ketika tujuh pekerja termasuk seorang saudara pemilik bengkel yang sedang mengandung lima bulan didatangi samseng-samseng bersenjatakan parang, tukul, kayu dan besi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek kemudian telah mengarahkan kesemua pekerja diam dan mengikut arahan jika tidak mahu dicederakan.
Katanya, suspek kemudian merosakkan perkakasan bengkel selain melarikan wang dan barangan berharga pekerja yang dianggarkan bernilai RM150,000.
"Polis yang meneliti rakaman kamera litar tertutup di premis itu kemudian dapat menahan lapan lelaki berusia antara 16 hingga 38 tahun secara berasingan di sekitar Jelutong hari ini (semalam).
Rozita Che Wan nafi bergambar bogel
|
|
KUALA LUMPUR – Pelakon jelita, Rozita Che Wan atau lebih dikenali Che Ta, 39, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan gambar bogel yang tersebar di internet adalah dirinya.
Gambar yang diambil menerusi perbualan video itu memaparkan raut wajah seiras pelakon itu dalam keadaan meniarap dan menunjukkan sebahagian daripada payu daranya.
Kata pelakon itu, dia tidak pernah merakamkan gambar dalam keadaan memalukan seperti mana yang tersiar, malah tidak pernah membuat panggilan video sama ada melalui komputer atau telefon.
“Saya bukan muda lagi untuk melakukan perbuatan sedemikian, malah saya juga sibuk bekerja, tiada masa untuk berbuat begitu.
“Mungkin itu pelanduk dua serupa sebab ramai yang cakap ada wanita dan pondan memiliki rupa seperti saya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sambil tidak menolak ada unsur sabotaj oleh pihak-pihak yang iri hati terhadapnya, ibu kepada dua cahaya mata iaitu Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14, itu belum bercadang mengambil tindakan undang-undang.
Tinggalkan suami kerana kekasih FB
|
|
JEMPOL – Seorang pengusaha gerai makanan bimbang selepas isteri bersama seorang anaknya yang berusia tiga tahun dikatakan menghilangkan diri dari rumah sejak empat hari lalu gara-gara mengikut seorang lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.
Mohd. Salleh Hussin, 54, mendakwa, isterinya, Nik Rosmalina Nik Mat, 28, bersama anak bongsu mereka, Nur Alia Nadira, 3, tidak pulang ke rumah di Felda Lui Selatan dekat sini selepas keluar ke pekan Bahau pada Isnin lalu atas alasan untuk membaiki komputer riba.
“Saya jadi bimbang apabila isteri dan anak saya tidak balik ke rumah selepas itu, malah panggilan telefon juga tidak dijawab sampai sekarang,” katanya di sini semalam.
Lebih mengejutkan Mohd. Salleh, dia hanya menyedari dompetnya yang mengandungi kad mesin teler automatik (ATM) lesap pada Selasa lalu sebelum mendapati wang sebanyak RM5,000 dalam akaun bank telah dikeluarkan.
“Saya tidak tahu kenapa dia sanggup meninggalkan saya, kami tidak berselisih faham,” katanya.
Mohd. Salleh bercerai kira-kira 10 tahun lalu sebelum berkahwin dengan Nik Rosmalina pada tujuh tahun lepas.
Pelampung tsunami meletup
SEMPORNA - Pelampung tsunami yang sedang diselenggara di atas kapal MV Pendamar dipercayai meletup sehingga menyebabkan kematian ketua penyelenggara, Stig Erik Lyng di sini semalam, kata Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah.
Beliau berkata, letupan berlaku ketika Lyng, 53, cuba membuka salah satu skru pada penutup pelampung dengan menggunakan alat 'grinder' dan akibat letupan itu, objek berwarna hitam dilihat terbang keluar dari pelampung itu dan mengenai kepala Lyng.
"Kejadian berlaku pada pukul 11.45 pagi di atas kapal di kawasan perairan antara Pulau Mabul dan Pulau Sipadan. Kita difahamkan salah satu skru pelampung berkenaan tidak dapat dibuka secara biasa. Jadi, ketika mangsa cuba membuka skru itu menggunakan alat grinder, pelampung itu tiba-tiba meletup," katanya.
Ekoran itu jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memberi tahu, kerja menyelenggara pelampung tsunami di Pulau Sipadan kini dihentikan.
Mohd. Firdaus berkata, siasatan awal mendapati objek berwarna hitam yang belum dikenal pasti itu terhumban keluar daripada pelampung berkenaan akibat letupan itu lalu mengenai kepala mangsa dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, selain kecederaan parah di kepala, tangan kiri mangsa juga patah. - Bernama
Mr. Os dirawat di Hospital Serdang kerana ketumbuhan tekak
KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak, Mohd. Yusof Abdul Hamid atau Mr. Os, 50, dimasukkan ke Hospital Serdang, Selangor selepas disahkan menghidapi ketumbuhan pada tekak.Selain itu, juara Maharaja Lawak Mega itu turut disahkan mengalami masalah saluran jantung.
"Pagi semalam (kelmarin), saya ke hospital untuk membuat pemeriksaan tekak sebab sakit dan sukar bercakap.
"Selepas diperiksa, doktor beritahu saya ada masalah jantung tersumbat dan ketumbuhan pada tekak," katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Mr. Os tidak dimaklumkan tempoh dia dirawat di hospital tersebut namun jika tiada sebarang komplikasi, pelakon filem Awang Spanar itu dibenarkan keluar hospital hari ini.
Empat lanun Indonesia ditangkap
KUCHING - Tindakan pantas Maritim Malaysia (APMM) melakukan serbuan berjaya menggagalkan usaha empat lanun Indonesia yang cuba merompak sebuah bot tunda dan tongkang membawa muatan 116 kontena di 11.8 batu nautika dari Tanjung Po, berhampiran Sematan dekat sini kelmarin.
Kesemua lanun berusia antara 25 hingga 52 tahun tersebut diberkas pada pukul 3 petang. Difahamkan, salah seorang mereka merupakan bekas kapten yang pakar dalam bidang perkapalan manakala seorang lagi merupakan jurutera kapal.
Bot tunda dan tongkang itu milik syarikat Highline Shipping yang berpangkalan di Miri. Ia dalam pelayaran dari Klang, Selangor ke Bintulu.
Pemangku Tugas Ketua Penguatkuasa Maritim wilayah Sarawak, Kepten Maritim Abim Sungom berkata, dua buah bot yang berpangkalan di sini diketuai Pegawai Waran II (M), Mohd. Amran Hamid dan Bintara Muda (M), Azmi Abd. Wahab dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 1 petang.
Katanya, salah sebuah bot APMM kemudian memintas bot tunda yang ditawan lanun tersebut pada pukul 3.45 petang manakala tongkang itu pula dikesan berada lebih kurang 11 batu nautika dari Tanjung Po.
TM rugi RM71 juta kabel telefon dicuri
|
|
KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia (TM) mencatat kerugian RM71 juta dalam tempoh 20 bulan lalu ekoran kejadian curi kabel talian telefon yang dilakukan oleh penagih dadah dan penjual besi buruk.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa (gambar) berkata, selain dua golongan itu, pembabitan 'orang dalam' juga menjadi punca utama syarikat itu mengalami kerugian besar ekoran harga kabel yang tinggi.
Katanya, terdapat peningkatan di beberapa tempat berhubung kecurian kabel dengan Kuala Lumpur sahaja mencatatkan sebanyak 58 kes antara Januari hingga Ogos berbanding 30 kes dalam tempoh yang sama sepanjang tahun 2011.
"Dalam tempoh yang sama juga, Selangor mencatatkan sebanyak 1,439 kes berbanding 1,841 kes pada tahun 2011. Di Cyberjaya pula 71 kes dilaporkan berbanding 52 kes pada tahun 2011.
"Jika ada pembabitan 'orang dalam', kami akan melaporkannya kepada polis," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan Pencegahan Jenayah Kecurian Kabel dekat Menara Telekom Malaysia di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
No comments:
Post a Comment