Suami ditahan
|
|
SHAH ALAM - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya yang didakwa terjatuh di dalam bilik air di rumah mereka di Apartmen Kiambang, Taman Bukit Subang, dekat sini Sabtu lalu.
Lelaki berusia 36 tahun tersebut ditahan kelmarin selepas polis mendapati keterangan yang diberikan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bercanggah dengan siasatan polis. Suspek bekerja sendiri.
Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Norhana Mohd. Nordin, 39, dan merupakan bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan. Dia juga dikatakan merupakan bekas graduan Universiti Huddersfield, United Kingdom dan berasal dari Ipoh, Perak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek memaklumkan yang isterinya terjatuh di dalam bilik air ketika membawa wanita itu ke Hospital Sungai Buloh dekat sini.
Elaun naik 88 peratus
|
IPOH - Kira-kira 20,000 pelatih peringkat sijil dan diploma di semua institusi latihan Kementerian Kesihatan akan menikmati kenaikan elaun antara 60 dan 88 peratus mulai tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pelatih peringkat sijil akan menerima RM835 sebulan berbanding RM517 sekarang, manakala pelatih peringkat diploma pula menerima RM1,166.58 berbanding RM621.21.
"Kenaikan kadar elaun itu yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 membuktikan kerajaan sangat prihatin dengan beban kos sara hidup yang ditanggung pelatih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan di sini semalam.
Selain itu, kata Tiong Lai, kementerian juga akan mewujudkan 12,000 jawatan baharu jururawat bagi tempoh 2012 hingga 2015 untuk meningkatkan perkhidmatan kejururawatan selain menampung keperluan klinik dan hospital baharu.
Penyamun terlepas raket Chong Wei
PUCHONG - Jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei kerugian hampir RM30,000 apabila syarikat pembinaan miliknya di Bandar Puteri di sini dipecah masuk sekumpulan penyamun semalam.
Kejadian pecah masuk syarikat Chong Wei Bina Jaya Sdn. Bhd. pada pukul 9 pagi itu disedari seorang pekerja yang baru tiba di pejabat apabila mendapati pintu gril dan pintu utama telah terbuka.
Bagaimanapun Pengarah Urusan syarikat berkenaan yang juga abang Chong Wei, Lee Chong Hoon, 38, berkata, adiknya tetap lega apabila raket yang digunakannya ketika menjuarai Kejohanan Seluruh England pada 30 Januari tahun lalu tidak dilarikan.
Raket tersebut telah dibida oleh seorang individu dengan harga RM74,000. Hasil bidaan itu akan didermakan kepada mangsa tsunami di Jepun.
Chong Hoon menjelaskan, dia bergegas ke pejabat tersebut setelah dimaklumkan oleh pekerja berkenaan mengenai kejadian itu.
Pelajar UMS rugi RM8,000 kena pukau
|
|
JOHOR BAHRU - Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendakwa menjadi mangsa pukau menyebabkan dia kerugian lebih RM8,000 ketika membeli-belah di pasar raya Giant, Plentong di sini pada 9 Oktober lalu.
Ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nadzirah, 22, mengunjungi pasar raya berkenaan seorang diri untuk membeli kasut yang akan dipakai pada majlis konvokesyennya Sabtu ini.
Menurut pelajar Ijazah Sains Perhutanan itu, dia pada mulanya didatangi dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang mendakwa pelajar sekolah pondok dari Brunei dan meminta bantuannya menunjukkan kedai buku agama di pasar raya berkenaan.
Ujar Nadzirah lagi, salah seorang daripada mereka kemudian memberikannya sebiji batu berwarna merah sebagai tanda terima kasih.
"Mereka selepas itu mengajak pula saya ke sebuah restoran makanan segera berhampiran untuk berbicara mengenai agama.
Pengetua dituduh rasuah
JOHOR BAHRU – Seorang pengetua sekolah menengah agama dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan lebih RM1 juta bagi syarikat milik isterinya sendiri antara Julai 2011 hingga Julai lalu.
Pengetua Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur, Bachok @ Abdul Samad Abdul Latip, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua tuduhan tersebut di hadapan Hakim Mohd. Nasir Mohd. Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengasas kepada sekolah agama yang dulunya dikenali sebagai Al-Madrasah Al-Arabiah An-Nur yang sudah 30 tahun bertapak di Jalan Jaafar, Benut, Pontian, didakwa mengarahkan kakitangan dan guru sekolah tersebut untuk mengeluarkan 14 baucar dan 14 cek Maybank Islamic yang berbeza nilai sepanjang tempoh berkenaan.
Tertuduh didapati telah menandatangani baucar dan cek itu untuk membuat bayaran kerja membekal makanan bermasak di asrama sekolah tersebut kepada Syarikat Hajah Zainab Enterprise yang merupakan syarikat milik isterinya, Zainab Yahya, 60-an dengan nilai keseluruhan mencecah RM1,120,462.40.
Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya di sekolah itu di Jalan Jaafar, Benut, Pontian.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama kerana menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya.
Jika disabit atas semua kesalahan, tertuduh boleh didenda RM5 juta dan 20 tahun penjara.
Perut hancur digilis lori tanah
KUALA LUMPUR - Malang berganda.Hanya itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan mengenai satu kemalangan yang mengorbankan dua nyawa di Jalan Cheras-Kajang menghala ke pusat bandar berhampiran Taman Midah, Cheras di sini kelmarin.
Kejadian pukul 11.05 malam itu mengakibatkan Muhamad Fikri Khairol Anuar, 22, dan seorang lagi pejalan kaki yang belum dikenal pasti identitinya maut. Muhamad Fikri menunggang motosikal jenis Yamaha FZ.
Kemalangan berlaku apabila Muhamad Fikri yang merupakan juruteknik gagal mengelak lalu terlanggar lelaki warga asing tersebut yang tiba-tiba melintas di lorong kanan.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, ekoran itu, Muhamad Fikri telah hilang kawalan lalu terjatuh hingga ke lorong tengah sebelum dilenyek oleh sebuah lori membawa muatan tanah dari arah sama.
Katanya, pemandu lori itu dipercayai tidak sempat membrek untuk mengelak daripada terlanggar mangsa yang terjatuh.
"Mangsa terseret beberapa meter hingga mengakibatkan bahagian dari perut ke kaki Muhamad Fikri hancur digilis.
"Pejalan kaki itu juga maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kita percaya kejadian berpunca apabila pejalan kaki tersebut tidak menggunakan jejantas untuk melintas di jalan yang agak sibuk itu," katanya.
Kempunan naik kereta api mini
PADANG BESAR - Perasaan kecewa pasti menyelubungi orang ramai setiap kali mengunjungi kawasan pelancongan, Gua Kelam di sini apabila perkhidmatan kereta api mini yang terkenal di pusat rekreasi tersebut tidak lagi beroperasi sejak tiga tahun lalu.
Tinjauan mendapati orang ramai dan pelancong yang mengunjungi kompleks kereta api tersebut yang pernah popular satu ketika dahulu pulang dengan kehampaan.
Seorang pengunjung dari Kedah, Nuliana Sabri, 20, berkata, dia teringin untuk merasai pengalaman menaiki kereta api itu bagi menikmati suasana gua yang terletak di Banjaran Nakawan tetapi kecewa selepas mendapati perkhidmatan itu tidak lagi disediakan.
"Dahulu, saya sering baca blog dan dengar kawan yang pernah menaiki kereta api mini bercerita tentang pengalaman menarik mereka.
"Malangnya, setelah saya sampai ke sini saya kecewa ekoran perkhidmatan tersebut tidak lagi dibuka kepada orang ramai sejak tiga tahun lalu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada September 2009 lalu, kereta api mini di Gua Kelam diberhentikan operasinya setelah perkhidmatan tersebut hilang kawalan secara tiba-tiba menyebabkan 24 murid sekolah dan guru terlibat dalam kemalangan.
Dalam kejadian tersebut, gerabak kereta api mini berkenaan dikatakan menggelongsor turun beberapa meter sebelum merempuh penghadang di stesen permulaan dipercayai ekoran bekalan elektrik yang terputus ketika mendaki bukit di dalam gua itu.
Kejadian tersebut menyebabkan dua penumpang terpelanting keluar dari gerabak dan menerima jahitan di kepala manakala enam lagi cedera terhantuk dan selebihnya hanya cedera ringan.
Perkhidmatan tersebut dibuka kepada orang ramai pada awal tahun 2009 lalu yang menyajikan pengalaman kepada pengunjung melalui laluan terowong bekas kerja perlombongan ratusan tahun dahulu dan ketika penjajahan Jepun sejauh kira-kira 400 meter.
Selain itu, struktur dalaman gua yang cantik termasuk kejadian alam berusia lebih 300 juta tahun yang dinamakan tirai gua juga menarik perhatian ramai pengunjung.
Juruteknik kecewa perkhidmatan AirAsia
|
|
KUCHING - Sepasang suami isteri mendakwa terpaksa membeli tiket kapal terbang sebanyak dua kali pada hari yang sama gara-gara kelemahan perkhidmatan syarikat tambang murah, AirAsia ketika hendak berlepas ke Kuching dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, Selangor pada Jumaat lalu.
Seorang juruteknik, Shamsudin Awang, 56, dan Hamidah Abdul Hamid, 54, mendakwa, gara-gara kerosakan mesin daftar masuk milik syarikat itu di LCCT, mereka bukan sahaja terlepas penerbangan malah terpaksa membeli tiket lain bagi perjalanan ke Kuching.
Lebih dikesali, tiada tindakan dilakukan oleh kakitangan AirAsia bagi menyelesaikan masalah kerosakan mesin daftar masuk itu semasa kejadian.
"Mereka sepatutnya memastikan kelancaran proses daftar masuk semasa mesin itu rosak. Sekurang-kurangnya mesti ada kakitangan mereka beritahu kami ke mana perlu mendaftar masuk jika mesin rosak. Jadi saya bersama lebih 10 penumpang lain terpaksa menunggu lama tanpa diberikan penjelasan.
"Malah, kami pula dimarahi oleh petugas kaunter apabila membuat aduan dan enggan memulangkan semula wang atau memberi tiket ganti," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.
Penduduk Moro gembira
|
MANILA - Ratusan penduduk bersorak gembira apabila pemerintah Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian rangka kerja untuk keamanan yang berharap akan menamatkan konflik selama 40 tahun di wilayah selatan negara itu.
Penduduk itu bersorak di luar Istana Malacanang semasa perjanjian tersebut ditandatangani.
Ribuan anggota MILF mengangkat senjata api di sebuah kem di wilayah Maguindanao 960 kilometer dari sini sebagai tanda menghormati majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Beberapa wanita yang memakai tudung berwarna-warni menangis apabila Pengerusi MILF, Murad Ibrahim menggambarkan perjuangan selama 40 tahun itu sebagai penghargaan terhadap para pejuang yang terbunuh.
"Kami mengabdikan rangka perjanjian ini sebagai penghargaan kepada para pemimpin kami yang terbunuh. Mereka mengorbankan nyawa untuk Allah dan Bangsamoro," kata Murad.
Perjanjian itu ditandatangani antara perunding damai pemerintah, Marvic Leonen dan Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal.
Sementara itu, seorang pensyarah kajian Islam, Profesor Julkipli Wadi dari Universiti Filipina berkata, penduduk Moro gembira dengan perjanjian itu.
"Namun, kami perlu peka dengan cabaran pada masa depan," tambahnya.
Upacara menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden, Benigno Aquino III.
Perang di selatan Filipina meragut lebih 150,000 nyawa sejak awal 1970-an dan pelbagai perjanjian damai yang dicapai sebelum ini, sama ada tidak membuahkan hasil atau tidak dapat dilaksanakan.
Perjanjian berkenaan dianggap sebagai 'perjanjian induk' yang menggariskan rangka tindakan ke arah pembentukan entiti baharu bagi Bangsamoro untuk menggantikan Wilayah Autonomi yang sedia ada di wilayah Islam Mindanao.
Perjanjian itu juga akan membuka jalan kepada usaha membangunkan semula Mindanao, yang sejak empat dekad lepas, mengalami pelbagai kerugian termasuk daripada segi prasarana, pelaburan dan masa depan.
Menurut laporan Bernama, perjanjian itu dilihat mampu mengurangkan dengan ketara kegiatan keganasan yang mencemari selatan Filipina sejak beberapa dekad lepas sekali gus mewujudkan suasana lebih kondusif bagi pelaburan dan pembangunan, di samping menyumbang kepada keselamatan menyeluruh di Filipina, termasuk di wilayah berkenaan.
Perjanjian itu antara lain, menyebut bahawa Bangsamoro akan diwujudkan untuk menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.
Ia menyatakan bahawa Bangsamoro akan mendapat bahagian yang adil dan saksama daripada hasil yang dijana melalui kerja cari gali, pembangunan atau penggunaan sumber asli yang diperoleh dari semua kawasan/wilayah, tanah atau air yang diliputi dan terletak di bawah bidang kuasa Bangsamoro, sejajar dengan formula yang dipersetujui kedua-dua pihak. - Agensi
Kenderaan amfibia dijual di AS
DETROIT - Sebuah kenderaan amfibia yang boleh bergerak di permukaan air dijual di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$40,000 (RM122,279).
Kenderaan itu dikeluarkan oleh syarikat Gibbs Sports Amphibians Incorporation di sini.
Pihak pengurusan syarikat itu berharap kenderaan tersebut yang bernama Quadski akan dijual di seluruh dunia menjelang 2014.
Ia menggunakan enjin yang dibekalkan syarikat pengeluar kenderaan BMW dan mempunyai satu tempat duduk.
Kenderaan itu boleh bergerak sejauh 72 kilometer sejam di daratan dan butang khas perlu ditekan jika penggunanya mahu ia bergerak di permukaan air.
Butang itu akan menyebabkan empat tayar kenderaan itu 'dilipat' bagi boleh membolehkannya bergerak di permukaan air pada kelajuan yang sama di daratan. - Agensi
Baumgartner lebih pantas daripada kelajuan bunyi
WASHINGTON - Pelagak ngeri Austria, Felix Baumgartner menjadi manusia pertama bergerak lebih pantas daripada kelajuan bunyi di luar sebuah kapsul kelmarin.
Dia terjun dari kapsul tersebut yang berada setinggi 39 kilometer (km) dari Bumi.
Kapsul tersebut bergerak ke udara dengan menggunakan belon helium.
Ia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba pada ketinggian 39km dari Bumi.
Kelajuannya mencecah 1,342 kilometer sejam (km/j).
Lelaki itu 265km/j lebih pantas daripada bunyi.
Baumgartner, 43, kemudian mendarat dengan menggunakan payung terjun di sebuah kawasan di sebuah gurun di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat (AS).
Laman web syarikat minuman tenaga Red Bull menyiarkan aksi pelagak ngeri itu yang memakai pakaian seperti angkasawan semasa dia berada di dalam kapsul tersebut.
Baumgartner menanggalkan topi dan menggenggam kedua-dua tangannya selepas dia mendarat dengan selamat.
"Apabila saya berdiri di atas dunia, anda berasa rendah diri. Anda tidak berfikir tentang memecahkan rekod lagi. Anda juga tidak memikirkan untuk memperoleh data saintifik.
"Satu-satunya perkara yang anda fikirkan ialah pulang dengan selamat," katanya selepas dia selamat mendarat kepada wartawan stesen televisyen CBS.
Dia turut memecahkan rekod sebagai manusia pertama membuat terjunan dari altitud tinggi.
Sebelum ini seorang bekas pegawai tentera udara AS, Kolonel Joe Kittinger memegang rekod itu dengan terjun dari sebuah gondola pada ketinggian 31 kilometer dari Bumi dengan kelajuan 988km/j pada tahun 1960.
Baumgartner menyatakan pengalamannya terjun dengan lebih laju daripada bunyi itu sukar untuk digambarkan.
"Anda tidak mengetahui kepantasan anda," katanya.
Rekod itu kemudian disahkan oleh jurucakap Persekutuan Aeronautik Antarabangsa (FAI) pada sidang akhbar di Roswell, New Mexico.
Presiden Austria, Heinz Fischer mengucapkan tahniah ekoran kejayaannya dalam projek terjunan anjuran Red Bull Stratos.
Baumgartner pernah terjun dengan menggunakan payung terjun dari Bangunan Petronas di Kuala Lumpur pada 1999. - Agensi
No comments:
Post a Comment