Monday, October 15, 2012

JAGA AURAT KALAU SAYANG IBU BAPA...JIKA MEREKA RELA@REDA MAKA DAYUS LAH MEREKA

Aktivis remaja ditembak Taliban stabil

MURID-MURID perempuan sebuah sekolah rendah di Peshawar berdoa untuk kesejahteraan aktivis remaja, Malala Yousafzai yang cedera
ditembak di kepala.


ISLAMABAD - Seorang pelajar perempuan yang ditembak di kepala oleh anggota kumpulan Taliban berada dalam keadaan stabil ketika rakyat negara ini terus berdoa agar dia cepat sembuh.
Insiden Malala Yousafzai, 14, ditembak yang berkempen untuk menuntut hak pendidikan, mendapat kecaman daripada seluruh dunia, malah pihak berkuasa Pakistan menawarkan ganjaran lebih AS$100,000 (RM305,780) bagi menangkap penyerangnya.
"Kondisi kesihatan Malala semakin memuaskan. Organ-organ pentingnya baik dan dia masih menggunakan ventilator. Sepasukan doktor juga ditugaskan untuk memantau keadaannya," jelas satu kenyataan daripada tentera Pakistan. Dia kini dirawat di sebuah hospital tentera terkenal di Rawalpindi.
Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf melawat Yousafzai dan dua orang rakannya yang cedera pada Jumaat. Mereka cedera apabila seorang lelaki bersenjata tiba-tiba masuk ke dalam bas sekolah dan melepaskan tembakan pada Selasa lalu.
"Ini bukan jenayah ke atas individu. Tetapi jenayah terhadap kemanusiaan serta serangan ke atas nilai sosial," kata Ashraf.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Saleem Bajwa semalam menyatakan tempoh 36 hingga 48 jam adalah kritikal buat Yousafzai.
Semalam, para pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara itu membaca doa buat Yousafzai. Masjid-masjid dan rumah ibadat lain turut mengadakan upacara khas untuk mendoakan Yousafzai. - AFP

Pejabat kempen Obama diserang

LOS ANGELES - Satu tembakan telah dilepaskan ke arah sebuah pejabat kempen Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Colorado kelmarin.
Tembakan tersebut bagaimanapun hanya memecahkan cermin tingkap bahagian hadapan pejabat dan tiada siapa yang cedera. Beberapa orang kakitangan berada di dalam pejabat ketika serangan itu berlaku.
"Tembakan nampaknya dihalakan ke arah struktur bangunan. Polis kini sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab," kata jurucakap polis Denver, Raquel Lopez.
Para pegawai kempen Obama tidak memberi komen mengenai insiden tersebut. Obama dan seterunya dari parti Republikan, Mitt Romney kini sedang giat berkempen dalam minggu-minggu terakhir sebelum pilihan raya presiden berlangsung pada 6 November depan. - AFP

Gudang pindah gas subsidi diserbu


SHAHRUDIN (kiri) dan seorang anggota penguat kuasa melihat peralatan yang digunakan untuk memindahkan gas bersubsidi di sebuah gudang di Klang semalam.


KLANG – Tanda tanya mengenai kehadiran lori membawa tong gas asli cecair (LPG) yang keluar masuk ke sebuah gudang di Batu 4, Jalan Kebun, Kampung Jawa di sini sejak beberapa bulan lalu terjawab apabila ia didapati menjadi pusat kegiatan menyeleweng gas bersubsidi.
Perkara itu terbongkar hasil serbuan pada pukul 6 petang kelmarin oleh anggota Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Shahrudin Hamzah.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa PPDNKK Kuala Lumpur, Mohd. Mokhtar Yeop berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui 2,100 tong gas LPG untuk kegunaan domestik yang isinya sedang dipindahkan untuk dijual bagi kegunaan industri.
Ujarnya, kesemua tong gas itu dianggarkan bernilai lebih RM500,000.
“Gudang yang terletak kira-kira 100 meter dari jalan utama dilengkapi dua pintu masuk berkunci dan diawasi tonto selain dikawal dua ekor anjing,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Telinga hilang dihakis kanser kulit


KENTY GABOT, 18, mencuci luka di kepala ibunya yang menghidap kanser kulit di Lundu, Sarawak semalam.


LUNDU – Tiada apa yang diinginkan oleh seorang pesara tentera, Gabot Sindoh selain melihat isterinya kembali ceria selain memiliki wajah seperti manusia normal.
Namun, suami berusia 57 tahun itu terpaksa pasrah menerima takdir bahawa isterinya, Jingus Nyambei, 50, berdepan dengan perubahan wajah yang mengerikan apabila menghidap kanser kulit sejak lima tahun lalu.
Penyakit yang menyerang bahagian sebelah kiri kepala wanita dari Kampung Stoum Muda dekat sini semakin merebak sehingga peluangnya untuk hidup kini tipis.
Bermula dengan kerosakan kulit kepala, Jinggus sudah hilang telinga kiri sementara mata kiri pula membengkak hingga hampir buta.
Gabot memberitahu, kisah pahit kehidupan mereka sekeluarga bermula selepas isterinya disahkan menghidap kanser kulit tahap empat pada Februari 2007.
Penyakit tersebut hanya dikesan selepas ia membesar dan cukup menyakitkan.
“Doktor sudah beritahu bahawa isteri saya tidak ada lagi harapan untuk hidup,” katanya diiringi air mata kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Gabot menambah, doktor turut mengesan beberapa ketumbuhan lain di bahagian saraf kepala yang menyebabkan isterinya semakin lemah.
Katanya, hanya harapan dan ketabahan dapat mengatasi penderitaan yang ditanggung isterinya apabila rambutnya semakin menipis dan kandungan cecair di dalam badannya juga dikatakan tidak stabil.

Polis cari enam lelaki kes curi cip mikro RM22 juta

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengesan enam lelaki bagi membantu siasatan kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM22 juta di sebuah gudang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah di sini Ahad lepas.
Mereka ialah M. Vikneswaran, 21, K. Karunageran, 27, P. Vinokumar, 23, Ooi Kah Ken, 36, S. Kalidas, 28, dan A. Jaykumar, 26.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mereka diminta hadir ke balai polis yang terdekat bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua suspek lelaki berumur 34 dan 27 tahun telah ditahan pada Khamis serta Jumaat lalu dan polis berjaya menemui semula sekotak cip bernilai RM75,000.
"Lelaki berusia 34 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Kepala Batas dipercayai orang tengah yang menjual baki cip mikro manakala seorang lagi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
"Mereka direman tujuh hari dan polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam sedikit masa lagi seterusnya menyerahkan kertas siasatan kes kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya selepas Program Senamrobik Perdana di Politeknik Seberang Perai di sini semalam.

Sokongan Suharto membawa rebah

MAZLINA (dua dari kiri) menguruskan jenazah suaminya yang tiba di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas sebelum dikebumikan malam tadi.


KLANG - Semangat membara seorang ejen insurans, Suharto Abdullah melihat pasukan kesayangannya, The Red Warriors menang dan mara ke akhir Piala Malaysia 2012 tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia sewaktu bersama-sama dengan 75,000 penonton menyaksikan perlawanan Kelantan dengan Selangor di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Walaupun perlawanan itu berkesudahan dengan Kelantan menang 2-0, Suharto, 45, tidak sempat meraikannya kerana beliau meninggal dunia pada pukul 10 malam, kira-kira 30 minit sebelum Kelantan membuka jaringan.
Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh penyerang import, Mohamad Ghaddar pada minit ke-85 manakala jaringan kedua disempurnakan oleh Mohd. Badri Mohd. Radzi pada minit terakhir.
Allahyarham yang tinggal di Taman Uda Permai, Pengkalan Chepa, Kelantan menaiki pesawat penerbangan tambang murah, Firefly dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada pukul 3 petang bersama dua orang rakan.

Penjenayah cedera ditembak


ANGGOTA polis memeriksa kereta yang dipandu seorang penjenayah ketika cuba lari daripada sekatan polis di Puchong awal pagi semalam.


PUCHONG - Drama seorang penjenayah melarikan diri daripada kepungan polis berakhir apabila suspek yang dipercayai penagih dadah cedera selepas terkena empat das tembakan dekat susur keluar Lebuh Raya Shah Alam dari Puchong ke Subang Jaya dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah memberitahu, sepasukan polis menjalankan operasi memburu suspek kerana disyaki terlibat dalam satu kes jenayah di Puchong.
"Suspek kemudian berjaya dikesan di kawasan Taman Mawar, Kinrara. Apabila pasukan polis menghalang kereta yang dipandu suspek untuk pemeriksaan, dia mengamuk dan merempuh kereta dan motosikal polis.
"Pihak polis kemudian melepaskan lapan das tembakan ke arah kereta Proton Perdana V6 yang dipandu suspek dan mengejar sejauh dua kilometer," katanya ketika dihubungi.
Katanya, satu das tembakan terkena pada tayar kereta suspek menyebabkan suspek terpaksa memberhentikan kenderaan.

Nur Fetin pantang tengok puncak gunung




SEKALI pandang, tiada siapa menyangka Nur Fetin Afiqah Ariffin gemar aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan berkhemah di dalam hutan.
Kepada gadis berusia 22 tahun ini, alam semula jadi memberikan ketenangan sambil membentuk ketahanan mental dan fizikal.
Semangat itulah yang memberinya kekuatan untuk mengendalikan tugas seharian sebagai Eksekutif Kewangan Maybank di Kuching.
"Sebagai pekerja profesional, kita kena jaga etika dan menyerap tekanan ketika berurusan dengan pelbagai kerenah pelanggan," kata siswazah bidang Pengurusan dari Kolej Multimedia Sarawak ini.
Bila tidak mendekati alam semula jadi, anak kelahiran Demak Baru, Kuching, Sarawak ini mengisi masa lapang dengan bermain boling. Dia juga menjadi model sambilan sebagai langkah awal untuk menjadi usahawan bidang fesyen.
Walaupun gadis ini cerewet dalam memilih makanan atas alasan untuk menjaga badan, dia pantang menolak kalau disajikan laksa Sarawak bersama jus epal.
Nur Fetin yang mempunyai ketinggian 158 sentimeter dan berat 52 kilogram turut gemar berkunjung ke pawagam. Gadis ini minat menonton filem seram.

20 rumah dilanda ribut


KANAK-KANAK sekolah melihat bumbung stor yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Ujong Pasir, Seremban semalam.


SEREMBAN - Sebanyak 20 buah rumah di Taman Lavender Height dan Kampung Ujong Pasir di sini rosak selepas dilanda ribut semalam.
Kejadian pada pukul 3 petang itu menyebabkan bumbung rumah diterbangkan angin.
Beberapa laluan ke taman perumahan itu juga terpaksa ditutup ekoran pokok tumbang.
Penduduk Taman Lavendar Height, Siti Ainon Basiran, 41, berkata, beberapa peralatan di rumahnya rosak akibat terkena air hujan berikutan beberapa keping atap rumah diterbangkan ribut.
Katanya, ada jalan masuk ke taman itu terpaksa ditutup bagi menjalankan kerja-kerja membersihkan pokok yang tumbang.
Sementara itu, penduduk Kampung Ujong Pasir, Azhar Abdul Aziz, 47, pula berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja di sebuah bengkel besi sebelum melihat bumbung sebuah stor berhampiran diterbangkan angin.

No comments:

Post a Comment