Mati dihempap konkrit 40 tan
|
SHAH ALAM – Sekumpulan enam buruh Indonesia yang sedang melakukan kerja-kerja ubah suai di sebuah banglo mewah bernilai hampir RM4 juta bernasib malang apabila salah seorang mereka maut manakala bakinya cedera parah apabila bumbung konkrit seberat 40 tan kediaman tersebut tiba-tiba runtuh.
Kejadian pukul 4.20 petang semalam di Jalan Jed Satu 7/5A, Seksyen 7 di sini itu berlaku ketika kesemua buruh berkenaan sedang melakukan pengubahsuaian di bahagian dalam serta aras atas banglo dua tingkat tersebut.
Ekoran runtuhan itu, kesemua mangsa terperangkap di bawah timbunan konkrit hampir 40 minit.
Difahamkan, banglo enam bilik itu dipercayai milik seorang ahli perniagaan. Ia diubah suai untuk menambah bilik surau di tingkat atas dan membuat kolam mini di aras bawah.
Datuk tidak maafkan pembunuh cucu
BATU PAHAT - "Wak tak akan maafkan dia sampai bila-bila."Demikian luahan datuk kepada bayi malang berusia lapan bulan, Nur Irsyafida Balkis Abdul Azim yang meninggal dunia dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya Selasa lalu.Datuk kepada bayi itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Ashak, 71, berkata, sesiapa pun tidak akan dapat memaafkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.
"Wak tidak faham, mengapa ada manusia tergamak berbuat demikian kepada anak comel sekecil itu," luahnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kelambu, Peserai di sini semalam.
Menurut Mohd. Ashak, dia menjaga arwah cucunya itu sejak mangsa berusia dua bulan.
"Dia jantung hati kami sekeluarga yang menceriakan rumah ini," ceritanya sedih.
Isteri rayu suami dibebaskan
KUCHING - Seorang isteri merayu Kementerian Luar membantu membebaskan suaminya yang kini ditahan di sebuah penjara di Pontianak, Kalimantan Barat sejak hampir empat bulan lalu atas tuduhan memperdagangkan manusia.
Maesaroh Siti, 27, membuat rayuan tersebut memandangkan dakwaan yang dikenakan ke atas suaminya, Salleh Rambli, 44, adalah tidak benar sama sekali.
Dakwanya, sejak ditahan di penjara tersebut selama 114 hari, suaminya yang merupakan pengusaha restoran sentiasa diugut dan dipukul sekumpulan banduan bagi mendapatkan wang.
"Saya merayu kepada Kementerian Luar supaya membantu suami saya supaya dapat pulang ke negara ini kerana dia tidak bersalah. Anak-anak juga merinduinya.
"Saya buntu memikirkan nasibnya kerana sejak tahanan reman dilanjutkan enam kali, dia sering diancam dan dipukul banduan lain.
"Beberapa hari lalu, saya dapat bercakap dengannya dan saya dapat dengar nada suaranya dalam ketakutan," ceritanya kepada Kosmo! semalam.
Kampung Air 20 tahun terbakar
SEMPORNA - Lebih 600 penghuni perkampungan air di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka yang terletak di Kampung Selamat, Simunul hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan 81 buah rumah papan yang diduduki lebih 600 penghuni sejak lebih 20 tahun lalu itu musnah dijilat api.
Akibat kejadian itu, lima orang penduduk cedera kerana melecur dan mereka menerima rawatan lanjut di Hospital Semporna, Sabah.
Kampung Selamat merupakan sebuah perkampungan padat dengan jumlah penghuni sekitar 3,000 orang yang difahamkan kebanyakannya terdiri daripada pelarian Filipina semasa krisis peperangan di negara terbabit pada tahun 70-an.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd. Razali Ag. Ahmad berkata, sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.41 pagi.
Katanya, operasi memadamkan api turut dibantu sebuah jentera dan 12 anggota dari Balai Bomba Tawau selain dua jentera utiliti bersama tujuh anggota dari Kunak.
"Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa hampir dua jam berikutan kedudukan rumah terbabit yang begitu rapat antara satu sama lain.
"Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar pukul 3.53 petang," katanya di sini semalam.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, jumlah kerugian mencecah kira-kira RM938,000 dan punca kejadian masih disiasat.
Semua mangsa kebakaran terbabit akan ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Semporna.
Pelakon A. Aida mohon fasakh
|
KUALA LUMPUR - Kegagalan untuk bercerai secara baik selepas mendakwa syarat yang diberikan tidak masuk akal menyebabkan penerbit dan pelakon, A. Aida memilih untuk memfailkan fasakh di Mahkamah Rendah Syariah di sini terhadap suaminya, Deputi Superintendan Suffian Sulaiman.
Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, dijangka memfailkan permohonan itu awal minggu depan terhadap suaminya yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat di Jabatan Logistik Bukit Aman di mahkamah sama.
Hasrat itu dinyatakan selepas penerbit drama kontroversi Halimah Jongang itu menarik semula permohonan cerai secara baik semalam. Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 pada 27 September lalu.
Selaku plaintif, Aida yang diwakili peguam syarie, Zulkifli Che Yong memberitahu, permohonan itu dibuat selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan secara baik berhubung syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Terdapat syarat-syarat yang diletakkannya (Suffian) tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.
"Jadi, pihak saya menarik balik permohonan cerai secara baik dan akan membuat permohonan fasakh secepat mungkin pada minggu depan," jelas Aida ketika ditemui di luar mahkamah semalam.
Dua beradik terjun takut asap
MELAKA - Demi adik yang dikasihi, seorang remaja bertindak nekad dengan memeluk adiknya itu sebelum mereka sama-sama terjun dari tingkat atas sebuah rumah teres di Taman Datuk Tamby Chik Karim, Batu Berendam yang terbakar dekat sini kelmarin.
Sebelum kebakaran pada pukul 9.40 malam itu, Noor Munirah Syazwani Zakir, 16, dan dua adiknya, Mohd. Zarif Nazmi, 8, dan Yasin Amirul Aiman, 3, sedang menonton televisyen di ruang tamu di tingkat atas sebelum bahagian dapur rumah tersebut tiba-tiba terbakar.
Ibu bapa kepada tiga beradik itu, Zakir Abu Hussin, 38, dan Norizan Idris, 39, semasa kejadian sedang berniaga di Pasar Borong, Batu Berendam yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka.
Munirah yang panik selepas asap tebal memenuhi ruang tamu di tingkat bawah rumah terus membawa kedua-dua adiknya itu masuk ke sebuah bilik.
Melalui tingkap di bilik itu, Munirah kemudian membawa dua adiknya itu turun ke atas sengkuap rumah
Penduduk Taman City minta pembahagi jalan
KUALA LUMPUR – Penduduk di sekitar Taman City, Segambut di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina pembahagi jalan di susur keluar Taman City ke Jalan Kuching bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan tersebut.
Menurut seorang penduduk, Ng Chuan Chye, 51, ketiadaan pembahagi jalan di susur keluar taman itu menyebabkan pemandu mengalami kesukaran untuk keluar ke Jalan Kuching.
“Pengguna terpaksa menghabiskan banyak masa untuk keluar ke Jalan Kuching memandangkan jalan tersebut merupakan jalan utama dan sangat sibuk.
“Tambahan pula, sikap pengguna yang suka memandu laju memburukkan lagi keadaan sehingga menjejaskan aliran trafik dan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Penyamun kempunan tercicir gelang emas
KOTA BHARU - Empat penyamun bersenjatakan pistol berputih mata apabila gagal melarikan seutas gelang emas kepunyaan pemilik sebuah kedai runcit dalam kejadian samun di Kampung Pantai Sabak, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.
Kejadian pukul 8 malam itu berlaku apabila dua daripada empat suspek yang memakai topi itu masuk ke dalam kedai berkenaan dan berpura-pura membeli minuman.
Mereka kemudian tiba-tiba merentap gelang tangan mangsa, Fatimah Hussin, 50, yang ketika itu berada di kaunter kedai tersebut.
Cerita Fatimah, dia terkejut dengan tindakan lelaki itu manakala seorang lagi lelaki mengeluarkan sepucuk pistol dan mengarahkannya supaya mendiamkan diri.
"Saya tidak endahkan amaran mereka lalu menjerit dan menyebabkan anak lelaki saya, Che Mohd. Fakaruddin Che Abdul Aziz, 19, yang berada di dalam kedai meluru keluar ke arah kami.
"Menyedari keadaan itu, kesemua lelaki tersebut bergegas keluar dan sempat melepaskan tembakan ke udara sebelum melarikan diri dengan kereta Perodua Myvi," katanya di sini semalam
Kapal didaftar di Malaysia karam
|
SEOUL - Tiga kelasi warga Filipina dan dua rakyat China terbunuh semalam apabila sebuah bot pengawal pantai Korea Selatan yang dinaiki mereka karam, kata beberapa pegawai.
Ketika kejadian, bot itu menyelamatkan mereka dari sebuah kapal kargo Shinline yang turut karam.
Seorang jurucakap pengawal pantai berkata, bot itu terbalik ketika membawa 15 anak kapal kargo itu.
Kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan seberat 5,436 tan itu karam berhampiran Pulau Jeju, di selatan negara ini.
Menurutnya, sebuah lagi bot pengawal pantai yang terlibat dalam operasi menyelamat kemudian hanya berjaya menyelamatkan 10 kelasi kapal tersebut.
Kapal kargo itu membawa 13 kelasi warga China dan enam rakyat Filipina membuat panggilan kecemasan selepas kapal yang dalam pelayaran ke Singapura itu mula tenggelam.
"Sebuah bot yang digunakan dalam operasi menyelamat itu terbalik kerana ombak kuat," kata jurucakap berkenaan.
Kesemua kelasi dan pengawal pantai yang selamat itu telah dihantar ke sebuah hospital di Jeju. - AFP
Jual lembu korban dengan cara yang unik
|
DEPOK, Indonesia - Seorang ahli perniagaan, Ramdoni mengubah suai bilik pameran kereta miliknya menjadi tempat jualan sejumlah lembu untuk dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidiladha di sini.
Dia turut menggaji beberapa wanita yang memakai pakaian koboi untuk menjadi jurujual lembu dan melayan pelanggan-pelanggannya.
Jurujual wanita itu turut membawa komputer tablet yang mengandungi maklumat tentang lembu seperti umur, berat badan dan baka haiwan tersebut.
Para pembeli juga boleh membeli lembu itu dengan menggunakan kad kredit dan debit. - Agensi
PM Australia terjatuh di depan kamera
SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard (gambar) terjatuh selepas beliau meletakkan kalungan bunga di Memorial Mahatma Gandhi di New Delhi, India kelmarin.
Gillard terjatuh selepas kasut tinggi yang dipakainya terbenam di kawasan berumput semasa beliau berjalan ke arah pemberita dan jurugambar media.
Bagaimanapun, beliau kemudian segera bangun dan ketawa.
Gillard mengaku bahawa kasut tinggi yang dipakainya itu boleh terbenam di kawasan berumput sehingga menyebabkannya terjatuh.
Klip video yang menunjukkan perdana menteri itu terjatuh disiarkan berulang kali di televisyen Australia semalam.
Beberapa program berita dan media sosial juga menyiarkan klip video itu.
Akhbar Daily Telegraph di negara ini turut menyiarkan berita tentang kejadian tersebut di muka depan. - AFP
Google dedah pusat data
SAN FRANCISCO - Syarikat Google kelmarin mendedahkan gambar beberapa pusat datanya yang menunjukkan sejumlah komputer memproses permintaan pengguna internet.
Pusat itu memproses permintaan klip video YouTube dan menghantar e-mel kepada berjuta-juta orang.
Imej pusat data itu boleh dilihat menerusi laman web yang baharu diperkenalkan Google iaitu www.google.com/about/ datacenters/gallery/.
Laman tersebut memaparkan lapan buah pusat data utama yang terletak di Amerika Syarikat, Finland dan Belgium.
Google juga akan membina pusat data baharu di Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Chile. - Agensi
Misi cipta rekod lebih laju daripada peluru
SYDNEY - Seorang pelumba Australia, Rosco McGlashan mahu mencipta rekod lebih laju daripada peluru pada 2014 dengan memandu sebuah kereta.
McGlashan percaya dia mampu mencipta rekod itu dengan memandu sebuah kereta yang dilengkapi teknologi roket pada kelajuan 1,609 kilometer sejam.
Kereta yang dipandunya akan bergerak lebih laju daripada sebutir peluru.
Kos bagi menghasilkan kereta itu ialah AS$4.2 juta (RM12.75 juta).
Kereta itu yang diberi nama Invader 5R sepanjang 16 meter.
Ia dijana kuasa roket dan menggunakan bahan bakar bio serta cecair oksigen. -
Dia dan anggota-anggota pasukannya akan menguji kereta tersebut pada tahun depan. - AFP
No comments:
Post a Comment