Neelofa mengakui selesa dengan Hans
|
|
PETALING JAYA – Pelakon jelita Noor Neelofa Mohd. Noor, 23, mengakui selesa berkawan dengan aktor terkenal, Hans Isaac, 41, yang disifatkannya antara rakan rapat yang sentiasa dihubungi jika ada kelapangan.
Pengacara rancangan Nona terbitan TV3 itu menjelaskan, Hans merupakan kawan lelakinya yang akan dihubungi apabila tidak terlibat dengan sebarang penggambaran.
Justeru Neelofa tidak menafikan memang ada keluar bersiar-siar dengan aktor itu jika ada masa terluang.
“Saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan apa-apa tetapi Hans adalah kenalan rapat saya antara beberapa kawan yang saya ada,” jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Skrin 2011 di Mutiara Damansara di sini semalam.
Bayi didera mati di pangkuan ibu
BATU PAHAT – Setelah enam hari bertarung nyawa, seorang bayi berusia lapan bulan yang mengalami keretakan di tempurung kepala dipercayai akibat didera, meninggal dunia dalam dakapan ibunya di sini kelmarin.
Bayi malang itu, Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim, meninggal dunia pukul 2.30 petang di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini setelah dimasukkan ke hospital itu pada 11 Oktober lalu.
Bayi itu yang turut mengalami patah tangan kanan dan kaki kiri dipercayai didera teman lelaki ibu mangsa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak di sini, pukul 5 petang semalam.
Ibu mangsa, Rafidah Mohd. Ashak, 29, berkata, ketika dimasukkan ke hospital Khamis lalu, doktor memberitahu anaknya itu tidak mempunyai peluang untuk hidup.
Jumpa bank jika terbengkalai
KUALA LUMPUR – Pembeli rumah yang menghadapi projek terbengkalai dinasihat mendapatkan bantuan terus daripada bank yang menyediakan pinjaman dan tidak menggunakan ejen untuk menyelesaikan masalah mereka.
Presiden Institusi Perbankan Islam Malaysia, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid (gambar kecil) berkata, langkah tersebut adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka daripada menggunakan khidmat ejen yang akhirnya mengenakan bayaran tinggi bagi khidmat yang diberi.
“Kami mendapat tahu perkara ini berlaku dan masalahnya ialah bank terikat dengan akta bahawa kami hanya boleh berurusan dengan pengguna, melainkan mendapat kebenaran secara bertulis,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Wanita sembunyi arak curi di celah paha
KUALA LUMPUR – Guna baju labuh untuk sembunyi barang. Itulah taktik seorang wanita ketika mencuri lima karton minuman keras di sebuah pasar raya dekat sini baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku pada 27 September lalu di KK Supermart di Taman Bukit Serdang di sini dilakukan secara berkumpulan yang turut melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak.
Menurut Pengurus Kawalan Keselamatan KK Supermart, S. Selvakumar, kejadian hanya disedari selepas dia mendapati stok simpanan minuman tersebut berkurangan pada 29 September lalu.
“Apabila meneliti semula rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), beberapa suspek didapati berpakat mencuri lima karton minuman keras yang setiap satunya seberat 12 kilogram dan satu pek minuman Milo.
“Lebih mengejutkan, rakaman itu menunjukkan barang-barang itu dicuri oleh seorang wanita yang menyembunyikannya di celah paha sebelum dibawa keluar,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Dipukau wanita berjubah hitam
KULIM – Seorang bekas pekerja Telekom Malaysia kerugian lebih RM20,000 selepas barang kemas dan jam tangan miliknya dilarikan oleh seorang wanita berjubah hitam di Padang Serai di sini Jumaat lalu.
Mangsa, Siti Shamshiah Ahmad, 60, mendakwa, dia tidak menyedari kehilangan barangan tersebut kerana telah dipukau oleh wanita tersebut.
Ceritanya, ketika kejadian, dia bersama suami serta beberapa ahli keluarga lain keluar untuk membeli barangan keperluan di pekan Padang Serai kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ujarnya, ketika singgah di sebuah gerai menjual ubat tradisional, dia tiba-tiba dihampiri oleh seorang wanita yang tidak dikenalinya.
“Wanita itu mendakwa dia mengalami sakit mata dan meminta saya melihat ke arah matanya yang merah.
“Saya mengikut arahannya dan sebaik melihat mata wanita itu secara dekat, saya tidak sedar apa yang berlaku selepas itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keladi Lambok di sini semalam
Buat laporan palsu dirogol bapa
KUALA LUMPUR – Seorang gadis tergamak membuat laporan palsu mendakwa dirinya dirogol oleh bapa sendiri gara-gara terlalu marah dengan tindakan orang tuanya itu yang menghalang dia berkawan dengan seorang lelaki.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, remaja berusia 19 tahun itu membuat laporan polis pada 4 Oktober lalu dan mendakwa dia dirogol oleh bapanya ketika berada di dalam bilik di rumahnya di Brickfields pada awal pagi.
“Ibu bapa remaja terbabit sudah tinggal berasingan. Remaja itu dan bapanya yang berusia 46 tahun tinggal di Brickfields manakala ibu gadis itu pula tinggal di Klang,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Menurut beliau, sebelum ini remaja terbabit tinggal bersama ibunya namun berpindah ke rumah bapanya selepas gadis itu dikatakan kerap keluar bertemu dengan lelaki.
Terlelap: Guru besar sekolah agama maut
MUAR – Seorang guru besar sebuah sekolah agama di sini terpaksa menahan kesakitan selama 20 minit akibat tersepit dalam kereta dipandunya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di Batu 16, Jalan Bakri-Air Hitam dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, Mukinah Warno, 52, yang baru beberapa bulan bertugas sebagai Guru Besar Sekolah Agama Bukit Naning baru meninggalkan sekolahnya selepas tamat sesi persekolahan pada hari tersebut.
Mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 17 namun tiba di tempat kejadian, Mukinah dikatakan terlelap menyebabkan keretanya terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Bakal pengantin mati kemalangan
GEORGE TOWN – Hasrat seorang pemuda untuk melangsungkan pernikahan dengan tunangnya pada awal bulan depan berkecai apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa, Sheikh Mohd. Adam Mohd. Ishak, 20, mati di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di kepala.
Bagaimanapun, tunangnya Noorfazliana Mohd. Ramli, 22, hanya cedera ringan.
Difahamkan, kemalangan berlaku selepas motosikal yang dinaiki mangsa bersama tunangnya dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan di Lebuh Raya Lembah Permai.
Rempuhan kuat menyebabkan Mohd. Adam yang merupakan anggota Skuad Muda Ikatan Relawan Malaysia (Rela) Timur Laut tercampak ke bahu jalan dan menyebabkan dia mati di tempat kejadian.
Helikopter tentera Syria ditembak jatuh di Idlib
DAMSYIK - Para penentang Presiden Bashar Al-Assad menembak jatuh sebuah helikopter dalam satu pertempuran sengit ketika pihak tentera berusaha untuk menawan sebuah bandar di Syria semalam.
Helikopter itu ditembak jatuh di wilayah Idlib.
Kejadian itu berlaku semasa Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi memberi amaran bahawa konflik yang berlaku di Syria boleh merebak menjadi semakin serius.
Beberapa pertempuran masih tercetus di Damsyik dan Aleppo walaupun Brahimi meminta gencatan senjata dilaksanakan antara pihak penentang dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad bagi menghormati kedatangan Hari Raya Aidiladha.
"Saya berharap pihak pemerintah Syria dan puak penentang bersenjata dapat memberikan reaksi positif untuk melakukan gencatan senjata dan berhenti daripada melakukan kekejaman ketika sambutan hari raya," katanya.
Menurut Brahimi, beliau tidak mahu pergolakan di Syria berterusan seperti Lebanon yang mengambil masa selama 19 bulan bagi mengakhiri tragedi pertumpahan darah.
"Krisis ini tidak boleh dibiarkan berterusan berlaku di Syria," katanya kepada media di Beirut.
Konflik tersebut yang bermula pada Mac 2011 di Syria itu telah meragut lebih 30,000 orang.
Para penentang tersebut mahu Bashar meletakkan jawatan kerana beliau gagal melaksanakan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara.
Ketegangan juga semakin meningkat antara Damsyik dan Ankara apabila lima warga Turki terbunuh dalam bedilan meriam tentera Syria pada 3 Oktober lalu. - Agensi
Lelaki 96 tahun jadi bapa tertua di dunia
HARYANA, India - Seorang lelaki berusia 96 tahun menjadi bapa paling tua di dunia selepas isterinya yang telah dikahwininya selama 17 tahun melahirkan anak kedua mereka pada awal bulan ini, lapor portal berita Indian Today semalam.
Lelaki itu, Ramajit Raghav dan isterinya, Shakuntala, 54, tidak pernah dikurniakan cahaya mata untuk tempoh 15 tahun pertama perkahwinan mereka.
Pasangan yang bertemu jodoh di sebuah perkampungan Kharkhosa di daerah Sonepat itu menerima kehadiran cahaya mata sulung lelaki dua tahun lalu.
Bagaimanapun, anak kedua mereka, Ranjit dilahirkan 5 Oktober lalu.
"Tuhan mungkin mahukan kami memiliki lagi anak. Saya sangat gembira," katanya yang juga seorang petani.
Raghav yang berasal dari Azamgarh berhijrah ke Sonepat 20 tahun yang lalu bagi mendapat pekerjaan.
Dia merupakan bekas ahli gusti ketika zaman mudanya.
Raghav memecahkan rekod sebagai bapa tertua di dunia buat kali pertama pada 2007.
Petani tersebut menewaskan rekod yang dipegang oleh lelaki dari Rajasthan, Nanu Ram Jogi yang berusia 90 tahun apabila memperoleh anaknya yang ke-21.
Raghav kini memecahkan rekodnya sendiri apabila dia memperoleh anak keduanya.
Menurut petani tersebut, dia mahu kedua-dua anaknya menjadi pegawai tinggi pentadbiran.
Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan, Raghav mengamalkan diet dengan meminum susu, memakan buah badam dan mentega.
Petani itu berkata, jiran-jirannya berasa cemburu kerana dia berjaya memperoleh dua anak yang sihat.
Raghav berkata, jiran-jirannya kerap bertanya rahsia kesihatan dirinya.
Lelaki tersebut berkata, dia mengambil berat tentang isterinya dan memenuhi keperluannya.
"Dia seorang wanita yang amat gembira," katanya.
Ketika Shakuntala melahirkan anaknya di sebuah hospital di sini, petani tersebut diketawakan oleh doktor-doktor kerana dia menyatakan bayi itu ialah anaknya.
Shakuntala menyatakan dia amat sayang suaminya itu.
"Saya menyayanginya walaupun dia kadangkala menjerit ke arah saya," katanya.
Menurut portal berita International Business Times, dia tidak mahu anak lagi selepas memperoleh dua cahaya mata. - Agensi
Buah labu terbesar dunia milik Wallace
NEW YORK - Seorang penanam labu, Ron Wallace dari Greene, Pulau Rhode, Amerika Syarikat diundang menghadiri program bual bicara Live with Kelly and Michael di sini kelmarin.
Dia diundang bagi menceritakan tentang buah labunya yang seberat 849 kilogram (kg).
Buah labu itu direkodkan sebagai yang terbesar di dunia.
Ia mengatasi rekod Guinness World Records hampir 90.71kg.
Wallace memenangi pertandingan buah labu terbesar pada pertandingan hasil pertanian di Topsfield, Massachusetts baru-baru ini.
Dia menenangi hadiah wang tunai sebanyak AS$5,500 (RM16,694) ekoran kemenangannya.
Wallace juga memperoleh wang tunai sebanyak AS$10,000 (RM30,353) kerana berjaya memecahkan rekod dunia. - Agensi
No comments:
Post a Comment