Tuesday, October 23, 2012

DALAM ISLAM KITA TAK DIBENAR SUKA ORANG BERMUKAH...DAN TAK ELOK ORANG BERMUKAH DILANTIK JADI PEMIMPIN...SERTA BERCAKAP TENTANG MORAL...SEDANGKAN DIRI TAK BOLEH JADI CONTOH

Diserang 200 Mat Rempit

Posted on the October 22nd, 2012 under Tempatan by admin


TERUK…kereta mangsa dipecahkan kumpulan bermotosikal, kelmarin.
ALOR SETAR: Sekumpulan 200 lelaki dipercayai Mat Rempit bertindak ganas dengan memecahkan cermin kereta dinaiki dua lelaki sebelum membelasah mereka, menyebabkan seorang daripada mangsa parah dalam kejadian di Jalan Pegawai, di sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan mangsa remaja berusia 18 tahun parah di kepala serta badan dan kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, manakala rakannya berusia 21 tahun dirawat sebagai pesakit luar HSB.
Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa menaiki Proton Saga Aeroback dikatakan dalam perjalanan ke sebuah restoran di Lebuh raya Darulaman, di sini, untuk menikmati makan tengah malam bersama rakan.

Sebaik tiba di satu persimpangan lampu isyarat, pemandu kereta itu mahu membelok ke kiri sebelum dikatakan terlanggar seorang Mat Rempit sehingga terjatuh menyebabkan kumpulan berkenaan mengejar mangsa bersama rakan-rakannya sejauh satu kilometer.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan berkata, kumpulan remaja yang menunggang motosikal itu dipercayai menyerang dan terus membelasah mangsa serta memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan topi keledar dan besi papan tanda.
Harian Metro

Hanya Mahkamah Boleh Urus Emas Yang Dirampas – Bank Negara

Posted on the October 23rd, 2012 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR: Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan bagi kes-kes jenayah melibatkan skim kewangan haram menggunakan emas hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.
Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata pelabur mungkin boleh memfailkan tuntutan pihak ketiga kepada mahkamah bagi pemulangan wang atau emas mereka, namun maklumat berkenaan perkara itu akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.
Kenyataan Bank Negara bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu dikeluarkan bagi menjawab soalan-soalan lazim orang ramai berkaitan serbuan ke atas syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan kegiatan kewangan haram menggunakan emas.

Kenyataan itu menyebut aset dan emas yang dirampas semasa serbuan akan didokumenkan dengan teliti, diambil kira dan disimpan di tempat selamat.
Katanya operasi mencari dan merampas aset-aset tersebut adalah bagi mengelakkan syarikat yang disyaki daripada menyembunyikan bahan bukti; selain mengelakkannya daripada lesap dan memberi kesan buruk kepada pelabur.
Menurutnya, pada masa ini siasatan masih lagi dijalankan namun tempoh siasatan bergantung kepada tahap kompleksiti dan keseriusan sesuatu kes.
“Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Siasatan ini diberi keutamaan tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi penguatkuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan,” katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah, selain merujuk kepada agensi berkaitan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan kewangan tidak berlesen. – BERNAMA

Penulis blog seks berkata beliau peminat Soi Lek, secara seksual

Posted on the October 23rd, 2012 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Penulis blog seks kontroversi Alvin Tan telah menggelar dirinya sebagai peminat kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) yang terlibat dalam skandal seks dengan teman wanitanya.
“Saya memandang tinggi kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, secara seksual. Kelakar bila semua perkara ini timbul,” kata Tan dalam laman Facebooknya.
Sungguhpun kenyataan Tan mengatakan dia adalah peminat Dr Chua hanyalah satu gurauan, ia juga menjadi berita yang tidak diingini kepada presiden MCA tersebut tatkala beliau akan menghadapi pilihan raya dan dalam masa sama kurang popular di kalangan masyarakat Cina.

Pada tahun 2007, rakaman rahsia Dr Chua sedang mengadakan hubungan seks dengan kekasihnya di sebuah hotel di Johor telah tersebar di khalayak ramai.
Beliau kemudian dipaksa meletak jawatan selaku menteri kesihatan pada tahun 2008 dan tidak dipilih oleh Barisan Nasional (BN) sebagai calon dalam pilihan raya tersebut. Tetapi beliau telah kembali dan menjadi presiden MCA pada tahun 2010 selepas konflik dalaman dalam parti yang berlarutan.
Walaupun memenangi jawatan presiden, Dr Chua masih tidak mendapat jawatan kabinet, kerana persepsi negatif terhadap isu seksnya.
Tan mencipta kontroversi selepas dia dan kekasihnya meletakkan gambar dan video mereka melakukan hubungan seks di dalam blog.
Tan merupakan pelajar undang-undang Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan memegang biasiswa.
Selepas berita blognya tersebar, dia dan kekasihnya Vivian Lee, juga dari Malaysia, disiasat oleh pihak universiti atas dakwaan merosakkan nama universiti.
Tan akan menghadapi inkuiri disiplin pada 31 Oktober ini.
Minggu lalu, dia menyebarkan blognya di sebuah forum di Singapura, yang bertajuk “Sumptuous Erotica”, yang menurutnya mahu semua orang untuk terhibur.
Blog itu bagaimanapun telah ditutup.
Tan berpindah ke Singapura di bawah biasiswa Asean 2004 selepas belajar di Xinmin Secondary Schools dan Raffles Junior College sebelum menyertai NUS.
Dalam status Facebook yang berlainan, Tan juga mengkritik media yang mahu menjual ceritanya untuk mendapat keuntungan.
“Memalukan saya sahaja sebagai seorang ahli perniagaan. Mereka sedang membuat keuntungan atas Vivian dan saya,” katanya lagi.
Malaysian Insider

Khasiat makanan sunah Rasulullah

Posted on the October 22nd, 2012 under Agama,Kesihatan by admin


SEJAK tahun 1998, Abdul Malek Faisal Mohd. Hyffny tidak pernah cuai dalam jadual pengambilan kapsul habbatus sauda atau jintan hitam sebagai makanan tambahan setiap pagi dan malam. Jarang sekali beliau terlupa untuk memakannya.
Bekerja sebagai pengamal media membuatkan rutin hidupnya sentiasa berdepan dengan tekanan. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Malek diserang hipertensi.
Justeru, Abdul Malek berikhtiar merawat kesihatan dirinya. Selain mendapatkan rawatan di hospital, beliau turut menggunakan kaedah alternatif bagi mengawal penyakit yang dihidapnya.

Dalam tempoh dua minggu mengamalkan pengambilan habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa, Abdul Malek menyedari perubahan positif pada kesihatan dirinya.
“Saya mengambil dua biji kapsul habbatus sauda pada waktu pagi dan dua biji pada waktu petang.
“Apa yang menggembirakan, saya dapat menghidupkan salah satu daripada sunah Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan,” ujar Abdul Malek, 46, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tidak lama selepas itu, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana mahu menimba ilmu di Syria. Berada di negara Asia Barat itu selama tiga tahun membuka peluang kepada Abdul Malek untuk mengenali tumbuhan habbatus sauda.
Di Syria, beliau mengunjungi sebuah ladang hijau yang subur dengan tumbuhan hababtus sauda di Hama.
Hama merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Orontes yang terletak di bahagian tengah Syria atau 213 kilometer ke utara Damsyik.
Memiliki populasi kira-kira 700,000 orang, Hama merupakan bandar keempat terbesar di negara itu selepas Aleppo, Damsyik dan Homs.
Rentetan daripada itu, Abdul Malek tidak teragak-agak untuk menjalankan perniagaan memasarkan produk berasaskan habbatus sauda ke Malaysia.
Niatnya semata-mata untuk mempromosikan produk dan amalan pemakanan yang mengikut sunah Rasulullah SAW.
“Melalui kerjasama dengan seorang sahabat di Syria, saya menubuhkan syarikat M Faisal Sdn. Bhd.
“Visi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebaikan produk ini di samping menjadi peneraju penghasilan produk berkenaan,” jelas Abdul Malek sambil memaklumkan bahawa perkataan M itu merujuk kepada sahabatnya, Shaikh Markhzan Jalani selaku pengarah bersama syarikat itu.
Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan. Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean.
Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.
Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendekiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.
Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.
Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati, ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat antitumor tanpa kesan sampingan.
Makam Firaun
Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen. Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.
Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.
Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati.”
Prof. Dr. Latiffah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menjelaskan, tumbuhan Nigella sativa adalah salah satu anugerah Allah yang amat bernilai buat manusia.
Justeru, sebagai saintis dan pakar perubatan kesihatan awam, beliau bertanggungjawab untuk menghuraikan hakikat tersebut dengan fakta sains bagi membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad.
“Habbatus sauda memang menakjubkan kerana setiap butir bijirin ini terdiri daripada berjuta-juta sel yang menyerupai sel darah manusia,” ujar beliau yang menjalankan penyelidikan tentang habbatus sauda selama sedekad.
Latiffah mengakui semakin banyak kajian dilakukan, semakin banyak pendedahan baharu ditemui.
“Apa yang pasti terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam bijirin hitam dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.
“Hasil beberapa kajian yang kami jalankan membuktikan bahawa bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung,” jelas beliau.
Lewatkan penuaan
Ujar Latiffah, kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.
“Penyelidikan itu merumuskan bahawa habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.
“Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.
“Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan,” terang Latiffah yang turut mengkaji keberkesanan habbatus sauda terhadap wanita menopaus dalam aspek peningkatan kualiti kehidupan seperti kecergasan mental, spiritual dan hubungan kelamin.
Tambah beliau, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.
“Buat masa ini, saya masih mengkaji tentang persediaan habbatus sauda yang terbaik untuk diambil iaitu sama ada dalam bentuk asli, minyak atau dicampur dengan bahan lain.
“Namun, secara saintifik sukar untuk dipastikan keberkesanan makanan yang bercampur. Misalnya, mengambil habbatus sauda dengan madu.
“Kita tidak tahu yang mana satu antara kedua-duanya yang menjadi penyembuh dan memberi kesan positif kepada sesuatu keadaan,” jelas beliau.
Kosmo

Liabiliti Genneva Malaysia Melebihi Aset – Awang Adek

Posted on the October 24th, 2012 under Tempatan by admin

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) melebihi aset syarikat itu.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.
Beliau berkata siasatan awal BNM mendapati syarikat itu memang menjalankan urus niaga penjualan emas untuk menarik minat pelabur, tetapi bertukar kepada hanya mengambil deposit dan urusan pemberian jongkong emas kepada pelanggan tergendala serta lambat.

Beliau menyifatkan operasi Genneva Malaysia sama seperti kebanyakan skim cepat kaya yang tidak sah.
“Genneva sudah ada unsur pengambilan deposit dan jumlah yang dilabur oleh rakyat dengan aset yang ada pada syarikat begitu kecil, jadi ada jarak yang amat besar antara aset dan liabiliti.
“Jadi bagaimana dia (Genneva) nak bayar bila liabiliti berbilion ringgit dan aset pula hanya dalam lingkungan jutaan (ringgit),” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Baru-baru ini, BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarah syarikat selepas beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis.
Dalam pada itu, Awang Adek berkata Bank Negara sedang meneliti tindakan sewajarnya ke atas Genneva Malaysia dan Bank Negara juga tidak mungkin dapat membayar nilai pelaburan kepada para pelanggan syarikat terbabit.
“Pada mulanya ada yang dapat pulangan dua peratus sebulan, dan ini tidak betul. Kita tak boleh kata pelabur tak bersalah, dia pun melabur dan ada risiko.
“Syarikat memang salah. Mana ada skim yang boleh bagi pulangan baik, jika ia terlalu bagus, ia tidak mungkin betul,” katanya.
Sementara itu, berkaitan isu Konsortium Indah Water (IWK) Sdn Bhd, Awang Adek berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberi jaminan untuk melakukan penstrukturan semula secepat mungkin bagi mengatasi masalah kebergantungan kepada subsidi kerajaan.
“Memang (IWK) mempunyai masalah struktur. Masalahnya ialah caj kepada pengguna adalah RM2 ke RM8, tidak cukup untuk menanggung kos operasi sebenar RM23 seunit. IWK nak caj RM23, kerajaan tidak benarkan kerana rakyat bising, rakyat kata mahal,” katanya.Persidangan dewan bersambung esok. – BERNAMA

Dipenjara tiga bulan curi syampu

Posted on the October 22nd, 2012 under Tempatan by admin


Tertuduh, Mohd Azri Hafiz mengaku mencuri tiga botol syampu dan tiga kotak ubat gigi milik kedai runcit Rohani Ahmad di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU- Seorang penganggur mengambil jalan mudah menjadi ‘pemborong’ tanpa mengeluarkan sebarang modal dengan mencuri barangan runcit di sebuah kedai runcit di kampungnya sebelum menjual semula dengan harga ‘borong’ iaitu tiga barang hanya RM10 kepada warga Indonesia di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, perbuatan tidak pernah serik tertuduh, Mohd Azri Hafiz Aziz, 28, dari kawasan perpindahan Chendering, di sini, yang sudah beberapa kali keluar masuk penjara kerana kesalahan mencuri sebelum ini menerima pembalasan selepas dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tidak cukup dengan itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut memutuskan agar dia dikenakan tamba-han penjara dua minggu lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.
Semua hukuman itu diputuskan selepas Mohd Azri Hafiz mengaku bersalah mencuri tiga botol syampu jenama Pantene; dua kotak ubat gigi Fresh & White dan sekotak ubat gigi jenama Darlie di sebuah kedai runcit milik Rohani Ahmad, 39, di Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering, di sini.
Mohd Azri Hafiz mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan itu pada 14 Oktober lalu lebih kurang jam 11.02 pagi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superitendan Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, ketika hari kejadian, Mohd Azri Hafiz yang dikenal sebagai Hafiz oleh mangsa telah datang ke kedai runcit milik mangsa bersama seorang lagi lelaki sebayanya dipercayai rakannya.
Hafiz yang turut mengenali mangsa berlagak selamba dan sempat bersembang dengan mangsa sebelum keluar dari kedai runcit itu bersama barang dicuri yang bernilai keseluruhan RM46.70.
Mangsa sebelum itu langsung tidak menyedari perbuatan Hafiz, bagaimanapun terkejut selepas terlihat Hafiz sedang memasukkan barangan berkenaan di dalam seluar dan baju dipakainya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang.
Yakin Hafiz telah melakukan perbuatan terkutuk itu, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Chendering dan susulan laporan dibuat, pada 17 Oktober lalu, lebih kurang jam 12.50 tengah hari, dia ditahan di kediaman keluarga angkatnya di kawasan perpindahan Chendering iaitu di tepi pantai Chendering, di sini.
Harian Metro

Polis Tahan 13 Lelaki Disyaki Terlibat Kes Menyamar Kerabat Diraja Kedah

Posted on the October 24th, 2012 under Tempatan by admin


GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan 13 lelaki disyaki terlibat dalam kes penyamaran anggota kerabat diraja Kedah di sebuah hotel di Jalan Penang pada Selasa.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam serbuan pukul 3 petang itu, kesemua lelaki berusia sekitar 38 hingga 61 tahun itu ditahan ketika menghadiri program yang dinamakan ‘Majlis Pelantikan Ahli Pertubuhan Kebajikan Islamiah Malaysia Diraja’ sebagai tetamu kehormat di hotel berkenaan.
Katanya majlis yang dijadual berlangsung dari pukul 3 hingga 5 petang itu dihadiri kira-kira 120 tetamu yang terdiri daripada individu terlibat dengan pengurusan pusat hiburan di negeri ini.

“Polis bertindak berdasarkan maklumat awam dan masih menyiasat apa relevannya majlis yang diadakan itu dengan pertubuhan terbabit serta motif penyamaran suspek,” katanya kepada pemberita di sini.
Katanya polis turut menyita sebuah kereta BMW, dokumen dan beberapa helai kain selempang yang didakwa milik kumpulan yang mendakwa sebagai kerabat diraja berkenaan.
Abdul Rahim berkata kesemua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Katanya kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Kita juga siasat kes ini mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan kerana meletakkan logo yang tidak sepatutnya pada kenderaan,” katanya. – BERNAMA

Bayi cedera otak dipercayai terjatuh

Posted on the October 22nd, 2012 under Tempatan by admin


SIBU: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan otak dipercayai terjatuh ketika dalam jagaan pengasuhnya, sejak empat hari lalu.
Difahamkan, kejadian disedari ibu kanak-kanak itu berusia 38 tahun yang membuat pemeriksaan di Hospital Sibu (HS), kelmarin.
Sumber berkata, ibu kanak-kanak malang itu yang juga guru di sebuah sekolah di Jalan Teku, di sini, sebelum itu diberitahu kanak-kanak berkenaan muntah dan pengsan oleh pengasuh yang menjaganya.

“Terkejut dengan panggilan itu, wanita berkenaan bergegas pulang dan terus menghantar anaknya ke sebuah klinik di Jalan Teku. Bagaimanapun, petugas klinik terbabit mendapati keadaan bayi agak serius sebelum menasihatkan wanita itu merujuk anaknya ke HS untuk rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, selepas dua hari ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor memaklumkan bayi itu mengalami kecederaan di bahagian otak, kelmarin.
“Wanita terbabit cuba mendapat penjelasan, namun pengasuh itu mendakwa tidak mengetahui punca bayi berkenaan mengalami masalah itu.
“Berikutan itu, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Sentral, jam 11 malam kelmarin dan meminta polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca bayi itu mengalami kecederaan dalaman,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan pengasuh bayi malang itu, namun tiada tangkapan dibuat sehingga kini.
Harian Metro

No comments:

Post a Comment