Tuesday, October 23, 2012

IA MALU...SAKIT BERANAK..AKAN DIHUKUM...LELAKI ITU MUNGKIN LEPAS..LELAKI SEDAP TERLEPAS...TAK SAKIT BERANAK...TAK MALU DAN MUNGKIN LEPAS DARI DIHUKUM

Berjalan kaki 5,700km untuk tunaikan haji

SENAD HADZIC


SARAJEVO - Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.
"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.
Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.
Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.
"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.
"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad.
"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.
Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.
Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan.
Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. - AFP

Batu penyendal pintu sebenarnya meteorit


PROFESOR fizik dan astronomi di Universiti Eastern Kentucky, Rodney Piercey memeriksa meteorit yang ditemui pada tahun 1853.


TENNESSEE - Sebuah keluarga di Amerika Syarikat terkejut apabila mendapati seketul batu milik mereka sebenarnya seketul meteorit atau tahi bintang berusia empat bilion tahun, lapor akhbar MailOnline semalam.
Pasukan penyelidik Universiti Tennessee memperoleh meteorit seberat 15 kilogram itu daripada keluarga Donna Lewis di sini yang menggunakannya sebagai penyendal pintu dan pelapik pokok bunga hiasan sejak beberapa tahun lalu.
Pada mulanya, batu itu ditemui di sebuah padang ragut ternakan dekat Tazewell, Tennessee, pada tahun 1930-an oleh seorang lelaki, Tilmon Brooks.
Brooks ialah datuk Donna Lewis yang merupakan seorang setiausaha sekolah di Pineville, Kentucky.
Ujian yang dilakukan di Universiti Tennessee merumuskan bahawa meteorit itu berasal daripada hujan meteor yang pernah berlaku di sini pada 1853.
"Saya lihat kanak-kanak di sekolah kami berasa teruja apabila melihat batu meteor itu.
"Saya sangat lega apabila mengetahui Universiti Tennessee akan menyimpan meteorit ini dengan baik bagi tujuan penyelidikan," kata Lewis. - Agensi

PLUS perkenal bengkel bergerak


NOORIZAH menunjukkan peralatan yang disediakan oleh WOW ketika melancarkan perkhidmatan itu di kawasan R&R Seremban semalam.


SEREMBAN - Konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mewujudkan perkhidmatan bengkel bergerak (WOW) bagi memberi perkhidmatan lebih efisien dalam membantu pengguna lebuh raya yang menghadapi kerosakan kenderaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, inisiatif itu yang merupakan khidmat sokongan kepada perkhidmatan PLUSRonda sedia ada bertujuan mengelak pengguna lebuh raya daripada menjadi mangsa penipuan trak penunda haram dan bengkel tidak bertanggungjawab yang mengenakan caj melampau.
"Sebelum ini ada pengguna lebuh raya yang mendakwa bahawa mereka diperdaya oleh kumpulan terbabit dengan mengenakan caj bayaran yang tinggi serta melampau ketika mereka mengalami kesulitan di lebuh raya.
"Justeru kita yakin inisiatif WOW ini sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah tersebut sekali gus menjadi langkah proaktif kami untuk melindungi pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan WOW di kawasan Rehat dan Rawat (R&R ) Seremban di sini semalam.

Aksi pencuri arak dirakam CCTV


RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki membawa keluar minuman keras dari kedai serbaneka di Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR – Sekumpulan lelaki yang melarikan enam botol minuman keras daripada kedai serbaneka, KK Supermart di Batu 5, Jalan Ipoh di sini kelmarin pasti tidak senang duduk apabila aksi mereka telah dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, tiga daripada enam lelaki itu yang menunggang motosikal masuk ke dalam kedai tersebut untuk membeli 24 tin minuman keras berharga RM120.
Penjaga kaunter kedai yang beroperasi 24 jam itu, Mohd. Fareez Zamri, 18, berkata, kumpulan lelaki berusia sekitar 20-an itu bagaimanapun membayar kurang RM10 daripada harga minuman berkenaan.
“Mereka dengan selamba keluar dari kedai dan saya memanggil mereka supaya menjelaskan baki sebanyak RM10 itu.
“Akibat berang dengan permintaan saya itu, salah seorang lelaki menghampiri saya dan menumbuk muka saya,” katanya di sini semalam.

Suka jadi duka


AZMI (kiri) melihat motosikal Suzuki RG Sport ditunggang Muhd. Ibnor Qayyum di sebelah kiri manakala motosikal Yamaha LC 135 ditunggang Hasnizahrin (kanan) yang terlibat dalam kemalangan di Kuala Pilah semalam.


KUALA PILAH – Kegembiraan seorang remaja yang pertama kali mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini tidak bertahan lama apabila dia maut dalam kemalangan ngeri yang melibatkan tiga buah motosikal di Kilometer 7, Batu Kikir-Kuala Pilah dekat sini semalam.
Kejadian pukul 7 pagi itu mengakibatkan Muhd. Ibnor Qayyum Abu Hanafiah, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. Turut maut dalam kejadian itu ialah Hasnizahrin Assar, 29.
Dua lagi rakan Muhd. Ibnor Qayyum, Muhamad Shafiz Muhd. Azman, 16, dan Mohd. Amirul Ikhmal Che Mat, 16, pula cedera parah.
Tiga sahabat itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Teknik Juasseh manakala Hasnizahrin bertugas di Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta di Seremban.
Difahamkan, tiga remaja itu dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke sekolah mereka.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, siasatan awal percaya kejadian berpunca apabila Hasnizahrin yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dari Kuala Pilah ke Seremban gagal memotong sebuah kereta di hadapannya.

Doktor cabul budak diberkas


ANGGOTA polis mengiringi seorang doktor yang diberkas bagi membantu siasatan kes cabul di Nusajaya, Johor semalam.


NUSAJAYA – Perangai keji seorang doktor mencabul dua beradik lelaki selepas mengumpan mangsa dengan telefon bimbit pintar berakhir apabila dia diberkas di kliniknya di sini semalam.
Doktor berusia 40 tahun tersebut diberkas ketika hendak memasuki kliniknya pada pukul 1 petang.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, pembongkaran bermula apabila bapa mangsa hairan melihat anak-anaknya yang berusia 12 dan 14 tahun bergaya dengan telefon bimbit pintar yang berharga ribuan ringgit.
Katanya, selepas didesak, kanak-kanak berusia 12 tahun tersebut telah menceritakan yang alat telekomunikasi itu diberikan oleh seorang doktor selepas mencabulnya Sabtu lalu.
“Bapa mangsa yang terkejut kemudian telah membawa anaknya itu ke sebuah hospital untuk diperiksa.
“Dia bertambah terkejut apabila mendapati anak sulungnya juga menjadi mangsa doktor tersebut kira-kira dua minggu lalu,” katanya kepada Kosmo!.

Porsche RM1 juta curi ditemui


ANGGOTA polis memeriksa Porsche Panamera 4 yang ditemui ditinggalkan di tempat letak kereta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan semalam.


KUALA LUMPUR – Kereta Porsche Panamera 4 berharga hampir RM1 juta yang disamun di sebuah pusat pameran kereta mewah di Bukit Bintang di sini ditemui ditinggalkan di tempat letak kereta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan dekat sini semalam.
Jarak lokasi kereta itu disamun dan ditemui semula kira-kira 24 kilometer.
Satu sumber berkata, kereta mewah itu ditemui pada pukul 12.30 tengah hari hasil soal siasat dan petunjuk suspek pertama berusia 31 tahun yang ditahan pada 12 Oktober lalu.
“Sepasukan polis yang dipandu oleh suspek pertama bergerak ke tempat letak kereta Pasar Borong Selangor dan menemui semula kereta jenis Porsche Panamera 4 warna perak yang dicuri,” kata sumber itu.
Sumber itu memberitahu, semasa ditemui kereta tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu WGU 123 selepas disamun pada 11 Oktober lalu.

Menangis teresak-esak kena dakwa


FLAT Desa Mentari, Jalan PJS 6/5E, Sungai Way, lokasi di mana Siti Fazlena didakwa mencampak bayinya pada 16 September lalu.


PETALING JAYA - Seorang wanita yang bertindak kejam mencampak bayi perempuannya dari tingkat tiga sebuah flat pada bulan lepas menangis teresak-esak apabila melihat ibunya sejurus dia selesai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian anaknya itu.
Terdahulu, Siti Fazlena Sahili, 20, ketika prosiding kelihatan lebih banyak mendiamkan diri tetapi tenang semasa mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Yasmin Abdul Razak.
Pekerja kilang itu didakwa dengan sengaja mencampakkan bayi perempuan seberat 2.8 kilogram yang baru dilahirkan dari beranda sebelah bilik air rumahnya sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah flat No. B1-3-23, Blok 1, Flat Desa Mentari, Jalan PJS 6/5E Sungai Way di sini pada pukul 11 pagi, 16 September lalu.

Tiada motif untuk membunuh


NORIZAN pada sidang akhbar di kediamannya di Taman Dagang, Ampang, Selangor semalam.


AMPANG - Setelah hampir sebulan menjalani rawatan, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali percaya serangan ke atasnya yang nyaris meragut nyawa bulan lepas bukan satu rancangan untuk membunuhnya sebaliknya bermotifkan samun semata-mata.
Malah beliau yang kini sudah hampir pulih daripada kecederaan akibat ditetak dengan pedang pada perut dan tangan kiri, menafikan serangan itu bermotifkan politik.
Beliau turut menafikan serangan tersebut ada kaitan dengan perjuangannya menentang gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Ia hanya satu cubaan samun ke atas saya. Tiada unsur dendam seteru politik mahupun berkaitan perjuangan saya seperti dispekulasikan oleh majalah hiburan dan blogger," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di sini semalam.
Norizan, 41, diserang dua lelaki bersenjatakan pedang dan kayu pada 24 September lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Dagang di sini pada pukul 3.30 pagi.

Jimmy Choo dilantik sebagai Profesor UiTM

JIMMY (tengah) sedang menerangkan sesuatu kepada Sahol Hamid mengenai rekaan kasut di UiTM, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) melantik pereka kasut terkenal dan Duta Genovasi, Datuk Dr. Jimmy Choo sebagai Profesor di atas peranan beliau untuk membantu institusi tersebut melahirkan pereka kasut bertaraf dunia.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, melalui pelantikan itu, Jimmy akan bekerjasama dengan pihak universiti dari semasa ke semasa untuk menyumbang kepakaran beliau dan membawa pakar dalam rekaan kasut dari luar negara ke UiTM.
Menurut beliau, sebagai pereka kasut terkenal yang berasal dari Malaysia, adalah satu kerugian sekiranya UiTM tidak menggunakan kepakaran dan kemahiran Jimmy untuk memberi sumbangan kepada anak tempatan.
"Penganugerahan Profesor yang diberi oleh UiTM kepada beliau menandakan kerjasama yang lebih erat antara UiTM dan Jimmy untuk membawa pakar teknologi rekaan kasut dari luar negara ke UiTM pada masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment