Monday, October 22, 2012

KALAU DAH JELAS HARAM BERHENTILAH

Aamir Khan bawa ibu tunaikan haji


AKTOR Bollywood, Aamir Khan dan aktres Rani Mukherjee bergambar semasa pelancaran runut bunyi filem Talaash di Mumbai pada 18 Oktober lalu.


MUMBAI - Hero filem Bollywood, Aamir Khan dan ibunya, Zeenat Hussain berangkat ke Mekah Jumaat lalu untuk mengerjakan ibadah haji, lapor portal berita India Today semalam.
India Today melaporkan, walaupun Aamir sibuk dengan komitmen kerja, dia tetap berpegang kepada janji mengerjakan haji bersama ibunya.
Aamir yang memakai pakaian ihram dilihat berlepas dari Mumbai bersama ibunya serta lapan saudara mara lain pada pukul 6.30 petang Jumaat lalu.
Ia merupakan perjalanan haji pertama buat pelakon, penerbit dan pengarah filem berusia 47 tahun itu.
Dia tiba di sini dari Chicago, Amerika Syarikat pada Khamis lepas kerana sibuk menyiapkan filem akan datangnya bersama aktres Katrina Kaif, Dhoom 3.
Bintang pujaan ramai itu dijadualkan pulang dari mengerjakan rukun Islam kelima pada 3 November depan.
Selain berada di Mekah, Aamir dan anggota keluarganya akan melawat beberapa bandar berdekatan Madinah dan makam Nabi Muhammad SAW.
Mereka dilaporkan akan menginap di Hotel Al Massa dan Hotel Elaf Taiba masing-masing di Mekah dan Madinah.
Aamir merupakan salah seorang pelakon paling terkenal Bollywood ekoran kejayaannya menerusi filem Lagaan, Rang de Basanti dan Three Idiots. - Agensi

10 maut serangan bom di Damsyik

GAMBAR menunjukkan beberapa buah kereta yang rosak akibat letupan yang berlaku berhampiran balai polis di daerah Bab Touma, Damsyik semalam.


DAMSYIK - Satu letupan kuat berlaku di bandar lama di sini semalam, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang awam, kata aktivis Syria.
Seorang pegawai Syria berkata, letupan itu disasarkan ke atas sebuah balai polis di kawasan kejiranan Bab Touma di sini.
Bab Touma merupakan sebuah tempat tarikan beli-belah yang kebanyakan dihuni oleh kaum minoriti penganut Kristian Syria.
Angka kematian tersebut dilaporkan oleh Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Bagaimanapun, angka tersebut tidak menyatakan sama ada semua mangsa yang maut terdiri daripada orang awam atau turut melibatkan anggota polis.
Namun, ia menggambarkan letupan yang berlaku sebagai amat kuat dan menyatakan beberapa ambulans dan kereta polis dikejarkan ke tempat kejadian.
Tiada maklumat lain diberikan.
Dalam kejadian berasingan, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan di hadapan sebuah hospital di Jalan al-Zohour, bandar Aleppo.
Agensi berita SANA memberitahu, tiada kemalangan jiwa berlaku tetapi letupan itu menyebabkan beberapa pejalan kaki cedera.
Sementara itu, Presiden Syria, Bashar al-Assad dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-Liga Arab, Lakhdar Brahimi bagi membincangkan soal gencatan senjata selama empat hari sempena sambutan Aidiladha bermula Jumaat ini.
Beliau tiba di Damsyik pada Jumaat lalu selepas mengadakan lawatan di Timur Tengah untuk mendapatkan sokongan pemimpin-pemimpin negara terbabit bagi menghidupkan harapan gencatan senjata di Syria.
Konflik di Syria yang bermula pada Mac 2011 telah meragut lebih 30,000 nyawa. - Agensi

Lapan tahun tunggu sekolah


ABU TALIB (kiri), Kamarudin (dua dari kiri) bersama beberapa penduduk menunjukkan pelan pembangunan taman yang mempunyai tapak sekolah rendah di Semenyih semalam.


SEMENYIH - Kira-kira 5,000 penduduk Taman Pelangi Semenyih di sini menggesa kerajaan menyegerakan pembinaan bangunan sekolah rendah di kawasan itu yang tertangguh sejak lapan tahun lalu.
Yang Dipertua Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih, Abu Talib Ismail berkata, kelewatan pembinaan sekolah itu menyebabkan lebih 2,000 pelajar dari perumahan berkenaan bersekolah di sekolah berhampiran.
"Murid dari perumahan ini terpaksa menumpang di sekolah lain seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Rinching, SK Semenyih dan SK Bandar Tasik Kesuma menyebabkan bilik sekolah terbabit sesak kerana bilangan murid yang terlalu ramai.
"Terdapat tapak sekolah seluas 5.2 hektar di taman perumahan kami tetapi malangnya ia belum dibina hingga kini. Oleh itu kami mohon jasa baik kerajaan untuk membina sekolah rendah di tapak ini," katanya.

Derita lumpuh jatuh pokok kelapa


SUHAIMI yang lumpuh selepas terjatuh dari pokok kelapa dibantu oleh Salmah (kanan) di rumahnya di Baling semalam.


BALING – Seorang pemuda mengalami hilang upaya sejak dua tahun lalu akibat terjatuh dari sebatang pokok kelapa.
Kejadian itu mengakibatkan tulang belakang Suhaimi Ahmad, 21, patah. Dia terpaksa bergantung kepada kerusi roda dan bantuan ahli keluarga untuk bergerak ke mana-mana.
Suhaimi yang berasal dari Kampung Surau, Mukim Bakai di sini memberitahu, kejadian itu berlaku ketika dia tinggal di Lanchang, Pahang bersama kakaknya, Juliana Ahmad, 30, dan bekerja mengambil upah memetik kelapa.
Pemuda itu kini bergerak dengan bantuan ibunya, Salmah Ibrahim, 53, yang juga menghidap darah tinggi, kencing manis dan lelah.
Salmah yang merupakan ibu tunggal hanya bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan.

Bantah bina jalan dekat rumah


PENDUDUK mengadakan demonstrasi mendesak agar pembinaan jalan berdekatan rumah mereka dihentikan di Jalan Plumbum, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Kira-kira 100 penduduk rumah teres di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini semalam mengadakan demonstrasi bagi menentang projek pembinaan jalan raya di belakang rumah mereka yang dijalankan sejak sebulan lalu.
Penduduk bimbang kerja-kerja pembinaan di zon penampan sepanjang 20 meter itu akan menjejaskan kira-kira 248 buah kediaman. Mereka meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam campur tangan bagi menghentikan projek.
Jalan raya itu dibina sebagai salah satu laluan ke kawasan pelancongan, i-City.
Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 7 Plumbum, Mohd. Badrudin Othman, 56, berkata, penduduk dilanda kebimbangan sejak projek itu dijalankan kerana ia boleh mengundang bahaya kepada mereka.
"Jalan itu dibina terlalu hampir dengan belakang rumah penduduk dan jaraknya kurang daripada 10 meter.
"Mereka harus memikirkan keselamatan penduduk kerana pembinaannya membahayakan nyawa penduduk dan pengguna jalan itu nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Wanita dibunuh depan televisyen


BEBERAPA anggota polis mengusung mayat Undang yang dibunuh di rumahnya di Miri kelmarin.


MIRI - Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di ruang tamu kediamannya di Desa Indah 3 di sini malam kelmarin.
Mangsa, Undang Dana, 80, dijumpai oleh suami serta menantunya dalam keadaan tertiarap di hadapan televisyen pada pukul 8.30 malam.
Menurut menantu perempuan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Elien, 41, dia dan bapa mertuanya hairan apabila mendapati keadaan sunyi ketika mereka memasuki kediaman terbabit.
Ujarnya, mereka terkejut melihat Undang tertiarap dan berlumuran darah.
"Semasa saya mengalihkan badan mangsa untuk memeriksa keadaannya, saya dapati dia telah meninggal dunia.
"Terdapat kesan tikaman di bahagian rusuk selain mangsa mengalami kecederaan di muka dan hidung," katanya di sini semalam.

Dua beranak maut nahas ngeri


ORANG ramai melihat sebuah kren mengangkat kereta Proton Wira yang remuk selepas dirempuh sebuah lori hingga mengakibatkan Md. Hanafi dan Anira maut di Kota Tinggi kelmarin.


KOTA TINGGI – Tanggal 16 Oktober lalu merupakan sambutan ulang tahun kelahiran terakhir buat seorang bapa sebelum dia menemui ajal selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri yang turut mengakibatkan anak perempuannya maut kelmarin.
Kejadian pukul 11.45 pagi di Kilometer 16 Jalan Tanjung Sedeli–Kota Tinggi berhampiran simpang Kampung Mawai Lama di sini itu mengakibatkan Md. Hanafi Tasrip, 65, dan anak bongsunya, Anira, 19, maut di tempat kejadian.
Dua beranak tersebut tersepit selama tiga jam selepas kereta jenis Proton Wira Aeroback yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan pasir.
Mayat mereka dikeluarkan oleh pasukan penyelamat dengan bantuan tiga buah trak tunda.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila pemandu lori dari Tanjung Sedeli ke Kota Tinggi tersebut gagal mengawal kenderaan berat berkenaan sebelum merempuh kereta mangsa yang berada di laluan bertentangan. Pemandu lori terbabit tidak cedera.

Polis berkas empat Geng Syawal


SALEHHUDIN (tengah) menunjukkan sebahagian komponen kereta curi yang dirampas daripada empat lelaki pada sidang akhbar di Melaka semalam.


MELAKA – Kegiatan empat lelaki bergelar Geng Syawal yang giat mencuri kereta jenis Proton Saga dan Iswara untuk dileraikan komponennya sebelum dijual dengan harga murah terbongkar apabila kesemuanya ditahan di kawasan Melaka Tengah di sini kelmarin.
Selain dapat menahan kesemua suspek berusia antara 22 hingga 39 tahun tersebut pada pukul 8 malam, polis turut membongkar kegiatan sebuah bengkel yang bertindak sebagai tempat untuk menjual komponen yang dileraikan.
Difahamkan, Geng Syawal telah mengumpul puluhan ribu ringgit hasil kegiatan jahat tersebut sejak awal tahun ini. Gelaran itu diambil sempena nama ketua kumpulan tersebut.

Mati ditembak lelaki bertopeng


ANGGOTA polis memeriksa kereta Perodua Myvi yang dinaiki Yen Chong sebelum lelaki itu mati ditembak di Taman Desa semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang memakai topeng ski dan bersenjatakan sepucuk pistol bertindak ala mafia apabila menembak mati seorang ejen insurans dari jarak dekat di hadapan isteri dan pembantu rumah mangsa dalam kejadian yang disyaki bermotifkan dendam semalam.
Kejadian pukul 9.10 pagi di Jalan Desa Permai, Taman Desa dekat Jalan Klang Lama di sini itu berlaku ketika Fong Yen Chong, 72, bersama isteri, 60-an, dan pembantu rumahnya baru menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi untuk ke pasar berhampiran.
Sebaik meninggalkan rumah teres dua tingkat miliknya sejauh 5 meter, seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Waja tiba-tiba menghalang kenderaan mangsa dari arah bertentangan.
Suspek kemudian memandu ke arah pintu pemandu kereta Yen Chong sebelum penjenayah terbabit menurunkan tingkap keretanya lalu melepaskan lima das tembakan yang meragut nyawa ejen insurans tersebut.
Mangsa baru menyambut ulang tahun kelahirannya Khamis lalu. Isteri dan pembantu rumah mangsa tidak cedera.

Harimau akar sesat dalam rumah


TIGA anggota JPAM Kota Bharu menunjukkan harimau akar yang berjaya ditangkap di Kampung Panji, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Enam sekeluarga gempar selepas rumah mereka di Kampung Panji dekat sini, dimasuki seekor harimau akar atau nama saintifiknya neofelis nebulosa yang sesat malam tadi.
Mangsa, Nik Roziana Mohamed, 32, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika dia dan empat anaknya sedang bersedia untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia di skrin gergasi berhampiran rumahnya.
Katanya, kejadian tersebut disedari oleh anaknya, Megat Azim Haikal Megat Roslan, 9, yang ternampak binatang tersebut berada di bawah kereta yang diletakkan di halaman rumah dan kemudiannya masuk ke dalam rumah.
"Ketika kejadian, saya tiada di rumah kerana berada di tempat tayangan skrin gergasi. Tiba-tiba salah seorang anak saya datang memberitahu ada seekor harimau akar telah masuk ke dalam rumah.
"Pada mulanya saya ingatkan ia satu gurauan, sehinggalah ibu saya, Tuan Zainab Tuan Mahmood, 54, memaklumkan ada harimau masuk ke dalam rumah," katanya di sini semalam.

Misteri gendang gergasi di pagar surau


Redzuan menunjukkan gendang gergasi yang ditinggalkan di Surau Asy-Syakirin, Sungai Petani, Kedah semalam.


SUNGAI PETANI – Selepas setahun dikejutkan dengan penemuan sebuah beduk lama milik sebuah masjid di Johor, ahli jemaah sebuah surau di sini sekali lagi dikejutkan dengan penemuan hampir serupa apabila sebuah gendang lama didapati ditinggalkan di pintu pagar surau tersebut sejak beberapa hari lalu.
Kejadian itu disedari oleh ahli jemaah surau Asy-Syakirin, Bandar Perdana, Seksyen 8 di sini ketika mereka mahu mengerjakan solat Subuh.
Penemuan gendang tersebut yang mempunyai lambang rasmi sebuah negeri bertarikh 1 Januari 1989 mencetuskan misteri tersendiri apabila kulit gendang tersebut turut dikoyakkan.

Seorang penduduk, Azhar Ismail, 44, berkata, dia terkejut melihat gendang besar itu ditinggalkan di pintu pagar surau semasa mahu menunaikan solat subuh.

“Siapa sahaja pasti terkejut apabila tiba-tiba melihat benda seperti ini pada awal pagi. Apabila diperiksa rupa-rupanya gendang lama,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Harga rokok naik 20 sen berkuat kuasa hari ini

Orang ramai tetap membeli rokok di sebuah kedai di Kuala Lumpur semalam meskipun harganya semakin mahal.


KUALA LUMPUR - British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) mengumumkan peningkatan 20 sen kepada harga semua rokoknya mulai hari ini.
"Kami dimaklumkan secara rasmi oleh Kastam Diraja Malaysia pada Khamis, 18 Oktober 2012, tentang kenaikan yang dimandatkan dalam harga luar kilang rokok-rokok kami antara 26 peratus hingga 58 peratus berkuat kuasa Jumaat, 19 Oktober 2012.
"Berikutan itu, cukai eksais dan jualan telah dinaikkan," kata Pengarah Urusan BAT Malaysia, William Toh, dalam satu kenyataan.
BAT Malaysia adalah sebahagian daripada kumpulan British American Tobacco yang merupakan kumpulan syarikat tembakau antarabangsa terbesar dunia. - Bernama

Merokok Dari Pandangan Islam

 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.



Keterangan/Hujah: 
 

1.  Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:
 
i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
 
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.
 
iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
 
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
 
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:
 
a. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
 
b. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
 
c. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
 
d. Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
 
e. Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
 
i. Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.

ii. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

iii. Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
 
vi. Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok.
 
Antaranya seperti berikut:
 
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
 
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
 
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.
 
2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.
 
3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyah menyatakan:

“ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”

“Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.”
 
Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.
 

Fatwa Negeri Berkaitan Taxonomy

Bil Tajuk Negeri Tarikh Keputusan Penwartaan
1 Merokok Menurut Perspektif Islam (Melaka) Melaka 17 Oct, 2003 Tidak Diwartakan
2 Merokok Pada Pandangan Islam (Sarawak) Sarawak 9 Dec, 1995 Tidak Diwartakan
3 Fatwa Tentang Merokok Selangor 25 Oct, 1995 Diwartakan
4 Fatwa Rokok Perlis 1 Jan, 1970 Tidak Diwartakan
5 Merokok (Kedah) Kedah 1 Jan, 1970 Tidak Diwartakan
6 Fatwa Tentang Rokok (Pulau Pinang) Pulau Pinang Diwartakan     

No comments:

Post a Comment