Thursday, January 10, 2013

ADA ORANG RETI MALU...MEMANG ADA ORANG TAK RETI MALU...MERASA DIRINYA TERLALU HEBAT DAN SEMPURNA LAGI SENTIASA BETUL...ORANG LAIN TAK SEPERTINYA...CUMA ORANG LAIN PATUT SEDAR DIRI

Ribut salji landa Baitulmuqaddis

RIBUT salji melanda Amman, Jordan semalam.


BAITULMUQADDIS - Ribut salji yang jarang berlaku telah melanda kawasan utara Israel dan melumpuhkan pengangkutan awam di Baitulmuqaddis semalam.
Ia merupakan ribut salji yang terburuk sejak 20 tahun lalu sekali gus menyebabkan beberapa batang jalan raya dan sekolah terpaksa ditutup.
Seorang pegawai sebuah agensi bencana di Baitulmuqaddis, Elisha Peleg meminta penduduk tidak keluar ke rumah ekoran ribut salji itu.
Sebuah stesen radio tentera Israel memberitahu, salji setebal 10 sehingga 15 sentimeter memenuhi Baitulmuqaddis.
Kawasan pekarangan Masjid Al-Aqsa juga turut dipenuhi dengan salji.
Di Ramallah, Tebing Barat, Palestin, sejumlah penduduk termasuk kanak-kanak bermain salji.
Seorang penduduk, Dawla Suleiman, 23, saling membaling bola salji dengan rakan-rakannya.
"Ini merupakan hari yang indah. Ia merupakan hari untuk bermain dan bergembira (bermain salji)," katanya.
Seorang penduduk di Kampung Qusra, Tebing Barat, Abdelhamid Qusrawi berkata, salji yang turun itu adalah yang paling lebat pernah dilihatnya.
"Pada tahun 1991, kami pernah melihat lebih banyak timbunan salji.
"Bagaimanapun, selepas 10 tahun, hari ini (semalam) kami menyaksikan salji turun dengan lebat ," tambahnya.
Menurutnya, dia suka dengan salji.
"Saya keluar rumah dan bermain dengan beberapa anak saudara saya," katanya.
Abdelhamid berkata, dia membaling bola salji ke arah beberapa anak saudaranya.
Sementara itu, salji juga turun di Damsyik, Syria walaupun negara tersebut dilanda pertempuran antara penduduk tempatan yang menentang Presiden Bashar Al-Assad.
Salji juga kelihatan di bandar Homs.
Pertempuran antara penduduk tempatan dengan tentera Bashar bermula sejak Mac 2011.
Kumpulan penentang yang terdiri daripada rakyat tempatan bertindak menentang Bashar kerana beliau dianggap gagal membawa pembaharuan dan kebebasan hak bersuara.
Lebih 43,000 orang dilaporkan telah terbunuh di Syria.
Salji juga turun di sempadan Lebanon dengan Israel.
Di Jordan, pemerintah negara itu, Raja Abdullah II mengarahkan pihak tentera membantu mangsa-mangsa yang terperangkap akibat salji.
Ribut salji itu turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus di Lebanon, Jordan dan Israel. - Agensi

Bekas ratu cantik dipenjara


SONDAKH (kiri) duduk di sebelah peguam belanya di sebuah mahkamah antirasuah di Jakarta semalam. - AFP


JAKARTA - Sebuah mahkamah antirasuah Indonesia semalam menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan enam bulan ke atas bekas Ratu Cantik Indonesia 2001, Angelina Sondakh kerana menerima rasuah.
Sondakh didapati bersalah menerima rasuah sebanyak AS$3.6 juta (RM10.9 juta) daripada sebuah syarikat yang membina bangunan penempatan untuk atlet-atlet Sukan Asia Tenggara pada tahun 2011.
Hakim-hakim di mahkamah itu menyatakan rasuah tersebut diberikan kerana peranan Sondakh sebagai seorang anggota sebuah jawatankuasa bajet parlimen.
Sondakh digunakan oleh syarikat itu yang mahu memenangi kontrak tersebut.
Wanita yang berusia 35 tahun itu pernah menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat ekoran kemenangannya dalam pilihan raya Parlimen pada tahun 2004 dengan mewakili Parti Demokrat pimpinan Presiden Bambang Susilo Yudhoyono.
Bagaimanapun, Sondakh menafikan dia menerima rasuah.
Menurutnya, dia menjadi mangsa konspirasi politik.
Suami Sondakh, Adjie Massaid yang juga seorang pelakon dan ahli politik telah meninggal dunia pada tahun 2011.
Menurut bekas ratu cantik itu, dia menimbang untuk membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut.
Keputusan mahkamah itu merupakan tamparan terbaharu buat Susilo kerana beliau sebelum ini terkenal dengan usaha-usahanya untuk memerangi rasuah.
Pada bulan lalu, bekas Menteri Sukan, Andi Mallarangeng yang juga seorang lagi anggota parti Susilo turut dikaitkan dengan skandal rasuah berhubung projek pembinaan sebuah kompleks sukan dekat Jakarta. - Agensi

12 ikan paus di bawah lapisan ais


SEORANG lelaki menyaksikan dua ekor ikan paus pembunuh di sebuah lubang yang dikelilingi lapisan ais.


MONTREAL - Kira-kira 12 ekor ikan paus pembunuh terperangkap di bawah lapisan ais di Teluk Hudson, dekat Inukjuak, 1,500 kilometer dari sini sejak Selasa lalu.
Datuk Bandar Inukjuak, Peter Inukpuk mendesak supaya pihak pentadbiran Kanada menghantar sebuah kapal bagi memecahkan ais bagi menyelamatkan haiwan tersebut.
Ikan paus itu mendapatkan bekalan oksigen dengan muncul di sebuah 'lubang' yang dikelilingi lapisan ais. - Agensi

Spesies baharu katak terbang ditemui di Vietnam


GAMBAR bertarikh 23 Mei 2009 menunjukkan katak yang boleh terbang di Hutan Simpan Semula Jadi Nui Ong, wilayah Binh Thuan, Vietnam.


SYDNEY - Seorang ahli biologi Australia, Jodi Rowley dan beberapa rakannya dari Vietnam telah menemui satu spesies baharu katak yang boleh terbang.
Penemuan itu dibuat di Hutan Simpan Semula Jadi Nui Ong, wilayah Binh Thuan yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Bandar Ho Chi Minh.
Katak berwarna hijau itu 'terbang' dari sepohon pokok ke pokok yang lain.
Haiwan itu hanya turun dari pokok ketika musim mengawan.
Baru-baru ini, spesies haiwan tersebut diberi nama Katak Pokok Helen.
Helen merupakan nama ibu Rowley. - Reuters

Budak parah diserang Rottweiler

MANGSA gigitan anjing, Thuan Seng dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila diserang seekor anjing Rottweiler peliharaan saudaranya di Taman Kulai Utama, Kulaijaya dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Chok Thuan Seng mengalami kecederaan parah di leher, muka dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Menurut sepupu mangsa, Sin Yee, 21, kejadian berlaku ketika Thuan Seng baru pulang dari tadika yang terletak berhampiran rumahnya di Jalan Anggerik, Taman Kulai Utama.
Katanya, Thuan Seng yang berasal dari Bukit Batu, Kulaijaya, sudah tiga minggu menetap bersama mereka sekeluarga bagi memudahkan dia ke tadika setiap hari.
“Thuan Seng memang sudah biasa bermain-main dengan anjing tersebut tetapi kami tidak tahu mengapa dia diserang haiwan itu secara tiba-tiba.
“Mungkin ketika kejadian, adik saya terlupa untuk mengikat anjing tersebut dan sebaik melihat Thuan Seng pulang dari tadika, anjing kami meluru keluar rumah menyerang Thuan Seng,” katanya ketika ditemui di HSA di sini semalam.

Ubat seks RM1.25 juta dirampas


BEBERAPA pegawai penguat kuasa farmasi merampas sebahagian daripada ubat seks dari sebuah stor di Jalan Pasar, Pudu, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Peniaga-peniaga ubat dan bahan perangsang seks jalanan di sekitar ibu negara dan Selangor dijangka 'patah kaki' setelah stor simpanan utama bahan tersebut di Jalan Pasar, Pudu di sini diserbu pihak berkuasa petang semalam.
Dalam serbuan pada kira-kira pukul 2.30 petang itu, seramai 25 pegawai daripada Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Kuala Lumpur berjaya merampas ribuan kotak berisi 30 jenis produk perangsang seks yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta.
Nilai rampasan tersebut merupakan yang terbesar di ibu negara dalam tempoh 10 tahun.
Turut dirampas, ribuan alatan dan aksesori perangsang seks.
Ketua Operasi, Adnan Salimin memberitahu, serbuan tersebut merupakan hasil daripada maklumat orang awam serta intipan yang dilakukan pihaknya sejak dua bulan lalu.
Katanya, rumah kedai dua tingkat tersebut telah beroperasi sebagai gudang penyimpanan stok ubat dan bahan perangsang seks sejak lebih kurang lima tahun lalu.
"Ketika diserbu, sindiket yang dipercayai menjadi dalang kegiatan tersebut telah melarikan diri. Bagaimanapun, kami menemui timbunan ubat-ubatan dan bahan perangsang seks.
"Mereka (sindiket) selaku pemborong akan menyimpan stok ubat dan bahan perangsang seks di rumah tersebut sebelum mengagih-agihkannya kepada peniaga-peniaga jalanan di sekitar ibu kota," ujarnya ketika ditemui di lokasi serbuan semalam.

Perlu dapat persetujuan Syabas


WARGA emas, Yap Sing Kie, 78, (kiri) dan beberapa penduduk mengambil bekalan air dari tangki Syabas di Pangsapuri Cheras 4E, Kuala Lumpur semalam.


PUTRAJAYA - Kerajaan negeri Selangor tidak boleh mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kerana ia bercanggah dengan syarat-syarat dalam perjanjian konsesi, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Katanya, syarikat konsesi bekalan air itu dilantik mengurus air di Selangor pada tahun 2004 dan sebarang penamatan kontrak boleh menyebabkan kerajaan negeri disaman.
Fah Kui berkata, kerajaan negeri yang bertegas mahu mengambil alih syarikat itu harus mengadakan rundingan dengan Syabas dan pengambilalihan hanya boleh dilaksana jika syarikat itu bersetuju.
"Saya ingin memberitahu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah menghalang kerajaan negeri mengambil alih syarikat konsesi air itu kerana kita tidak mempunyai sebarang ekuiti dalam Syabas kecuali golden share untuk membuat pemantauan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dua tahanan lolos mati ditembak


KEADAAN kereta Proton Perdana dinaiki dua penjenayah yang terjunam ke dalam tali air di Kubang Semang, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Dua penjenayah berbahaya dikenali sebagai Joe Mafia dan Boy yang meloloskan diri ketika dalam perjalanan ke mahkamah bersama tujuh tahanan lain pada Isnin lalu mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Kampung Padang Temusu, Guar Perahu di sini semalam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, dua Orang Kena Tahan (OKT) yang terbunuh ialah Mohd. Fairuz Adam, 31, atau Joe Mafia dan Mohd. Noor Mustafa, 28, atau Boy.
Joe Mafia merupakan perancang kepada kejadian sembilan tahanan melarikan diri itu. Dia merupakan rakan penjenayah Boy.
Menurut beliau, sebelum kejadian, pasukan khas polis menerima maklumat berhubung kedudukan Joe Mafia dan Boy yang dilaporkan berada di sekitar Kampung Kubang Semang.
Sebaik dapat mengesan sebuah kereta Proton Perdana dinaiki kedua-dua penjenayah itu di Kampung Kubang Semang, polis terus mengekorinya sebelum kereta itu cuba menghimpit kenderaan polis.
Selepas itu, Proton Perdana tersebut memecut laju menghala ke Kampung Padang Temusu di Guar Perahu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Kubang Semang.
"Ketika kereta dinaiki suspek melalui jalan tar kecil di kampung berkenaan, kenderaan tersebut terbabas lalu terjunam ke dalam tali air.
"Kedua-dua penjenayah itu keluar dari kereta dan cuba melarikan diri dengan menyeberangi tali air," kata beliau pada sidang akhbar di lokasi kejadian.

4 pencuri traktor berputih mata


TIGA buah traktor pembajak bernilai RM210,000 yang dicuri tetapi ditemui semula ekoran penahanan empat lelaki.


KUALA LUMPUR - Empat penjenayah berputih mata selepas polis menggagalkan cubaan mereka untuk menjual tiga traktor pembajak (Kubota) bernilai RM210,000 yang dilarikan di Taiping, Perak, lima hari lepas.
Traktor pembajak sepatutnya sampai kepada pembeli di Ipoh, Perak dari pembekal di Puchong, Selangor pada 29 Disember lepas dilarikan dua pekerja syarikat penghantaran sebelum disembunyikan di sebuah stor di Taman Simpang Bersatu, Taiping.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd. Razak Elias berkata, pihak pengurusan pembekal menyedari kehilangan traktor itu namun hanya membuat laporan polis lima hari selepas mendapat aduan daripada pembeli dan setelah gagal menghubungi suspek yang menghantar traktor tersebut.
"Polis yang menubuhkan Ops Lejang untuk menyiasat kes tersebut kemudian mendapat maklumat traktor itu disembunyikan di sebuah stor di Taiping," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Beliau berkata, polis turut menahan dua penjaga stor serta dua pekerja syarikat penghantaran masing-masing di stor itu dan di Tanjung Malim pada hari sama traktor ditemui pada kira-kira pukul 3 pagi.
Katanya, daripada siasatan, polis percaya traktor tersebut disimpan di situ sebelum diserahkan kepada pembeli lain.
Siasatan juga mendapati keempat-empat suspek yang berumur antara 30 hingga 50 tahun itu positif dadah tetapi tiada rekod jenayah.

Dua lelaki cuba tipu kolej swasta ditangkap


DUA lelaki yang ditahan kerana cuba memperdaya sebuah kolej swasta di Ipoh semalam.


IPOH – Dua lelaki termasuk seorang bekas anggota kumpulan muzik tempatan ditahan selepas dipercayai cuba menipu sebuah kolej swasta kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 40-an itu diberkas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kafe sebuah hotel di sini pada pukul 2.40 petang.
Jurucakap SPRM berkata, ketika serbuan, dua lelaki terbabit sedang menerima wang RM10,000 daripada pengurus sebuah kolej latihan antarabangsa.
Beliau berkata, kolej yang terletak di Taman Perdagangan dan Perindustrian Bercham di sini itu berdepan masalah penggantungan lesen manakala empat pelatihnya disenarai hitam baru-baru ini atas kesalahan melanggar peraturan imigresen.
“Kolej yang menyediakan latihan dalam bidang perkapalan, kulinari dan perlombongan yang berpangkalan di Singapura itu disenarai hitam selepas didapati memberi butiran palsu dalam surat memorandum persefahaman dengan majikan yang menghantar pelatih ke kolej berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kumpulan samun tumpas


HAMDAN (tengah) menunjukkan senjata serta barangan samun yang berjaya dirampas semula pada sidang akhbar di Seremban semalam.


SEREMBAN - Penangkapan dua lelaki di Kelab Golf Taman Tuanku Ja'afar dekat sini bulan lepas berjaya membongkar beberapa kes jenayah samun barang kemas bernilai hampir RM80,000 dan kes curi kereta di negeri ini dan Selangor baru-baru ini.
Ketua Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi pada 22 Disember lalu, polis menerima maklumat mengenai cubaan pecah masuk ke sebuah rumah di kelab golf terbabit.
"Polis yang bertindak melakukan serbuan berjaya menangkap dua lelaki masing-masing berusia 30 tahun di rumah berkenaan.
"Bagaimanapun seorang lagi yang menunggu dalam sebuah kereta Proton Inspira yang dipercayai dicuri berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kereta itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dua individu ditipu hampir RM170,000


KELVIN (dua dari kiri) dan Rain (kiri) bersama Theng Book (tengah) menunjukkan laporan polis terhadap seorang lelaki yang menipu mereka di Kuala Lumpur semalam.


PETALING JAYA – Gara-gara mahu menjana pendapatan lebih, dua individu masing-masing seorang ejen hartanah dan ejen insurans mengalami kerugian hampir RM170,000 ekoran diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan Imigresen dari Putrajaya.
Kedua-duanya yang bekerja sambilan sebagai orang tengah bagi mendapatkan permit pekerja asing masing-masing mengalami kerugian sebanyak RM70,000 dan RM96,400.
Ejen hartanah tersebut, Kelvin Thong, 36, berkata, lelaki yang dikenali sebagai Ken itu mendakwa boleh mendapatkan permit dalam tempoh tiga bulan dengan deposit sebanyak RM500 bagi setiap pekerja asing.
“Ken yang diperkenalkan menerusi seorang rakan memaklumkan, dia mampu mendapatkan permit pekerja asing dan ini merupakan satu peluang bagi saya untuk menjana pendapatan melalui komisen sebagai orang tengah.
“Disebabkan Ken lengkap berpakaian seragam seperti pegawai Jabatan Imigresen, saya mempercayainya lalu mengumpul wang daripada pelanggan bagi mendapatkan permit berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA Selangor di sini semalam.
Jelas Kelvin, dia hanya menyedari diperdaya apabila lelaki terbabit gagal menyerahkan permit yang dijanjikan selepas lapan bulan menunggu.
“Saya menyerahkan maklumat mengenai pekerja asing termasuk wang yang diminta sejak Oktober 2011, namun hingga Jun tahun lalu, masih tiada sebarang permit diterima.

Remaja daif tidak bersekolah

MUHAMMAD ZAINI (kanan) membantu ibu angkatnya, Fatimah menyusun barangan lusuh untuk dijual di Kampung Sri Jaya, Skudai Kiri, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Kedaifan hidup menyebabkan seorang remaja yang tinggal di Kampung Sri Jaya, Skudai Kiri di sini terpaksa mencari barangan lusuh untuk dijual sebagai sumber pendapatan keluarga setiap hari.
Muhammad Zaini Abdullah, 18, berkata, pekerjaan itu dilakukan bagi membantu ibu angkatnya, Fatimah Ahmad, 62, menyara kehidupan mereka dengan pendapatan tidak sampai RM20 sehari.
Kata Muhammad Zaini, itu sahaja yang mampu dilakukannya kerana dia tidak pernah berpeluang untuk menimba ilmu di sekolah sejak kecil ekoran kesempitan hidup yang dialami keluarga terbabit.
"Setiap hari, saya dan ibu angkat mencari barangan lusuh seperti surat khabar, tin kosong, payung dan botol untuk dijual bagi mencari sesuap nasi.
"Selain mencari barangan lusuh, saya turut menangkap ikan di sungai berdekatan rumah untuk dijadikan lauk," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

No comments:

Post a Comment