Wednesday, January 9, 2013

ELAKKAN PERBUATAN TERGESA2 SERTA TAMAK....PERKARA INI MENYEBABKAN KITA MUDAH TERTIPU....BELAJARLAH AGAMA DISURAU2 ATAU MASJID2 BUKAN DENGAN ORANG YANG KITA TIDAK KENALI

pix_topright

Mengucap demi wang

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
Sepang: Lima beranak mualaf disyaki memeluk Islam dengan bermotifkan wang selepas dikesan melafaz kalimah syahadah sebanyak empat kali di masjid serta surau berbeza di daerah ini dan Shah Alam, sebelum mengaut sumbangan orang ramai berjumlah lebih RM11,000.
Keluarga itu terdiri daripada seorang wanita berusia 48 tahun bersama dua anak lelaki dan dua anak perempuan berusia 15 hingga 18 tahun, dikesan melakukan perbuatan itu sejak beberapa bulan lalu.
Setakat ini, kariah di sekurang-kurangnya satu masjid dan tiga surau menjadi mangsa penipuan lima beranak itu yang kebiasaannya datang ketika waktu Maghrib dan menyatakan hasrat mahu memeluk Islam.

Si ibu ‘berlakon’ kononnya mereka sekeluarga mahu memeluk Islam, tetapi terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang daripada suami yang tinggal di Mantin, Negeri Sembilan, selepas mendapat ancaman.
FotoWANITA terbabit bersama dua anak perempuannya.

Satu daripada surau yang dikunjungi lima beranak itu ialah Surau Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, dan pengerusinya, Mohd Rashid Mohd Arof, 32, berkata, kejadian itu berlaku pada 16 Disember tahun lalu.


JAIS terima maklumat

Putrajaya: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah menerima maklumat mengenai kegiatan satu keluarga mualaf yang dipercayai memeluk Islam hanya untuk menerima sumbangan wang tunai orang ramai.
Pengarahnya, Datuk Marzuki Husin berkata, JAIS sudah menerima maklumat kegiatan keluarga itu dan nama mereka sudah berada dalam rekod saudara baru.

“Kami sudah dimaklumkan mengenai kes itu, jadi kami minta mana-mana masjid atau surau yang didatangi keluarga terbabit membuat laporan polis kerana mereka dilihat mengambil kesempatan menipu di atas keprihatinan orang ramai.
“Saya juga meminta pihak kariah memeriksa latar belakang mana-mana individu atau keluarga yang datang ke masjid untuk memeluk Islam dengan merujuk kepada Jais kerana kami mempunyai rekod saudara baru,” katanya yang dihubungi, semalam.


‘Panji Langit’

Oleh Iskandar Shah Mohamed dan Amir Mamat
Melaka: Ajaran sesat baru mirip Ayah Pin dikenali ‘Panji Langit’ dipercayai cuba dihidupkan seorang bomoh yang bukan saja mengaku menjadi perantara malaikat Jibril dan boleh mentafsir dosa pesakitnya, malah diutus untuk membunuh dajal serta pemegang takbir pembinasa dajal.
Lelaki berusia 46 tahun yang mengaku dirinya sempurna itu dikatakan turut meminta pengikutnya beriman kepada dirinya dan mendakwa ajaran ahli agama serta ulama di negara ini tidak sempurna.

Difahamkan, kumpulan terdiri kira-kira 70 individu itu mengamalkan zikir dipanggil ‘Zikir Kesempurnaan’ yang diadakan setiap malam Jumaat di rumah lelaki berkenaan.

Pengikut ajaran berkenaan turut diminta bersumpah setia, malah rata-rata pengikutnya taksub kepada lelaki itu yang dikatakan mengaku sebagai peringatan terakhir kepada alam ini dan hari kiamat.

Akibat terlalu taksub, ada sesetengah pengikut bomoh berasal dari Muar, Johor itu juga didakwa sanggup menyerahkan barangan kemas dan kereta mewah seperti sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Hyundai Starex berharga kira-kira RM140,000.


Nafi pernah beri restu

Jasin: “Selepas kumpulan itu ditubuhkan tahun lalu, saya sering didatangi orang ramai yang bertanyakan perkara berkenaan, namun saya menafikan pernah memberi restu.
“Saya tidak pernah bertemu secara peribadi dengan lelaki itu, apatah lagi merestui penubuhan kumpulan zikir yang diragui status kebenarannya di sisi agama,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chabau, Abu Supian Abu Samah (gambar). Penduduk kampung itu mendakwa lelaki yang ditahan polis Sabtu lalu, pernah memujuk mereka menyertai kumpulan zikir yang ditubuhkannya pada pertengahan tahun lalu.

Selain bijak mengatur kata, individu berusia 46 tahun itu juga pernah menggunakan nama Mufti Melaka, polis serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kononnya memberi 'restu' untuk beliau meneruskan kegiatan berkenaan.
Menurut Abu Supian, penduduk tidak terpengaruh dengan pelawaan lelaki itu malah merujuk terlebih dulu kepada beliau dan pihak berkuasa agama.

Katanya, beliau terkejut apabila diberitahu bahawa lelaki itu mempunyai banyak senjata berbahaya seperti pedang, keris, kapak, parang, busur, anak panah, lembing, kanister yang dipenuhi serbuk bedil dan beberapa senapang palsu.

 pix_topright

‘Boy’ pulang minum

Oleh Zulfa Mohamad
Tasek Gelugor: Seorang daripada suspek yang meloloskan diri daripada kawalan polis, Mohd Noor Mustafa, 28, atau dikenali sebagai ‘Boy’ bersama rakannya, dipercayai memecah masuk rumah yang pernah didiaminya di Kampung Tun Sardon, dekat sini, dan mengambil beberapa helai pakaian beberapa jam selepas meninggalkan van polis di Padang Chempedak, Isnin lalu.
Selain pakaian, suspek sempat minum berdasarkan dua gelas yang ditemui dalam rumah berkenaan yang terletak berhampiran ladang sawit.
Rumah berkenaan dipecah masuk berdasarkan kunci pintu dan jeriji dikopak, namun hanya disedari pemilik rumah berkenaan ketika membuat pemeriksaan jam 11 pagi semalam.

Pemilik rumah itu yang enggan dikenali berkata, dia terlintas untuk memeriksa rumah berkenaan selepas beberapa hari tidak berbuat demikian dan terkejut apabila mendapati besi jeriji dan kunci pintu terkopak.
FotoALMARI baju dipercayai digeledah ‘Boy’.

“Almari pakaian berselerak selain dua gelas mengandungi separuh air masak manakala pintu di tingkat atas terbuka.

 pix_topright

Babi hutan ceroboh mahkamah

Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: Pekarangan Mahkamah Majistret di sini, semalam, gempar apabila seekor babi hutan jantan menceroboh kawasan itu.
Babi hutan itu juga menyerang anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah dan orang ramai yang cuba menangkapnya.
Haiwan berkenaan disedari berada di dalam longkang dalam kawasan mahkamah jam 8.30 pagi dan berlari mencari jalan keluar, namun gagal menyebabkan suasana menjadi kecoh.

Kekecohan itu berakhir kira-kira dua jam kemudian selepas haiwan berkenaan mati ditembak anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang dipanggil ke lokasi.

Saksi kejadian, Ahmad Harun, 52, berkata, dia mulanya menyangka haiwan kelabu di dalam longkang itu adalah longgokan sampah.


Pensyarah, suami saman hospital

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
Ipoh: Seorang pensyarah wanita dan suaminya memfailkan saman terhadap Hospital KPJ Ipoh yang didakwa cuai hingga menyebabkan kematian bayi lelaki mereka pada April tahun lalu.
Norehan Abdul Hassan, 30, dan suaminya, Mohd Helmi Mohd Isa, 30, memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, semalam, bagi menuntut ganti rugi termasuk ganti rugi am, ganti rugi teladan dan kos berkaitan bagi kes berkenaan, selain ganti rugi khas.
Dalam writ saman itu, mereka menamakan Doktor Sharifah Halimah Jaafar dan KPJ Ipoh Specialist Hospital Sdn Bhd sebagai defendan.

Sebelum ini, beberapa rundingan dilakukan antara kedua-dua pihak, namun tiada persetujuan diperoleh.
FotoNOREHAN dan Mohd Helmi menunjukkan gambar anak mereka.

Pasangan itu hadir ke mahkamah bersama peguam mereka, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dari Tetuan Azam Aziz & Co, Peguambela dan Penguamcara.


Derita bayi salah suntik

Oleh Amir Abd Hamid
Kuala Pilah: Luluh hati sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) apabila melihat bayi sulung mereka yang sihat ketika dilahirkan kini menderita tangan kanan bengkak dipercayai akibat tersalah suntikan ketika dirawat di sebuah hospital.
Semalam, Muhammad Syafiq yang baru berusia 22 hari itu masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah selepas menjalani pembedahan membuang daging hampir busuk yang membengkak di tangannya.

Bapanya, Hamzah Hamid, 44, berkata, pada mulanya bayinya yang ketika itu berusia sembilan hari dihantar ke Klinik Kesihatan Lui Muda di Jempol, dekat sini, pada 27 Disember lalu akibat demam.
Katanya, dia bersama isteri, Zunita Zuhaimi, 28, dengan pertolongan keluarga mentua, membawa Muhammad Syafiq ke klinik kesihatan itu, namun kes dirujuk di Hospital Jempol.

“Pihak klinik merujuk kes anak saya ke Hospital Jempol sebab suhu badannya terlalu panas. Doktor di hospital menempatkan anak saya ke dalam wad.

“Tetapi, empat hari kemudian ketika mahu mengambil anak untuk dibawa ke rumah, saya terkejut mendapati tangannya berbalut. Sebaik dibuka balutan itu, saya dan isteri amat sedih melihat tangan anak kami membengkak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah, di sini, semalam.
Tidak puas hati dengan keadaan bayinya, Hamzah sekeluarga mendesak pihak hospital menjelaskan perkara sebenar sebelum diberitahu jururawat tersalah cucuk ubat.

Menurutnya, pada Sabtu lalu Muhammad Syafiq dipindahkan dari Hospital Jempol ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah sebelum malam kelmarin untuk menjalani pembedahan.
Sehubungan kejadian itu, Hamzah membuat laporan di Balai Polis Bandar Sri Jempol untuk tindakan selanjutnya dan Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Hamzah berkata, keluarganya juga bercadang membawa kes itu ke mahkamah.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Zailan Adnan berkata, pihaknya menubuhkan Lembaga Siasatan Perubatan yang dianggotai pakar perubatan pelbagai bidang, tetapi bukan terbabit secara langsung dengan kes pesakit itu untuk membuat siasatan telus. “Semua yang terbabit dengan rawatan pesakit berkenaan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan dalaman berhubung kes itu. Tindakan selanjutnya ialah dengan memanggil keluarga pesakit selepas laporan lengkap dikeluarkan untuk menerangkan sama ada kes berkenaan adalah kecuaian atau komplikasi.

“Laporan juga akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan, kelak,” katanya.

Isteri amuk acu suami parang

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
Kuala Lumpur: Tidak dapat membawa lari anak lelakinya yang berusia sembilan bulan, seorang isteri mengamuk dengan mengacukan parang, gunting dan mahu menumbuk suaminya dengan lesung batu dalam kejadian di Gombak Setia, kelmarin.
Wanita berusia 29 tahun itu bertindak demikian selepas suaminya tidak mahu menceraikannya ekoran masalah rumah tangga dihadapi mereka sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun terpaksa bergelut dengan isterinya itu bagi mengelak dicederakan.
Sumber berkata, pasangan berkenaan berkahwin hampir dua tahun lalu dan mengalami masalah rumah tangga sejak beberapa bulan lalu hingga menyebabkan wanita terbabit mahu bercerai.

Katanya, wanita itu juga mengugut mahu membunuh diri kerana ingin suaminya dipenjarakan ekoran menghalangnya untuk mengambil anak tunggal mereka, selain tidak mahu melafazkan cerai.

“Mereka kerap bertengkar menyebabkan wanita itu tertekan sebelum mengambil keputusan meminta cerai dan keluar dari rumah.
“Ketika wanita itu mahu mengambil anak tunggal mereka, dia dihalang suaminya menyebabkan dia berlari ke dapur mengambil parang, gunting dan lesung batu kerana mahu membunuh suami,” katanya, semalam.

Sumber berkata, tindakan itu dihalang suaminya sebelum wanita itu berlari ke dapur untuk terjun dari rumah mereka, namun sekali lagi dapat dihalang.
Menurutnya, puas bertengkar, lelaki itu mengambil keputusan keluar dari rumah dan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju bagi melindungi diri sekiranya terjadi apa-apa kepada isteri dan anak tunggal mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


Umur kian singkat, ajal makin dekat

MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah memasuki tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.
Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?”

Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365 hari manakala tahun itu juga adaah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah menjadi setahun.

Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.

Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.

Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak.

Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru.

Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita.
Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik.

Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya.

Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah.

Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting.

Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu.

Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun.

Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa.

Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir pada diri kita adalah kematian.

Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini.

Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda.

Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai.

Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip saja.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri.

Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya.

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang.

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah.

Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri.

Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan hanya dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama.

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya.

Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain.

Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan.

Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas berubah jangan jadikan ia upacara bermusim berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah.

Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.pix_topright

Jaga kebas motosikal

Kuala Lumpur: Akibat cuai meninggalkan motosikal tanpa mematikan enjin ketika masuk seketika dalam kedai membawa padah kepada seorang tukang cat apabila motosikalnya dilarikan seorang pengawal keselamatan di Jalan Hang Lekiu, di sini kelmarin.
Difahamkan, mangsa berusia 50 tahun itu meninggalkan motosikalnya dalam keadaan tergesa-gesa sebelum masuk dalam kedai untuk membeli barang.

Kesempatan itu digunakan pengawal keselamatan terbabit untuk melarikan motosikal itu.
Bagaimanapun, dalam tempoh 48 jam, kenderaan itu dikesan Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) ketika membuat rondaan mengesan nombor pendaftaran palsu di Jalan Imbi, jam 7.30 malam.

Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika membuat rondaan di sekitar Jalan Imbi, anggota U3K mengesan sebuah motosikal SYM Bonus 110 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Selepas melakukan intipan, seorang lelaki berusia 27 tahun berpakaian seragam pengawal keselamatan membuka kunci mangga pada motosikal itu sebelum menghidupkan enjin.
“Lelaki terbabit ditahan sebelum dia mendakwa kononnya motosikal berkenaan dipinjam daripada rakannya,” katanya, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut melalui sistem kompol mendapati motosikal berkenaan baru dicuri dua hari lalu di Jalan Hang Lekiu dan suspek memiliki rekod cubaan samun.
“Selain itu, dia turut memiliki rekod dikehendaki polis atas kesalahan dadah dan laporan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya.

RM26,000 habis lebur

Oleh Nurasyikin Ramli
Kuala Lumpur: Bukan saja impian untuk mengerjakan umrah musnah, malah sepasang suami isteri berputih mata apabila wang simpanan RM26,000 lesap selepas terpedaya dengan pelaburan pemasaran bertingkat (MLM).
Pasangan terbabit yang mahu dikenali sebagai Fuad, 39, dan Hanim, 44, mendakwa mengenali sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) sejak beberapa bulan lalu melalui kenalannya.

Hanim berkata, sejak pertemuan itu, pasangan terbabit memperkenalkan kepada dia dan suami program dikenali sebagai ‘mentor-mentee’ yang didakwa disertai pelajar sebuah universiti swasta sebagai penggerak syarikat pelaburan itu.
Menurutnya, tertarik dengan tawaran dan keuntungan berlipat kali ganda dijanjikan lelaki itu jika menyertai pelaburan dan semakan melalui laman web mendapati syarikat terbabit wujud menyebabkan mereka bersetuju menjadi ahli.

“Kami pada mulanya diminta membayar wang pendahuluan bagi memulakan proses pendaftaran untuk menjadi ahli. Saya dan suami menyerahkan RM16,000 pada 13 September tahun lalu dan baki RM10,000 diserahkan keesokan harinya di Taman Melawati, Ampang, dekat sini.

“Malah, lelaki itu turut meyakinkan saya dan suami supaya mencari ahli lain yang akan berada di bawah saya jika ingin mendapat pulangan lebih lumayan secara cepat iaitu sebanyak RM20,000 hingga RM40,000 sebulan,” katanya.
Hanim berkata, dia bersetuju dan memperkenal tiga rakan sekerja kepada lelaki itu untuk melabur menyebabkan mereka turut kerugian RM2,000 hingga RM16,000.

“Selepas berulang kali menghubunginya untuk mengetahui status pelaburan berkenaan dia menghilangkan diri dan gagal dihubungi,” katanya.
Sementara itu, Fuad berkata, dia yang mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kemudian berjumpa sendiri dengan pengasas syarikat MLM itu di Johor untuk mengetahui keadaan sebenar.

Menurutnya, dalam pertemuan itu syarikat terbabit memberitahu pernah bertemu dengan lelaki itu untuk berbincang mengenai pelaburan terbabit namun tidak lama kemudian dia menghilangkan diri. Fuad membuat laporan di Balai Pejabat Polis Wangsa Maju sebelum dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk tindakan lanjut.


Kulit tersiat

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
Johor Bahru: “Mama, papa, kaki Fathur tersepit ni!“ jerit seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang patah tulang jari kaki kirinya manakala kulit bahagian berkenaan tersiat selepas tersepit di eskalator sebuah pasar raya di Kota Tinggi, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa, Muhamad Fathur Rahman Fadhel tersepit kakinya ketika menuruni eskalator terbabit bersama ibu bapa dan adik perempuannya berusia lima tahun.

Lebih mengerikan, bapanya, Fadhel Ahmad, 32, terpaksa menarik kaki mangsa yang juga anak sulung daripada dua beradik bagi menyelamatkannya.
Menceritakan detik cemas itu, ibu mangsa, Nor Fadilah Anuar, 32, berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga ke pasar raya terbabit untuk menghantar stok bekalan makanan yang diletakkan di sebuah kedai di situ.

“Selepas selesai menghantar stok makanan, kami berempat menuruni aras satu pasar raya berkenaan sebelum Fathur tiba-tiba menjerit sekuat hati mengatakan kakinya tersepit.

“Kami panik sebelum suami memberanikan diri menarik kaki kiri Fathur yang tersepit itu,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan, di sini, semalam.
Menurut Nor Fadilah, dia semakin panik selepas ternampak tulang selain kulit kaki anaknya tersiat.

Katanya, ketika itu, dia melihat Muhamad Fathur Rahman yang juga murid Sekolah Kebangsaan Pasak, Kota Tinggi menahan kesakitan sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT).
“Kakitangan HKT mendapati kaki Fathur patah menyebabkan dia dirujuk ke HSI untuk dibedah.

“Saya dan keluarga berjumpa dengan pengurusan pasar raya terbabit tengah hari semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan kejadian,” katanya.

Menurut Nor Fadilah, ketika kejadian, tiada seorang pun wakil pengurusan pasar raya terbabit yang membantu mereka sekeluarga.

Katanya, lebih mengejutkan, dia dimaklumkan kejadian itu tidak diberitahu kepada pengurusan.

“Ketika kejadian, ada lima pengawal keselamatan berada di luar bangunan pasar raya itu dan tidak logik sekiranya mereka hanya mendiamkan diri serta tidak memaklumkan kejadian kepada pihak atasan.

“Kami sekeluarga berharap keadaan Fathur bertambah baik selepas pembedahan dilakukan malam tadi,” katanya.

Menurut Nor Fadilah, kejadian itu memberi tamparan hebat buatnya serta suami dan mereka akan lebih berhati-hati selepas ini bagi mengelak kejadian sama berulang.

Wakil pengurusan pasar raya itu ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melawat Muhamad Fathur Rahman di HSI untuk melihat sendiri keadaan kanak-kanak berkenaan.

“Ada sedikit salah faham berkaitan kejadian ini dan kami akan berbincang dengan keluarga kanak-kanak itu bagi mencari penyelesaian,” katanya enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

 pix_topright

Dua jam bawah jeti

Tasmania: Sambil berpelukan erat dalam air dengan wajah ketakutan, keluarga ini terpaksa berlindung di bawah jeti lebih dua jam ketika kebakaran hutan Australia memusnahkan bandar tempat mereka tinggal.
Ketika api membakar kediaman mereka, Tammy dan Tim Holmes membawa lima cucu mereka ke satu-satunya tempat yang diharapkan tidak terkena api.

Dengan oksigen makin berkurangan dalam udara yang tercemar itu, mereka berpaut pada struktur kayu berkenaan dan berpelukan semasa sendiri sebagai sokongan ketika harapan untuk keluar dari bencana itu kian tipis. Pada satu ketika, api turut membakar jeti terbabit dan memaksa Holmes menceduk air dari laut untuk memadamkan api itu.
Akhirnya, selepas dua jam setengah dalam air, Holmes berjaya mendapatkan sampan kecil yang digunakan mereka untuk melarikan diri ke hotel di luar zon kebakaran.

Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak terbabit, Bonnie Walker bimbang keluarganya sudah terbunuh.

Dia meninggalkan anaknya, Charlotte, dua; Esther, empat; Liam, sembilan, dan Matilda yang berusia 11 tahun serta Caleb, enam tahun di bawah jagaan ibu bapanya ketika dia menghadiri majlis pengebumian.
Bonnie memberitahu dia memandu ke majlis pengebumian di Hobart ketika api membakar di kedua-dua belah jalan raya dan melepasinya sebelum api sampai di jalan raya dan memisahkan dia daripada keluarganya.

Dia memberitahu rangkaian ABC Australia: “Kami hanya menunggu di telefon dan menerima mesej pada jam 3.30 petang mengatakan ibu dan bapa sudah dipindahkan, mereka dikelilingi oleh api. Saya terus berdoa.
“Jadi, saya menguatkan semangat menerima kenyataan mungkin kehilangan anak dan ibu bapa saya,” katanya.

Dengan bekalan oksigen makin berkurangan dalam udara yang tercemar, Bonnie berkata, bapanya, “berusaha berdepan dengan risiko” untuk mendapatkan sampan kecil dari pantai.

Holmes memberitahu bagaimana dia mengarahkan isteri, cucu dan anjing peliharaan, Polly ke jeti berdekatan apabila melihat asap dari hutan yang terbakar di bumbung.

Walaupun tiga jentera bomba tiba, lelaki berusia 62 tahun itu, menyedari dia tidak dapat mempertahankan kediaman yang dibinanya sendiri itu.

“Saya melihat ke arah anggota bomba dan berkata, “Saya perlu pergi kepada Tammy dan kanak-kanak itu,” katanya kepada West Australian.

“Selama dua jam setengah berikutnya, kami berpelukan di bawah jeti ketika kebakaran kian marak dan menyebabkan asap tebal, abu dan sisa kebakaran yang menyebabkan kami kekurangan oksigen.

“Ada masa, kami perlu masuk lebih dalam di permukaan air kerana ia terlalu panas dan ada juga ketika, jeti itu turut terbakar. Saya dapat menceduk sedikit air dan menyimbahnya ke jeti untuk memadamkan api itu,” katanya. - Daily Mail

Lepas bedah baru tahu tiada kanser

Singapura: Seorang ahli perniagaan terkenal Malaysia menjalani pembedahan di republik ini kerana disyaki menghidap kanser, tetapi kemudian mendapati dia tidak menghidap penyakit itu.
Dia kini menyaman Pusat Kanser Nasional Singapura (NCC) dan konsultan kanan di pusat itu kerana kerugian dialami.

Datuk Seri Hii Chii Kok, 54, yang menetap di Kuala Lumpur, semalam mendakwa, pusat terbabit gagal memberikan nasihat sewajarnya, tidak memberi pertimbangan terhadap keputusan pelbagai ujian lain dan gagal memaklumkan kepadanya mengenai penyakit itu. Kedua-dua defendan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan dalam dokumen mahkamah yang difailkan, mereka tidak pernah memberitahu Hii yang dia menghidap kanser pankreas. Mereka menegaskan terdapat pelbagai pendapat pakar lain menunjukkan bahawa dalam kesnya, kanser tidak dapat dielakkan dan pembedahan adalah disyorkan.
Hii adalah Pengarah Urusan syarikat senaraian awam di Kuala Lumpur, Kumpulan Universiti SEGi dan Pengerusi Eksekutif syarikat pelaburan persendirian, Kumpulan HCK Capital.

Pada Jun 2010 selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Malaysia, Hii dirujuk ke NCC, di mana dia dinasihatkan menjalani rawatan imbasan bagi memastikan ‘bintik panas’ atau ketumbuhan berkanser.

Ujian itu menunjukkan terdapat beberapa bintik panas dalam pankreasnya. Dia dinasihatkan agar menjalani Prosedur Whipple - pembedahan untuk mengasing, atau membuang bahagian dalam pankreas, duodenum dan sebahagian perutnya. Selepas pembedahan Ogos 2010, bahagian pankreas yang dipotong itu didapati tiada sel kanser. Dia dibenarkan keluar hospital 10 hari kemudian.
Hii mendakwa ujian lain dilakukan NCC, termasuk ujian darah dan air kencing, semuanya menunjukkan keputusan normal, tetapi NCC tidak memaklumkan kepadanya mengenai keputusan itu atau kepentingannya.

Dia kemudian kembali ke NCC pada September 2010 untuk kajian semula dan diberitahu dia semakin pulih. Namun, kira-kira dua minggu kemudian di Kuala Lumpur, dia muntah darah dan tidak sihat. Ini menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan di Kuala Lumpur. - Straits Times

4 ditahan miliki dadah RM30j

Bangkok: Polis semalam menyerbu sebuah kediaman di Nakhon Pathom dan merampas 814,000 pil methamphetamine serta 12 kilogram serbuk meth atau ais.
Empat orang turut ditahan dalam serbuan itu.

Mereka ialah Monchai Boonpol, 30; Surasak Plaboothong, 28; Nikorn Ritdee, 29; dan Thanchanok Yaemtat, 31, dan kini berdepan tuduhan memiliki serta mengedar dadah. Polis menganggarkan nilai jalanan rampasan dadah itu ialah sebanyak 300 juta baht (RM30 juta).
Polis berkata, pihaknya bertindak atas maklumat seorang daripada suspek, Ritdee yang terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah. Kumpulan itu menyimpan bekalan penghantaran dadah di pinggir kawasan metropolitan Bangkok sebelum diedarkan kepada pelanggan di sekitar bandar raya itu. Semua suspek mengakui mereka mengikut arahan daripada seorang tahanan di penjara Nakhon Pathom agar menghantar dadah dari utara negara itu yang dibekalkan oleh suku kaum Lisu.

Polis berkata, suspek kelima yang juga isteri kepada Boonpol, Nannapat Pimploy dapat melarikan diri dan kini masih diburu.

No comments:

Post a Comment