Sunday, January 6, 2013

SEMUA KENA SIASAT JANGAN PEMBANGKANG SAJA...RAKYAT NAMPAK ADA YANG TAK KENA

SPRM siasat isu pajakan tanah

SEBUAH rumah yang dibina oleh peneroka berlatarbelakangkan kawasan bukit yang telah digondolkan di Relai, Gua Musang semalam.


KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pajakan tanah lebih 4,000 hektar di Gua Musang kepada sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan dua pemimpin DAP Perak.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima fail-fail berkaitan urusan pajakan tanah tersebut daripada kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas.
“Pihak SPRM telah menerima dokumen berkaitan (pajakan tanah) dan siasatan masih diteruskan,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesahkan kerajaan negeri telah menyerahkan fail-fail berkaitan urusan pajakan tanah tersebut kepada SPRM kelmarin.
Pegawai kerajaan negeri telah menyerahkan fail-fail berkaitan urusan pajakan tersebut untuk siasatan selepas terdapat dakwaan tanah itu dipajak kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan dua pemimpin DAP Perak.
Menurut Nik Aziz, kerajaan Pas Kelantan juga bersetuju dengan cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menjalankan siasatan secara terperinci mengenai pajakan tanah kepada syarikat yang didakwa dimiliki oleh pemimpin DAP iaitu Datuk Ngeh Koo Ham dan Datuk Nga Kor Ming itu.
Beliau yang menafikan wujud unsur rasuah dalam urusan pajakan tanah tersebut dan menegaskan ia dilakukan mengikut peraturan berkata, pihaknya tetap terbuka kepada apa juga jenis siasatan kerana mengamalkan dasar ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya beri peluang kepada orang buat apa sahaja, Suruhanjaya Siasatan Diraja atau apa sekalipun, saya selalu sebut saya buka pejabat 25 jam sehari, bukan 24 jam tetapi 25 jam.
“Dengan cara ini, saya sendiri selalu beringat, pegawai sendiri selalu beringat, kerana apa? Kerana Menteri Besar sebut 25 jam buka pejabat untuk disiasat,” katanya selepas menyampaikan amanat tahun baru pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam.

Buruh paksa: RM207 bilion wang pampasan lesap?

Harakahdaily, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN dituntut supaya menjelaskan di manakah wang bernilai RM207 bilion yang telah diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada 30,000 pekerja buruh paksa pembinaan landasan keretapi dari tahun 1942 hingga 1946.

Ini kerana, walaupun telah diterima kira-kira 10 tahun lalu namun sehingga kini ia tidak diserahkan kepada mangsa atau waris mereka.

Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin memberitahu Dewan Rakyat, beliau mempunyai dokumen yang mengesahkan kemasukan wang itu.

Yang mengejutkan, kata beliau, pada 13 Disember 2004, Bank Negara mengeluarkan banker's cek bernilai RM107 bilion dan RM100 bilion
lagi diperuntukkan dalam bentuk syer Maybank yang didaftarkan pada 13 Disember 2004.

Ini bermakna, wang RM207 bilion yang sepatutnya diberikan kepada 30,000 mangsa buruh paksa ini telah diterima kerajaan sebelum tarikh 13 Disember 2004 lagi, iaitu kira-kira 10 tahun lalu.

Namun sehingga kini, wang itu tidak diberikan kepada mangsa atau waris mereka.

Ekoran itu, kata Mohamad Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942 - 1946 telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi menuntut wang itu.

Surat itu telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai 2011 menuntut pembayaran wang itu.

“Sejumlah 30,000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan itu. Sejumlah 60% daripada mereka itu adalah orang Melayu, 20% orang India, dan 15% orang Cina. Selebihnya 5% itu adalah kaum lain”.

Menurut Nizar, pejabat Perdana Menteri apabila menerima surat itu telah pun menyerahkan satu salinan untuk dipanjangkan kepada Kementerian Sumber Manusia ada 9 Ogos 2011.

Beliau juga difahamkan, semua pihak dalam kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara telah bersetuju agar duit itu diserahkan kepada 30,000 mangsa ini.

"Saya mahu menyatakan di sini kalau sekiranya perkara itu telah pun dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet, maka kenapa ianya harus disimpan oleh Treasury ataupun Bendahari Kewangan kita sebegitu lama?" soal Nizar dalam ucapannya itu.

Menurutnya, mereka yang terlibat ada yang telah meninggal dunia, ada yang warisnya masih ada.

"Saya boleh menyatakan bahawa ayah kepada Tan Sri Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Malaya hari ini adalah salah seorang daripada mereka yang dikerahkan oleh Kerajaan Jepun ketika itu untuk membina landasan kereta api dan dia masih hidup lagi.

"Dia masih ada di Ipoh dan boleh menceritakan bagaimana susahnya 30,000 rakyat Malaysia ketika itu," beritahu Nizar kepada Dewan Rakyat.

Nizar bertanya, "kalau sekiranya wang itu telah diberikan sebagaimana yang dinyatakan, maka kenapakah kerajaan masih tidak memberikan pampasan itu kepada rakyat Malaysia yang telah dipaksa untuk melaksanakan kerja-kerja itu?"

Bagi beliau, ini merupakan satu amanah yang sewajarnya rakyat Malaysia sedar kerana ini satu hak kepada rakyat yang dinafikan oleh kementerian-kementerian tertentu  iaitu Kementerian Kewangan barangkali, Bank Negara dan juga Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri yang telah pun mengarahkan supaya kertas Kabinet diluluskan.

"Jadi saya hendak bertanya sama ada rayuan daripada persatuan itu. Mereka merayu supaya pampasan diberikan kepada mereka, kenapa ianya dinafikan?" soal beliau tegas.

Menurut beliau juga, kerajaan Filipina, Indonesia dan juga Vietnam juga menerima wang yang sama dan telah diserahkan kepada rakyatnya yang terlibat.

Target 1 juta, MB Perak, Amanat Hadi

Ahmad Lutfi Othman, 06 Jan 2013
Himpunan Kebangkitan Rakyat, yang dijadual petang Sabtu depan, 12 Januari 2013, sekitar Stadium Merdeka, nampaknya belum lagi diberi "publisiti percuma" oleh media Umno. Pihak polis pun masih enggan membuka mulut.

Lantaran itu, ada rakan-rakan yang diusik kebimbangan dengan jumlah kehadirannya nanti. Bagaimanapun, saya optimis kali ini, ia bakal mencatat rekod perarakan paling besar pernah disaksikan di ibu kota.

Memang targetnya cukup besar. Mengumpulkan satu juta orang. Sasaran yang dikira berpadanan dengan objetif utama perhimpunan, iaitu memastikan tiada penipuan dalam pilihan raya nanti.

Sebelumnya, melalui siri himpunan Bersih sejak 2007, hanya sekitar 100,000 ... dan berjaya. Dalam Bersih 3.0, pada 28 April 2012, dianggarkan hampir suku juta hadir.

Dilihat gerakerja yang bermula di majlis pelancaran, Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan, 3 November lalu, kemudiannya mendapat sambutan meriah di peringkat zon dan negeri, program kemuncak di Kuala Lumpur ini begitu "menjanjikan".

Tahun lalu, Himpunan Bersih 3.0 pun tiada "publisiti percuma" di peringkat awal. Akhirnya kecoh dan heboh juga seluruh negara.

Mungkin strategis BN mengambil iktibar daripada gembar-gembur dan riuh-rendah yang sia-sia seperti laporan polis beramai-ramai, larangan pakaian kuning dan amaran agar menjauhi Dataran Merdeka; ia hanya mempopularkan "demonstrasi haram" itu!

Secara peribadi, seperti tahun lalu, saya berazam untuk turut sama memeriahkan,  walaupun terpaksa menempah hotel berdekatan pada petang Jumaat lagi. Malu untuk menjadikan keuzuran dan jalan bertongkat sebagai alasan menjadi pemerhati pasif. Acara hebat seperti ini mesti dirasai, dihayati dan dinikmati bersama.

Lagipun, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam perutusan khasnya,  menyeru masyarakat "walau apa situasi dan kondisi mereka sekalipun, selagi terdaya hadir pada program itu walaupun terpaksa berkerusi roda".


Lebih menarik, himpunan rakyat ini dapat menjadi medan terbuka untuk exercise beramai-ramai, dalam suasana mesra. Bukankah berjalan 10,000 langkah sehari itu satu amalan yang baik untuk kesihatan dan menjadi kempen Kementerian Kesihatan?

(Ya... baru saya tersedar, bagus juga aktiviti perarakan atau berjalan kaki dalam program-program besar seperti Lynas, demonstrasi PTPTN dan lain-lain).

Seperti diingatkan penggerak utamanya, Mohamad Sabu, ia adalah himpunan paling aman dan berkonsep santai, juga boleh membawa keluarga bersama. Beliau percaya, himpunan itu bakal memberi keuntungan berganda kepada para peniaga dan hotel juga akan penuh.

Apa pun, objektif utama menghimpunkan sejuta orang di pusat bandaraya Kuala Lumpur, sebelum Parlimen dibubarkan itu,  tidak harus dikompromi.

Dalam suasana ceria dan relax, sambil berkenalan dengan rakan-rakan baru, bertanya khabar sahabat lama atau bertembung kawan yang terpisah, maka tujuan terpenting masih berlegar isu proses pendemokrasian, atau lebih tepat memastikan Pilihan Raya Umum Ke-13 berjalan secara bersih, bebas dan adil.

Pelbagai tuntutan telah dikemukakan, termasuk dalam ketiga-tiga tunjuk perasaan Bersih terdahulu, begitu juga siri pertemuan dan dialog dengan SPR. Tidak banyak kejayaan yang dicatat dan sistem kita masih kekal bobrok, kotor dan tempang.

Lalu, tentu ramai yang bertanya, apakah himpunan terbesar ini akan membawa manfaat kepada proses reformasi politik yang sebenarnya? Atau sekadar satu pesta yang bakal berakhir -- seperti biasa -- dengan tembakan gas pemedih mata, kekasaran polis dan juga fitnah media di malamnya, serta ulangan "keganasan" demonstran di kaca TV?

Bagi saya, aspek terpenting adalah jumlah kehadiran pada hujung minggu itu. Walaupun ia bukan gelanggang beradu kekuatan, namun harus disedari bahawa mesej jelas kepada elit penguasa hanya dapat disampaikan apabila gema suaranya lebih lantang dan nyaring!

Tok Guru Nik Aziz, semasa menyeru orang ramai turun pada 12 Januari ini, menekankan: “Kerajaan tidak pernah mendengar suara rakyat, jadi perlu kita turun beramai-ramai untuk menyatakan bantahan ini.”

Dalam pada itu, penghargaan harus dikalung buat para aktivis, khususnya anak-anak muda, termasuk warga kampus,  yang bergerak lincah menyusun pertemuan di seluruh pelosok negara. Mereka bertungkus-lumus berikhtiar menjayakan misi besar ini.


Saya sebenarnya lebih tertarik dengan rumusan Hishamuddin Rais, juga aktivis penting Bersih: "Satu juta rakyat berhimpun adakah amaran yang cukup jelas: Jangan tipu dalam PRU13.Jika pengundi dan rakyat merasakan mereka ditipu dalam PRU13 ini,  bukan hanya satu juta yang akan turun, bukan dua juta tetapi berjuta-juta rakyat akan ke jalan raya."

II. Tukang karut dan pembohongan media


Semasa TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian terus melemparkan tuduhan tidak berasas berunsur fitnah -- dan disifatkan menghina Sultan Perak -- berkaitan kawasan balak Kelantan kepada dua pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Ngar Kor Ming, saya lebih lebih terkesan  dengan tujuh soalan penting Ngeh kepada Menteri Besar, Dr Zambry Abdul Kadir.

(Manakan tidak menghina Raja Perak, apabila pemimpin Umno mendakwa PAS Kelantan merasuahkan pemimpin DAP pada 2008 supaya berkompromi bersetuju dengan Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, sedangkan perlantikan MB dibuat selepas Sultan mempertimbangkan ketiga-tiga calon daripada PAS, DAP dan KeADILan).

Soalan-soalan yang dikemukakan dalam sidang Dun baru-baru ini masih belum dijawab. Antaranya, isu mengenai penerima tanah seluas 68,503 ekar yang diluluskan dengan nilai sekitar RM375 seekar tanpa tender terbuka.

Selain itu, mengapa tanah seluas enam ekar di bandar Sitiawan dianugerah kepada Kinta Berkat Sdn Bhd tanpa tender terbuka dan apakah syaratnya? Mengapa tanah (prime land) 15 ekar di Mukim Lumut diluluskan kepada Realty Axis Sdn Bhd; tanah 32.07 ekar di Mukim Kamunting, kepada YBU Holding Sdn Bhd;  147.84 ekar di Mukim Lumut, kepada Kinta Berkat Sdn Bhd; 58 ekar di bandar Lumut kepada J & S Holdings Sdn Bhd; dan 40 ekar di Perak Tengah (Sri Iskandar) kepada Toyo Chemicals Sdn Bhd juga; semuanya tanpa tender terbuka?

Pelik apabila media Umno terus memilih pendekatan primitif, dengan mengulangi pembohongan demi pembohongan, meskipun fitnah berkaitan tanah di Gua Musang itu berjaya disanggah dengan fakta kukuh, khususnya dari segi tarikh-tarikh penting.

Mungkin mereka beranggapan masih ramai rakyat yang mudah diperbodohkan melalui sentimen perkauman dan kedaerahan sempit? Kepada tukang-tukang propaganda ini, orang ramai dilihatbegitu dungu untuk mempercayai apa saja tohmahan yang dilemparkan.

Selain itu, lihat sajalah "siaran ulangan" kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang sudah beberapa kali mengingatkan pengundi agar jangan bereksperimen untuk menukar kerajaan, seolah-olah hanya BN layak untuk bertakhta sampai bila-bila.

"Memberi tempoh lima tahun kepada pembangkang sebagai kerajaan cukup bahaya. Banyak perkara boleh musnah dalam tempoh itu," kata Mahathir sambil membentangkan "rekod buruk" Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan! Entah berapa ramai yang muak dan jelak dengan peringatan itu.

Tentunya majoriti pengundi  tidak sabar-sabar lagi untuk membuktikan kepada tukang-tukang karut penasihat media Najib Razak itu bahawa zaman meremehkan tahap pemikiran rakyat sudah lama berlalu.

Dan medan terbaiknya ialah PRU13 -- permulaan bermakna bagi menyaksikan perubahan benar-benar mengambil tempat. Ya, sang pemberani akan bersama-sama membentuk Malaysia yang lebih selesa untuk didiami.


III. Tuduhan palsu Memali mesti dihentikan


Dr Rais Yatim tidak menunggu lama untuk menarik balik kesediaan kerajaan agar Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang diajak berdialog dalam siaran langsung televisyen mengenai "amanatnya" dengan alasan yang dipertikai umum.

Majlis Fatwa Kebangsaan pula dijadikan pertaruhan oleh Rais walhal tidak pernah ada keputusan rasmi mengenainya.

Begitulah lumrahnya ... apabila gayung bersambut, pelbagai daleh diada-adakan bagi membatalkannya selepas menyedari ia bakal menjejaskan kepentingan politik Umno. Segalanya adalah gerak untuk menjatuhkan lawan menjelang PRU13.

Sebelum itu, ramai mengharapkan "isu jadi-jadian" ini dapat ditamatkan dengan baik.

Rakan saya, Dr Mohamad Agus Yusof memberi reaksi dalam FB, pada 29 Disember 2012: "Saya tertarik dengan permintaan TG Haji Hadi supaya media perdana memberikan beliau tempoh sejam untuk menjelaskan pendiriannya  tentang Amanat Haji Hadi. Amanat ini sudah lama menjadi 'isu politik' dan kini sudah sampai masanya dengan apa juga cara TG Haji Hadi memberikan penjelasan. We have to make a full stop kepada isu ini once and for all kerana ia menyakitkan pemahaman rakyat tentang Islam dan agama. "

Bukan saja Dr Agus yang kecewa, ramai lagi tidak berpuas hati dengan permainan politik Umno yang tidak berkesudahan ini.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin turut membidas sikap berdolak-dalik kerajaan, yang akhirnya menghalang Ustaz Hadi untuk memberi penjelasan. "Dia dihentam 24 jam tapi nak bagi setengah jam dalam TV pun tak boleh, macamana ni?" kata Dr Asri.

Budak-budak sekolah pun dapat menelah mengapa secara tiba-tiba "Amanat Haji Hadi" ditimbulkan semula; hanya untuk mempersudutkan atau mengasingkan PAS. Hampir 30 tahun lalu, debat PAS-Umno mengenai isu yang hampir sama -- kafir-mengkafir -- juga dibatalkan. Segala persiapan diatur, termasuk menentukan ketiga-tiga pendebat setiap parti.

Ketika kerajaan bertindak bacul enggan memberi peluang Ustaz Hadi bersiaran di TV, isu "amanat" ini  terus diputar-belitkan secara meluas di media. Tak perlu bicara tentang Utusan Malaysia; memang amalan rutinnya. Setiap hari, ia menjadi paparan muka depan, dengan mengitar semula peristiwa lama dan ditonjolkan kisah-kisah yang sukar dipastikan kebenarannya.

Selepas peluang Presiden PAS membuat penjelasan tertutup rapat, malam Rabu lalu, 2 Januari, TV3 menyiarkan forum membincangkan hal "amanat", antara lain, penalisnya, Abd Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara. Mengapa tidak dijemput saja Ustaz Hadi untuk duduk bersama?

Maka, untuk kesekian kalinya, Rahim bebas menabur tohmah, termasuk mengaitkan "amanat" dengan peristiwa Memali 1985.

Beberapa hari sebelum itu, Mingguan dan Utusan Malaysia menyiarkan wawancara dengannya, dua hari berturut-turut, memfitnah Asyahid Ustaz Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya.

Tergamak beliau untuk terus melakukan pendustaan terhadap orang-orang yang telah meninggal dunia secara tragis. Secara peribadi, saya tidak mampu untuk membaca keseluruhan kenyataannya yang kotor dan hanyir itu.

Sudah sampai sampainya isu Memali "dibersihkan sebersih-bersihnya". Usah diulang lagi kisah pedih yang terluka itu, apatah lagi dalam versi yang disalut pembohongan.

Tuduhan dan fitnah terhadap Asyahid bukan saja mesti dihentikan, malah kerajaan harus meminta maaf secara terbuka dan menarik balik tuduhan palsu, termasuk dokumen rasmi mengenainya, yang berunsur fitnah, seperti Kertas Putih Memali, yang diterbitkan pada 25 Februari 1986.

Di TV1, pada jam 9 malam, Jumaat, rancangan bual bicara RTM secara langsung, Bicara Rakyat, juga menimbulkan isu sama. Dan ahli penalnya ialah bekas pemimpin PAS, Dr Hassan Ali dan seorang lagi bekas aktivis Parti Islam itu.

Begitulah nasib malang pengguna media di Malaysia, khasnya penonton TV. Kita hanya disogok dengan pandangan satu hala. Jika mahu membincangkan soal berkaitan PAS, maka yang diheret ke studio ialah bekas pemimpin parti, yang hanya akan meluahkan segala yang buruk-buruk tentang PAS!

Rugi RM33,600 dakwa ditipu dua ejen bekal pekerja asing


NOORAZIAH (kanan) menunjukkan laporan polis berhubung dua kes dia ditipu sambil ditemani You Fong di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Malang bagi seorang pengarah urusan agensi pekerja asing apabila mendakwa ditipu dua ejen yang kononnya membekalkan pekerja sehingga kerugian RM33,600.
Nooraziah Muhadi, 49, mendakwa, kejadian pertama berlaku pada 15 Disember tahun lalu.
Dia yang mengendalikan Agensi Pekerjaan Fajar Indah Sdn. Bhd. mendakwa berurusan dengan lelaki bagi mendapatkan khidmat lima pekerja Kemboja.
"Saya melakukan dua transaksi berjumlah RM30,000 kepada lelaki itu dan dia berjanji akan membekalkan pekerja dalam tempoh dua bulan," katanya pada sidang akhbar di Kelab Akhbar Cina di sini semalam.
Bagaimanapun, ujar ibu kepada empat anak itu, selepas tiga bulan, lelaki tersebut mula berdolak-dalik apabila gagal membekalkan pekerja seperti yang dijanjikan.

Wanita disyaki curang dibelasah


SURI RUMAH yang cedera akibat dibelasah oleh suaminya dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.


KANGAR - Seorang wanita yang baru melahirkan anak kedua cedera parah dibelasah suaminya yang berang selepas mengesyaki isterinya itu curang ketika pulang berpantang di sebuah rumah sewa di Kampung Repoh di sini.
Semasa kejadian pada pukul 5 pagi Sabtu lalu, wanita berusia 27 tahun itu teruk dibelasah menggunakan kerusi, lesung batu, bingkai gambar dan turut dikelar dengan pisau.
Tindakan si suami berusia 40 tahun yang bekerja kontrak di Kuala Lumpur itu menyebabkan isterinya mengalami lebam dan luka di mata serta mulut selain luka dikelar di belakang badan sehingga terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTZ) di sini.
Rahsia kecurangan isterinya terbongkar semasa si suami menziarah dua anaknya termasuk bayi yang berusia 40 hari pada cuti hujung minggu di rumah sewa mereka.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd. Noordin (gambar kecil) berkata, berang dengan kehadiran orang ketiga di rumahnya itu, suspek bertindak menyerang isterinya dengan pelbagai objek sementara motosikal jenis Modenas Kriss dan pakaian milik isterinya itu dibakar.

Pusat hiburan depan balai polis kena serbu


ENAM GRO warga asing yang diberkas dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan 8/1D, Seksyen 8, Petaling Jaya kelmarin.


PETALING JAYA - Sebuah pusat hiburan yang menyediakan lapan khidmat pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang baru dua minggu dibuka di Jalan 8/1D, Seksyen 8 bertentangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini diserbu malam kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 11.30 malam, lapan GRO warga China, Kemboja dan Thailand yang berpakaian menjolok mata diberkas ketika mereka sedang melayan kira-kira 20 orang pelanggan yang leka bersantai di pusat hiburan itu.
"Pemilik pusat hiburan itu seolah- olah mencabar pihak berkuasa apabila sengaja menjalankan kegiatan haram yang dibuka bertentangan dengan IPD Petaling Jaya," kata satu sumber.

Gambar Puteri Diana semasa remaja dilelong


SEKEPING gambar yang akan dilelong menunjukkan Diana (kiri) berada di sebelah Russell.


AMHERST, New Hampshire - Sekeping gambar Puteri Diana ditanda dengan tulisan yang meminta ia tidak diterbitkan akan dilelong pada bulan ini.
Gambar tersebut menunjukkan ketika Diana belum berkahwin dengan pewaris kedua takhta Britain, Putera Charles.
Menurut firma lelongan, RR Auction, gambar berkenaan mungkin tidak pernah dipamerkan kepada media sebelum ini.
Tarikh yang terdapat di belakang gambar itu ialah Februari 1981.
Gambar tersebut dirakamkan selepas Charles dan Diana menamatkan spekulasi bahawa mereka akan berkahwin.
Menurut agensi berita AP semalam, gambar berkenaan diperoleh dari Arkib Caren.
Arkib itu mengumpulkan koleksi gambar-gambar dari surat khabar dan penerbitan lain.
Gambar tersebut dibeli dari akhbar Daily Mirror tujuh tahun lalu.
Naib Presiden RR Auction, Bobby Livingston pada Sabtu lalu menyatakan beliau tidak mengetahui identiti lelaki yang berada di sebelah Diana.
Bagaimanapun, beliau difahamkan, sebuah akhbar Britain berjaya mengenal pasti identiti lelaki itu.
Media Britain mengenal pasti lelaki muda itu sebagai Adam Russell.
Russell ialah cicit bekas Perdana Menteri Britain, Stanley Baldwin.
Diana dan Charles berkahwin pada 29 Julai 1981.
Bagaimanapun, perkahwinan tersebut berkecai pada 1996.
Diana kemudian meninggal dunia akibat nahas jalan raya di sebuah terowong di Paris, Perancis pada tahun 1997.
Beliau merupakan ibu kepada Putera William dan Putera Harry. - Agensi

Kucing dilatih bawa telefon ke penjara


SEORANG pengawal memegang seekor kucing yang membawa beg mengandungi pelbagai barang di sebuah penjara di Alagoas pada 31 Disember tahun lalu.


BRASILIA - Seekor kucing yang dilatih oleh para banduan untuk membawa telefon bimbit dan pelbagai peralatan menggali terowong telah ditangkap di sebuah penjara di timur laut Brazil.
Menurut seorang ketua kesatuan pengawal penjara Alagoas, Marcelo Avelino, seorang pengawal itu yang melihat kucing tersebut kemudian mendekati haiwan berkenaan.
Avelino menjelaskan, pengawal berkenaan mendekati kucing tersebut kerana dia mendapati terdapat sesuatu yang ganjil pada tubuh haiwan itu.
Beliau memberitahu akhbar O Globo, pengawal itu yang mendekati haiwan berkenaan mendapati terdapat sebuah beg yang dibawa kucing itu.
Menurutnya, beg tersebut mengandungi mata gergaji dan peralatan menggali untuk digunakan dalam penggalian terowong.
Beliau berkata, sebuah telefon bimbit turut ditemui termasuk bateri dan alat pengecas.
Kucing itu kerap dilihat masuk dan keluar dari penjara berkenaan.
Seorang pegawai penjara tersebut, Luiz de Oliveira Souza memberitahu portal berita G1, para banduan tersebut telah membela haiwan itu.
Souza menyatakan, saudara-mara banduan kerap membawa pulang kucing itu selepas mereka datang ke penjara tersebut.
"Kami berasa amat terkejut dengan taktik baharu banduan itu yang melatih haiwan supaya ia datang semula ke penjara dan membawa barang-barang," katanya. - Agensi

Pertandingan memancing di sungai beku


RIBUAN orang menyertai pertandingan memancing di sebatang sungai yang beku di Hwacheon semalam.


SEOUL - Ribuan pemancing termasuk wanita memancing di sebatang sungai yang beku di Hwacheon, 120 kilometer ke timur laut Seoul, Korea Selatan semalam.
Para pemancing itu menebuk lubang pada permukaan sungai tersebut yang beku untuk menangkap ikan.
Mereka merupakan antara peserta yang menyertai pertandingan memancing ketika musim sejuk.
Ia merupakan antara acara yang diadakan sempena sambutan festival ais. - Agensi

Tiga maut depot minyak terbakar


BEBERAPA anggota bomba menyaksikan kebakaran yang berlaku di depot minyak milik Perbadanan Minyak India di Hazira semalam.


NEW DELHI - Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan maut dalam satu kebakaran yang berlaku di sebuah depot minyak di Hazira, Gujarat semalam, kata polis.
Kira-kira 100 anggota bomba cuba memadamkan api yang bermula di dalam tangki simpanan petrol di depot milik Perbadanan Minyak India di daerah Surat pada petang Sabtu lalu.
"Setakat ini, tiga mayat tidak dikenali kemungkinan pekerja kontrak ditemui berhampiran tangki tersebut," kata ketua polis tempatan, SM Patel ketika dihubungi.
"Api berjaya dikawal daripada merebak ke lapan lagi tangki yang mengandungi simpanan petrol dan diesel," katanya.
Punca kebakaran belum diketahui.
Kebakaran itu masih lagi berlaku pada malam semalam dengan anggota-anggota bomba berusaha untuk memadamkan api yang marak.
Ia merupakan kejadian kebakaran kedua sejak tahun 2009 yang sebelum ini mengorbankan 12 nyawa. - Agensi

Bashar muncul beri ucapan

BASHAR (dalam bulatan) berucap di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Dar Al-Assad, Damsyik semalam. - AP


DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar Al-Assad berkata, negaranya belum menemui 'rakan sekutu' bagi menyelesaikan krisis politik di negara ini yang telah berlanjutan selama 21 bulan.
Beliau berkata demikian pada ucapan pertamanya dalam tempoh tujuh bulan di hadapan sejumlah orang di sini semalam.
"Hanya kerana kita tidak menemui sekutu, ia tidak bermakna kita tidak berminat berhubung penyelesaian politik," kata beliau ketika berucap di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Dar Al-Assad.
Katanya, konflik yang berlaku bukan melibatkan pemerintah dan pembangkang tetapi antara negara dengan pihak musuh.
"Satu perkara yang pasti adalah orang-orang yang kita hadapi hari ini merupakan mereka yang membawa ideologi Al-Qaeda," kata Bashar.
"Terdapat mereka yang ingin memecah-belahkan negara ini dan melemahkannya.
"Bagaimanapun, Syria terlalu kuat dan akan kekal berdaulat. Itu yang membuatkan pihak Barat berasa susah hati."
Penentangan terhadap pentadbiran Bashar mula tercetus pada Mac 2011.
Sejak itu, lebih 43,000 nyawa terkorban dan kebanyakannya merupakan orang awam.
Terdapat juga perangkaan yang menyatakan 60,000 orang telah terbunuh di Syria.
Kebangkitan penduduk yang berjuang dalam pertempuran menentang tentera Bashar berlaku kerana mereka marah dengan kepimpinannya.
Bashar dilihat gagal membawa pembaharuan pentadbiran terutamanya seperti isu-isu kebebasan bersuara.
Pertempuran tersebut berlaku selepas kebangkitan penduduk menuntut demokrasi berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir. - Agensi

Pesakit dibenar pulang awal


SEBAHAGIAN daripada pesakit yang dibenarkan pulang awal di HSNZ, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan membenarkan kebanyakan pesakit pulang awal bagi menghadapi kemungkinan fenomena air pasang besar serta hujan lebat yang diramalkan berlaku di negeri ini semalam hingga 9 Januari ini.
Arahan dikeluarkan sejak pukul 6.30 petang dengan kebanyakan kakitangan termasuk pakar bekerja lebih masa untuk memeriksa keadaan kesihatan pesakit sama ada boleh dibenarkan pulang atau tidak.
Jabatan Meteorologi Malaysia kelmarin menjangkakan hujan lebat akan berlaku antara semalam hingga 9 Januari ini di Kelantan, Terengganu dan Pahang ekoran angin kencang dan laut bergelora berlaku di Laut China Selatan.
Keadaan hujan lebat itu dijangka boleh menyebabkan risiko berlaku banjir di kawasan-kawasan rendah dan keadaan laut bergelora akan menyebabkan keadaan bahaya di laut serta persisiran pantai.

Bimbang rumah runtuh dan dihanyutkan air


ZABIDAH menunjukkan runtuhan tebing kian menghampiri rumahnya yang terletak di tepi sungai Kampung Bukit Abal Timur, Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH – Sebanyak 10 keluarga yang tinggal di tepi sungai Kampung Bukit Abal Timur, dekat sini bimbang rumah mereka bakal roboh ekoran tebing sungai berkenaan semakin terhakis sejak musim banjir baru-baru ini.
Mereka meminta pihak terbabit agar mengambil tindakan segera termasuk membuat penghadang hakisan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Menurut seorang penduduk, Tuan Ismail Tuan Merah, 63, beberapa tahun lalu, batu penghadang bagi mengelakkan hakisan akibat arus deras sudah dibina di sungai berkenaan selepas kebimbangan penduduk dimaklumkan kepada pihak berkenaan.
“Banjir yang melanda di kawasan itu selama beberapa hari baru-baru ini telah menyebabkan tebing sungai berkenaan terhakis teruk.
“Banjir juga menyebabkan batu penghadang tersebut mendap ke dasar sungai,” katanya ketika ditemui semalam.

Lelaki mati ditembak dalam BMW

PETALING JAYA - Seorang ahli perniagaan yang ditembak dengan disaksikan oleh isterinya di SS20/10 Damansara Kim di sini lewat malam kelmarin sempat memandu keretanya menuju ke sebuah hospital pakar yang terletak berhampiran di tempat kejadian untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam nyawa mangsa Tan Yi Shing, 37, tidak panjang apabila dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1 pagi iaitu kira-kira sejam selepas menerima rawatan di hospital tersebut.
Mangsa yang terlibat dalam perniagaan teknologi maklumat tidak dapat diselamatkan akibat mengalami pendarahan teruk di bahagian rusuk kanan akibat terkena tembakan dari jarak dekat.
Sebelum kejadian itu, mangsa yang memandu kereta jenis BMW bersama isteri berusia 30-an dalam perjalanan menuju ke rumah ibunya di Damansara Kim dekat sini. Pasangan itu pula menetap di Kepong, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment